Geng Aku

Khamis, 3 Disember 2009

Mahkamah Persekutuan Akan Tetapkan Tarikh Putuskan Rayuan Anwar



Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini hari ini, akan menetapkan satu tarikh kemudian bagi memutuskan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan pemecatannya dari jawatan Kabinet pada 1998.


Perkara tersebut diputuskan selepas panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff mendengar hujahan kedua-dua pihak hari ini.



Barisan peguam Anwar diketuai oleh Karpal Singh dan pihak kerajaan diketuai Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said.

Anwar merujuk perkara itu ke mahkamah tertinggi tersebut selepas gagaldi Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September, 1998 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sah.

Mahkamah Persekutuan akan menentukan dua persoalan undang-undang iaitu sama ada pemecatan Anwar tidak mengikut Perlembagaan dan sama ada Dr Mahathir boleh memecat timbalannya tanpa terlebih dulu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong.



Dalam hujahan Karpal hari ini, beliau menegaskan Dr Mahathir telah bertindak tidak mengikut perlembagaan apabila memecat Anwar dari Kabinetnya.

Artikel 43(5) Perlembagaan Persekutuan secara khusus menghendaki Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa yang berhak untuk membatalkan pelantikan Anwar dalam Kabinet Malaysia berdasarkan prinsip bahawa hanya pihak yang berkuasa melantik mempunyai hak membatalkan pelantikan.

"Jelas sekali Yang di-Pertuan Agong yang melantik seseorang menteri, jadi apabila Agong yang mempunyai kuasa untuk melantik, maka Agong juga yang mempunyai kuasa untuk membatalkannya," katanya.

Karpal berkata terdapat penyalahguaan kuasa dalam undang-undang yang perlu diperbetulkan oleh Mahkamah Persekutuan.

"Perkara ini amat serius, Anwar hilang hak-haknya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, ia satu penyalahgunaan kuasa.

"Jika Perdana Menteri tidak memberikan nasihat terlebih dahulu kepada Agong, ini menunjukkan beliau telah bertindak tidak mengikut perlembagaan... kes ini cukup mudah.



"Hakim-hakim Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan yang salah kerana Perdana Menteri secara jelas telah melanggari kuasanya dengan membatalkan pelantikan Anwar dalam Kabinet dan kemudiannya memaklumkan kepada Agong," katanya.

Katanya lagi Agong sahaja yang mempunyai hak bagi membatalkan pelantikannya dalam menjalankan peruntukan-peruntukan dalam Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 43 (1) (b) atas nasihat Perdana Menteri.

Nizar V'8! Setiausaha Politik Menteri Kanan Disiasat SPRM

Seorang setiausaha politik menteri kanan yang dikatakan telah mengumpul berjuta-juta ringgit dalam masa yang singkat sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).



Difahamkan, penyiasat kes tersebut pernah mendapat perintah bagi merampas dan membekukan beberapa harta miliknya termasuk kereta mewah dan rumah selain akaun bank yang telah pun dibekukan bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Menurut sumber, senarai rampasan harta tersebut termasuklah sekurang-kurangnya empat buah kereta mewah dan empat buah rumah dipercayai kepunyaan setiausaha politik yang berumur lewat 30-an itu.

Suruhanjaya tersebut sedang menyiasat pembelian hartanya di kawasan Lembah Klang yang dikatakan diperolehi dari wang sogokan daripada kelulusan beberapa projek yang bernilai jutaan ringgit.



Difahamkan, beberapa rampasan adalah di bawah nama setiausaha politik itu dan penyiasat akan memanggil nama-nama lain yang telah didaftarkan sebagai pemilik. Sumber juga berkata, pegawai penyiasat telah pun mengenal pasti beberapa individu lain yang turut terlibat dengan kes tersebut dan juga akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Sebuah pasukan khas daripada suruhanjaya di Putrajaya juga telah pun memulakan siasatan kira-kira tiga minggu lalu berikutan maklumat yang mengatakan dia menjalani kehidupan mewah melebihi kemampuannya.

Difahamkan bahawa siasatan terhadap setiausaha politik tersebut dikategorikan antara kes berprofil tinggi.

Sehingga kini, suruhanjaya masih lagi meneruskan siasatan berdasarkan laporan dan maklumat yang telah diberikan oleh orang ramai. Pegawai suruhanjaya enggan mengulas tentang perkara ini ketika dihubungi.

Enggan Minta Maaf, Azhar Digantung

Ketua pembangkang di DUN Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim digantung daripada menghadiri sidang dewan itu kerana insiden "tunjuk punggung" yang mendorong semua wakil rakyat BN bertindak keluar dewan.

Azhar (Umno-Penaga) digantung sepanjang sidang dewan sekarang, yang berakhir esok, selepas beliau enggan memohon maaf berhubung tuduhan menunjukkan punggung kepada Sim Tze Tzin (PKR-Pantai Jerjak) semalam.

Azhar dituduh melakukan perbuatan itu ketika hendak keluar dewan setelah Timbalan Speaker Tan Hock Leong mengarahkan beliau keluar kerana enggan menarik balik istilah "dua tiga kerat" semasa membahaskan Bajet 2010 semalam.

Bercakap kepada media di lobi dewan, Azhar mendakwa ia merupakan satu lagi konspirasi Pakatan Rakyat untuk menghalangnya mengkritik pentadbiran kerajaan negeri.

"Saya cuma membongkok untuk ambil beg kerana beg saya berada di bawah, takkan pula saya nak lambung guna kaki dan tangkap, tapi dituduh menunjukkan punggung pula.

"Inilah satu contoh yang ditunjukkan oleh sebuah kerajaan yang tidak bermoral, tidak bermaruah dan tidak sanggup menerima kritikan," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, insiden ini bermula apabila Sim yang mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2010 pagi ini membangkitkan isu itu yang kemudiannya mendapat perhatian daripada Speaker DUN Abdul Halim Hussain.

Speaker kemudian mengarahkan Azhar supaya memohon maaf kerana perbuatan itu seolah-olah menghina Sim.

Abdul Halim juga mempelawa Azhar untuk menonton tayangan video kejadian semalam, namun Azhar enggan.

"Saya tidak bersalah, untuk apa saya minta maaf atas perkara yang saya tidak lakukan. Saya ada prinsip dan berpegang kepada prinsip itu," katanya.

Selain Azhar, lapan lagi wakil rakyat BN turut keluar dewan sebagai tanda protes terhadap tindakan yang dikenakan.

Azhar digantung sehingga persidangan selesai esok.

Azhar berkata beliau akan menghantar aduan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung tindakan yang dikenakan terhadapnya, dan salinan aduan itu dihantar kepada semua Speaker DUN negeri.

Makkal Sakti Kian Hancur..



Parti Makkal Sakti Malaysia, yang dilancarkan dua bulan lalu oleh Perdana Menteri, menuju perpecahan dengan kumpulan bertelagah mendesak Presidennya R S Thanenthiran melepaskan jawatannya dengan segera.

Kumpulan yang dipimpin oleh Timbalan Presiden A Vathemurthy yang mendakwa menerima sokongan lebih 15 daripada 27 anggota Jawankuasa Pusat (CC) tidak mahu Thanenthiran memimpin parti ini lagi.

“Kami mahu Thanenthiran melepaskan jawatan presiden dan tidak lagi memimpin parti. Usul untuk menyingkirkan sepatutnya dibincangkan hari ini tetapi mesyuarat CC dibatalkan minit terakhir, kami tidak tahu siapa di belakangnya,” kata Vathemurthy pada sidang di sini sebentar tadi.

Mesyuarat CC yang dijadual membincangkan usul menggugurkan Thanenthiran sepatutnya bersidang malam ini.

Tetapi Setiausaha Agung R Kannan telah membatalkan notis mesyuarat tengah malam tadi.
Parti Makkal Sakti yang didaftarkan Mei tahun ini telah dilancarkan oleh Najib pada 10 Oktober lalu dan pernah dilihat sebagai sebuah parti politik alternatif untuk masyarakat India negara ini.



Bagaimanapun MIC telah memperlihatkan bantahan dengan mengatakan bahawa penubuhannya akan memecahbelahkan lagi masyarakat India yang pernah menyaksikan perpecahan teruk ketika pilihan raya umum Mac 2008.



Mengulas lanjut, Vathemurthy berkata majoriti anggota CC dan ahli akar umbi jelas sudah tiada keyakinan ke atas kepimpinan Thanenthiran.

“... dan merasakan bahawa kepimpinannya yang berterusan sebagai presiden adalah satu ancaman teruk kepada kestabilan, kemajuan dan masa depan bagi Parti Makkal Sakti Malaysia yang baru ditubuhkan dan bagi masyarakat India Malaysia secara keseluruhan,” kata beliau pada sidang media di sini.

Seramai 12 daripada anggota CC yang beliau dakwa menyokongnya hadir pada sidang media hari ini.

Beliau menambah pihaknya amat kecewa kerana tanpa sebarang notis awal dan kelulusan, setiausaha agung secara unilateral telah membatalkan mesyuarat yang dijadual untuk diadakan mulai pukul 7.30 petang ini.

Mesyuarat itu dipanggil oleh kumpulan beliau dan awalnya telah mendapat kelulusan setiausaha agung.

Katanya, berdasarkan perlembagaan parti mesyuarat khas boleh diadakan jika empat anggota CC membuat permohonan dan perlu diadakan dalam tempoh tujuh hari.

“Kami telah mendapatkan nasihat perundangan dan percaya bahawa tindakan setiausaha agung (membatalkan mesyuarat CC pada minit-minit terakhir) adalah tidak sah dan tidak adil buat kami,” katanya lagi.

Beliau mendakwa amalan tidak prihatin Thanenthiran dan gagal memperlihatkan kepimpinan yang efektif telah menyebabkan parti ini berpecah kepada dua.

“Beliau menguruskan parti ini macam hanya milik seorang individu dengan sokongan anggota keluarga dan saudara mara beliau sebagai anggota CC,” katanya. Salah seorang adik Thanenthiran juga merupakan Naib Presiden parti.

Vathemurthy juga mendakwa  Thanenthiran tidak telus dan tidak bertanggungjawab dalam soal kewangan.

“Sebagai contoh, apabila kami tanya beliau tentang jumlah wang yang telah dikumpulkan sejak parti ditubuhkan dan sumbernya, beliau tidak melayan pertanyaan kami dan mengatakan bahawa kami tidak wajar menanya perkara-perkara ini.



“Jadi di mana prinsip demokrasi dalam parti yang kita perjuangkan ini?” katanya.
Sehubungan itu beliau meminta agar Perdana Menteri dan semua pihak yang terbabit agar memutuskan segala urusan dengan Thanenthiran mulai sekarang.

“Oleh kerana isu ini memerlukan perhatian serius, kami akan menggunakan apa jua saluran untuk menyelamatkan parti ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tindakan susulannya, Vathemurthy berkata beliau akan memohon agar diadakan satu lagi mesyuarat khas CC dalam waktu terdekat.

“Kami akan memberikan mereka satu lagi peluang untuk membincangkan agenda ini (melucutkan kedudukan Thanenthiran).

“Kemudian kami akan bergerak dari sana,” kata beliau sambil menambah akan memilih presiden baru daripada kalangan anggota CC semasa ataupun seorang dari luar parti.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut tetapi menegaskan, calon itu bukan bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S Subramaniam.


Mat Kacau Akan Mengegarkan Astro Ceria..






MAT Kacau di dalam rancangan Gerak Geri Gasing.







PEMINAT saluran Astro Ceria (saluran 611, Astro) pasti mengenali watak Mat Kacau di dalam rancangan game show, Gerak Geri Gasing yang diterbitkan oleh saluran berkenaan.

Berbaju belang hitam dan putih, berseluar hijau dan bertopeng di mata, Mat Kacau ditugaskan untuk mengganggu peserta-peserta rancangan yang diacarakan oleh Zoey itu.

Telatahnya yang bersahaja dan menghiburkan membuatkan Mat Kacau diletakkan sebagai antara watak yang diminati dan ditunggu-tunggu di saluran yang diminati oleh peminat cilik itu.

Justeru itu, Astro Entertainment Sdn. Bhd. dengan usahasama syarikat multimedia kreatif tempatan, Inspidea Sdn. Bhd., menerbitkan siri animasi baru yang diadaptasikan daripada watak Mat Kacau itu.

Siri animasi Mat Kacau sebanyak 26 episod ini sudah mula menemui penonton setiap Jumaat bermula 20 November lalu pada pukul 2.25 petang menerusi saluran Ceria.

Manakala siaran ulangan pula adalah pada setiap hari Sabtu pukul 10.55 pagi dan pada hari Ahad pukul 10.25 pagi.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ceria, Evon Koh, animasi Mat Kacau yang 100 peratus dikendalikan oleh anak tempatan ini bertujuan untuk menambat hati kanak-kanak terutamanya pengikut rancangan Gerak Geri Gasing.



Katanya, kartun merupakan medium mendidik yang mampu menarik minat penonton untuk mendalami sesuatu perkara dan menjadikan mesej yang ingin disampaikan mudah difahami.
Sementara animasi pula disifatkannya, sebagai cara terbaik untuk menyampaikan mesej kepada kanak-kanak kerana sifatnya ringan, ceria dan menghiburkan.

Dalam animasi ini, jelas Evon, Mat Kacau berniat baik untuk menghiburkan kanak-kanak dan turut serta dalam aktiviti mereka namun sering disalah erti kerana tindakannya yang melebih-lebih.

"Setiap episod yang berdurasi selama dua minit ini akan menceritakan kisah-kisah yang berkait-rapat dengan kanak-kanak seperti rombongan sekolah, gotong-royong dan kelas lukisan.

"Mat Kacau menyelitkan mesej yang baik dan pengajaran berguna khususnya kepada kanak-kanak sambil menghiburkan penonton," ujarnya ketika ditemui di sidang media memperkenalkan siri animasi Mat Kacau baru-baru ini.



Selain Mat Kacau, animasi dua demensi (2D) ini akan turut diceriakan dengan kehadiran watak sampingan lain seperti Dinah, Boboy, Judy, Van, Amber, Miss Agnes, Auntie Lim, Omar dan Pak Kacau.

Terang Koh, kali terakhir pihak Astro memperuntukkan untuk melabur dalam siri animasi sekitar tahun 1995, Lat The Kampung Boy dan selepas 14 tahun, Astro sekali lagi melabur untuk pengisian berbentuk animasi.

Menurutnya, Mat Kacau menggunakan 100 peratus tenaga kerja tempatan berbeza dengan Lat The Kampung Boy yang melibatkan tenaga kerja dan kepakaran dari luar.



Mat Kacau dihasilkan oleh Inspidea, syarikat yang sama menghasilkan siri animasi Mustang Mama yang diedarkan ke pasaran luar negara.

Pihak Inspidea juga akan mendapat hak pengedaran eksklusif ke seluruh dunia (kecuali Asia Tenggara) untuk siri animasi Mat Kacau selama lima tahun.

Menurut Pengarah Urusan Inspidea, Andrew Ooi, antara cabaran yang mereka hadapi dalam menghasilkan siri Mat Kacau ialah menghasilkan sebuah cerita yang difahami dan menghiburkan untuk tempoh dua minit.

"Walaupun dua minit, namun kami perlu hadir dengan 26 jalan cerita yang berlainan dan berkait rapat dengan kanak-kanak.

"Selain itu, kami juga perlu menghasilkan karya yang lebih hebat berbanding Mustang Mama.
"Jika 26 episod ini mendapat sambutan penonton dan pihak Astro ingin memanjangkan siri ini, kami akan hadir dengan musim yang lain pula," ujarnya.

Skuad B-23 Pesta Gol Menentang Timor Leste..


SKUAD negara melangkah ke padang untuk memulakan aksi menentang Timor Leste semalam.


SKUAD bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan tampil garang pada aksi sulung dalam acara bola sepak Sukan SEA 2009 apabila membelasah Timor Leste 11-0 di Stadium Nasional Laos di Vientiane petang semalam.

Nyata penundaan 24 jam penerbangan skuad negara ke Laos tidak menjejaskan rentak anak-anak buah K. Rajagobal itu, malah mereka mungkin mahu melepaskan geram dengan Timor Leste menjadi mangsa pertama mereka.



Malaysia selesa mendahului 6-0 pada separuh masa pertama sebelum menambah lima lagi gol pada babak kedua.

Ahmad Fakri Saarani menjaringkan hatrik, Norshahrul Idlan Talaha meledak dua gol manakala Baddrol Bakhtiar, Zaquan Adha Radzak, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Radzak, Amirulhadi Zainal dan Amar Rohidan masing-masing menyumbang satu gol.

Norshahrul membuka tirai jaringan seawal minit ketiga sebelum Baddrol merembat gol kedua pada minit ke-11 diikuti jaringan Zaquan pada minit ke-14.

Safiq menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-28 dan Malaysia menambah dua lagi gol sebelum waktu rehat menerusi jaringan kedua peribadi Norshahrul (30) dan Fakri (42).

Sebaik babak kedua bermula, Aidil tampil menjaringkan gol ketujuh Malaysia pada minit ke-57 sebelum Fakri melengkapkan hatriknya menerusi dua jaringan berturut pada minit ke-70 dan 77.

PASUKAN B-23 negara bermula garang pada aksi pertama acara bola sepak Sukan SEA di Laos semalam.


Baki dua gol Malaysia dijaringkan dua pemain gantian, Amirulhadi pada minit ke-80 dan Amar pada minit ke-90.

Malaysia selepas ini akan berdepan ujian sebenar menentang Vietnam pada perlawanan kedua Ahad ini.

Sementara itu, pada satu lagi perlawanan Kumpulan A semalam, juara bertahan Thailand sekadar seri 1-1 dengan Vietnam.

Thailand mendahului pada minit ke-70 menerusi Kirati Keawsombut sebelum Vietnam menyamakan kedudukan pada minit ke-89 hasil jaringan Nguyen Quy Suu.

Jumaat ini, Thailand akan bertemu Kemboja manakala Vietnam bertemu Timor Leste sementara Malaysia diberi rehat.

MALAYSIA: 1-Farizal Marlias, 6-Nasriq Baharom, 7-Aidil Zafuan Radzak (c), 24-Muslim Ahmad, 2-Sabre Mat Abu, 13-Ahmad Fakri Saarani, 10-Safiq Rahim (12-Amar Rohidan), 15-K.Gurusamy, 23-Baddrol Bakhtiar (16-S.Kunanlan), 9-Norshahrul Idlan Talaha (21-Amirulhadi Zainal), 8-Zaquan Adha Radzak.

Batu Bersurat Negara Diiktiraf UNESCO


RAIS meneliti replika Batu Bersurat Terengganu yang kini mendapat pengiktirafan UNESCO di Kuala Lumpur semalam.



Satu lagi khazanah warisan negara iaitu Batu Bersurat Terengganu menerima pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Batu bersurat itu menjadi pengiktirafan keempat diterima di bawah kategori Memory of the World International Register selepas Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu dan Surat-surat Sultan Abdul Hamid pada tahun 2001.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, ia merupakan pengiktirafan kepada khazanah warisan negara berbentuk dokumentasi yang mempunyai kepentingan di peringkat dunia.

Nizar V'8! DAP Perak Mohon Maaf Isu Pijak Gambar ADUN

Akibat dikecam pelbagai pihak, DAP Perak hari ini memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang tersinggung dengan perbuatan beberapa pemimpin parti itu memijak poster wajah tiga anggota Bebas Dewan Undangan Negeri Perak pada Ahad lepas.



Sambil mengakui perbuatan itu satu kesalahan, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming berharap isu berkenaan akan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Nga yang juga Anggota Parlimen Taiping, berkata parti itu bagaimanapun tidak akan mengambil tindakan terhadap tiga anggotanya yang meletakkan poster itu di pintu masuk ke konvensyen parti itu.



Pada konvensyen DAP Perak Ahad lepas, poster yang memaparkan wajah Hee Yit Fong (Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) diletakkan di pintu masuk bertujuan agar perwakilan yang menghadiri konvensyen itu memijak gambar mereka.

Hee sebelum ini adalah daripada DAP manakala Jamaluddin dan Mohd Osman adalah daripada Parti Keadilan Rakyat.  
BERNAMA

Akui Pelajaran Dalam Bahasa Ibunda Lebih Baik


Parlimen hari ini diberitahu bahawa punca pembelajaran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK) adalah lebih baik kerana mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa ibunda.
 
Ini diakui sendiri oleh Timbalan Menteri Pelajaran Dr. Mohd. Puad Zarkashi ketika menjawab soalan tambahan daripada M.
Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) berhubung pengajaran di sekolah Cina lebih baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan isu masalah beban buku teks yang terlalu banyak dibawa oleh pelajar sekolah.



Beliau sebelum itu menjawab soalan Datuk Ismail Mohamad Said (BN-Kuala Kurau) bahawa buku teks sekolah yang dikatakan tidak meransang kefahaman pelajar dan sejauh mana buku komersial lebih baik berbanding buku teks sekolah.

Sebelum itu, Ismail mendedahkan bahawa terdapat penyelidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bahawa buku teks yang digunakan di sekolah-sekolah kurang baik berbanding buku rujukan komersial yang ada di pasaran.

Menafikan kritikan itu, Puad Zarkashi berkata, buku rujukan komersial lebih berorientasikan peperiksaan semata-mata berbanding buku teks yang dipilih, ditulis, disusun dan disesuaikan selaras dengan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran.

"Penyediaan buku teks juga disusun dengan pelbagai kaedah pedagogi pengajaran dan pembelajaran bagi tujuan mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk memperkembangkan potensi individu secara holistik dan bersepadu.

"Hal ini juga untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni daripada segi intelek,rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Oleh itu, buku teks yang digunakan di sekolah lebih baik dari buku rujukan komersial,” katanya

Menjawab soalan tambahan Ismail, Mohd. Puad berkata untuk merangsang kefahaman pelajar ia bergantung kepada kaedah pengajaran guru dan sumber yang diperolehi oleh mereka.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails