Geng Aku

Ahad, 28 Februari 2010

Nik Aziz Tonton Filem Buat Julung Kali.


Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) akan menonton filem “Ketika Cinta Bertasbih” yang akan ditayangkan di Balai Islam Lundang esok, yang menurut pegawainya ini kali pertama beliau berbuat demikian di khalayak ramai dalam hidupnya.


Setiausaha Politik kepada Nik Aziz, Wan Nik Wan Yusuf mengesahkan perkara itu.

 “Setakat ini disahkan tok guru akan hadir,” katanya.

“Jika Tok Guru Nik Aziz hadir menonton filem itu, maknanya ini adalah kali pertama beliau menonton filem dalam hidupnya.

“Sebelum ini beliau memang tak pernah menonton wayang.


“Tok Guru rasa minat nak tengok filem itu kerana mesejnya yang berunsur kerohanian dan keagamaan,” kata beliau.

Tayangan filem tersebut diadakan sempena Hari Hiburan Islam selaras dengan usaha kerajaan negeri yang tidak pernah menyekat persembahan hiburan, yang sebahagiannya menjadi aspirasi rakyat Kelantan khususnya di kalangan remaja.

Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri Ahmad Baihaqi Atiqullah yang juga selaku pengarah program berkata tayangan filem berkenaan dijangka bermula pukul 9 malam.

Pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dijemput mengupas filem tersebut.


“Saya menjemput orang ramai hadir bersama-sama menonton filem bercorak kerohanian itu selain untuk berhibur, ia juga dapat menambah ilmu pengetahuan,” katanya.

“Ketika Cinta Bertasbih” sebuah filem yang diadaptasikan daripada novel karya penulis Indonesia, Habiburrahman El-Syirazi dan merupakan filem “box-office” di Indonesia tahun lalu.

Pada 14 Feb lalu, lebih 1,000 penonton menyaksikan tayangan filem “Ketika Cinta Bertasbih” bahagian pertama yang diadakan di Kelantan Trade Centre (KTC).

Sempena program tersebut Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan telah meraikan kunjungan selebriti TV3, Wardina Safiyyah dan Habiburrahman yang juga selaku pengarah filem tersebut.

Nik Aziz menghargai kehadiran mereka ke negeri ini sebagai ikon kepada persembahan hiburan Islam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails