Geng Aku

Khamis, 5 November 2009

Final Piala Malaysia'Kelantan Cuti Umum.

Kerajaan Kelantan mengisytiharkan cuti pada Ahad ini 8 November bersempena perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara pasukan Kelantan menentang Negeri Sembilan.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata cuti berkenaan diberikan bagi menghargai skuad negeri 'Red Warriors' yang telah berjaya ke perlawanan akhir selepas 39 tahun dalam penantian.







"Cuti berkenaan diberikan juga untuk kemudahan para penyokong untuk memberi sokongan kepada pasukan kita, khususnya dari Kelantan,"ujarnya. Menurutnya, mereka tidak perlu bersusah payah memohon cuti atau tergesa-gesa untuk pulang semula ke kampung halaman masing-masing untuk bekerja keesokan harinya.

"Walaupun kita belum pasti adakah kita akan menjadi juara pada malam itu, namun cuti tetap akan diberikan pada hari Ahad ini atas sebab-sebab sedemikian," ujarnya.
Sambungnya, mudah-mudahan dengan cuti yang diberikan oleh kerajaan negeri, para penyokong khususnya yang sama-sama turun ke Stadium Bukit Jalil akan pulang dengan tenang dan selamat.

Pada masa yang sama beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan negeri kerana telah berjaya melangkah gagah ke peringkat akhir. Beliau juga berharap, dengan prestasi yang semakin meningkat itu skuad Kelantan diharap mampu menjuarai perlawanan peringkat akhir.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan
Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, ketika ditemui berkata, dianggarkan hampir 50,000 penyokong Kelantan akan memberi sokongan di Stadium Bukit Jalil nanti.

Sebelum ini Tuan Guru telah mengikuti perlawanan separuh akhir pertama antara Kelantan menentang Perlis di Stadium Sultan Muhammad
Ke-IV berkesudahan pasukan merah putih itu menang dengan 2-0.

Perlawanan kedua separuh akhir antara Kelantan menentang Perlis itu juga sekali lagi skuad 'Red Warriors' berjaya menewaskan Perlis dengan 3-1.

Anggota-anggota exco kerajaan negeri termasuk Datuk Husam Musa dijangka hadir menyaksikan perlawanan berkenaan.

Seminar PAS bangkit kemelut di S'gor

Resolusi seminar politik PAS hujung minggu ini, sebahagian besarnya, akan memandu siasatan jawatankuasa disiplin terhadap kepimpinan PAS Selangor, kata bekas pesuruhjaya Perak, Ahmad Awang.

Menurutnya, resolusi seminar itu juga penting untuk melihat sokongan akar umbi ke atas kepemimpinan tertinggi parti berkenaan.

Anggota Majlis Syura Ulama PAS itu menjelaskan, seminar sehari itu - selain anggota majlis syura dan ahli jawatankuasa pusat - juga akan mendengar pandangan pesuruhjaya PAS negeri dan pemimpin peringkat kawasan-kawasan.

"Keputusan besarnya adalah pandangan menyeluruh daripada akar umbi PAS, dan bukan keputusan kepimpinan tertinggi PAS sahaja," kata Ahmad ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya lagi, isu melibatkan pergeseran antara bekas timbalan pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad dengan pesuruhjaya PAS negeri itu, Datuk Dr Hasan Ali, juga tidak dapat dielakkan daripada dibincangkan.

Ahmad juga berkata kehadiran ahli akademik Prof Dr Abdul Aziz Bari - yang akan mengulangi analisisnya tentang kelemahan PAS dan mempertahankan tulisan kontroversinya bulan lalu - pasti mengundang pandangan balas daripada peserta.

"Seminar ini mengenai memperkasakan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat, tetapi akan timbul juga hujah-hujah daripada peserta tentang masalah kepemimpinan di Selangor," katanya.

Sokongan bukan Melayu

Dr Abdul Aziz secara tidak langsung mendorong penganjuran seminar berkenaan susulan tulisannya yang mengungkit kemerosotan sokongan bukan Melayu di Bagan Pinang bulan lalu.

Dalam artikel pada 19 Oktober lalu di sebuah akhbar, pakar perlembagaan itu mendakwa kemerosotan itu disebabkan, antaranya, beberapa tokoh PAS yang bermasalah berhubung idea kerajaan perpaduan, khususnya di Selangor.

Dr Abdul Aziz juga menganggap kepemimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang lemah dan perlu berundur bagi menyelamatkan parti itu.

Jika usulnya itu terlalu berat untuk dilaksanakan, beliau menggesa Nasharuddin Mat Isa berundur daripada timbalan presiden PAS dan Dr Hassan pula disingkirkan daripada exco kerajaan Selangor.

"Itu tidak dapat dielakkan. Sudah tentu (Dr Abdul Aziz) akan pertahankan apa yang beliau sudah tulis," kata Ahmad lagi.

"Hal berkenaan tidak dapat dielakkan kerana masalah kepimpinan yang dialami parti itu sekarang kebanyakannya memang berpunca daripada masalah di Selangor."

Menurutnya, krisis dalaman PAS di negeri pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat itu dikesan apabila mesyuarat dewan harian bertindak memecat Khalid sebagai timbalan pesuruhjaya dan Saari Sungib daripada ketua penerangan negeri.

"Mana boleh mesyuarat dewan harian pecat ketua penerangan dan timbalan pesuruhjaya negeri, sedangkan ia hanya boleh dibuat dalam mesyuarat perhubungan negeri.

Segerakan siasatan

"Dari situ kita sudah nampak kepimpinan di Selangor tidak teliti dan tidak ikut peraturan," kata Ahmad.

Tambahnya, hujah para peserta seminar tersebut nanti juga akan membantu menyediakan garis panduan dan menyegerakan siasatan jawatankuasa disiplin ke atas kepemimpinan Selangor.

"Resolusi ini juga akan menunjukkan sama ada Jawatankuasa Disiplin ada locus standi (asas) untuk siasat kepimpinan di Selangor, dengan cadangan-cadangan yang boleh dibawa ke jawatankuasa pusat.

"Jawatankuasa pusat pula akan timbangkan garis panduan yang diresolusikan oleh seminar. Kalau garis panduan mereka lemah, mereka kena perketatkan," katanya lagi.

Seminar ini diadakan sebagai menggantikan muktamar khas yang asalnya disarankan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melenting selepas membaca artikel Dr Abdul Aziz, 'Pengajaran Dari Bagan Pinang' di Sinar Harian.

Dilema PAS: Pintu UG tutup tak berkunci?

Ketika PKR disindir dengan gelaran bateri 3A (Azizah, Anwar dan Azmin), dibincangkan peranan tiga anak Ibrahim (Anwar, Khalid dan Zaid), PAS yang tidak ketinggalan dengan tiga anak Ali-nya (Hasan, Mustaffa dan Ibrahim) pula dihantui dengan 3U (UMNO, Utusan Malaysia dan Unity Government).

Isu Kerajaan Perpaduan (Unity Government, UG) terus diajukan terhadap PAS melalui media cetak arus perdana, terutamanya Utusan Malaysia dan Berita Harian, walaupun Presiden Abdul Hadi Awang mengumumkan bahawa PAS telah menutup pintu rundingannya dengan UMNO.

Misalnya, dalam satu rencana berjudul Pas sedia korban prinsip perjuangan demi pakatan (m/s19, Berita Harian, 3 November2009), diakhiri dengan memetik hujah "seorang pemimpin PAS" yang berbunyi, "Bagi saya, walaupun dikatakan pintu rundingan dengan UMNO sudah tutup, tapi ia masih 'belum dikunci'.  Kami tahu, persoalan yang bermain di fikiran pengikut setia Pas hari ini ialah apa akan berlaku jika Nik Aziz 'tidak ada' lagi nanti."
Muktamar Khas Luar Biasa
PAS mungkin keberatan untuk mengangguk kepada cadangan Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya mengadakan Muktamar Khas Luar Biasa, setelah melihat pengalaman MCA yang tidak habis-habis bergelut dalam kemelut sehingga hari ini.

Namun demikian, EGM mahupun kemelut MCA hari ini adalah berbeza jika dibandingkan dengan situasi PAS.  Kemelut MCA berpunca daripada kekurangan sumber selepas parti itu dibadai tsunami pada 8 Mac 2008.  Perselisihan antara pemimpin bukan kerana pertembungan idea, tetapi pertentangan kepentingan. 

Buktinya, dua pemimpin tertinggi yang saling berbalah itu sanggup berganding setelah menyedari bahawa diri mereka saling memerlukan untuk meneruskan survival politik masing-masing.

Sebaliknya, pergelutan PAS adalah pertembungan antara dua (atau lebih) idea yang menentukan hala tuju parti itu pada masa depan.  Persoalan yang terpampang di depan adalah pemilihan antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional untuk dijadikan pakatan politiknya.

Sememangnya, perhitungan kepentingan seperti kuasa (jawatan dalam kerajaan) dan sumber akan diambil kira oleh pucuk pimpinan PAS ketika membuat pilihan, dan ia sesuatu yang wajar dalam politik.  Namun, pertimbangan tersebut tidak boleh terbatas sekadar kepada kepentingan jangka pendek, malah juga perlu melihat kepada kepentingan jangka panjang dan idealisme perjuangannya.

Pemimpin PAS terbelenggu
Dan di sinilah terperangkapnya PAS selepas tsunami politik 8 Mac 2008, membuka ruang seluas-luasnya kepada UMNO untuk menangguk di air keruh.  Bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi membuat kejutan pada pertengahan Julai 2008, apabila mengesahkan bahawa pertemuan sulit diadakan antara pimpinan peringkat tertinggi UMNO- PAS untuk membincangkan penubuhan kerajaan campuran di Selangor selepas PRU ke-12.

Motif pendedahan ini cukup jelas, apabila Muktamar PAS pada Ogos 2008 menyaksikan bagaimana perwakilan merungut bahawa PAS terpinggir dalam kerajaan negeri yang dikuasai PR.  Apa yang dikeluhkan secara tersurat adalah bagaimana PAS tidak dihargai parti komponen PR; namun apa yang dipendamkan secara tersirat adalah bagaimana Hasan Ali (Pesuruhjaya PAS Selangor, gambar kiri) terpaksa memberi laluan kepada Khalid Ibrahim (dari PKR) untuk menyandang jawatan Menteri Besar Selangor, kerana keputusan peringkat pusat untuk bersama PKR dan DAP.

Cubaan pertama UMNO gagal memecah-belahkan PR, sekadar berjaya mencetuskan polemik, sebelum Anwar Ibrahim turun ke gelanggang untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh.  Apabila Anwar Ibrahim menumpaskan UMNO dengan majoriti yang lebih besar, maka PAS memilih untuk "bersama harapan ke Putrajaya", daripada "bersama kemungkinan UMNO tenggelam pada 16 September".

Tetapi, cadangan "kerajaan campuran" menjelma semula dalam idea "kerajaan perpaduan" dan sebagainya, setelah harapan Anwar Ibrahim ke Putrajaya berkecai.

Asakan demi asakan...
Tidak dinafikan, UMNO mula terkeluar dari kesuramannya setelah Najib Razak mengambil alih kedudukan Abdullah Ahmad Badawi sebagai PM dan Presiden UMNO.  Idea Kerajaan Perpaduan terus diasak bertubi-tubi terhadap PAS, sehingga apabila Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkempen di PRK Manek Urai, Kerajaan Perpaduan ditawarkan kepada pihak lawannya!

Malah, lidah parti UMNO, Utusan Malaysia sanggup mengambil pendirian untuk memihak Nasharuddin Mat Isa ketika pemilihan PAS, dengan menyerang sehabis-habisnya calon yang dilabelkan sebagai "Erdogan", misalnya Husam Musa (gambar kanan), Khalid Samad dan sebagainya.

Apa yang memelikkan, tidakkah perwakilan PAS berasa hairan mengapa jentera propaganda musuhnya sanggup menyokong sesetengah pemimpin dalam parti dirinya?  Tidak pernahkah mereka cuba memahami motif sebenarnya media milik musuh politik berbuat demikian?

Retorik yang disuapkan kepada masyarakat Melayu-Islam saban hari adalah "PAS lebih sanggup korban prinsip perjuangan Islam-nya untuk bekerjasama dengan DAP, daripada memantapkan perpaduan umat Melayu-Islam bersama UMNO".  Retorik ini senang menusuk hati, sehingga PAS kelihatan gagal menangkisnya dengan hujah yang bernas.

Main mengikut rentak UMNO
Persoalannya, mengapa PAS yang berjaya membezakan dirinya daripada UMNO sebelum PRU ke-12, kini gagal berbuat demikian?  PAS kelihatan lebih pasif apabila terpaksa menjawab serangan UMNO yang memperbesarkan perbezaan antara PAS dengan DAP, dengan nama Islam dan Melayu.
PAS, terutamanya sesetengah pemimpin tertinggi gagal melihat kelebihan PR sebagai pakatan politik yang memiliki lebih banyak persamaan dari segi prinsip, berbanding BN.  Misalnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan jelas melanggar prinsip "tidak bersalah sehingga dibuktikan".  Dengan sebulat suara PR bersetuju untuk memansuhkan ISA, sementara tiada pandangan sehaluan antara parti komponen BN.

Dalam isu keadilan sistem kehakiman, bila ditonjolkan dengan "Lingam Tape", PR sebulat suara menuntut tindakan diambil ke atas mereka yang terlibat; namun tiada pandangan sepakat di kalangan BN.  Dalam isu tragedi kematian Teoh Beng Hock, rampasan kuasa kerajaan negeri Perak, malah isu pembunuhan Altantuya, PR memiliki pendirian yang sama.

Lebih menarik, apabila pemimpin PR berganding bahu turun ke jalan raya untuk menuntut kebebasan bersuara, berpersatuan dan berhimpun, water cannon ditembak ke arah pintu ibu pejabat PAS Pusat.  Malah, penyokong PAS terpaksa berdarah di Bagan Pinang.  Serangan-serangan ini dilakukan oleh mereka yang menawarkan "Kerajaan Perpaduan" bersama PAS.

Motif UMNO cukup jelas, PAS dijangka tidak menerima Kerajaan Perpaduan.  Maka idea ini dilontarkan untuk mewujudkan persepsi bahawa "PAS tidak bersedia untuk bekerjasama dengan UMNO demi kepentingan Melayu-Islam".  Cuma, mengapa PAS tidak menentang kembali bola tersebut, dengan menuntut agar UMNO mendapat persetujuan parti komponen BN sebelum idea ini ditawarkan?

Kesimpulan
Selagi PAS mengatur langkahnya mengikut rentak UMNO, ia tidak akan terkeluar daripada perangkap ini.  PAS sememangnya bebas memilih pakatan politiknya, dengan syarat menanggung risikonya.  Situasi PAS jauh berbeza daripada MCA, namun masih boleh mengambil ikhtibar daripada kemelut MCA.

Apa yang paling dahsyat untuk MCA lantaran kemelut ini adalah, hampir kesemua pemimpin parti ini kehilangan kredibiliti dan integriti, aset yang paling bernilai dalam politik.  Kuasa dan pangkat bersifat sementara, tetapi pengaruh politik kekal selama-lamanya.

Mustahil pemimpin PAS tidak menyedari segala-gala ini, kerana PAS kekal sebagai parti yang paling mantap di peringkat akar umbi. 

Kekuatan ini bukan bergantung kepada berapa kerajaan negeri yang dikuasai, bilangan kerusi yang diisi dalam dewan rakyat, tetapi integriti yang terbina sepanjang ini.

Pengundi yang mengundi PAS, PKR dan DAP pada PRU ke-12 bukanlah pengundi yang membabi buta.  Jikalau pemimpin PAS menang atas manifesto yang diedar, atas janji yang ditabur, maka mereka yang membuat sesuatu di luar manifesto dan janjinya itu bakal dikunci pintunya oleh pengundi pada PRU ke-13.

Manohara Disaman Jua Akhirnya.

Gagal mengemukakan pembelaan terhadap saman suaminya Tengku Temenggong Kelantan, bekas model muda Manohara Odelia Pinot diarahkan membayar tuntutan kepada putera Sultan Kelantan itu.

Jumlah ganti rugi itu - yang dituntut Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra sebanyak RM105 juta - bagaimanapun akan ditetapkan kemudian.

manohara odelia pinot malaysiakini interview 290609 05Penghakiman ingkar itu dibuat selepas Manohara, yang bergelar Cik Puan Temenggong Kelantan, gagal melantik peguamnya dalam tuntutan saman suaminya.

Pada 12 Oktober lalu, mahkamah yang sama membenarkan permohonan firma guaman Fakrul Hisham Abdullah & Associates menarik diri daripada mewakili Manohara, yang kini melarikan diri di Jakarta, dan ibunya Daisy Fajarina.

Pada 20 Julai lalu, susulan krisis rumah tangga mereka yang berlarutan selama beberapa bulan, Tengku Muhammad Fakhry menfailkan saman terhadap kedua-dua warga Indonesia itu.

Plantif mendakwa defendan secara palsu dan niat jahat melafazkan perkataan yang bersifat umpatan dan fitnah mengenai penderaan seksual terhadap Manohara, semasa sidang akhbar antara April sehingga Jun lalu.

Tengku Muhammad Fakhry mendakwa pernyataan fitnah itu telah diterbitkan semula dalam media elektronik seperti The Jakarta Globe, Banjarmasin Post, Detiknews, Kompas.com, Global TV dan Malaysiakini, serta dilaporkan secara meluas dalam akhbar di Malaysia dan Indonesia.

Perkataan itu dirancang untuk memperkecil-kecilkan dan mengaibkannya di kalangan ahli kerabat diraja Kelantan, kerajaan Malaysia dan rakyat jelata, dakwanya lagi.

tengku fakhry manohara odelia pinot 260609Putera ketiga Sultan Kelantan itu seterusnya mendakwa bahawa dakwaan dan sindiran itu tidak benar, tidak berasas dan menyebabkannya mengalami kerosakan serius kepada reputasi peribadi secara nasional dan antarabangsa.

"Defendan-defendan melafazkan perkataan-perkataan tersebut dengan didorong oleh keuntungan kewangan," dakwa Tengku Fakhry.

Plaintif menuntut ganti rugi teruk, teladan dan pampasan berjumlah
RM105 juta, faedah, kos serta perintah injuksi menghalang kedua-dua defendan daripada terus mengeluarkan perkataan fitnah tersebut.

Penyelewengan Fakta Royalti Minyak kelantan.

Ahli Parlimen PAS kesal dengan penyelewengan fakta yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di dewan rakyat berhubung pembayaran royalti petroleum kepada rakyat Kelantan.Pengumuman Najib bahawa kerajaan pusat akan memberikan wang ehsan kepada rakyat Kelantan, bercanggah dengan akta 144 kemajuan petroleum 1974 yang memperuntukkan lima peratus mesti diberikan kepada negeri pengeluar minyak.


Salahuddin Ayub (PAS - Kubang Kerian ) berkata, pembayaran wang ehsan yang diputuskan itu jelas bertentangan dengan akta 144 kemajuan petroleum 144 dan merupakan satu pembohongan terhadap rakyat Kelantan.
“PAS kesal dan dukacita dengan jawapan perdana menteri tadi tentang pembayaran royalti minyak yang ditukar dengan wang ehsan. Jelas ianya penyelewengan fakta yang terkandung dalam akta 144 petroleum negara yang jelas memberikan lima peratus untuk negeri yang mengeluarkan minyak,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi tadi.

Beliau juga berkata, rakyat Kelantan tidak mengharapkan wang ehsan sebaliknya mahu hak mereka ke atas royalti minyak dikembalikan.

“Rakyat Kelantan bukan peminta sedekah. Mereka memperjuangkan hak di atas semangat federalisme. Kita (ahli parlimen PAS) akan perjuangkan hak ini dan jelas jawapan perdana menteri tadi bertentangan dengan semangat federalisme, bertentangan dengan perlembagaan dan akta 144 petroleum yang disebut tadi,” tegasnya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau di dewan rakyat pagi tadi meminta Najib menyatakan bilakah tuntutan royalti kerajaan kelantan akan dilangsaikan petronas.

Najib dalam jawapannya berkata Kerajaan Persekutuan akan memberi wang ehsan kepada Kelantan daripada hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu mulai tahun depan.

Najib juga berkata, kerajaan Kelantan tidak berhak menerima wang royalti minyak di perairannya kerana ia terletak di kawasan bertindih.

Dr. Dzulkifly Ahmad (PAS Kuala Selangor) pula mahu tindakan undang-undang diambil terhadap Najib yang juga menteri kewangan kerana menyelewengkan fakta dengan mensyaratkan kedudukan telaga minyak mesti tiga batu nautika dari darat untuk mendapat royalti sedangkan dalam akta petroleum tidak disebutkan syarat itu.

“Jelas perdana menteri tadi melakukan penyelewengan fakta dengan menyebut tentang pensyaratan 3 batu nautika sementara akta 144 petroleum tidak dinyatakan syarat ituuntuk berikan royalty,” tegasnya.

Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS Pokok Sena) pula menyifatkan Najib sebagai pengecut kerana tidak berani mengambil tindakan yang betentangan dengan tindakan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menarik kembali royalti minyak yang diberikan kepada rakyat Terengganu apabila PAS mengambil alih pemerintahan negeri itu.
“Saya melihat Datuk Seri NAjib begitu kerdil dan takut untuk mengambil tindakan yang sama dengan bekas perdana menteri dahulu, Tun Mahathir,”

“Tun Mahathir pernah tarik balik riyalti minyak Terengganu apabila PAS perintah negeri itu. Jadi tindakan yang sama dibuat apabila telaga minyak dan gas ditemui di Kelantan,” katanya yang juga Naib Presiden PAS.
Menurut beliau juga, PAS akan mendapatkan bantuan daripada pakar undang-undang untuk mengambil tindakan kepada kerajaan persekutuan yang telah menafikan hak rakyat Kelantan.

“Kami akan bincang dalam parti untuk memberi nasihat kepada kerajaan Kelantan untuk dengan bantuan penasihat undang-undang untuk ambil tindakan perundangan sepertimana kerejaan Terengganu di bawah pimpinan PAS satu masa dahulu menyaman kerajaan pusat yang telah menafikan hak kerajaan negeri,” katanya.

Khalid Samad (PAS Shah Alam) pula menegaskan kerajaan pusat tidak berhak ke atas royalti minyak itu kerana laporan kewangan petronas mengakui negeri-negeri pengeluar minyak di Malaysia adalah Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

“Ia bercanggah dengan laporan kewangan petronas yang menyebut negeri-negeri pengeluar minyak di malaysia adalah Sabah, Sarawak Terengganu dan kelantan. Berdasarkan kepada laporan, ia mengakui ia milik kelantan. Maka royalti itu harus diserah kepada kerajaan yang dipilih rakyat,”

“Ianya bererti bahawa kerajaan pusat tidak ada hak untuk memegang wang rakyat Kelantan,” tegasnya.

Siti Zailah Mohd Yusuf (PAS Rantau Panjang) dalam pada itu meminta kerajaan menjelaskan kepada rakyat kenapa royalty yang telah sekian lama dituntut digantikan dengan pemberian wang ehsan.

Beliau turut mempersoal di bawah akta dan peruntukan manakah wang ehsan ini diberi.
“Kami mminta kerajaan jelaskan kenapa rakyat kelantan harus diberikan wang ehsan sedangkan mereka menuntut royalti minyak dikembalikan,”

“Dan kadar wang ehsan itu dikira berdasarkan akta mana?” Soalnya. -harakahdaily video -TVS

Royalti bukan wang ehsan, jangan tipu rakyat Kelantan!

Kenyataan Perdana Menteri bahawa Kerajaan Pusat akan menyalurkan wang royalti minyak kepada Kelantan harus disambut baik oleh rakyat Kelantan dan Malaysia. Ini suatu perkembangan yang baik bagi mencerminkan semangat dan sistem Federalisme yang diamalkan di negara kita.


Najib dalam jawapannya di Parlimen menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan akan memberi wang ehsan kepada Kelantan daripada hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu mulai tahun depan. Namun penggunaan istilah wang ehsan memberikan sedikit kebimbangan kepada saya dan tentunya rakyat Kelantan.

Adalah diharapkan wang royalti itu dapat diagihkan kepada kerajaan negeri mengikut jadual dan amaun yang betul termasuk royalti tertunggak sejak beberapa tahun lalu.

Selain itu saya juga memohon kerajaan pusat supaya tidak menggunakan istilah wang ehsan kerana apa yang termaktub di dalam perjanjian adalah royalti bukan wang ehsan.

Jika ianya wang ehsan maka kerajaan pusat berhak memberikan jumlah sesuka hati sahaja sedangkan peratusan royalti sudah jelas dinyatakan dalam perjanjian bertulis dahulu lagi.

Jadi janganlah kerajaan pusat cuba menipu rakyat dengan istilah wang ehsan dan istilah-istilah lain.

Kedudukan MB Perak, lima hakim dengar rayuan Nizar




i|PUTRAJAYA, 5 Nov: Rayuan Datuk Seri Nizar Jamaluddin dalam menentukan kedudukan Menteri Besar Perak yang sah hari ini sedang didengarkan di hadapan lima panel hakim.


12.45 tgh:Dalam pada itu, Nizar sewaktu ditemui menjelaskan, lima hakim yang ditetapkan tidak menggambarkan 1 Malaysia.

Katanya, jika kes dadah boleh didengar oleh lima hakim tentunya kes ini memerlukan hakim lebih besar kerana ia membawa kesan lebih besar.

"Sepatutnya ada hakim dari Borneo juga,"katanya semasa ditemui pada sesi rehat sebentar tadi.

Beliau berharap inilah peluang keemasan untuk membuat keputusan yang memulihkan sistem kehakiman negara.

12.00 tengahari: Sementara itu, menurut Hanifa Maidin yang hadir hari ini, permohonan untuk mendapatkan 11 hakim adalah untuk memastikan tiada unsur 'bias', para hakim membuat keputusan yang tepat dan tidak wujud unsur-unsur yang memihak apabila membuat keputusan.

Beliau juga melahirkan kebimbangan kerana lima panel hakim yang dilantik kini adalah hakim-hakim yang pernah mendengar kes terdahulu dan dibimbangi akan mempengaruhi kes tersebut.

Sementara itu, ditanya mengenai hujah yang dikemukakan oleh pihak Nizar, beliau mengulas bahawa antara yang ditegaskan oleh barisan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah adalah;telah termaktub dalam undang-undang bahawa Tuanku Sultan Perak tiada hak dan kuasa dalam memecat Menteri Besar dan juga jika ingin memecat maka mesti ada undi tidak percaya dalam dewan.

Tambahnya, berkemungkinan keputusan tidak akan diketahui hari ini, tetapi diharapkan Nizar akan menang bersandarkan kepada hujah-hujah yang dikemukakan.

Mahkamah ketika ini berhenti rehat.

Berita sebelum ini
10.15 pagi:Ketika ini, panel lima hakim sedang mendengar rayuan tersebut. Sebelum ini, Nizar memohon supaya panel 11 hakim mendengar kes rayuan tersebut tetapi telah ditolak oleh mahkamah.

Panel hakim tersebut diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Alauddin Mohd Sheriff. Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Nizar diwakili oleh sepasukan peguam yang diketuai oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, manakala peguam kanan Cecil Abraham mewakili menteri besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.





9.00 pagi:Para wartawan dan orang ramai sudah tiba di kompleks mahkamah Putrajaya seawal jam 7 pagi, bagi mengikuti prosiding rayuan tersebut.
Kawalan keselamatan juga ketat di mana anggota polis dan anggota keselamatan mewajibkan mereka yang ingin masuk ke dewan mahkamah, mendapatkan pas khas. _


Pemimpin UMNO Rasuah.

Bekas setiausaha Umno Wangsa Maju dituduh di Makamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan memberi rasuah RM1,000 kepada ketua cawangan Taman Melati sebagai dorongan supaya beliau dicalonkan untuk layak bertanding jawatan ahli jawatankuasa bahagian itu tahun lalu.

Ramli Abdul Manan, 50, mengaku tidak bersalah atas dakwaan memberikan wang suapan kepada Amir Saad, 50, di Dewan Aktiviti Masyarakat Taman Melati Kawasan 8, Setapak pada 8 Nov, 2008.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 10(b)(aa) Akta Pencegahan rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 akta sama.

Jika disabitkan, Ramli boleh dipenjara sekurang-kurangnya 14 hari dan tidak melebihi 20 tahun penjara dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin meminta mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Ramli, yang tidak diwakili peguam, merayu agar jaminan dikurangkan kepada RM2,000 memandangkan beliau kini tidak bekerja.

Hakim Rosbiahanin Arifin menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Dis untuk sebutan semula kes. -BERNAMA

Jeffrey rancang tubuh parti baru?

Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan merancang menubuhkan parti baru dengan nama Parti Perpaduan Rakyat Sabah atau Parti Pakatan Bersatu Sabah untuk meneruskan karier politiknya.


Seorang pembantu peribadi Jeffrey yang enggan dikenali memberitahu Utusan Malaysia, penubuhan parti baru itu adalah pilihan terbaik bagi Jeffrey dan para penyokongnya yang dijangka keluar beramai- ramai daripada PKR.

Menurutnya, pendaftaran parti itu akan dibuat dalam masa terdekat dan jika Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak meluluskannya, rancangan baru akan digerakkan.

Jeffrey ketika dihubungi mengambil sikap berdiam diri tetapi mengakui menerima sokongan padu daripada pengikutnya tentang penubuhan parti baru.

‘‘Saya tidak mahu jelaskan apa-apa sekarang. Penyokong saya memang mahu saya timbangkannya (penubuhan parti baru). Buat masa ini, saya masih tidak buat apa-apa tentang itu,’’ katanya.

Minggu lalu, Jeffrey meletak semua jawatan dalam PKR selepas tidak berpuas hati dengan keputusan pucuk pimpinan melantik bekas Setiausaha Perhubungan PKR Sabah, Ahmad Thamrin Jaini sebagai ketua perhubungan negeri yang baru.

Jefrrey yang masih ahli biasa PKR, sebelum ini dikatakan akan menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS) atau Parti Maju Sabah (SAPP) bagi menyambung hayat politiknya.

Beliau memberitahu, sejak menyerahkan surat perletakkan jawatan ke ibu pejabat PKR, beliau tidak lagi berhubung dengan pemimpin tertinggi parti berkenaan.

‘‘Saya tidak tahu apa terjadi di sana (dengan kepimpinan PKR). Saya telah cakap apa yang saya mahu cakapkan. Jadi terpulang kepada mereka (pucuk pimpinan),’’ katanya.

Ditanya kemungkinan menyertai PBS diterajui abangnya, Datuk Joseph Pairin Kitingan, beliau berkata, perkara itu tidak mungkin terjadi.

Ini kerana, katanya, Barisan Nasional (BN) Sabah sebelum ini gagal memperjuangkan nasib penduduk Sabah dan Sarawak.

Mengenai SAPP, katanya, beliau masih tidak menerima sebarang pelawaan rasmi dan ketika ini masih memikirkan keputusan terbaik untuk meneruskan karier politiknya.

Tuanku Muhriz pengerusikan Mesyuarat ke-219 Majlis Raja-Raja .




KUALA LUMPUR: Mesyuarat ke-219 Majlis Raja-Raja bermula semalam dengan dipengerusikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Negara di sini.
Mesyuarat itu dihadiri semua Sultan dan Yang Dipertua Negeri kecuali Kelantan, Pahang, Perak, Johor dan Terengganu.

Kelantan diwakili Pemangku Sultan Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, Pahang diwakili Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad, Perak oleh Pemangku Sultan Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah dan Johor diwakili Raja Muda Johor Tunku Ismail Ibrahim Ibni Tunku Ibrahim Ismail.

Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah.

Mereka masing-masing diiringi menteri besar dan ketua menteri kecuali Negeri Sembilan yang diwakili Datuk Muhammad Razi Kail, yang dilantik sebagai penasihat sementara Mesyuarat Majlis Raja-raja kali ini.BERNAMA

Mahkamah Benarkan Mayat Teoh Beng Hock Digali Semula.

SHAH ALAM: Mahkamah koroner di sini, hari ini membenarkan mayat mendiang Teoh Beng Hock, yang telah dikebumikan lebih tiga bulan lalu, digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.

Koroner Azmil Muntapha Abas juga memerintahkan supaya bedah siasat kedua itu dikendalikan oleh seorang pegawai perubatan dengan kehadiran empat pakar forensik lain iaitu Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberkar, Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand dan seorang lagi yang akan dilantik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun butiran terperinci mengenai proses bedah siasat itu, termasuk bila dan di mana ia akan dilakukan, hanya akan ditentukan oleh mahkamah Isnin depan.

Koroner Azmil Muntapha membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan keluarga Teoh untuk menggali semula mayat mendiang bagi menentukan punca sebenar kematian setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor itu, yang ditemui mati selepas jatuh dari bangunan Plaza Masalam di sini, Julai lalu.

Permohonan itu dibuat berikutan keterangan Dr Pornthip di mahkamah yang mendakwa terdapat 80 peratus kemungkinan bahawa Teoh mati akibat dicekik dan didera.

Dalam prosiding hari ini, peguam Datuk Abdul Razak Musa bagi SPRM menarik perhatian mahkamah bahawa Dr Pornthip tidak berkelayakan daripada segi undang-undang di Malaysia untuk mengendalikan proses bedah siasat terhadap mayat Teoh.

"Ini kerana pakar forensik Thailand itu menerima kelulusan perubatannya dari universiti yang tidak diiktiraf di bawah senarai 250 universiti perubatan dalam Jadual Kedua akta tersebut," katanya.

Peguam Gobind Singh Deo, bagi keluarga Teoh, memohon mahkamah supaya membenarkan Dr Pornthip menghadiri proses bedah siasat itu dan membuat pemerhatian bagi membolehkannya menyediakan laporan forensik.

"Kami juga memohon supaya Dr Pornthip dibenarkan untuk memberi keterangan sekali lagi ke mahkamah ini dan membentangkan hasil laporan forensiknya.

"Kami merasakan pendapat Dr Pornthip adalah amat relevan dalam prosiding inkues ini bagi membantu mahkamah membuat penemuan mengenai sebab-sebab kematian mendiang dan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kematiannya," kata peguam itu yang turut memaklumkan bahawa Dr Pornthip sedia menghadiri bedah siasat bermula 14 Nov depan. BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails