Geng Aku

Rabu, 17 Februari 2010

Adnan Sempit Catat RM7.5 Juta.


Filem Adnan Sempit arahan Ahmad Idham kini mencatat kutipan berjumlah RM7.5 selepas 5 minggu ditayangkan di pawagam. Angka tersebut sudah mengatasi kutipan keseluruhan filem Jangan Pandang Belakang sebanyak RM6.5 juta yang juga arahan serta terbitan Ahmad Idham.

Penerbit MIG Production Sdn Bhd, David Teo, ketika dihubungi berkata, ia adalah satu rekod baru yang dicatat oleh syarikatnya. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan produksi yang telah bekerja keras menghasilkan produk yang terbaik.

"Saya ingin berterima kasih kepada semua penonton yang telah memberikan sokongan kepada filem ini. Ia memberikan semangat kepada kami untuk terus berkarya dan memberikan yang terbaik kepada semua peminat.

"Kejayaan baru ini sangat berharga bagi suluruh keluarga produksi termasuk pelakon, pengarah dan juga krew. Saya yakin ia adalah tuah pada tahun baru cina ini. Rezeki tu muncul dimana-mana sekiranya kita bekerja secara ikhlas. Saya buat filem bukan untuk menang anugerah, tetapi untuk buat duit.

"Awalnya kami mengagak filem ini hanya untuk tatapan golongan remaja dan Mat Motor sahaja. Tetapi yang jelas, ramai telah  membawa seisi keluarga menonton filem ini dan akui sangat terhibur. Malah golongan Mat Motor sendiri telah berulang kali pergi menonton kerana jalan cerita dan lakonannya begitu menarik dan melucukan," 


Filem lakonan Saheizy Sam, Intan Ladyana, Along Raja Lawak dan Cat Farish itu  mengisahkan percintaan antara Mat Motor dengan gadis korporat. Pelbagai insiden menarik berlaku dalam percintaan mereka sepanjang jalan cerita.

Shaheizy Sam atau lebih mesra dengan panggilan Sam, pertama kali diangkat sebagai pelakon utama. Sememangnya bakat dan pakej yang dimiliki Sam merupakan kelebihan terbaik buatnya memancing penonton.

Selain barisan pelakon dan konsep cerita yang menarik, kejayaan filem tersebut turut dibantu dengan promosi hebat yang tidak putus-putus.

Pada Majlis Bertemu Bintang yang diadakan di pejabat Finas, Ulu Kelang baru-baru ini, filem ini telah turut dipertontonkan kepada tetamu jemputan. Ia langkah Finas untuk mempromosikan filem tempatan. 

Senarai Individu Terkaya Di Malaysia.




Kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia terus mencatat peningkatan dengan kekayaan mereka yang terkumpul bernilai RM156.7 bilion pada 15 Januari atau 63 peratus lebih daripada RM96.3 bilion berikutan pemulihan dalam pasaran saham, demikian didedahkan hasil satu kaji selidik oleh Malaysian Business.

Bagaimanapun, menurut kenyataan hasil kaji selidik majalah itu yang dikeluarkan semalam, kekayaan terkumpul mereka masih kurang daripada RM171.9 bilion yang direkodkan pada 2008.

Tan Sri Robert Kuok, 86, dari Kumpulan Kuok yang melepaskan mahkota 'Raja Gula' tahun lepas, masih mendahului senarai dengan kekayaan RM42.76 bilion, meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion, setahun lalu.

Hartawan telekomunikasi, Ananda Krishnan, 72, berada pada kedudukan kedua dengan kekayaan RM27 bilion.

Konflik Dalaman Akan Hancurkan Parti Makkal Sakti.



Pergolakan kepimpinan dalam parti Makkal Sakti boleh ditangani secara berkesan menerusi pengantara, kata penganalisis politik.

Mereka berpandangan pemimpin yang bertelagah harus mengetepikan perbezaan peribadi dan mencari orang tengah untuk menyelesaikan kemelut parti yang belum mencapai usia setahun itu.

Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugam Pandian berkata orang tengah atau pihak ketiga boleh menyediakan asas untuk semua pihak terlibat mencari penyelesaian.

"Orang tengah membolehkan pertelingkahan diselesaikan tanpa perlu melalui proses perundangan di mahkamah.

"Di dalam perbicaraan akan ada pihak yang menang dan yang kalah, tetapi menerusi pengantara, ia adalah situasi menang-menang, kerana ada tolak ansur untuk mencapai persetujuan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Parti Makkal Sakti diselubungi konflik dalaman sejak akhir tahun lepas yang menyaksikan satu pihak menyokong Presiden R. S. Thanenthiran dan satu lagi memihak kepada Timbalannya A. Vathemurthy. Selain saling berlaku pemecatan antara satu sama lain, pihak yang bertelagah juga membawa permasalahn itu kepada Pendaftar Pertubuhan.


Parti itu dilancar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Okt lepas dan dilihat sebagai faktor yang akan menarik semula sokongan masyarakat India kepada Barisan Nasional (BN).

Dr Sivamurugan seterusnya mencadangkan agar Setiausaha Agung BN dan Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku dilantik sebagai orang tengah untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan parti itu.

Beliau juga menegaskan tidak ada keperluan untuk parti baru seperti Makkal Sakti itu mengadakan pemilihan semula bagi menyelesaikan konflik.

"Adalah lebih baik jika parti itu mengadakan pemilihan baru selepas ia stabil dan telah menyelesaikan semua isu berbangkit," katanya.

Pandangan beliau turut dipersetujui seorang lagi penganalisis politik, Datuk Dr Denison Jayasooria yang berpendapat pengantara adalah jalan terbaik bagi Makkal Sakti menyelesaikan kemelut kepimpinan mereka.

"Pengantara profesional boleh mengurangkan trauma emosi pada kalangan pihak yang berkenaan," kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) itu.

Beliau juga berkata imej Makkal Sakti kini dicemari oleh konflik personalitinya sendiri, justeru pemimpin parti itu harus mengetepikan perbezaan peribadi mereka.

Katanya langkah itu perlu bagi menghalang krisis daripada semakin buruk selain hilang sokongan masyarakat.

"Makkal Sakti harus menyelesaikan masalahnya secepat mungkin untuk mengelakkan parti itu daripada menjadi `tidak penting' pada pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya.

Makkal Sakti adalah kumpulan serpihan daripada Hindraf iaitu sebuah pergerakan yang diharamkan, dan pada awal pembentukannya dilihat mampu menjadi sebuah kuasa yang dapat mencabar kedudukan MIC sebagai suara kepada 1.8 juta kaum India di negara ini.

Bagaimanapun perebutan kuasa yang menyelubungi parti itu sekarang menimbulkan persoalan mengenai nasibnya pada masa akan datang.

-- BERNAMA

Anwar Lantik Tiga Pakar DNA, Forensik Asing

Pasukan peguam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelantikan tiga pakar asing dalam bidang DNA dan forensik untuk membantu mereka dalam kes tersebut.


Dalam satu kenyataan, peguam Anwar, Sankara Nair berkata beliau akan membawa tiga pakar tersebut ke Mahkamah tinggi Kuala Lumpur esok.

Mereka ialah pakar DNA, Dr Brian Mc Donald dari Sydney Australia, dan pakar forensik - Dr C Damodaran, dari Chennai, India, Dr David Wells dari Melbourne, Australia.

Esok ialah keputusan terhadap permohonan Anwar supaya Hakim yang sedang mendengar kesnya - Datuk Mohamad Zabidin Mohd Dian - menarik diri.

Manakala Mahkamah Rayuan pula telah menetapkan hari ini untuk memutuskan rayuan ketua umum PKR itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk membatalkan tuduhan liwat terhadapnya.

Sejak beberapa hari lalu, Malaysia berdepan dengan tekanan dari ahli parlimen Australia yang mendesak supaya digugurkan tuduhan liwat terhadap Anwar.


Pada masa yang sama, ahli parlimen Amerika pula mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memastikan perbicaraan kes Anwar berjalan secara adil.

Dr Mc Donald adalah seorang ahli patologi dari Universiti Western Australia. Beliau juga merupakan pengarah DNA Consults.

Beliau dipanggil untuk menyediakan Kepakarannya dalam bidang DNA yang dijangka dikemukakan dalam perbicaraan nanti.

Dr Damodaran pula mempunyai 28 tahun pengalaman dalam bidang forensik dan pengalaman mengajar, di samping 36 tahun pengalaman dalam bio-kimia, toksilogi dan forensik.

Sementara itu, Dr Wells merupakan prof madya dalam bidang jenayah di Universiti Melbourne.

Beliau kini merupakan ketua bahagian Perubatan Klinikal Forensik, Institut Perubatan Forensik Victoria.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Ketua pembangkang dan ahli parlimen Permatang Pauh itu, dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails