Geng Aku

Isnin, 21 Disember 2009

Pemuda MIC Sokong UMNO Gantikan Gerakan Di P.Pinang.



Pemuda MIC Pulau Pinang hari ini menyokong cadangan Umno agar pengerusi BN di negeri itu diambil alih oleh Umno, bukan lagi di tangan Gerakan, dalam usaha merampasnya daripada Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun rakan sejawatannya daripada MCA negeri tidak bersetuju dengan hasrat pengerusi Umno negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga naib presiden parti itu, untuk berbuat demikian.

Ketua Pemuda MIC negeri J Dhinagaran berkata selepas kejatuhan BN di negeri itu kepada Pakatan Rakyat tahun lalu, Umno dilihat sudah mula turun padang untuk memulihkan sokongan rakyat.



Beliau berkata, berdasarkan maklum balas akar umbi di Pulau Pinang, kebanyakannya mahu Umno mengetuai BN di negeri itu.

"Kita sokong Gerakan, tapi sekarang rasa tidak selesa sebab selepas kekalahan pilihan raya umum lalu, mereka tidak turun padang.

"Umno sudah turun padang untuk menarik sokongan rakyat," kata Dhinagaran.

Beliau diminta mengulas perebutan antara Umno dan Gerakan berhubung jawatan tersebut, yang kini disandang oleh Tan Sri Koh Tsu Koon, bekas ketua menteri yang juga presiden Gerakan – parti yang menerajuinya selama lebih 35 tahun.



Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, Dhinagaran bagaimanapun menyerahkan perkara tersebut kepada Pengerusi BN Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk membuat pertimbangan sewajarnya.

Dhinagaran juga mencadangkan, sekiranya Najib mahu mengekalkan Koh, sekurang-kurang jawatan ketua Pemuda BN negeri – yang kini dipegang ketua Pemuda Gerakan, Oh Tong Keong – diserahkan kepada ketua Pemuda Umno, Norman Zahalan.

"Ia bertujuan supaya lebih adil," katanya.

Dalam pilihan raya umum lalu, semua komponen BN - Gerakan, MIC dan MCA - tewas semua kerusi yang mereka tandingi.



Umno pula memenangi 13 kerusi termasuk dua kerusi parlimen di Pulau Pinang daripada 40 kerusi DUN dan 13 kerusi parlimen.

Manakala ketua Pemuda MCA negeri Eng Hiap Boon pula membantah cadangan pengambilalihan jawatan tersebut kepada pemimpin Umno.

"Kalau kita setuju, nanti sokongan kaum Cina di Pulau Pinang akan lari (daripada BN).

"Yang paling penting, kita kena tengok situasi. Situasi di sini tidak sama," katanya kepada Malaysiakini.



"Ketua menteri daripada DAP, seorang pemimpin Cina. Jadi secara tradisinya, jawatan tersebut untuk orang Cina. Kalau Umno menjadi pengerusi BN, nanti ketua menterinya dari kalangan orang Melayu.

"Begitu cara fikir orang Cina di sini."

Beliau yakin jika pengerusi BN masih di tangan pemimpin yang mewakili Cina, maka BN mampu menarik sokongan semula kaum itu dalam usaha merampas Pulau Pinang dalam pilihan raya akan datang.



Sementara itu, Bernama melaporkan, Koh berkata parti itu menghormati nasihat Datuk Seri Najib Razak supaya perbincangan terbuka mengenai isu tersebut wajar dihentikan.

Bercakap di lobi Parlimen hari ini, Koh berkata perdana menteri juga sudah memberi nasihat kepada semua pihak yang terlibat mengenai perkara itu.

Terdahulu, di Putrajaya, Najib berkata beliau tidak mahu parti komponen BN terus berdebat mengenai permintaan Umno Pulau Pinang agar jawatan itu diberikan kepada parti tersebut.

Tahniah Anwar Ibrahim.



Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dianugerahkan 'pingat demokrasi' oleh Persatuan Antarabangsa Konsultan Politik (IAPC) dalam satu majlis di Shah Alam Convention Centre, dekat sini petang ini.


IAPC ditubuhkan pada tahun 1968. Ia adalah organisasi global yang profesional politik  dan penasihat urusan awam yang didedikasikan untuk menggalakkan demokrasi di seluruh dunia.

Ia dianggotai oleh ahli daripada lebih 20 negara di Amerika Utara dan Selatan, Eropah, Asia, Afrika dan Australia.

Menurut satu kenyataan IAPC, setiap tahun,  IAPC akan menganugerahkan pingat penghargaan kepada individu atau pertubuhan yang melambangkan komitmen untuk demokrasi melalui ucapan dan tindakan mereka.

Sebelum ini, antara penerima pingat ini adalah Morgan Tsvangerai dari Afrika Selatan dan Martin Lee dari Hong Kong.

Pada tahun 2009 Anwar Ibrahim dipilih sebagai penerima pingat ini kerana keberanian dan usaha yang tak henti-henti beliau untuk memulihkan kerajaan demokratik di Malaysia, kata kenyataan itu.



Setelah menghabiskan satu dekad berpolitik, tsunami politik berlaku di Malaysia iaitu pilihanraya umum Mac 2008. Ia telah selamanya mengubah lanskap politik Malaysia.

"Ada akauntabiliti yang lebih besar dalam kerajaan dan sudah ada kebangkitan umum dalam masyarakat Malaysia dan menemukan kembali kekuatan suara mereka," kata kenyataan itu.

Selepas ditangkap, Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen apabila beliau menang dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada Ogos 2008. Dia kemudiannya dilantik sebagai ketua pembangkang di parlimen Malaysia.





"Dia terus menjadi suara terkemuka untuk pembaharuan dan perubahan di negara ini," kata kenyataan itu.

Foreign Policy Magazine menamakan beliau salah seorang 100  pemikir global dan Royal Institute of Strategic Studies memasukkan beliau dalam senarai daripada 500 umat Islam paling berpengaruh di dunia.

Tokoh yang akan menyampaikan penghargaan untuk Anwar Ibrahim petang ini adalah Ahli Majlis IAPC, Robert Murdoch.

Najib: Jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang Akan Dirunding Semua Pihak



Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, apa jua keputusan berhubung tuntutan Umno Pulau Pinang yang mahukan jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri akan dibuat melalui rundingan dengan semua pihak.




Beliau yang juga Pengerusi BN bagaimanapun menyifatkan perkara tersebut baru berada di peringkat cadangan.

"Itu merupakan pandangan, tapi keputusannya ialah atas semangat BN dan saya sebagai Pengerusi BN, kalau nak buat apa-apa keputusan kita berunding dengan semua pihak dulu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Ikatan Hati Warga FELDA (IKTIRAF) Kebangsaan 2009 di padang kawad Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tuntutan Umno Pulau Pinang supaya jawatan Pengerusi BN negeri yang diperuntukkan kepada Gerakan diserahkan kepada Umno bagi memantapkan kedudukan BN di negeri berkenaan.

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat Umno negeri itu yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Jumaat lalu.



Jawatan tertinggi BN di Pulau Pinang secara tradisi disandang pemimpin Gerakan dan ketika ini diterajui Presidennya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Ditanya sama ada Ahmad Zahid sudah memaklumkan mengenai perkara tersebut kepadanya, Najib berkata: "Tak apalah... itu peringkat beri pandangan, tapi keputusannya kita akan buat atas semangat pemuafakan BN."

Dalam perkembangan lain, Najib turut mengulas mengenai kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E, bernilai kira-kira RM50 juta, milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari gudang simpanannya di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, akhir tahun lalu.

Beliau berkata, kerajaan memandang serius mengenai perkara tersebut dan akan mengambil tindakan kepada pihak yang didapati bersalah.

"Ia masih diperingkat siasatan, biarlah polis siasat untuk kenal pasti siapa yang salah," katanya.

Ditanya sama ada kehilangan enjin berkenaan akan menjejaskan imej TUDM, Najib berkata: "Ia berlaku dan kita siasat, pihak bersalah kita akan ambil tindakanlah."

Dasar Pakatan Rakyat Gugat Keselesaan BN?



'DUNIA baru' seperti yang digambarkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ekoran permuafakatan gabungan tiga parti pembangkang paling berpengaruh iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP seakan baru menjanjikan kerlipan untuk mewarnai arena politik di Malaysia.

Gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR) dibina atas dasar persefahaman politik kira-kira 20 bulan lalu selepas pilihan raya umum 2008, kini dilihat semakin dewasa terutama selepas berakhirnya Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama semalam.

Walaupun entiti politik kedua terbesar itu dibina secara tidak rasmi, namun kewujudannya sudah dirasai terutamanya bagi menggugat kedudukan Barisan Nasional (BN) yang sudah sekian lama mentadbir negara ini dengan begitu selesa.



Nampaknya gambaran 'dunia baru' oleh Nik Aziz semasa menyampaikan ucapan penggulungannya semalam di hadapan kira-kira 1,500 perwakilan bukan satu kiasan biasa yang kosong tanpa maksud tersirat.

"Saya tengok dengan mata saya sendiri hari ini, saya rasa seperti berada dalam dunia baru... dunia yang sesuai dengan pendirian saya, dengan akidah dan agama saya," katanya.

Penantian sekian lama banyak pihak mengenai sejauh mana ikhlasnya permuafakatan yang terbina antara PKR-PAS-DAP akhirnya terjawab dengan lahirnya dokumen Dasar Pakatan Rakyat yang dipersetujui secara sebulat suara.

Pada akhir konvensyen semalam, semua perwakilan yang hadir mengangkat tangan tanda setuju menerima kandungan dasar empat perkara penting yang menjadi asas kepada pembentukan PR.



Secara simboliknya, Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Guan Eng menandatangi dokumen bersejarah berkenaan tanda persefahaman.

Persoalannya adakah dengan pengukuhan PR bersandarkan Dasar Pakatan Rakyat yang ditandatangani itu membawa maksud akan berakhirnya hegemoni politik yang dikuasai BN di Malaysia?



Mampukah tsunami politik yang melanda negara pada 2008 berulang lagi pada pilihan raya umum akan datang dengan kesan pukulan yang lebih dahsyat?

Bagaimanapun setelah mengikuti keseluruhan konvensyen PR semalam, dapat disimpulkan bahawa jurang pemikiran antara barisan pimpinan dan perwakilan yang menyertai perbahasan begitu ketara terutamanya dalam menentukan hala tuju mereka.

Di atas kertas, empat dasar yang dipersetujui itu digariskan dengan agak jelas walaupun tanpa perincian, namun sebahagian besar daripada 18 pembahas masih lagi terikat dengan pemikiran yang sedikit terbelakang kerana menggunakan pentas sulung konvensyen berkenaan sebagai medan untuk 'menghentam' BN dan Umno.

Sepatutnya pembahas dari setiap parti komponen menggunakan peluang yang ada untuk mengemukakan pandangan atau kritikan mengenai mekanisme pelaksanaan dasar berkenaan yang masih kabur.

Mungkin keterujaan berbahas kali pertama di atas satu pentas yang sama sebagai satu gabungan membuatkan mereka hilang fokus sebenar konvensyen itu diadakan.

Perkara pokok yang terkandung dalam dasar berkenaan ialah PR akan tetap mempertahankan Pelembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman.



Selain itu, PR juga akan tetap melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan kaum-kaum lain di negara ini sejajar dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan memartabatkan bahasa Melayu selari dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Jika diteliti kandungannya secara terperinci, ternyata mereka masih berpegang teguh kepada prinsip utama kandungan Perlembagaan Persekutuan.

Malah Anwar turut mengakui bahawa kesemua elemen yang terkandung dalam dasar berkenaan tetap berpegang kepada prinsip yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kita sekadar ulangi prinsip Perlembagaan yang umum, itu kita lakukan dulu dan kemudian kita mantapkan.

"Tapi kenyataannya sekarang ialah adanya perjanjian baru dalam sejarah Malaysia iaitu dengan lahirnya generasi yang telah matang," katanya semalam.

Bagi situasi ini, tentunya terdapat antara komponen PR yang terpaksa 'pejam mata' mengenai beberapa dasar terutamanya apabila melibatkan isu bahasa dan agama Islam.

Namun atas dasar penyatuan matlamat politik yang sama, banyak pengorbanan perlu dilakukan walaupun masing-masing mempunyai agenda dan dasar pejuangan politik yang berbeza.

'Pengorbanan' pertama yang turut mencuri tumpuan pada konvensyen semalam ialah apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh sanggup duduk bersebelahan Nik Abdul Aziz.

Malah Karpal sendiri dalam ucapannya secara berseloloh berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk bersama Menteri Besar Kelantan itu bagi merealisasikan hasrat bersama dalam PR.

"Apa masalah? Tidak ada apa-apa masalah, bukan sahaja saya duduk sebelah Tuan Guru Nik Aziz, tapi pertengahan (antara) Nik Aziz dan Tuan Guru Hadi," katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh perwakilan.



Jelas sekali pengorbanan Karpal itu akan memberi tamparan hebat kepada BN kerana PR akan melakukan apa sahaja untuk meraih sokongan rakyat bagi memenangi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Mungkin juga 'dunia baru' yang digambarkan Nik Abdul Aziz semalam ada kaitan dengan hubungan sesama mereka dalam PR dan seterusnya melupakan segala persengketaan yang wujud demi mencapai satu hasrat bagi 'menawan' Putrajaya.

Bung & Zizie Sahkan Perkahwinan.


Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin dan aktres jelita, Zizie Ezette hari ini mengesahkan mereka sudah berkahwin.

Dalam satu SMS kepada wartawan The Star hari ini, Bung Mokhtar mengesahkan perkahwinannya dengan Zizie, tetapi tidak memaklumkan tarikh dan tempat pernikahan itu berlangsung.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) itu yang dipercayai sedang bercuti di luar negara dan enggan memberitahu di mana beliau berada sekarang atau dengan siapa, turut menafikan tentang majlis respsi perkahwinan yang dikatakan diadakan di sebuah hotel mewah di sini malam Rabu lalu.

Beliau juga memohon semua pihak agar menghormati privasi mereka dan berjanji akan mengundang media jika mereka mengadakan majlis resepsi kelak.

Sementara itu, Zizie ketika dihubungi mStar, secara tidak langsung turut mengesahkan tentang perkahwinannya itu tetapi enggan mengulas lanjut tentang perkara ini.




"Kalau Datuk dah cakap ya (sudah berkahwin), ya lah...," kata Zizie ringkas dan menambah akan menjelaskan keadaan sebenar pada waktu yang sesuai.

"Saya dalam situasi yang sukar. Saya perlu menjaga hati banyak pihak. Insya-Allah, bila masanya tiba, saya berjanji akan bercakap lanjut tentang perkara ini.

"Kalau betul saya sudah berkahwin pun, saya tidak salah di sisi hukum Allah, cuma mungkin saya bersalah mengikut hukum manusia. Tapi jika sudah ditakdirkan itu jodoh saya, elak macam mana pun tetap tidak boleh lari.



"Lagipun, bagi sesiapa yang mengenali saya termasuklah wartawan-wartawan yang baik dengan saya, mereka tahu saya tidak pernah bercinta dengan suami orang. Semuanya adalah lelaki bujang. Tetapi kalau sudah jodoh, saya tidak mampu menghalang," ujar Zizie yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Suraya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails