Geng Aku

Rabu, 4 November 2009

UMNO Pertahan Semangat BN!

Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Oh Tong Keong menggesa pimpinan tertinggi UMNO untuk mengambil tindakan disiplin terhadap ahli parlimen UMNO, iaitu Abdul Ghapur Salleh dan Mohamad Aziz (Sri Gading), berikutan daripada kritikan mereka terhadap Presiden Gerakan, Koh Tsu Koon yang juga merangkap Menteri Jabatan Perdana Menteri.

Oh Tong Keong menganggap UMNO perlu mengambil tindakan disiplin sedemikian atas semangat Barisan Nasional.  Abdul Ghapur Salleh sebelum ini mengkritik bahawa prestasi Koh Tsu Koon sebagai "tidak lulus", malah Gerakan dikatakan telah hilang sokongan rakyat.

Amaran lisan tidak berkesan, mereka yang melakukan kesalahan tidak akan mengendahkannya.  Seandainya UMNO tidak mengambil tindakan disiplin yang lebih tegas, maka dikhuatiri lebih ramai ahli perundangan UMNO akan meniru tingkah laku sedemikian, dan semangat BN akan tinggal hanya "nama".

Untuk mengelakkan semangat BN tinggal sebagai slogan yang kosong, Lembaga Disiplin UMNO harus mengambil tindakan terhadap ahli perundangan yang bermasalah, terutamanya Abdul Ghapur Salleh (Kalabakan) dan Mohamad Aziz (gambar kanan, Sri Gading).  Jikalau tidak, sikap sedemikian akan mencungkil ketidakpuasan parti komponen lain.

UMNO berusaha untuk menampilkan imej mesra rakyat selepas Perhimpunan Agung Tahunan ini, malah cuba memperbaiki imej negatif dahulu yang memperlihatkan kekerasan, untuk menarik sokongan bukan Melayu.  Usaha ini memperlihatkan kesan pada peringkat awal, tetapi kini dijejaskan oleh dua orang ahli parlimen ini.
 
Kalau ahli perundangan UMNO tidak tahu untuk menghormati orang lain, bagaimana untuk dihormati orang lain?  Seandainya UMNO hanya melakukuan pembaharuan secara kosmetik, tetapi tidak mengubah sikapnya yang keras, maka mustahil untuk memenangi semula sokongan bukan Melayu.

20 Pengkianatan Terhadap Bangsa Melayu..

Sejak 52 tahun lalu, negara ini hanya diperintah oleh Umno/BN/Perikatan, selain itu tiada parti lain yang berjaya menjadi pemerintah di negara yang majoriti penduduknya Melayu.


Adapun parti yang memerintah negeri-negeri seperti Kelantan (PAS- kini), Terengganu (PAS 1999-2004); Perak (Pakatan Rakyat,DAP-PAS-KeADILan sejak Mac 2008-Februari 2009); Selangor Mac 2008-kini), Kedah (Mac 2008-kini) dan Pulau Pinang (Mac 2008-kini), semuanya dianak-tirikan dari menerima bantuan pembangunan oleh kerajaan pusat.

Sejak itu juga, Umno/BN menggunakan ‘kesempatan’ dengan agensi kerajaan, media dan kuasa untuk mencengkam jiwa-jiwa orang melayu dan kaum-kaum lain bagi mengekalkan kuasa mereka.

Malah dengan akta-akta seperti Ordinan Darurat, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Umno/BN berjaya ‘menutup’ mulut-mulut rakyat, dan setiap kali getir melanda periuk nasi Umno/BN, pastinya akta-akta ini digunakan bagi emnakut-nakutkan rakyat.

Dalam masa yang sama, bak kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu pertemuan dengan kakitangan Harakah pada 28 Oktober lalu di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, Umno/BN memperbodohkan rakyat dengan akhbar-akhbar mereka hingga rakyat menjadi ‘pak turut’.
Berita-berita yang dimuatkan dalam media milik Umno/BN hanya memaparkan pandangan sebelah pihak, selebihnya menghentam dan memfitnah pembangkang.

Sejarah pastinya tidak akan melupai akan Umno/BN lah yang mengurangkan kuasa Raja-raha Melayu, yang menderhaka kepada Sultan apabila di Terengganu, selepas pilihan raya umum 2008, Umno/BN tidak bersetuju dengan perkenan Sultan Terengganu melantik Dato’ Seri Ahmad Said selaku Menteri Besar menggantikan Dato’ Seri Idris Jusoh.

Mereka (Umno/BN) turun ke jalan-jalan raya bagi membantah tindakan Sultan hinggakan slogan ‘natang’ ditujukan kepada Sultan dan Istana.Penderhakaan ini tidakpun diambil tindakan oleh mana-mana pihak berkuasa hingga kini.

Sementara AJK PAS Pusat, Dato’ Kamaruddin Jaffar pada satu majlis di Gombak satu ketika lalu pernah mengingatkan bahawa rakyat tidak akan lupa, Umno telah melakukan pelbagai pengkhianatan terhadap orang-orang Melayu semenjak pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohammad sehingga sekarang di bawah Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.

Ujarnya pada zaman Dr Mahathir, beliau telah menghapuskan imuniti raja-raja Melayu. sedangkan Institusi Raja Melayu adalah simbol ketuanan orang Melayu.

Seterusnya, pengkhianatan Umno yang kedua, dengan merosakkan sistem kehakiman negara yang juga dilakukan bermula pada zaman pemerintahan Dr Mahathir hinggalah hari ini apabila sistem kehakiman semakin dibobrokkan.

Bekas Perdana Menteri (Dr Mahathir) itu juga, telah campur tangan di dalam sistem kehakiman negara, yang menjadi simbol kedaulatan undang-undang negara dan krisis ini membawa kepada pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas.

Kemudian, selepas pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan Terengganu jatuh ke tangan PAS, kerajaan Umno menarik balik royalti minyak di sana.

Walhal, majoriti besar rakyat negeri Terengganu adalah daripada orang-orang Melayu dan Umno sanggup berbuat demikian demi membalas dendam akibat kalah teruk dalam pilihan raya berkenaan.

Pada zaman Dr Mahathir juga, Umno/BNmemperkenalkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang secara terang melanggar Perlembagaan Malaysia.Hak tunggal bahasa Melayu ini dicabuli dan pemimpin Umno/BN mempertahankannya.

Akibatnya, dasar yang digubal dan dilaksanakan itu akhirnya melemahkan pencapaian anak-anak Melayu dalam subjek Sains dan Matematik, selain keciciran Melayu di kawasan pedalaman.

Rakyat pastinya tidak akan lupa dengan tindakan Umno/BN menarik semula geran peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang menjadi tempat belajar anak-anak orang Melayu.Umno/BN melaungkan bahawa SAR tempat melahirkan pengganas, dan ia adalah menurut kajian orang kanan Najib, Abdul Razak Baginda yang pernah dikaitkan dengan dakwaan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuyaa Shaariibuu.

Berikut adalah antara senarai pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu ”

1. Melemahkan institusi raja-raja Melayu yang menjadi simbol ketuanan Melayu.

2. Melemahkan sistem kehakiman negara.

3. Menarik balik royalti rakyat petroleum rakyat Terengganu yang majoriti orang Melayu.

4. Memperkenalkan PPSMI; menghapuskan bahasa Melayu.

5. Menarik peruntukan geran kepada Sekolah Agama Rakyat, tempat belajar agama anak-anak Melayu.

6. Memperkenalkan meritrokrasi; mengurangkan peluang belajar anak-anak Melayu.

7. Memperkenalkan PTPTN dan mengurangkan biasiswa kepada anak-anak Melayu.

8. Persempadanan semula pilihan raya pada 2002; mengurangkan kawasan majoriti orang Melayu.

9. Menafikan hak royalti rakyat Kelantan yang majoriti Melayu.

10. Memperkenalkan Islam Hadhari yang mengelirukan orang Melayu.

11. Menyenaraiawamkan syarikat TH Plantation yang dahulunya dimiliki 100% oleh Tabung Haji dan              dimiliki   oleh orang Melayu. Tetapi sekarang orang bukan Melayu boleh memiliki saham TH Plantation.

12. Menggabungkan syarikat-syarikat konglomerat orang Melayu iaitu; Sime Darby, Guthrie dan Golden Hope, dan sekaligus mengurangkan peluang orang Melayu daripada tiga syarikat kepada satu syarikat sahaja.

13. Memetik kenyataan Mufti Perak, Dato’ Harussani Zakarian 250 ribu orang Melayu murtad. Semua ini adalah di bawah pemerintahan kerajaan Umno.

14. Mewujudkan Wilayah Iskandar yang menjadi zon bebas, maka orang-orang Singapura boleh masuk secara bebas ke sana.

15. Krisis Menteri Besar di Perlis dan Terengganu apabila Umno sendiri yang menentang keputusan Sultan di negeri berkenaan.

16. Membubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan yang menjadi sumber bantuan usahawan-usahawan Melayu.

17. Memperkenalkan liberalisasi ekonomi, maka sekaligus menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang tujuannya membantu ekonomi orang-orang Melayu Bumiputra.

18. Mendedahkan pelaburan wang Tabung Haji satu ketika lalu dalam dengan syarikat Judi Pan Sweep, seperti yang didedahkan dalam buku Exco Kerajaan Kelantan, Dato’ Paduka Husam Musa.

19. Enggan membayar royalti minyak kepada kerajaan Kelantan sejak tahun 2004.

20. Mengkhianati amanah rakyat dengan merampas kerajaan negeri Perak dari tangan Pakatan Rakyat dengan cara yang tidak bermoral pada Februari 2009.

Selain itu, Kerajaan Umno/BN juga mengadakan hubungan erat dengan Israel sebuah negara Yahudi yang ganas walaupun dasar negara tidak mengiktiaf negara yahudi itu.Talam dua muka yang mengkhianati sokongan bangsa sendiri yang menentang keganasan Zionis terhadap rakyat Palestin.

Umno/BN juga hanya memberi kontrak yang diperuntukkan untuk bumiputera kepada kroni iaitu Umnoputra yang rapat dengan pemimpin pemerintah yang kemudianya menjual projek kepada tauke tauke kaya dengan keuntungan berjuta ringgit tanpa membuat sebarang kerja.

Sementara tauke ini akan membuat projek berkenaan dengan baki modal yang kurang dari yang diperuntukkan. Maka jadilah lebuhraya retak, bangunan bocor, projek-projek tidak siap seperti PKFZ dab landasan berkembar Ipoh Rawang yang rugi sekitar RM1.14 billion, masjid runtuh, jambatan runtuh dan stadium di Terengganu yang runtuh.

Status Bumiputera Sarawak tak berlandaskan 1Malaysia





Ketika memohon untuk program matrikulasi tahun lalu, pelajar berusia 17 tahun yang berasal dari Sri Aman, Sarawak mempunyai keyakinan dan harapan tinggi bahawa permohonannya akan diterima. Tetapi impian pelajar yang bercita-cita menjadi doktor itu berkecai meskipun dia mendapat 9A dan 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Alasan Kementerian Pelajaran menolak permohonan pelajar cemerlang itu kerana dia tidak memenuhi syarat — dia bukan Bumiputera. Walhal ayahnya ialah Iban yang dipertemukan jodoh dengan wanita Cina yang kini menjadi ibu pelajar itu. Kes Marina Udau, pelajar yang dimaksudkan itu, bukan kekecualian.

Perkahwinan campur bukan sesuatu yang asing di Sarawak, terutama antara Iban dengan Cina. Mengikut banci 2006, ada sekitar 682,000 orang Iban berbanding Cina sebanyak 601,000 orang daripada 2.3 juta penduduk Sarawak. Disebabkan ada sekitar 28 suku kaum di negeri ini, kemungkinan untuk berlaku kahwin campur dengan kaum lain adalah sesuatu yang kerap berlaku, lebih-lebih lagi sesudah dekad 1980-an.

Dalam keluarga besar penulis daripada etnik Melanau, ada yang berkahwin dengan kaum Kayan, Kenyah, Kelabit, Bidayuh, Iban dan Cina. Perkahwinan sesama Bumiputera tidak menimbulkan masalah, kerana anak mereka dianggap Bumiputera. Tetapi yang menimbulkan masalah apabila kaum Bumiputera berkahwin dengan bukan Bumiputera. Anak wanita Bumiputera yang berkahwin dengan lelaki Cina, misalnya akan hilang “kebumiputeraannya”.

Meskipun demikian, Sarawak mempunyai Jawatankuasa Kabinet Negeri yang bermesyuarat dua kali setahun bagi memutuskan permohonan dan mengesahkan taraf Bumiputera seseorang hasil daripada perkahwinan campur.

Perkara (161a) Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan siapa Bumiputera atau kaum peribumi di negara ini. Takrifan atau pengkategorian itu sebenarnya berbeza-beza untuk Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Pada amnya, di Semenanjung, anak secara automatik menjadi Bumiputera jika bapanya Bumiputera, manakala di Sabah pula, anak ialah Bumiputera jika ayah atau ibunya Bumiputera.

Mengikut perkara (161a) Perlembagaan Persekutuan, bagi Sarawak, Bumiputera bermaksud “seorang warga negara dan ia adalah seorang daripada mana-mana suku kaum yang dinyatakan dalam Fasal 7 sebagai kaum asli negeri itu atau ia adalah seorang berketurunan campuran yang berasal hanya daripada kaum-kaum itu”. 

Hakikatnya, di Sarawak jika ayah ialah Bumiputera, maka anaknya secara automatik dikategorikan sebagai Bumiputera.

Mengikut pengkategorian dalam Perlembagaan Persekutuan, kaum-kaum yang disifatkan sebagai asli bagi Sarawak untuk maksud taraf “Bumiputera” dalam Fasal (6) ialah Bukitan, Bisaya, Dusun, Dayak Laut, Dayak Darat, Kedayan, Kelabit, Kayan, Kenyah (termasuk Sabup dan Sipeng), Kajang (termasuk Sekapan, Kejaman, Lahanan, Punan, Tanjong dan Kanowit), Lugat, Lisum, Melayu, Melanau, Murut, Penan, Sihan, Tagal, Tabun dan Ukit.

Disebabkan fasal berkenaan dalam perlembagaan itu digubal pada awal 1960-an ketika Sarawak sama-sama membentuk Malaysia, fasal terbabit tidak menyebut kaum Iban dan Bidayuh. Sebaliknya, perkataan yang digunakan untuk merujuk kaum Iban ialah Dayak Laut, manakala Dayak Darat pula sebenarnya merujuk kepada kaum Bidayuh.

Kini di Sarawak, Murut tidak lagi digunakan; sebaliknya yang digunakan ialah Lun Bawan. Penulis percaya, sebahagian besar daripada rakyat Malaysia di luar Sarawak tidak pernah pun mendengar sebahagian daripada nama etnik yang disenaraikan itu. Etnik minoriti terbabit tinggal di kawasan hulu atau pedalaman dan jumlah mereka rata-rata adalah kurang daripada 10,000 orang.

Kes yang menimpa Marina mendapat reaksi daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin politik kerajaan dan pembangkang. Semua pihak hairan bagaimana kejadian yang menimpa Marina boleh berlaku. Kalaupun diketepikan kriteria atau kelayakan kaum, pelajar cemerlang seperti Marina seharusnya mendapat tempat.
Adakah begitu ramai pelajar Bumiputera yang mendapat keputusan secemerlang yang dicapai oleh Marina sehingga beliau tidak terpilih kerana keterbatasan kekosongan? Atau kes yang menimpa Marina adalah kerana pihak Kementerian Pelajaran mentafsirkan maksud Bumiputera mengikut perkara (161a) Perlembagaan Persekutuan untuk anak kelahiran daripada perkahwinan campur?

Jangan sampai pelajar seperti Marina berpendapat bahawa wujud dua kelas Bumiputera di negara ini. Persepsi sedemikian tentu tidak baik untuk masa depan negara ini. Sama seperti kita tidak mahu timbulnya tanggapan bahawa wujud dua kelas rakyat di Malaysia.

Di Negri Sembilan baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa tidak ada rakyat kelas dua atau satu di negara ini, sama seperti tidak terdapatnya rakyat yang terpencil dan sengaja dipinggirkan.

Ibu bapa yang mengamalkan kahwin campur di Sarawak kini risau akan nasib yang bakal menimpa anak mereka kemudian hari. Bagi golongan ini, taraf sebagai Bumiputera penting dalam menentukan sama ada layak atau tidak seseorang apabila membabitkan dasar kerajaan.

Sebagai Bumiputera, mereka mempunyai keistimewaan yang dijamin di bawah Perlembagaan, sama ada dari segi peluang mendapat pekerjaan, biasiswa, membeli tanah Bumiputera, dan sebagainya. Kebimbangan ibu bapa terbabit memang mempunyai asas kukuh. Jika anak mereka bukan Bumiputera, implikasi dan kesan dari segi psikologi, politik dan sosioekonomi amatlah besar dan mendalam.

Anak mereka tidak akan layak untuk memasuki Tingkatan Enam dan universiti awam jika tidak mendapat keputusan cemerlang, peluang mendapat biasiswa tipis, malah mereka tidak layak membeli Amanah Saham Bumiputera.

Menyedari implikasi politik dan sosioekonomi yang mendalam bagi anak hasil daripada perkahwinan campur antara Bumiputera dan bukan Bumiputera, mungkin langkah perlu diambil untuk meminda fasal tertentu Perlembagaan Persekutuan atau negeri. Tidak harus wujud tiga tafsiran yang berbeza. Justeru, perlu takrif terbabit diselaraskan bagi mengelakkan kekeliruan.

Sejajar dengan gagasan 1 Malaysia dan keinginan kita untuk mewujudkan negara bangsa, adakah keterlaluan jika anak daripada perkahwinan campur antara bukan Bumiputera dan Bumiputera secara automatik diberi status Bumiputera?

Dengan cara ini, kita akhirnya akan dapat menyaksikan masyarakat Malaysia yang benar-benar bersatu padu. Perkahwinan campur antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera perlu digalakkan kerana ini antara langkah terbaik ke arah memantapkan perpaduan kaum di negara ini.

Jika kita ikhlas dalam usaha berkenaan, tembok perbezaan tidak harus diwujudkan. Mengapakah kita perlu “menghukum” nasib anak wanita Bumiputera yang berkahwin dengan lelaki bukan Bumiputera? Bukan tidak ada wanita Bumiputera berkahwin dengan lelaki Cina yang risau akan nasib menimpa anaknya yang bakal hilang status Bumiputera.

Kini pun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berkahwin dengan wanita berbangsa Cina dilaporkan risau mengenai nasib dan masa depan anaknya. Soal jodoh atau dengan siapa seseorang akan mendirikan rumah tangga ialah ketentuan Tuhan.

Jangan hanya kerana ada yang risau akan nasib menimpa anak yang bakal lahir, maka mereka mengambil keputusan untuk tidak meneruskan hasrat murni mendirikan rumah tangga hanya kerana lelaki yang bakal menjadi pasangan hidupnya bukan Bumiputera.

Nasib yang menimpa Marina tidak seharusnya berulang pada masa depan. Sebaliknya, pelajar seperti Marina perlu diberi peluang sama seperti pelajar cemerlang lain. Jika tidak, ini boleh dianggap sebagai peminggiran dan diskriminasi terhadap anak miskin dari luar bandar. Peluang yang diberi terhadap pelajar cemerlang seharusnya buta warna kulit, asal usul dan kaum jika benar-benar kita hendak melangkah ke hadapan sebagai negara dan bangsa yang maju. — Dr Jeniri Amir (BH)

SPR Perlu Diletakkan Di Bawah Parlimen.


Sebuah badan penggendali pilihanraya seperti Suruhanjaya Pilhanraya (SPR) bukan sahaja perlu bebas dari campurtangan mana-mana parti politik atau pemerintah, tetapi perlu juga dilihat bebas dari pengaruh mana-mana pihak.Itulah yang tidak berlaku di Malaysia.



SPR tidak dilihat bebas dari pengaruh kerajaan oleh kerana ianya berada dibawah kekuasaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan bukannya bertanggungjawab kepada parlimen Malaysia.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang pada satu ketika dahulu berada dibawah kuasa JPM kini telah dibebaskan dan berada dibawah parlimen. Apakah mustahil untuk meletakkan SPR berada dibawah parlimen supaya ianya turut dilihat bebas?



Satu ketika dahulu, kita dapat melihat bagaimana bekas pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika memimpin SPR dikecam hebat oleh parti-parti politik pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) oleh kerana dikatakan memihak kepada parti yang memerintah iaitu Barisan Nasional (BN).


Kemarahan kepada Rashid dan SPR berada ditahap kemuncak sehinggalah satu demonstrasi raksaksa dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) sebuah gabungan yang terdiri dari parti politik pembangkang dan NGO pada 11 November 2007.


Lebih daripada 50,000 rakyat membanjiri ibukota berarak ke Istana Negara untuk meminta Yang di-Pertuan Agong untuk campurtangan bagi memastikan pilihanraya ke 12 bersih dan adil.


Ombak kebangkitan rakyat ini dengan mudah dapat mematahkan sekatan-sekatan ketat yang dilakukan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Pada ketika itu, PDRM menutup kesemua pintu masuk ke Kuala Lumpur dengan sekatan-sekatan jalanraya.


“Paranoia” PDRM untuk menghalang demonstrasi raksaksa yang bertemakan warna “kuning” itu telah menyebabkan ada kenderaan sekeluarga pengantin yang memakai warna kuning turut ditahan dan terpaksa membuktikan bahawa pada perkahwinan akan berlaku pada hari tersebut sebelum dilepaskan.
Terdapat empat tuntutan Bersih dalam kempen tersebut:
  • Bersihkan daftar pengundi.
  • Penggunaan dakwat kekal.
  • Media memberikan laporan yang adil kepada semua pihak yang bertanding dalam pilihanraya. 
  • Manushkan undi pos.
Kesemua tuntutan Bersih tidak dilayan oleh SPR dan kerajaan Malaysia termasuk oleh pihak Istana Negara sehingga hari ini.


Malahan empat hari sebelum PRU 12, SPR mengumumkan pembatalan penggunaan dakwat kekal diatas faktor keselamatan.


Maka berjuta ringgit duit pembayar cukai untuk membeli dakwat kekal terbazir begitu sahaja dan sehingga kini, rakyat Malaysia masih belum tahu apa yang terjadi kepada dakwat kekal yang dibeli sebelum PRU 12 itu.


Apakah berbotol-botol stok dakwat kekal itu sudah kering? Apakah ianya telah mencapai tarikh luput? Hanya SPR dan kerajaan Malaysia yang tahu.


Selepas berjaya menafikan kuasa dua pertiga BN didalam Parlimen, berjaya merampas beberapa buah negeri dan menang dalam banyak PRK, “suara-suara” untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil semakin kurang kedengaran.


Ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) di Dewan Rakyat juga masih belum “garang” untuk memperjuangkan SPR dibebaskan dari pengaruh JPM sedangkan inilah perkara yang paling asas perlu diperjuangkan jika mahu perjalanan pilihanraya di Malaysia lebih baik pada masa akan datang.


Selagi SPR masih belum bebas dari pengaruh JPM, agak sukar untuk memastikan badan yang menggendalikan pilihanraya ini benar-benar menjalankan tugas mereka dengan telus dan independen.


Mari kita lihat satu contoh. Selepas bersara sebagai pengerusi SPR, Rashid yang begitu dibenci oleh pakatan pembangkang kembali menjadi seorang yang rasional dan bercakap sebagai seorang yang bebas.


Sebaik sahaja speaker Perak, V. Sivakumar menghantar notis pengosongan kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering, bekas pengerusi SPR itu mengatakan bahawa SPR tidak mempunyai pilihan lain selain mengadakan pilihanraya kecil di kedua-dua kerusi tersebut.


Menurut Rashid, selepas SPR Negeri Perak menerima surat perletakkan jawatan ADUN Behrang dan Changkat Jering dari Speaker DUN Perak, SPR tidak mempunyai pilihan selain memanggil pilihanraya kecil di kedua-dua kerusi DUN tersebut.


Komen Rashid ini bukanlah kerana beliau menyokong PR, tetapi kerana itulah yang sepatutnya dilakukan oleh SPR mengikut lunas undang-undang oleh kerana keputusan speaker adalah muktamad dari segi undang-undang.


Terbuktilah bahawa Rashid yang satu ketika dahulu begitu dibenci bukanlah “begitu jahat”. Beliau menjadi “jahat” pada ketika itu oleh kerana tidak ada apa yang boleh beliau lakukan oleh kerana SPR berada dibawah kekuasaan JPM. Sesiapa sahaja walau sebaik manapun individu tersebut jika menjadi pengerusi atau anggota pesuruhjaya SPR selagi badan tersebut tidak bebas dari JPM akan melakukan perkara yang sama.


Dinegara jiran kita seperti di Thailand. SPR mereka mempunyai kuasa yang kuat. Sesiapa yang didapati terlibat dengan “rasuah politik” dalam pilihanraya, walaupun dibuktikan kesalahannya selepas seseorang individu tersebut menang dalam pilihanraya dan telah menjadi menteri, masih boleh dibatalkan kemenangannya.


Itulah yang berlaku kepada bekas perdana menteri mereka, Thaksin Shinawatra.


Walaupun tidak ada jaminan jika SPR bertanggungjawab dibawah parlimen maka badan tersebut akan menjalankan tugasnya dengan baik, sekurang-kurangnya, badan tersebut dilihat bebas.


Bukan seperti kini, SPR bukan sahaja dilihat tidak sebagai sebuah badan yang bebas tetapi badan tersebut turut dicurigai.


Jika PR benar-benar mahukan pilihanraya di Malaysia mencapai standard antarabangsa, inilah masanya untuk ahli-ahli Dewan Rakyat mereka untuk memperjuangkannya.


Jika perjuangan untuk pilihanraya yang bebas dan adil berlaku selepas kekalahan yang teruk dalam pilihanraya, maka benarlah kata-kata seorang ahli parlimen BN bahawa PR hanya perjuangkan pilihanraya bebas dan adil selepas kalah dalam pilihanraya. Jika mereka menang, semuanya senyap dan membisu mengenai isu ini.

IC Bezakan Rakyat Sabah Dgn Org Asing.









Parti Maju Sabah (SAPP) bercadang mengeluarkan kad pengenalan khas bagi rakyat negeri ini sebaik saja membentuk kerajaan autonomi selepas memenangi pilihanraya akan datang.
Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, kad pengenalan itu yang dikenali sebagai IC Sabah hanya akan diberikan kepada rakyat Sabah dan Labuan yang memegang MyKad dan bukannya rakyat asing walaupun mereka mempunyai MyKad.

“Pengeluaran IC Sabah bertujuan membezakan rakyat Sabah dan Labuan dengan orang asing disamping menangani masalah pendatang asing tanpa izin dan rakyat asing yang memiliki MyKad dengan cara meragukan,” katanya.

Bekas Ketua Menteri itu berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan 2009 gabungan cawangan Sook, Bingkor dan Liawan di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri selaku Naib Presiden Datuk Frankie Chong, Ahli Majlis Tertinggi merangkap Ketua Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC) Tungku Suaib Mutalib, Ketua Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC) Bingkor dan Liawan Richard Lee dan Ketua Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC) Sook Irene Chan.

Yong berkata, beliau dapati tidak ada sebarang halangan bagi Sabah mengeluarkan kad pengenalan seperti itu bagi rakyat tempatan.

Katanya, banyak kes MyKad palsu dilaporkan dan cadangan mengeluarkan IC Sabah itu adalah salah satu usaha menangani masalah itu serta sindiket pengeluaran kad pengenalan yang juga telah banyak dilaporkan berlaku di negeri ini.

Beliau berkata, IC Sabah dikeluarkan kepada rakyat Sabah dan Labuan di Malaysia supaya pemegang MyKad palsu dan dokumen yang meragui dapat dikenal pasti.

Katanya, IC Sabah juga akan dikeluarkan kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negeri jika ibu-bapa mereka adalah rakyat Sabah dan Labuan .

Yong berkata, IC Sabah juga bertujuan mengekalkan status mereka yang lahir di luar negeri sebagai rakyat Sabah .
Katanya, pada masa ini rakyat Sabah boleh dikenalpasti melalui nombor -12- yang tertera pada bahagian tengah nombor MyKad masing-masing tetapi nombor itu tidak terdapat pada MyKad rakyat negeri ini yang lahir di luar negeri.

Katanya, rakyat dari Semenanjung dan Sarawak serta luar negara juga layak mendapat IC Sabah jika mereka berstatus pemastautin tetap.

“Tidak ada undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan Sabah tidak boleh mengeluarkan kad pengenalan diri bagi rakyat tempatan,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan Kerajaan Persekutuan mempertahankan hak perlembagaan rakyat Malaysia di Sabah dengan MyKad adalah sebab utama IC Sabah perlu diperkenalkan.

Yong menjelaskan bahawa IC Sabah tidak menggantikan MyKad tetapi memberi status rakyat Sabah kepada rakyat Malaysia di negeri ini dan Labuan . (Sapp.com)

Dr Chua Tetap Timb Presiden MCA-[ROS]

kemaskini 3.59pm Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendapat semula jawatannya sebagai timbalan presiden MCA selepas digugurkan susulan dipecat daripada parti kira-kira dua bulan lalu.
Ketika dihubungi Malaysiakini SMS, Chua mengesahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mengesahkan beliau masih memegang jawatan tersebut.


"Betul, terima kasih," jawabnya ringkas.
Pengumuman mengejut itu dibuat oleh ROS hari ini ketika jawatankuasa pusat parti itu sedang mengadakan mesyuarat di ibu pejabatnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur tengah hari ini.

Surat ROS itu dihantar terus kepada kepemimpinan MCA.

Kedudukan ini mengembalikan senario sebelum krisis parti itu - akibat pemecatan Dr Chua dan keputusan mesyuarat agung luar biasa MCA awal bulan ini - dan sekali gus memeningkan kepada Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dilantik menggantikan Dr Chua.

Naib presiden itu, yang dilantik kepada jawatan nombor dua tersebut pada 15 Oktober lalu, dianggap melawan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat selepas kumpulannya mendesak pemilihan baru parti diadakan.
Jika Liow, yang memegang jawatan timbalan presiden selama 19 hari itu, enggan menerima keputusan ROS itu, beliau boleh membuat rayuan.
Atau, beliau mungkin boleh terus mendesak melalui kempennya supaya diadakan EGM baru bagi memilih semula pucuk pimpinan MCA.
Ketika tiba jam 1.10 tengah hari di Wisma MCA, tempat mesyuarat itu diadakan kira-kira 10 minit kemudian, Dr Chua kelihatan tenang dan kemudian melangkah terus ke bilik mesyuarat.
Chua dipecat dari jawatan timbalan pesiden pada 26 Ogos, tetapi jawatankuasa pusat MCA kemudiannya membatalkan keputusan itu dan sebaliknya menggantung keahlian bekas menteri kesihatan itu selama empat tahun.
Dalam mesyuarat jawatankuasa pusat yang sedang berjalan, difahamkan Ong telah memaklumkan bahawa Dr Chua kini adalah timbalannya.


Mesyuarat jawatankuasa itu juga dimaklumkan mengenai pemecatan empat anggota CC yang dilantik - kesemuanya penyokong Liow.
Mereka yang dipecat itu ialah Datuk Chor Chee Heung, Datuk Chai Kim Sen, Yoo Wei How dan Gan Hon Su (foto kiri) - semuanya penyokong Timbalan Presiden yang baru dilantik, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Berikuan itu, Ong menggunakan kuasa presiden untuk melantik tiga anggota baru yang menyokong Chua. Mereka ialah naib ketua MCA Perak Tan Chin Meng, bekas naib presiden Donald Lim dan anak Chua, Tee Yong.

Ong turut melantik orangnya untuk mengisi dua jawatan penting. Beliau melantik setiausaha agung Wanita, Senator Heng Seai Kie sebagai ketua penerangan, menggantikan Lee Wee Kiat - seorang penyokong Liow. Heng juga merupakan timbalan menteri penerangan, telekomunikasi, kesenian dan kebudayaan.

Beliau juga melantik pemimpin veteran, Lim Hong Sang - yang dilihat sebagai penyokong setianya - sebagai ketua biro undang-undang MCA yang baru, menggantikan Leong Tang Chong yang dipecat dua minggu lalu.
Sementara itu, ketika Chua keluar sebentar dari mesyuarat CC untuk ke tandas, beliau menjadi buruan para wartawan.
Mereka terus menerus meminta komennya mengenai keputusan ROS mengekalkannya sebagai timbalan presiden.
"Saya dimaklumkan mengenainya melalui sepucuk surat dari ROS pada jam 11.30 pagi tadi. Ia adalah keputusan yang dibuat berdasarkan kepada perlembagaan parti."
Liow pula, ketika ditemui wartawan ketika hendak di tandas, bagaimanapun enggan menjawab soalan wartawan.
Mesyuarat CC tamat jam 5.30 petang di mana Liow, Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong beredar tanpa menghadiri sidang akhbar selepas itu.

SPRM Siasat Orang BN & PR.

Ahli parlimen Sabak Bernam, Abd Rahman Bakri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan lapan pertuduhan memalsukan tuntutan berjumlah RM80,000 bagi program yang tidak wujud.



Lapan program itu meliputi bantuan kepada pelajar sekolah, penganjuran forum perdana dan sambutan Maulidur Rasul.

Beliau, ketika itu ADUN Sungai Air Tawar, didakwa melakukan kesalahan-kesalahan itu antara 21 Januari hingga 18 Februari tahun lalu.

Abd Rahman (foto kiri) bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan dibenarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Ahli parlimen Umno itu hadir sejak jam 8 pagi tadi di mahkamah tersebut dengan ditemani lapan ahli parlimen BN, antaranya Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong), Datuk Halimah Siddiq (Tenggara) dan Datuk Dr Mohamed Shahrom Osman (Lipis).

Pertuduhan terhadap Abd Rahman dibacakan menjelang jam 1 tengah hari tadi.

Hakim Syafeera Mohd Said menetapkan tarikh perbicaraan pada 14 Februari depan.

Sementara itu, pembantu Abd Rahman, Mohd Rosli Bushra pula didakwa bersubahat dengan majikannya membuat tuntutan palsu itu.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan beliau diikatjamin dengan jumlah RM9,000.

Mahkamah sama turut mendakwa bekas pegawai menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mohd Yahya Mohd Sahri dituduh memperdaya seorang ahli perniagaan sejumlah RM50,000 bagi program sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di negeri itu tahun lalu.

Bekas pemimpin PKR Selangor itu juga dituduh memalsukan dokumen untuk membuka satu akaun parti itu. Beliau mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM10,000.

Naib Presiden PKR Mustafa Kamil Ayub dan beberapa aktivis Pemuda PKR turut hadir memberikan sokongan kepada Mohd Yahya.



Pembantu kepada exco kerajaan Selangor, Wong Chua How (foto kanan), dituduh membuat tuntutan palsu RM2,500 kepada Majlis Perbandaran Sepang berhubung pembelian bendera.

Wong, pembantu Ronnie Liu di DUN Sungai Pelek, juga dihadapkan dengan pertuduhan pecah amanah sekeping cek bernilai RM5,000 bagi penganjuran satu perjumpaan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di kawasan itu pada 19 Feb lalu.

Hakim Syafeera membenarkan beliau diikat jamin RM10,000. Ronnie turut hadir ketika pertuduhan kes itu dibacakan kepadanya.

Wong mengaku tidak bersalah untuk semua pertuduhan. Kes tersebut akan dibicarakan pada 29 Mac depan.

Kecuali Mohd Yahya yang didakwa bawah Kanun Keseksaan, kesemua mereka dituduh di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Keempat-empat tertuduh ini antara enam orang ahli politik dan pembantu mereka yang diseret oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke muka pengadilan berhubung penyelewengan dana kerajaan negeri untuk pembangunan DUN di Selangor.

Sebelum itu Ronnie, sewaktu bercakap di luar mahkamah, berkata SPRM telah menjalankan siasatan terhadap 20 wakil rakyat Selangor dan turut merampas fail-fail daripada mereka.

"Wong adalah yang pertama, tetapi dia mungkin bukan yang terakhir," katanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails