Geng Aku

Isnin, 1 Mac 2010

Nik Aziz Bersyukur, Kelantan Jadi Tumpuan,


Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersyukur kerana Kelantan menjadi pusat pelepasan acara perlumbaan jelajah basikal paling berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 pada Isnin.

"Acara ini boleh memberi kesan positif kepada pembangunan industri pelancongan di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan peserta dari 20 pasukan LTdl 2010 itu, di sini, pada Ahad.

Beliau juga berharap peserta Malaysia dapat meraih kejayaan cemerlang dalam perlumbaan tahunan itu supaya ia dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Jarak keseluruhan perlumbaan edisi ke-15 dari 1 hingga 7 Mac ini melibatkan jarak sejauh 1,013.9 kilometer.


Peringkat pertama perlumbaan akan bermula di sini ke Kuala Berang sejauh 174.5km, diikuti Kuala Terengganu-Chukai (182.3km), Pekan-Mersing (145.6km), Mersing-Parit Sulong (163.5km), Muar-Port Dickson (111.5km), Putrajaya-Genting Highlands (102.8km) dan peringkat akhir dari Kuala Kubu Baru ke Dataran Merdeka sejauh 133.7km.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohd Yassin Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood.

-- BERNAMA

Mohammad Fairus Keluar PKR, Sertai Umno.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) bersalaman dengan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin selepas mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyertai Umno. - foto BERNAMA 
Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus menerima tamparan hebat apabila bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu dan menyertai Umno.

Menurut beliau keputusan berkenaan dibuat atas dasar hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti.


"Saya dengan ini atas dasar mempertahankan prinsip memperjuangkan agama, bangsa dan negara serta kepentingan rakyat malaysia, saya mengumumkan penyertaan saya dalam umno dan Barisan Nasional (BN).

"Oleh yang demikian dengan rasmi saya keluar daripada PKR atas dasar hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti tersebut," katanya pada majlis perjumpaan kepemimpinan tertinggi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia bersama Perdana Menteri di sini malam ini.
Pengumuman bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut dibuat selepas hampir setahun menyepi daripada arena politik tanah air.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Mohammad Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219.

Bagaimanapun beliau meletakan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang pada 8 April 2009 dan sebagai ADUN Penanti pada 16 April tahun yang sama atas alasan ingin melanjutkan pelajaran di peringkat pasca ijazah.

Menurut Mohammad Fairus, beliau mengambil keputusan meningalkan PKR kerana parti itu dilihat tidak konsisten dalam mempertahankan agama dan bangsa Melayu.



"Kemuncak batas kesabaran saya ialah apabila isu kalimah Allah timbul, saya memantau setiap kenyataan pemimpin yang ada di Malaysia tanpa mengambil kira parti politik.

"Tapi bila lihat kenyataan pucuk pimpinan dan kenyataan rasmi PKR, ianya amat mendukacitakan... tenyata mereka begitu longgar mempertahankan perkara sepenting itu dan sedasar itu," katanya.

Pertengahan bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggugurkan tuduhan rasuah terhadapnya yang dikaitkan dengan aktiviti kuari haram di Pulau Pinang.
Kes berkenaan antara lapan kes berprofil tinggi yang ditutup SPRM.


Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan borang keahlian Umno kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam pada itu, Najib dalam ucapannya berkata, beliau sebagai Presiden Umno menerima penyertaan Mohammad Fairus dengan senang hati.

Katanya, beliau menyedari tindakan Mohammad Fairus menyertai Umno adalah atas dasar prinsip perjuangan dan bukan kerana jawatan.

"Kami terima dengan senang hati kerana saya tahu bahawa Fairus mengambil keputusan ini atas soal prinsip dan dasar (perjuangan), bukan kerana jawatan, bukan kerana ganjaran.

Selain itu Najib juga menyatakan keyakinan bahawa Mohammad Fairus mampu memberi sumbangan yang bermakna kepada Umno.

"Selamat datang Fairus... kita akan jaga dia dengan baik, saya percaya dia boleh bagi sumbangan yang besar kepada Umno untuk membela nusa dan bangsa," katanya.

Tambah Najib lagi, tindakan Mohammad Fairus itu membuktikan PKR gagal mempertahankan prinsip untuk memartabatkan agama Islam.

"Fairus sudah hilang kepercayaan kepada PKR kerana parti itu gagal mempertahankan apa yang dianggap sebagai soal prinsip.

"Prinsip yang paling penting ialah maruah dan martabat agama Islam, dalam hal ini dia berpendapat PKR gagal berbuat demikian," katanya.

Perasmian Pejabat PAS Miri Kukuhkan Pakatan.

Perasmian Pejabat PAS Kawasan Miri semalam oleh Ketua Penerangan PAS Perak yang juga Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim menyaksikan kukuhnya kerjasama Pakatan Rakyat di sini. 

Ini berikutan keempat-empat pemimpin tertinggi parti komponen Pakatan Rakyat iaitu Yang Dipertua PAS kawasan, Haji Jofri, Edwin Dundang (SNAP), Fong Pau Teck (DAP) dan Dr Micheal Teo (PKR) hadir pada majlis itu.

Khalil Idham dalam ucapan perasmian mengajak semua ahli PAS menggerakkan kerja dakwah ke arah memasyarakatkan PAS dalam masyarakat tempatan menerusi kerja amal kebajikan dan kemasyarakatan.

“PAS seharusnya berada dalam saf hadapan dalam memastikan prinsip negara berkebajikan dinikmati setiap insan di muka bumi Miri ini.

“Bertitik tolak roh perjuangan baginda Rasulullah s.a.w., usaha dakwah dan kebajikan berterusan ini pasti akan membawa sinar perubahan pada seluruh masyarakat,” ujarnya yang juga Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Gambar: Khalil Idham Lim (kiri, membelakangkan kamera) memotong riben merasmikan pejabat PAS Miri.

Pada malam pula, seluruh pemimpin Pakatan Rakyat Miri bergerak ke rumah Dr Micheal Teo, Ketua PKR Bahagian Miri bagi meraikan Rumah Terbuka Pakatan Rakyat Miri.

Hampir 1,000 hadir memeriahkan majlis tersebut yang dihangatkan lagi dengan ucapan Khalil Idham Lim yang fasih berbahasa Cina berjaya menarik perhatian hadirin.

Dengan adanya program seumpama ini, mampu memecahkan tembok perbezaan di antara PAS dan masyarakat bukan Islam di Sarawak.

Berucap pada majlis itu, Khalil berkata, jika benar-benar kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang dipimpin oleh BN ikhlas membantu rakyat negeri ini, maka mereka mestilah membina jalan yang sempurna dari Miri ke Mukah.

Untuk rekod, perjalanan dari Miri ke Mukah mengambil masa hampir lapan jam walaupun jaraknya lebih kurang 450 kilometer.

Tiada Pilihan Raya Mengejut Di Perak.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini menafikan desas-desus bahawa satu pilihan raya negeri mengejut akan diadakan di Perak menjelang September ini. 

ahmad husni hanadzlahBeliau berkata, parti komponen BN di Perak juga tidak menerima sebarang arahan untuk mengemukakan senarai calon parti masing-masing sebagai persediaan menghadapi pilihan raya mengejut itu.

Ahmad Husni berkata, selaku Bendahari BN dan UMNO serta memegang jawatan Timbalan Pengerusi UMNO Perak, beliau pastinya telah mempunyai maklumat jika benar satu pilihan raya mengejut akan diadakan di Perak.

"BN Pusat bermesyuarat kira-kira dua minggu lepas, UMNO Pusat bermesyuarat pada minggu lepas dan BN Perak juga telah bermesyuarat baru-baru ini, tidak ada dibincangkan langsung mengenai soal pilihan raya mengejut.

"Sebaliknya mesyuarat berkenaan hanya mengingatkan bahawa semua parti komponen BN perlu bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang bagi memastikan kerajaan BN mendapat mandat besar bagi terus mentadbir negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersama Pemimpin di Dewan Merdeka di Tapah hari ini sempena lawatan kerja beliau ke Parlimen Tapah.

zambry perak state pc 130509 01Desas-desas pilihan raya mengejut di Perak timbul selepas seorang Timbalan Presiden sebuah parti komponen BN dikatakan menyerahkan senarai nama calon daripada parti itu kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam satu perjumpaan tertutup di kediaman rasmi Menteri Besar pada petang semalam.

Sumber daripada parti komponen BN itu turut mendakwa bahawa pilihan raya mengejut berkenaan akan berlangsung pada September ini mengikut perancangan awal Zambry.
- Bernama

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails