Geng Aku

Sabtu, 27 Mac 2010

ATM Rayu Naik Gaji Anggota.


Angkatan Tentera (ATM) akan turut merayu bagi kenaikan gaji anggota dan pegawainya berikutan penyelarasan gaji anggota polis yang telah diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ATM berhasrat untuk memohon kenaikan yang sama.


"Penyelarasan gaji anggota polis menjadi penanda aras kepada ATM untuk mengkaji penyelarasan bagi anggota serta pegawainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Kerjaya, Pendidikan dan Inovasi ATM di Bandar Tentera Darat di sini hari ini.

Menerusi pengelarasan gaji polis, seramai 98,747 anggota dan pegawai polis akan menikmati skim perkhidmatan baru yang membolehkan mereka mendapat penyelarasan tiga pergerakan gaji tahunan dan kenaikan elaun Imbuhan Tetap Khidmat Polis.



Ahmad Zahid menjelaskan bahawa Kementerian Pertahanan semasa di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menghantar cadangan bagi kenaikan dan penyelarasan gaji anggota dan pegawai tentera kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.

"Bila waktu yang sesuai, kita akan kemukakan semula kertas cadangan berkenaan dan tentulah bila ekonomi negara sudah pulih dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat, kita boleh memperolehinya," katanya.

Mengenai perkembangan kes kemalangan pesawat Pilatus PC-7 MK 11 milik Tentera Udara Diraja Malaysia yang terhempas di Sintok kelmarin semasa latihan dan mengorbankan juruterbangnya, beliau menafikan andaian bahawa kemalangan berpunca daripada masalah penyelenggaraan pesawat. - BERNAMA

Saya Bahagia Jika Tidak Lagi Dilantik Mursyidul Am Pas - Nik Aziz


Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau akan merasa bahagia jika tidak lagi dilantik sebagai Mursyidul Am Pas.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata bahawa dalam Pas, ramai calon yang layak untuk menggantikannya dan bukan hanya diri beliau sahaja yang layak.

Ia ditambah pula dengan pengakuan beliau sendiri bahawa rekod kehadiran beliau tidak memuaskan untuk menghadiri program di luar Kelantan termasuk menghadiri mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas yang lebih banyak diwakilkan kepada timbalannya Datuk Dr Harun Din.

"Rekod kehadiran saya memang buruk dan mungkin barangkali timbullah ... lebih baik ambil orang yang sihat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nik Aziz diminta mengulas mengenai spekulasi bahawa beliau dijangka tidak akan dikekalkan sebagai Mursyidul Am Pas untuk tempoh lima tahun lagi, yang keputusan mengenainya akan diputuskan Majlis Syura Isnin ini.

Ditanya bagaimana pula sekiranya beliau terus dipilih, beliau berkata "jika dilantik lagi, ambo (saya) terima, tetapi itulah saya payah nak hadir mesyuarat."

Beliau turut menyambut baik saranan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya ditukar prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan kepada Kepercayaan Kepada Allah.

Nik Aziz berkata perkataan Allah lebih jelas maksudnya.

"Semua agama guna Tuhan dan Allah itulah Tuhan yang sebenar," katanya.


Mengulas mengenai pendedahan Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin bahawa Zulkifli ditawarkan ganjaran besar untuk mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, beliau berkata Zulkifli wajar membuat laporan kepada polis dan bukan sekadar membuat pendedahan.

"Kalau saya tahu perkara macam itu, saya akan buat laporan polis dan serah sahaja kepada polis untuk menyiasatnya," katanya. - BERNAMA

Siapa Ketuai MCA Esok?

Siapa di antara tiga calon yang akan dilantik dan diberi kepercayaan oleh perwakilan untuk menerajui MCA melalui zaman paling gawatya?
Bagi peganalisis politik, Ooi Kee Beng beliau yakin bekas presiden, Tan Sri Ong Ka Ting akan berjaya merampas semula jawatannya pada pemilihan parti itu esok.

“Sekurang-kurangnya, dia adalah pemimpin tunggal BN yang meletakkan jawatan selepas perkara yang memalukan pada 8 Mac itu,” kata Ooi dalam wawancara menerusi e-mail dengan Malaysiakini.

8 Mac 2008 yang juga dinamakan 'tsunami politik' menyaksikan BN hilang penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat dan kehilangan lima negeri.

“Apa yang baik bagi MCA ialah menjadi pemimpin berkredibel untuk masyarakat Cina - dengan kata lain berani untuk berdepan dengan Umno,” kata Ooi yang berpangkalan di Singapura.

Malangnya, semua mereka tidak mampu berbuat demikian.

Ka Ting membuat keputusan untuk turun semula ke gelanggang politik dan akan berdepan dengan presiden sekarang, Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas timbalan presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Bagi penganalisis politik, James Wong, pengamatannya mendapati kebanyakan masyarakat Cina lebih gemarkan pemimpin muda.

Jika perkiraan itu diambil, maka ia bererti Ka Ting atau Tee Keat akan dipilih mereka mempunyai usia yang sama berbanding Chua yang lebih tua.

Menurut Wong, Tee Keat bagi sesetengah orang dilihat sebagai pemimpin yang agak individualistic dan egoistic.

Azizulhasni Sekadar Rangkul Perak.


AZIZULHASNI menunjukkan pingat perak yang dimenanginya dalam acara keirin pada Kejohanan Trek Dunia di Copenhagen, Denmark semalam.


BIARPUN gagal dalam misinya melunas- kan dendam terhadap Chris Hoy, pelumba sensasi negara, Mohd. Azizulhasni Awang tetap menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Awal pagi semalam, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu menghadiahkan pingat perak pertama kepada Malaysia dalam acara keirin pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Dunia 2010 di Copenha- gen, Denmark.

Biarpun berjaya melakar sejarah tersendiri dengan kejayaannya itu, Azizul- hasni mengakui, dia masih kecewa kerana gagal membalas dendam ke atas Hoy yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2008.

"Saya sangat kecewa kerana gagal menebus kekalahan kepada Chris," kata Azizulhasni kepada Kosmo! semalam. 

"Pada pecutan terakhir, saya sudah bersedia untuk memintas Hoy tetapi terganggu oleh 'serangan' daripada pelumba Jerman, Levy Maxmillian.

"Oleh kerana gangguan daripada Maxmilian, saya tidak dapat cukup masa untuk memintas Hoy," katanya lagi.

Azizulhasni, 21, turun pada aksi final semalam dengan harapan menebus keka- lahan kepada Hoy selepas dia kecundang kepada musuh tradisinya itu pada saingan suku akhir Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.

Pada aksi final yang melibatkan lapan pusingan itu, Azizulhasni yang digelar The Pocketrocketman berjaya mengekori rapat Hoy sepanjang lima pusingan awal.

Namun, Hoy mula memecut pada pusi- ngan terakhir untuk meninggalkan Azizulhasni di tempat kedua.

Begitupun, Azizulhasni masih mampu menebus kekecewaannya itu apabila dia sekali lagi berpeluang berentap dengan jaguh sensasi Britain itu dalam acara pecut yang bermula hari ini.

Tengku Abdul Aziz Dilucut Jawatan.


AISERI mengumumkan pelucutan jawatan Tengku Abdul Aziz sebagai YDP MPN di Kota Bharu semalam.


Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra semalam, mengumumkan pelucutan jawatan Tengku Sri Utama Diraja, Tengku Abdul Aziz Mohd. Hamzah sebagai Yang Dipertua Majlis Perajaan Negeri (MPN) berkuat kuasa kelmarin.

Pengisytiharan itu dibacakan oleh Setiausaha MPN, Datuk Mohd. Aiseri Alias dan turut mengumumkan pelantikan Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Al Haj Ibni Almarhum Sultan Ibrahim sebagai Yang Dipertua MPN yang baru.

"Bagi menjunjung titah perintah Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra bahawa Yang Mulia Tengku Abdul Aziz Mohd. Hamzah (Tengku Sri Utama Raja) dibatalkan pelantikan dan dilepaskan daripada menjadi Yang Dipertua MPN berkuat kuasa 25 Mac 2010.

Hulu Selangor: Komposisi kaum beri kelebihan pada PR.

Komposisi kaum yang agak ‘kacukan’ di kawasan Parlimen Hulu Selangor dengan pengundi Melayu sebanyak 53.9 peratus, Cina (26.7), India (19) dan lain-lain (0.4), memberi kelebihan kepada PKR dan Pakatan Rakyat berbanding Umno dan BN.

Bagi Pengarah Pilihan raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat, Fuziah Salleh (gambar), pihaknya masih belum memilih calon walaupun tumpuan umum banyak menjangkakan bahawa Datuk Zaid Ibrahim bakal mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil itu.

“Keputusan berkenaan calon itu, sekarang ini ada ramai yang cukup berwibawa untuk dicalonkan, bagaimanapun saya akan menyerahkan nama-nama mereka kepada pucuk pimpinan untuk dibuat keputusan terakhir,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

Pun begitu, beliau berkata, PKR tidak mempunyai banyak masalah dalam memilih calon kerana identiti PKR bukanlah berasaskan pada perkauman, bukan seperti Umno/BN.

Maka, kata beliau, Majlis Pimpinan Tertinggi PKR akan membuat ketetapan akhir berhubung persiapan pilihan raya kecil tersebut pada 4 April depan, sebelum dilanjutkan dalam Majlis Mesyuarat Pakatan Rakyat kelak.

Parlimen Hulu Selangor bakal menyaksikan pilihan raya kecil berikutan kematian wakilnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, malam tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuat keputusan berhubung perkara itu Jumaat depan.

Dalam pada itu, Fuziah sendiri mengakui bahawa Umno tempatan, khususnya di Hulu Selangor cuba untuk meletakkan calon mereka di kerusi terbabit atas dasar majoriti pengundi adalah Melayu, sedangkan kerusi tersebut sebenarnya adalah kerusi tradisi MIC, Datuk G. Palanivel.

“Sesiapa pun (calon BN) yang diletakkan di situ, ia suatu kelebihan bagi kita, calon PKR sudah pun dilihat mewakili semua kaum,” ujarnya.

Ekoran itu, PKR menurut beliau, tidak perlu menganggap kelemahan BN tersebut sebagai kekuatan pada PKR.

Sebaliknya, beliau berkata, PKR serta Pakatan Rakyat seharusnya bersedia membuat persiapan kempen politik yang lebih rasional dan demokratik, bukannya kempen perkauman seperti Umno BN.

“Apabila kita masuk apa-apa pilihan raya, fokus dan persediaan kempen kita adalah apa yang boleh kita tawarkan kepada rakyat, tidak perlu fokus pada kedudukan orang lain (Umno BN),” jelasnya.

Demi menjayakan kempen tersebut, beliau bercadang untuk mengemukakan pencapaian-pencapaian Pakatan Rakyat sepanjang memerintah negeri Selangor supaya rakyat boleh membuat perhitungan dan perbandingan dengan rekod pemerintahan kerajaan negeri di bawah Umno/BN, sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu.

“Itu lebih penting, apa pencapaian Pakatan Rakyat di Selangor, bagaimana rakyat boleh mendapat manfaat dari kerajaan negeri,” katanya.

Menurut beliau, dengan berbuat demikian, rakyat sekaligus dididik dengan politik yang lebih sihat, anti perkauman, anti kronisme serta anti-kezaliman yang selama ini disinonimkan dengan pemimpin tertentu dalam Umno/BN.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails