Geng Aku

Jumaat, 9 April 2010

Gambar Majlis Cukur Jambul Anak Arni Nazira.






Umno Mahu Mugilan Bertanding Di Hulu S'gor?


Umno bahagian Hulu Selangor dikatakan mahu ketua Pemuda MIC Hulu Selangor V Mugilan dicalonkan mewakil BN bertanding dalam pilihan raya kecil di situ pada 25 April ini.

"Beliau (Mugilan) sendiri pun sedar yang bahagian mahukan beliau menjadi calon," kata sumber-sumber yang rapat dengan BN.

Mugilan juga merupakan timbalan ketua Pemuda MIC pusat.
.
Sebelum ini, ini Umno bahagian berkata mereka menerima keputusan pucuk pimpinan BN untuk mengekalkan MIC bertanding di situ tetapi menolak Datuk G Palanivel yang juga timbalan presiden MIC, dicalonkan semula.

Menurut sumber-sumber itu, Mugilan merupakan pemimpin akar umbi yang rapat dan mudah didampingi pemimpin Umno bahagian.

"Beliau mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Umno. Dia boleh makan bersama dengan pemimpin Umno.

"Malah, orang Umno menganggap Murigan bagaikan orang Umno, bukan MIC," kata sumber-sumber lagi.

Mugilan juga, menurut sumber-sumber itu, aktif terlibat di peringkat belia dan kini merupakan naib pengerusi majlis belia daerah Hulu Selangor.

Sebelum ini, Mugilan menyandang jawatan exco majlis belia daerah selama lapan tahun sejak 1997, menjadi naib pengerusi sejak 2005

"Beliau bermula dari bawah, (dan) berkawan dengan semua orang di akar umbi. Beliau rapat dengan golongan belia Melayu di situ," kata sumber-sumber itu lagi.

Selain Mugilan, koordinator Putera MIC, P Kamalanathan turut disebut-sebut menjadi calon di situ.

Sehingga semalam, MIC dilaporkan hanya mencalonkan Palanivel untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Sebelum ini, 54 pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung persekutuan (JKKKP) menuntut agar kerusi tersebut dikembalikan kepada kepada Umno.


Bagaimanapun, , Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kemudiannya mengumumkan MIC akan mewakili BN dalam pilihan raya kecil itu, tetapi beliau tidak menyebut calonnya.

Palanivel mewakili parlimen Hulu Selangor sejak 1990 sebelum kalah kepada Datuk Zainal Abidin Ahmad daripada PKR dalam pilihan raya umum 2008.

Zainal Abidin menumbangkan Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Kerusi tersebut kosong selepas kematian Zainal Abidin pada 25 Mac lalu akibat barah otak. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 17 April ini.

Sementara itu, ketua penerangan Umno bahagian Hulu Selangor, Yusof Nawawi, ketika ditanya mengenai perkara itu berkata: "Kalau Datuk Palanivel tidak dicalonkan semula, maka Mugilan adalah calon terbaik untuk menggantikannya."

Katanya, ia kerana Mugilan adalah anak tempatan di Hulu Selangor dan juga seorang pemimpin Pemuda MIC pusat.

SPR Dijangka Bermesyuarat 16 April.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan menerima notis rasmi memaklumkan kematian Ahli Parlimen Sibu, Datuk Robert Lau Hoi Chew Isnin depan.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR pada dasarnya mempunyai tempoh 10 hari untuk mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh pilihan raya kecil sebaik sahaja berlaku kekosongan kerusi.


Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi di Putrajaya hari ini, Abdul Aziz berkata SPR masih menunggu notis pemakluman rasmi dari Speaker Dewan Rakyat berhubung perkara itu.

"Saya menjangkakan notis itu akan dihantar pada Isnin depan, jadi selepas itu SPR boleh bermesyuarat untuk menetapkan tarikh bagi penamaan calon dan seterusnya mengumumkan tarikh pilihan raya kecil bagi kawasan berkenaan," katanya.

Abdul Aziz menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai kematian Robert Lau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan hari ini.

Robert Lau, 68, meninggal dunia di kediamannya di Kuala Lumpur pagi ini selepas sekian lama bertarung dengan penyakit barah yang dihidapinya.

Abdul Aziz berkata tarikh esok dikira sebagai hari pertama selepas kematian mendiang, justeru SPR mempunyai sehingga pertengahan bulan ini untuk membuat pengumuman rasmi.

"SPR perlu menerima notis secara rasmi sebelum boleh mengadakan sebarang mesyuarat berkaitan perkara ini," katanya.

- Bernama

MP Sibu Meninggal Dunia, 1 Lagi PRK.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau yang juga anggota parlimen bandar Sibu meninggal dunia di Hospital Selayang, hari ini akibat barah.

Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Kematiannya akan membawa kepada satu lagi pilihan raya kecil - yang kesebelas selepas pilihan raya umum 2008. 

Ia juga merupakan pilihan raya kecil kedua di Sarawak selepas DUN Batang Ai.

Pilihan raya kecil tersebut perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh berlaku kekosongan.

Pada pilihan raya umum 2008, Lau mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812). 

Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990. 

Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Keluarga Lau memiliki kumpulan KTS - sebuah konglomerat yang terbabit dalam industri pembalakan dan media.

Kumpulan KTS memiliki beberapa akhbar termasuk Borneo Post dan Oriental Daily News.

Sementara itu, Bernama memetik setiausaha sulitnya, Peter Hu sebagai berkata, Lau meninggal dunia pada jam 11.10 pagi dan persiapan sedang diadakan untuk membawa jenazah mendiang ke kampung halamannya di Sibu.

2 MP Bebas Dibawa Melancong Ke USA Oleh Najib.



Tindakan kerajaan membawa dua anggota Parlimen Bebas Zulkifli Nordin dan Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim bersama rombongan Perdana Menteri ke Amerika Syarikat dilihat sebagai sebahagian dari 'bayaran balik'.

Ini kerana, jasa kedua-duanya memukul PKR, PAS dan DAP serta Datuk Seri Anwar Ibrahim khasnya selepas mereka meninggal parti itu perlu dibayar balik selain apa yang mereka telah terima sebelum ini.

Zulkifli Nordin

Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim

"Nampaknya ini adalah masa untuk membayar balik dan mereka nampaknya menjadi anggota Parlimen kegemaran pemimpin BN (berbanding MP dari Umno sendiri)," kata Dr Hatta Ramli, anggota Parlimen Kuala Krai kepada Harakahdaily.

Tindakan ini nampaknya tidak menyenangkan anggota Parlimen BN sendiri kerana biasanya merekalah yang mendapat peluang ini.

Untuk itu, pentadbiran Datuk Seri Najib menjadikan sikap Pakatan Rakyat yang suka membuat undian belah bahagi sejak kebelakangan ini sebagai alasan.

Ia disampaikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bagi pihak kerajaan BN.


"Disebabkan kekerapan MP pembangkang membuat undian secara blok (memerlukan kehadiran MP untuk mengundi) pada setiap kali sidang Parlimen, saya memutuskan bahawa tiada MP Barisan Nasional yang akan dibawa keluar negara apabila parlimen bersidang.

"Juga adalah tidak adil bagi memaksa MP pembangkang mengiringi Perdana Menteri untuk lawatan ini.

"Mereka akan menuduh saya tidak berlaku adil kerana mereka juga memerlukan jumlah berkenaan bagi pengundian secara blok.

“Jadi, yang boleh pergi ialah hanya MP Bebas,” katanya di lobi parlimen.

Ketika kecoh dengan dakwaan rasuah dan pembelian anggota Parlimen, tiga anggota Parlimen PKR keluar parti manakala seorang lagi dipecat.


Yang keluar adalah Zahrain sendiri selain Tan Tee Beng dan Mohsin Samsuri manakala Zulkifli dipecat.

"Mereka bukannya anggota bebas sebenarnya kerana setiap kali bercakap mereka menghentam PKR, PAS dan DAP," kata Tian Chua, anggota Parlimen PKR kawasan Batu.

Perdana Menteri telah bertolak ke Amerika Syarikat untuk bertemu Barack Obama manakala timbalannya ke Perancis. Kedua-dua anggota Parlimen Bebas itu dijangka akan bersama PM di Amerika Rabu depan.

Bank Islam Kendali Pajak Gadai.


WAN ISMAIL (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Aziz sambil disaksikan oleh Zukri di Kuala Lumpur semalam.


Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) akan melabur sehingga RM25 juta untuk membuka lima cawangan pajak gadai baru di bawah Ar-Rahnu Bank Islam menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, destinasi tumpuannya ialah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perlis dan wilayah tengah, yang mana cawangan pertamanya akan dibuka di Kota Bharu.



Menurutnya, perkhidmatan itu akan ditawarkan melalui sebuah anak syarikat baru yang akan diwujudkan dengan langganan saham baru dalam Fariham Corporation Sdn. Bhd. (Farihan Corporation), sebuah penyedia perkhidmatan pajak gadai Islam.

Bank Islam akan memegang 80 peratus kepentingan dalam syarikat tersebut manakala baki 20 peratus dimiliki oleh Pengarah Fariham Corporation, Aziz Nawi dan keluarganya.

Pada masa ini, Fariham Corporation mengendalikan sebuah cawangan pajak gadai di Pasir Puteh, Kelantan, dengan perolehan tahunan sebanyak RM6 juta.

'Kedah Mampu Julang Piala FA'


BARISAN pemain Kedah giat menjalani latihan menjelang aksi final Piala FA menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.


BEKAS jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah meramalkan skuad Kenari mampu menjulang Piala FA apabila menentang Negeri Sembilan pada final di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Azraai berkata, walaupun Kedah dibarisi ramai pemain muda, namun ia bukan penghalang buat mereka mencipta kejutan ke atas Negeri Sembilan.

"Pemain muda ini sebenarnya telah mempunyai pengalaman bermain di peringkat yang lebih tinggi berbanding lawan seperti Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) serta beberapa perlawanan akhir," kata Azraai semalam. 

Malah Azraai berkata, pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) juga perlu bijak memberi motivasi kepada barisan pemain muda untuk mencipta kejayaan di bawah jurulatih Ahmad Yusof.



Pandangan Azraai itu tampak berasas kerana Kedah telah menjuarai Piala FA pada tahun 2007 dan 2008 serta beraksi di pentas Piala AFC untuk dua musim pada 2008 dan 2009.

"Nasihat saya, pemain perlu memberi fokus sepenuhnya kepada 90 minit masa permainan. Selain itu pasukan yang kurang membuat kesilapan akan berjaya," kata Azraai yang kini membimbing skuad bawah 21 tahun kebangsaan atau Harimau Muda A.

Sebelum ini, Azraai pernah membawa Kedah ke puncak kegemilangan apabila membimbing skuad Kenari itu menjuarai tiga piala termasuk Piala FA untuk dua musim berturut-turut pada 2006/07 dan 2007/08.

Sekiranya berjaya menjulang Piala FA edisi ke-21 kali ini, Kedah akan menjadi pasukan kedua terbaik dengan empat kali muncul selaku juara di belakang Selangor (lima kali) sejak piala terbabit diperkenalkan pada 1990. 

Kini Kedah terikat dengan Kuala Lumpur yang turut menjulang Piala FA sebanyak tiga kali dan muncul naib juara sekali pada 1992.

Kedah mara ke final Piala FA tahun ini apabila menyingkirkan Terengganu dengan agregat 4-1 manakala Negeri Sembilan menumpaskan juara bertahan, Selangor dengan peraturan gol di tempat lawan setelah terikat dengan agregat 2-2.

Disimbah Asid Kerana Nafsu Suami.


KEADAAN wanita yang disimbah cuka getah ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan semalam.


Gara-gara isteri enggan mengadakan hubungan seks, seorang suami yang dipercayai tahi judi naik berang sehingga sanggup menyimbah asid ke muka dan tubuh isterinya menyebabkan wanita itu cedera parah dalam kejadian di rumahnya di Felda Bukit Sagu 2 di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata, ketika kejadian pada pukul 2 pagi, lelaki berusia 47 tahun itu dikatakan baru sampai ke rumah selepas dipercayai keluar bermain judi.

"Suspek yang bekerja sebagai peneroka itu pulang dalam keadaan marah-marah. Dia terus masuk bilik tidur sebelum mengejutkan isterinya untuk mengadakan hubungan kelamin.

"Bagaimanapun, wanita berusia 30-an itu menolak keinginan suaminya kerana dia tidak sihat dan sakit kepala," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Zulkifli, tindakan si isteri itu menyebabkan suaminya secara tiba-tiba naik angin lalu mengambil cuka getah yang diletakkan di dalam botol di luar rumah.

"Suspek masuk semula ke dalam rumah lalu menyimbah cuka getah itu ke arah muka dan badan mangsa yang bekerja sebagai pencuci pejabat. 

"Tindakan suspek itu menyebabkan isterinya melecur teruk," kata beliau.

Zulkifli memberitahu, dua orang anak pasangan itu berusia belasan tahun yang turut berada di rumah semasa kejadian terus mendapatkan ibu mereka untuk memberi bantuan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails