Kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji. Setelah 20 tahun Perjanjian Damai Haadyai dimeterai antara Parti Komunis Malaya (PKM), kerajaan Malaysia dan kerajaan Thai, sejauh manakah janji yang termaktub dalam persetujuan ini ditunaikan?

"20 tahun telah berlalu, kami dengan bangga mengumumkan, pihak Parti Komunis Malaya telah melaksanakan semua janji dan kewajipan yang ditentukan oleh Perjanjian Damai Haadyai," kata IndraVijaya Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Majlis Memperingati Ulang Tahun ke-20 Penandatanganan Persetujuan Damai Haadyai.
Mengimbas kembali sejarah 20 tahun yang lalu, Indra Vijaya Abdullah mendakwa bahawa perjanjian damai tercapai kerana "semua pihak betul-betul ingin menyelesaikan masalah", dan berpegang kepada prinsip ikhlas, samarata, saling menghormati dan sama-sama menang.
Beliau juga mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada kerajaan Thai yang membantu anggota PKM melalui projek Kampung Puteri Chulabhorn, dan menerima mereka sebagai warganegara Thailand.
Keikhlasan kerajaan Malaysia teruji

Beliau seterusnya merayu kepada semua pihak yang berkenaan, agar bersungguh-sungguh melaksanakan semua terma dan kewajipan yang termaktub dalam Perjanjian Damai Haadyai pada tahun 1989.
Lebih daripada seribu orang, dari pelbagai kaum dan bangsa menyertai Mesyuarat Agung Tahun 2009 dan Majlis Memperingati Ulang Tahun ke-20 Penandatanganan Persetujuan Damai Haadyai yang diadakan di Hotel Lee Gardens, Haadyai, semalam. Ramai antara mereka yang berpelukan dan berjabat tangan, apabila berjumpa dengan rakan seperjuangan yang lama.

Chin Peng, Setiausaha Agung PKM menjadi tumpuan apabila muncul di Majlis ini pada usia ke-85 tahun. Beliau menerima tepukan gemuruh ketika memasuki dewan di Hotel Lee Gardens, hotel yang sama ketika Perjanjian Damai Haadyai ditandatangani 20 tahun yang lalu.
Hasrat Chin Peng tidak tercapai
Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Persahabatan Abab ke-21 Malaysia, Chai Kan Fook ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Tahun 2009, menyeru agar kerajaan Malaysia melaksanakan kewajipan yang termaktub dalam Perjanjian Damai.

Walau bagaimanapun, mereka terpaksa menunggu sehingga tahun ini, untuk melihat kehadiran Chin Peng. Chai Kan Fook menceritakan bagaimana anggota PKM memulakan kehidupan baru selepas tamatnya perjuangan senjata dalam hutan.
Chai Kan Fook bersyukur kerana keperitan dalam zaman perperangan telah melatih agar anggota PKM tidak tumbang walaupun berdepan dengan kesulitan hidup yang baru. Chai juga mengingatkan bahawa masih ada rakan seperjuangan kaum Melayu yang hidup dalam kesusahan, jadi mereka perlu saling membantu untuk mengharungi keperitan hidup.

Sebelum Mesyuarat Agung Tahun 2009 Persatuan Persahabatan Abab ke-21 Malaysia berakhir, ahli yang hadir dengan sebulat suara meluluskan usul untuk merayu agar kerajaan Malaysia menghormati Persetujuan Damai Haadyai yang dimeterai, termasuk membenarkan Setiausaha Agungnya, Chin Peng untuk kembali ke tanah air.
Usulan Mesyuarat Agung Tahunan 2009 Persatuan Persahabatan Abad ke-21 Malaysia

1. Mesyuarat agung ini merayu kepada Kerajaan Malaysia agar mengesahkan Persetujuan Damai Haadyai adalah Persetujuan yang berkuatkuasa undang-undang dan diiktiraf umum, dan hendaknya memikul tanggungjawab yang tak boleh dielakkan bagi melaksanakan segala terma Persetujuan itu, dan membenarkan bekas Ketua Perwakilan Parti Komunis Malaya Chin Peng yang selaku salah satu penandatangan utama Persetujuan itu kembali ke negeri tumpah darahnya di Malaysia.

3. Mesyuarat agung ini merayu kepada parti-parti memegang kuasa dan parti-parti tidak memegang kuasa berserta pertubuhan-pertubuhan am bahawa hendaknya bersama-sama mengenepikan perselisihan pendapat antara parti-parti atau pertubuhan-pertubuhan, dan mengutamakan kepentingan rakyat, mendorong pembaruan demokratik masyarakat, dengan sikap terbuka dan bertoleransi memansuhkan undang-undang yang tidak adil, meminda peraturan-peraturan yang tidak relevan, harus dengan sikap proaktif menangani krisis kewangan global yang serius, berusaha keras memajukan ekonomi nasional dan menjaga kesejahteraan rakyat, benar-benar melaksanakan projek membasmi kemiskinan tanpa mengenal kaum, membina ekosistem yang dapat dimajukan secara berterusan dan membina satu masyarakat majmuk yang harmoni dan adil, menyanjung demokrasi, dan menyanjung kedaulatan undang-undang.