Geng Aku

Jumaat, 6 November 2009

Kelantan tak pandang rendah N. Sembilan.

SEGALA-GALANYA boleh berlaku, sebarang kesilapan pasti mengundang padah.

Justeru, jurulatih Kelantan, B. Sathianathan (gambar) tidak mahu memperkecilkan kemampuan Negeri Sembilan apabila kedua-dua pasukan itu bertembung pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.




Dengan nada rendah diri, Sathianathan menganggap peluang untuk kedua- dua pasukan menang adalah 50-50 dengan kekuatan pemain yang seimbang setakat ini.

Katanya, bermain pada pentas final tidak sama seperti perlawanan biasa kerana kedua-dua pasukan pastinya memburu gol awal sebagai pencetus semangat.

"Semangat juga boleh dicetuskan oleh penonton dan sebab itu kehadiran penyokong yang ramai juga boleh menaikkan semangat pemain.

"Apa yang penting pemain tahu apa peranan mereka di tengah padang dan perlu mengawal emosi dengan baik," katanya kepada pemberita sewaktu bersama-sama pemain Kelantan berlepas ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam.

Sathianathan menambah, kekuatan kedua-dua pasukan adalah seim- bang dan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

"Kekuatan mereka pasti bertambah dengan percaturan pemain-pemain muda yang berbakat seperti S. Kunalan, Shahruin Abu Samah, Zaquan Adha dan Aidil Zafuan Abdul Radzak.




"Malah jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hasan sendiri telah bersama-sama dengan pasukan itu selama tiga tahun, jadi mereka kenal antara satu sama lain dengan rapat," jelasnya.

Untuk rekod, Kelantan belum pernah menjulang Piala Malaysia walau- pun pernah beraksi dalam dua perlawanan akhir iaitu pada edisi 1955 dan 1970.

Negeri Sembilan pula lebih bernasib baik apabila pernah menjulangnya pada 1948 ketika ia dikenali sebagai Piala HMS Malaya.

Kelemahan Hadi Awang.

Kepemimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dianggap sangat lesu sehingga beliau boleh diumpamakan "Pak Lah versi PAS", kata ahli akademik Prof Dr Abdul Aziz Bari hari ini.

Tun Abdullah Ahmad Badawi dianggap seorang pemimpin lemah, tidak tegas, lembab dalam pelaksanaan dasar dan dipersalahkan atas kemerosotan teruk BN sehingga dipaksa melepaskan jawatan presiden Umno dan perdana menteri.

Dr Abdul Aziz berkata, kekalahan bertubi-tubi PAS di Terengganu – negeri Abdul Hadi sendiri – pada pilihan raya umum 2004, selepas menawannya pada 1999, dan tahun lepas serta kemerosotan dalam beberapa pilihan raya kecil menyebabkan beliau meyakini bahawa kritikan tersebut mempunyai asas.

"Kemudian di Bagan Pinang, maaflah, sudah banyak sangat (kalah). Kali ini mungkin betul, bila sudah ada orang sebut, kita ada versi Pak Lah dalam PAS sendiri," katanya.

"Dan memang, kalau tengok kenyataan dia (Abdul Hadi), sama ada yang terbaru ini atau beberapa bulan ini, sudah jelas. Maksudnya, kenyataan tentang UG (kerajaan perpaduan) itu, bukan macam orang politik."

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu menambah, oleh itu Abdul Hadi dianggap "beban" parti itu untuk terus mengembangkan pengaruhnya dan memainkan peranan lebih besar dalam “politik baru” Pakatan Rakyat.

"Kita tidak peduli sama ada kumpulan dia (Abdul Hadi) masih bercinta dengan Umno. Itu kita tidak peduli. Tetapi bagi saya, dalam politik, tidak ada peluang kedua.

"Kamu sudah buat, (kemudian) gagal, keluar (berundur). Hendak bertengkar tentang dia jumpa lagi (dengan Umno atau) tidak, imej itu sudah terpalit kepada dia dan kumpulan dia, terutamanya (timbalan presiden) Nasharuddin (Mat Isa)," tambahnya.

'Sudah hilang stim'

Dr Abdul Aziz juga berkata, walaupun pada 1980-an dan 1990-an tokoh agama itu berpengaruh luas khususnya melalui pidato tetapi kini presiden PAS itu kini "sudah hilang stim".

"Dia sudang hilang stim. Sebahagian daripada tindak-tanduknya tidak datang daripada dia atau cuma disuap dalam mulutnya. Contoh yang paling jelas, (idea) kerajaan perpaduan," katanya.

"Tengok, atau kita banding dengan apa yang dibuat sekitar tahun 1980-an dengan amanatnya (petikan ucapan yang dilabel 'Amanat Hadi'). Ini secara efektifnya mengkafirkan Umno. Sekarang kenapa hendak bekerjasama dengan Umno?"

Dalam wawancara dengan Malaysiakini hari ini, pakar undang-undang perlembagaan itu mendakwa, kegagalan Abdul Hadi bertindak sebagai "tokoh nombor satu" diburukkan lagi oleh peranan pemimpin lain seperti Nasharuddin dan setiausaha agung Datuk Mustafa Ali.

Diminta mengulas sejak bila tokoh PAS itu "hilang stim", Dr Abdul Aziz berkata: "Sebelum (era) reformasi (1998) dia tidak ada peranan yang penting, (sebagai) naib presiden saja atau timbalan presiden.

"Jadi, saya rasa, masalah atau isunya sekarang ini dia seorang timbalan yang bagus. Itu yang selalu disebutkan. Dan itu saya setuju.

"Kalau dia (pada jawatan) nombor dua, dia seorang yang setia dan dapat melaksanakan apa yang disuruh. Tetapi kalau letak dia (sebagai) kapten, setakat ini memang jelas tidak dapat.

"(Keadaan) itu menjelaskan kenapa dia tidak dapat membalas serangan terhadap 'Amanat Hadi' itu. Jadi, serangan itu sudah bersifat politik dan dia sudah tidak dapat main lagi."

Beliau juga mendakwa, Abdul Hadi tidak lagi mempunyai ciri seorang pemimpin dalam senario politik baru, hubungan awamnya pula tidak baik dan gagal berfungsi sebagai ideolog atau peneraju utama yang menjelaskan wawasan parti seperti "PAS untuk semua" dan "negara berkebajikan".

Abdul Hadi masih lagi berlegar di sekitar isu Melayu-Islam semata-mata seperti isu yang dijuarai parti itu sejak dulu, tambahnya.

'Ciuman maut'

Dr Abdul Aziz, yang kini semakin lantang mendesak pengunduran Abdul Hadi, diundang membentangkan analisis kemerosotan PAS dalam seminar politik parti itu di Gombak, esok.

Seminar sehari itu, yang dijangka melibatkan 1,000 pemimpin atasan dan akar umbi PAS, dianjurkan susulan desakan untuk mengadakan muktamar khas bagi membincangkan "beberapa pemimpin bermasalah".

Ditemui di pejabatnya di kampus Gombak pagi ini, Dr Aziz berkata kelemahan Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang, sudah diketahui oleh barisan pemimpin PAS tetapi tiada siapa yang berani menegurnya secara terbuka.

"Semua orang tahu (kelemahan ini), tetapi siapa berani cakap dalam parti yang tema wala'-nya (kesetiaannya) cukup kuat," katanya.

Mengulas isu kerajaan perpaduan, Dr Abdul Aziz menyifatkan ia sebagai "ciuman maut" dan perangkap musuh politiknya Umno untuk terus mengkucar-kacirkan parti Islam itu.

"Kalau yang berunding itu (penasihat PKR, Datuk Seri) Anwar Ibrahim, (mursyidul am, Datuk) Nik Aziz (Nik Mat) atau (tokoh popular DAP) Lim Kit Siang, tidak ada masalah.

"Tetapi kalau dia dengan Nasharuddin ataupun yang lain-lain, (mereka ini) akan dilipat, diduduk oleh Umno (kerana kelemahannya)," katanya.

BN Ingin Merampas Kelantan Melalui Wang Ehsan!

Rakyat Kelantan berpendapat, nasib kerajaan negeri Kelantan akan menuruti jejak kerajaan PAS Terengganu sebelum ini apabila Umno menggunakan sepenuhnya Wang Ehsan untuk menjatuhkan kerajaan negeri itu.




Dengan keputusan pemberian Wang Ihsan bermakna, Umno negeri mempunyai sumber kewangan yang lebih dari cukup untuk berbelanja bagi membeli 'hati' rakyat Kelantan agar bersama mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

Sejurus kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai tuntutan royalti minyak akan dibayar dalam bentuk wang ihsan kepada Kelantan diumumkan, hampir 90 peratus dalam tinjauan The Malaysian Insider terhadap rakyat negeri ini mengutuk kerana kecewa dengan keputusan tersebut.

“Jelas, ini adalah keputusan politik. Najib cuba membelitkan fakta untuk menipu kerajaan negeri dan rakyat. Dia (Najib) ingat rakyat Kelantan ini bodoh. Sepatutnya dia lebih berdedikasi dengan percaturan politiknya jika ingin berpolitikpun,” kata seorang eksekutif di jabatan perkhidmatan awam.

Katanya, manefestasi sikap kerajaan di bawah pimpinan Najib semakin terserlah apabila sanggup mengingkari atau melanggar syarat perjanjian yang telahpun termaktub berhubung hasil pengeluaran petroleum negeri.

Kerajaan negeri telah membuat tuntutan royalti minyak terhadap kerajaan pusat pada awal tahun ini selepas menerima laporan daripada Bank Data Malaysia 2007 yang menyenaraikan Kelantan sebagai negeri utama dalam industri petroleum bersama Sabah dan Terengganu dengan nilai pertumbuhan sebanyak 62.5 peratus berbanding Sarawak 37.5 peratus sejak 2004.

Mengikut fakta perjanjian yang ditandatangani sekitar tahun 70-an oleh pengerusi Petronas, pada masa itu Tengku Razaliegh Hamzah, bersama kerajaan-kerajaan negeri lain berhubung perkara berkenaan dipersetujui oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, bahawa negeri terbabit berhak menerima royalti sebanyak 5 peratus hasil daripada pengeluaran petroleum yang merangkumi onshore (daratan) serta offshore (lautan).

Namun pada persidangan Dewan Rakyat malam semalam Najib mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan memberi wang ihsan kepada Kelantan hasil daripada pengeluaran minyak negeri itu mulai tahun depan dan ianya akan disalurkan dalam bentuk projek pembangunan.

Bagaimanapun keputusan itu dipertikaikan oleh exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, kerana kepada Terengganu, Sabah dan Sarawak ianya dibayar dalam bentuk royalti.

Bekas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Omar Mohammad, turut mempertikaikan keputusan Najib yang bertentangan dengan Akta Petroleum 144 di mana di dalam perjanjiannya tidakpun menyebut wang ihsan, tetapi ia disebut dengan royalti.

“Antara ihsan dan royalti tak sama, pergi ke mana pun,” tegasnya sambil menyifatkan tindakan Najib umpama mendera anak sendiri apabila cuba meragut hak mutlak milik rakyat untuk kepentingan politik Umno.

“Apa makna mereka buat begini? Menafikan royalti kepada duit ihsan, tapi akan disalur dalam bentuk projek. Ini semua drama tipu muslihat politik kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam usahanya untuk menawan Kelantan. Saya rasa rakyatpun lebih faham,” jelasnya.

Katanya juga, kerajaan BN sengaja ingin jadikan Kelantan menerusi isu terbabit sama dengan Terengganu yang pernah dinafikan royaltinya semasa pemerintahan PAS dulu.

Fakta ataupun sejarah perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri (Terengganu) pada 22 Mac 1975 (payment undur section 4, Petroleum Development Act, 1974), kerajaan negeri Terengganu telah menerima bayaran royalti selama lebih kurang 22 tahun berjumlah RM7.2 bilion.

Namun apabila PAS memerintah Terengganu selepas berjaya menumbangkan kerajaan BN dalam Pilihan Raya Umum 1999, mulai 5 September 2000 royalti minyak sebanyak 5 peratus ditukar kepada Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKPP) yang disebut sebagai wang ihsan.




Mengikut laporan, Tan Sri Anuar Musa juga, pada 2001 pernah membuat pengakuan di hadapan pelajar-pelajar pasca-siswazah Malaysia di Manchester bahawa sekatan royalti minyak ke atas kerajaan negeri Terengganu adalah tindakan politik.

Di samping itu, turut didedahkannya ialah bahawa salah satu cara untuk menyusahkan kerajaan Pas di Kelantan dan Terengganu adalah dengan melengah-lengahkan pembayaran peruntukan kerajaan Pusat dengan tujuan supaya rakyat akan beralih sokongan kepada Umno.

Kes Permohonan Speaker Kedah Bagi Semak Keputusan 12 Nov Ini.

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini Jumaat menetapkan Khamis depan untuk mendengar permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan Datuk Abu Hassan Sarif sebagai wakil rakyat Kota Siputeh.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan tarikh tersebut selepas peguam kedua-dua pihak meminta mahkamah mendengar dan menyelesaikan kes itu sebelum sidang DUN Kedah bermula 17 Nov ini.

Peguam Datuk Hafarizam Harun, yang mewakili Abu Hassan, dalam hujahnya berkata nasib anak guamnya berada di hujung tanduk apabila Speaker tidak lagi mengiktiraf Abu Hassan sebagai wakil rakyat dan dia dilarang menghadiri sidang DUN itu.

"Semalam, Speaker menghantar surat kepada anak guam saya dengan memaklumkan bahawa dia tidak diiktiraf sebagai wakil rakyat Kota Siputeh kerana alasan yang tercatat dalam permohonan semakan kehakiman.

"Isu ini perlu diperjelaskan dan kami akan memfailkan afidavit kami secepat mungkin," katanya.

Hafarizam mencadangkan jika kes itu gagal diselesaikan sebelum 17 Nov ini, Speaker harus memberi jaminan kepada mahkamah bahawa dia tidak akan menghalang responden (Abu Hassan) daripada menghadiri sidang DUN dan kerusi DUN Kota Siputeh tidak kosong sehingga mahkamah membuat keputusan.

Bagaimanapun, peguam Sulaiman Abdullah, yang mewakili Abdul Isa, tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan menggesa mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan untuk minggu depan.

"Anda perlu berlaku adil kepada mahkamah. Anda tahu perkara ini (persidangan DUN) akan datang, kenapa anda tidak memfailkan notis perakuan segera kepada mahkamah?. Kini saya terpaksa memutuskan isu perlembagaan yang penting dalam tempoh yang singkat," kata Hakim Alizatul.

Mahkamah kemudian mengarahkan semua pihak memfailkan afidavit masing-masing sebelum Khamis depan dan menyediakan hujahan bertulis sebelum prosiding kes bermula.

Abdul Isa memfailkan saman di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) pada 1 Okt lalu, menamakan Abdu Hassan daripada Barisan Nasional (BN) dan SPR sebagai responden.

Beliau memohon diisytiharkan Abu Hassan bukan lagi ahli DUN bagi kerusi Kota Siputeh berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan secara berturut-turut dan injunksi menghalang beliau daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi itu kosong dan memerintahkan SPR mengadakan pilihan raya kecil di samping memohon ganti rugi, kos dan faedah lain.

Pada 1 Sept lalu, SPR memutuskan tidak berlaku kekosongan di kerusi Kota Siputeh dan Abu Hassan masih menjadi wakil rakyatnya.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bertindak bagi pihak SPR.

Banjir Mula Melanda Kelantan

Kuala Krai dan Pasir Mas merupakan dua kawasan jajahan yang mula dilanda banjir di Kelantan apabila lebih 300 mangsa dilaporkan mula dipindahkan sejak tengah hari Jumaat berikutan limpahan air Sungai Kelantan dan Sungai Golok.

Ketua Pegawai Bilik Operasi Gerakan Banjir Negeri, Mohd Anis Hussein berkata di Pasir Mas sejumlah 190 mangsa banjir telah berpindah manakala di Kuala Krai membabitkan 130 orang.

"Bacaan Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan di Rantau Panjang sudah melepasi paras bahaya iaitu di Jenob 24.52 meter (bahaya 23.50 meter) dan di Rantau Panjang 9.94 meter (bahaya 9 meter)," katanya kepada Bernama.

Mohd Anis berkata bacaan di beberapa tempat di sepanjang Sungai Kelantan juga dilaporkan mula menghampiri paras bahaya berikutan hujan lebat sejak awal pagi ini.

Bagaimanapun setakat ini tiada kemalangan jiwa dan jalan utama yang terputus akibat banjir dilaporkan.

"Mangsa banjir telah dipindah ke sekolah-sekolah, pejabat dan surau yang dijadikan pusat pemindahan sementara dan kemungkinan ada juga yang berpindah ke rumah saudara-mara," katanya.

Cuaca di Kelantan ketika ini mendung dengan sekali sekala hujan lebat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Azmi Osman berkata seramai 540 pegawai dan anggotanya diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi membantu mangsa banjir pada musim tengkujuh tahun ini.

Katanya, pihaknya akan membekukan cuti semua kakitangannya bagi menghadapi sebarang kemungkinan jika banjir bertambah serius.

Kerabat Arab beri RM7 juta hargai kejujuran Rosmah






PUTRAJAYA: Semasa bercuti dengan keluarga di selatan Perancis pada Ogos lepas, Datin Seri Rosmah Mansor terjumpa sebuah kotak milik Putera Saud Al-Saud dari Arab Saudi dalam sebuah bot dan memulangkannya kepada kerabat diraja itu.

Sebagai balasan kerana kejujurannya itu, isteri Perdana Menteri diberikan US$2 juta untuk rakyat Malaysia yang memerlukan.

Hari ini, Rosmah mengagihkan sebahagian wang itu berjumlah RM20,000 setiap satu kepada 13 persatuan amal termasuk Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Majlis AIDS Malaysia, Yayasan Harapan Kanak-kanak Malaysia, Persatuan Orang Cacat Anggota Malaysia dan Persatuan isteri wakil rakyat Barisan Nasional di setiap negeri.

Beliau berkata US$1 juta lagi akan diserahkan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia yang menguruskan Sekolah Permata Pintar bagi menampung pembelian keperluan sekolah manakala baki RM2.98 juta akan disimpan dalam tabung khas Bakti bagi membiayai kos rawatan kanak-kanak dan wanita yang berpenyakit kronik yang tidak berkemampuan.

Ketika menceritakan pertemuan kotak itu kepada pemberita, Rosmah berkata beliau sekeluarga sedang bercuti atas jemputan putera diraja Kuwait yang berkawan dengan anaknya, Riza Shahriz.

"Semasa sedang berkemas ketika hendak balik, saya terjumpa kotak itu dan berikannya kepada pengurus bot dan beritahunya supaya pulangkan barang berharga ini kepada tuan punya. Saya kata jangan usik, jangan buat apa-apa. Pastikan ia dalam keadaan baik dan beri kepada Putera Saud Al-Saud," katanya.

Menurutnya dua minggu selepas itu baginda mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana memulangkan kotak itu yang tercicir semasa sedang bercuti dalam bot yang sama.
"Putera itu kata nak berikan hadiah dan saya kata hadiah terbaik adalah untuk kesejahteraan rakyat Malaysia," kata Rosmah.

Selepas menerima cek ganjaran itu, beliau berbincang dengan Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta beliau menguruskan wang itu secepat mungkin dan diagihkan kepada pihak yang memerlukan.

"Saya juga meminta pegawai dari Pejabat Perdana Menteri untuk ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia supaya sumbangan ini bersih dan tiada pihak yang memutarbelitkan fakta," kata Rosmah.

Kotak yang ditemui itu dipercayai mengandungi beberapa keping cek. BERNAMA

Mahathir terima anugerah Tokoh Takaful .

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dianugerahi anugerah Tokoh Takaful di Majlis Makan malam pertama dan Malam Penganugerahan 2009 Persatuan Takaful Malaysia (MTA), sebagai pengiktirafan sumbangan cemerlangnya kepada industri takaful.

Mahathir memainkan peranan utama memastikan industri takaful menerima sokongan kukuh dari kerajaan dan sokongan ini kekal sehingga hari ini, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah semasa berucap di majlis itu.

"Kita banyak terhutang budi kepada Tun Mahathir kerana sejak Oktober 1982, kurang setahun selepas memegang jawatan sebagai Perdana Menteri keempat, satu pasukan petugas dibentuk untuk meneroka daya maju syarikat insurans Islam di Malaysia," katanya.

Mahathir telah mengamanahkan tanggung jawab itu kepada Industri Kewangan Islam Malaysia, kata Pengerusi MTA Datuk Syed Moheed Syed Kamarulzaman.

Katanya Mahathir juga seorang individu dan pakar strategi yang mempunyai pelbagai kemahiran yang tersendiri, yang menjadikannya calon yang terbaik menerima anugerah itu.

Katanya pengendali takaful mempunyai peranan penting untuk menggalakkan inovasi, melengkapi strategi perniagaan masing-masing dengan penyelidikan dan pembangunan, bagi mereka bentuk produk dan perkhidmatan berinovasi yang baharu.

Katanya inovasi adalah kunci kepada peningkatan dan kemampanan pertumbuhan di dalam industri itu.

Industri takaful telah menyaksikan satu respons dan keyakinan yang positif berdasarkan pertumbuhan di dalam satu dekad yang lepas kerana rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan kehidupan, agama dan bangsa menerima takaful atrau insurans Islam. BERNAMA

”Saya bukan ajak…… saya suruh masuk PAS,” Dato’ Ustaz Harun Taib


http://www.buletinonline.net/images/stories/berita13/drasriharuntaib.jpgKUALA TERENGGANU – Kontroversi penangkapan bekas Mufti Perlis Dr. Ustaz Mohd Asri Zainal Abidin menyebabkan cerita beliau akan masuk PAS semakin hangat.

Tribulasi yang dihadapi beliau, ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan sebelumnya menerima memorandum bantahan dari sekumpulan peguam syari’e, meletakkan beliau semakin hampir kepada kehidupan pejuangan dan politik Islam.

Bagi orang-orang PAS, ditahan dan didakwa kerana mengajar ’tanpa tauliah’ sudah menjadi ’asam garam’ dalam perjuangan bersuara, menyuruh manusia melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran (amar ma’ruf, nahi mungkar).


Sehubungan itu Ketua Dewan Ulamak PAS, Dato’ Ustaz Harun Taib yakin Dr. Asri akan menyertai PAS tidak berapa lama lagi.(Gambar yang dirakam ketika kunjungan Ustaz Harun)
 
Ustaz Harun yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya, di Taman Seri Intan, dekat sini, hari ini, Khamis.

”Dia menjemput saya makan petang, minum petang dirumahnya,”kata Ustaz Harun memulakan cerita bagaimana beliau ke rumah Dr. Asri

”Memang dia jemput saya makan, melalui seorang kawan, saya pun pergi rumah dia, makanlah,

”seperti biasa saya berbual seperti zaman saya (mula) mengenal beliau, daripada sebelum dia masuk universiti, sampai keluar universiti,”terang Ustaz Harun.

Menurutnya, sejak Dr. Asri tamat pengajian di sebuah Universiti di Jordan, beliau belum bertemu dengan Dr. Asri, sehinggalah saat itu, kebetulan waktu Pilihanraya Kecil DUN
  Permatang Pasir di Pulau Pinang.
Katanya, rumah Dr. Asri berhampiran dengan kawasan Pilihanraya, dan sebab itu mungkin Dr. Asri menjemput beliau.

”Saya berbual ringkas, saya kata kepada dia, tidak sudah dengan duduk seorang (diri) maka lebih baik ’join’ PAS,”kata Ustaz Harun sambil membaca hadis ’Talzamul Jama’atul Muslimin Wa Imamahum’ (Wajib bagi seseorang kamu menyertai Jamaah Muslimin dan Kepimpinannya).

Katanya, Dr.Asri tidak menolak, cuma katanya beliau ’tunggu’ dan memberikan secara berseloroh, orang PAS sudah ramai.

”Saya belum terima jawapannya lagi,”jelas Ustaz Harun yang berkata beliau bukan mengajak, tetapi menyuruh Dr. Asri menyertai PAS.

”Saya bukan ajak, saya suruh dia menyertai PAS, ajak (bermakna) lain, kena duduk dalam PAS lah... saya kata,”tegas Ustaz Harun bila ditanya, adakah benar-benar beliau mengajak Dr. Asri menyertai PAS.


Pakatan Rakyat Usah Tiru Cara Barisan Nasional.


PENYALAHGUNAAN harta kerajaan dan harta awam dalam kempen-kempen pilihan raya kecil atau umum sudah menjadi lumrah di Malaysia. Parti-parti pembangkang berhempas pulas menentang penyalahgunaan harta kerajaan kerajaan semasa kempen pilihan raya yang selalunya dibuat oleh Barisan Nasional (BN).

Sayangnya parti-parti pembangkang sendiri apabila berkuasa di peringkat negeri dan menguasai kerajaan negeri dilihat mula menggunakan harta kerajaan untuk kempen bagi parti-parti mereka.

Tahap penggunaan harta kerajaan dan tempat awam kerajaan disalah guna oleh BN begitu ketara. Kerajaan Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat amat cantik dan demokratik dalam merealisasikan dan penghayatan demokrasi di Malaysia.

Dewan-dewan kepunyaan kerajaan digunakan untuk urusan kerajaan, manakala parti-parti politik dikehendaki menggunakan premis masing-masing untuk berkempen, berceramah dan menjalankan propaganda parti-parti mereka.

Harta dan kenderaan kerajaan digunakan hanya untuk urusan kerajaan, tidak digunakan secara berleluasa untuk urusan parti politik. Langkah yang dibuat oleh Angkatan Perpaduan Ummah (APU), kemudiannya Barisan Alternatif (BA) dan kini Pakatan Rakyat di Kelantan adalah langkah baru dalam mempraktikkan amalan demokrasi di Malaysia.

Langkah yang diambil oleh pemerintahan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, membolehkan pihaknya bertahan sudah lima penggal, walaupun tidak menggunakan harta kerajaan secara ghairah dan berleluasa.

Kebelakangan ini penguasaan kuasa parti politik dan kerajaan di Kelantan mulai goyah. Langkah-langkah perlu diambil untuk memperbetul dan mengembalikan semula amalan pemerintahan Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada awal penguasaan terhadap pentadbiran negeri Kelantan.

Walauoun ia belum ghairah seperti penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan BN, namun langkah kembali seperti amalan tahun 90-an mesti dipertahankan di Kelantan. Tidak menggunakan kereta-kereta exco kerajaan negeri dalam kempen pilihan raya di Kelantan dan di luar Kelantan, kemenangan bergantung kepada kekuatan politik parti (PAS, S46, KeADILan) adalah menjadi sanjungan rakyat dan dibuktikan dapat bertahan selama lima penggal.

Penyalahgunaan harta kerajaan dan tempat awam kerajaan lambat laun dibenci oleh rakyat, apabila pejuang demokrasi mengambil langkah yang sama seperti BN untuk mempertahankan kerajaan mereka.

Paling banyak dewan-dewan orang ramai adalah di Selangor. Dasar kerajaan Pakatan Rakyat dalam hal penggunaan dewan awam amat dialu-alukan. Mana-mana parti politik atau badan-badan NGO diizinkan menggunakan dewan-dewan awam apabila berlaku kekosongan dan dibayar sewa mengikut kadar yang ditetapkan.

Pembaharuan ini mesti dipertahankan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, untuk membuktikan kita berjuang untuk keadilan dan keadilan itu dapat diperlihatkan, dan demokrasi dapat ditegak atau diamalkan. Jangan langsung ada sikap "kalau kerajaan BN boleh salah guna kenapa kita tak boleh?"

Walaupun dalam pilihan raya kecil di Bagan Pinang sudah mula kelihatan kenderaan kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, kita harap ia tidak berleluasa dan kalau boleh hentikan terus amalan itu supaya kerajaan Pakatan Rakyat langsung tidak meniru penyalahgunaan harta kerajaan yang dibuat kerajaan BN.

Sikap ingin bersaing dengan BN dalam hal penyalahgunaan kuasa dan penyalahgunaan harta kerajaan mesti dihentikan terus, biarlah BN dengan rakus dan sombong menyalahgunakan harta awam, Pakatan Rakyat mesti memulakan langkah baru dalam hal berpolitik di Malaysia.

Semasa pilihan raya kecil di Bukit Selambau, langkah kerajaan Pakatan Rakyat Kedah tidak menggunakan premis awam untuk berceramah, berkempen dan menjalankan kegiatan parti (Pakatan Rakyat) adalah langkah yang dialu-alukan.

Dengan tidak menggunakan harta dan tempat awam, KeADILan yang mewakili Pakatan Rakyat tetap mencapai kemenangan dengan cemerlang.

Langkah Pakatan Rakyat tidak menggunakan harta awam pada pilihan raya kecil Bukit Selambau mesti dipertahankan. Janganlah ada pemikiran, kalau BN salah guna kenapa kita Pakatan Rakyat tidak lakukan sedemikian. Mempertahankan keaslian demokrasi mesti dijelmakan dalam pemikiran dan tindakan rakyat Malaysia.

Kita boleh melihat dengan jelas bahawa sekolah kerajaan dijadikan penempatan Puteri,  Putera dan Pemuda Umno khasnya dalam pilihan raya kecil Anak Bukit dan Parlimen Pendang, Kedah.

Lama-kelamaan rakyat yang terbuka minda semakin meluat kepada BN di atas tindakan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan mereka. Kenderaan Kementerian Penerangan digunakan semahu-mahunya untuk BN berkempen dalam pilihan raya kecil atau umum.

Kemeluatan rakyat kepada BN makin bertambah. Harta kerajaan dan  harta rakyat seolah-olah sudah menjadi harta parti mereka yang diwarisi daripada bapa-bapa mereka.

Kerajaan Pakatan Rakyat mesti dan wajib membendung penyalahgunaan tempat awam, harta kerajaan, kenderaan kerajaan untuk berkempen bagi pihak parti-parti mereka.

Unsur nak meniru kejahatan BN, dan jangan biarkan ia mula muncul di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat. Harap kita berazam untuk hentikan dan berjanji tidak melakukan kesilapan dan kedurjanaan BN. Sesungguhnya rakyat akan selamat di bawah pemimpin berhemah.

Rakyat Lebih Islam Di Bawah Kerajaan PR.

”Pas adalah satu-satunya gerakan Islam tunggal di Malaysia yang menggerakkan jihad siyasi (politik) dengan menggunakan wadah berpolitik untuk berdakwah,” kata Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussein di sini, semalam.




Abu Bakar berkata, gerakan memperjuangkan Islam yang tidak pernah putus sejak sebelum merdeka ini, telah didaftarkan secara rasmi menggunakan medium sebuah parti iaitu Parti Islam SeMalaysia (Pas) mengikut kehendak kerajaan untuk memberikan lebih ruang bagi menggerakkan dakwah Islam di Malaysia.

Menurutnya, segala hasil daripada gerak kerja Islam yang dilakukan oleh Pas selama ini, rakyat dapat melihat dan mengenali ajaran Islam yang sebenar dianjurkan oleh Islam.

“Kini, rakyat semakin keliru melihat model Islam yang dianjurkan oleh UMNO dan hasil daripada itu telah menyebabkan rakyat semakin jauh dari memahami Islam yang sebenar.

“Hasil daripada dakwah yang dibuat oleh gerakan Islam PAS ini, kita dapat melihat bukan sahaja masyarakat Melayu dapat memahami kebaikan dan kehebatan Islam, malah masyarakat bukan Melayu bukan Islam juga dapat memahami Islam yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang pemerintahan PR selama 10 bulan, ADUN PR yang bukan Islam dapat memetik beberapa terjemahan ayat al-Quran bilamana ada di kalangan orang Islam yang belum pernah terfikir menggunakan ayat itu dalam kehidupan.

“Malah, ada di kalangan ADUN PR yang bukan Islam mampu membaca ayat al-Quran, bahkan semakin ramai kaum bukan Islam memahami ajaran Islam sebenar diterjemahkan dalam perjuangan Pas.

“Justeru, Pas melihat perkara ini sebagai peluang untuk melebarkan dakwah Islam, yang menjadi asas pergerakan Pas serta melihat perkembangan baik buat Islam serta kita juga tidak menghalang masyarakat bukan Islam mengenali Islam secara lebih dekat,” katanya.

Pakatan Mohon Daftar Sebagai Psrti Politik.




Pakatan Rakyat telah memohon secara rasmi untuk berdaftar sebagai sebuah parti politik dengan bekas Menteri Undang-Undang Zaid Ibrahim sebagai pengerusinya.


Sumber-sumber memberitahu bahawa permohonan itu telah dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan awal minggu ini untuk mendapat kelulusan.

Zaid, anggota Biro Politik Parti Keadilan Rakyat sebelum ini memberitahu bahawa beliau berharap memperolehi kelulusan berkenaan sebelum Konvensyen sulung Pakatan Rakyat pada bulan hadapan.

Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh Keadilan, PAS dan DAP. Zaid turut membayangkan kemungkinan Pakatan Rakyat dianggotai oleh beberapa lagi parti dalam masa terdekat.

Gagasan itu kini memerintah Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang. Ia turut menubuhkan kerajaan negeri di Perak selepas pilihanraya umum 2008 sebelum Umno-BN melancarkan rampasan kuasa awal tahun ini.

Pertikaian menentukan kesahihan kerajaan negeri Barisan Nasional di Perak kini dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Pendaftaran sebagai sebuah entiti politik akan membolehkan Pakatan Rakyat mengatasi pelbagai kekangan Suruhanjaya Pilihanraya, termasuk peraturan bahawa parti-parti yang tidak bertanding dilarang menaikkan bendera mereka pada sesuatu pilihanraya kecil.

Ini menghalang PKR, PAS dan DAP membantu sesama mereka secara berkesan apabila satu daripada tiga parti itu bertanding menentang Barisan Nasional yang merupakan parti berdaftar dengan 14 anggota komponen.

Pendaftaran rasmi Pakatan Rakyat akan menandakan bermulanya sistem politik yang berteraskan dwi-parti sebagaimana di kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain.

Walaupun menjadi sasaran laporan berat sebelah dan fitnah oleh media arus perdana di samping menangani pelbagai kemelut dalaman, hubungan rapat antara Keadilan, PAS dan DAP membolehkan Pakatan Rakyat menang tujuh daripada sembilan pilihanraya kecil sejak Mac tahun lalu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails