Geng Aku

Jumaat, 8 Januari 2010

Setiausaha Agung PKR Letak Jawatan



Datuk Salehuddin Hashim semalam meletak jawatan sebagai setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menumpukan perhatian terhadap bidang kerjayanya.


Bagaimanapun, beliau, yang mengambilalih jawatan tersebut daripada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khlaid Ibrahim, pada Mac 2008, kekal sebagai anggota biasa dalam part itu.

"Cukuplah enam tahun saya aktif dalam parti, lagi pun saya nampak ada orang lain yang lebih berkebolehan dan lagi pandai untuk menggantikan saya," katanya kepada Bernama di sini.



Salehuddin berkata surat perletakan jawatan sudah pun dihantar kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali pada pukul 5 petang semalam.

Katanya beliau ingin menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang perundingan pengurusan minyak dan gas di Amerika Syarikat.

Salehuddin mula menyertai PKR pada 2004 sebagai setiausaha pengelola sebelum dilantik menjadi setiausaha agung.

Raja Perlis Selar Imam Cari Populariti



Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menegur sikap segelintir imam yang lebih gemar mencari populariti di kalangan anak jemaah sehingga membelakangi arahan Majlis Agama Islam dan Adat Islam Perlis (MAIPs).


Baginda kecewa kerana sikap imam yang lebih mengutamakan pandangan anak-anak jemaah bagi mengekalkan populariti mereka akan menjejaskan sistem pengurusan agama Islam negeri ini.

"Imam adalah pemimpin agama bagi qariah mereka dan perlu ada pendirian tegas dalam amalan anak-anak jemaah mereka," titah baginda semasa merasmikan Masjid Ar-Rahim Titi Tok Bandar dekat sini malam semalam.

Turut berangkat ke majlis perasmian masjid berharga RM2.3 juta itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Raja Perlis bertitah dalam lawatan baginda ke masjid-masjid di seluruh Perlis, baginda dapati ada imam yang gagal mematuhi arahan MAIPs.

Baginda kecewa kerana imam-imam memaklumkan kepada baginda bahawa mereka terpaksa mengingkari MAIPs kerana mengikut kehendak anak jemaah.

"Setiap imam di negeri ini jangan suka mencari populariti untuk mendapat undian banyak daripada anak jemaah seperti dalam rancangan realiti Akademi Fantasia," titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin menasihati para imam yang meragui arahan MAIPs supaya mendapatkan penjelasan MAIPs dan bukan anak jemaah mereka.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dalam teks ucapannya yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Jafperi Othman berkata, lebih banyak kursus kepada para pegawai masjid akan diadakan bagi meningkatkan kualiti pentadbirannya.

Katanya, pengurusan masjid juga diarah mempelbagaikan aktiviti mereka supaya masjid bukan sahaja sebagai tempat beribadat, tetapi juga tempat penyatuan masyarakat.

Md Isa berkata, pada tahun ini banyak masjid akan dinaik taraf termasuk beberapa buah masjid akan mengadakan khutbah Jumaat multimedia supaya anakanak jemaah lebih khusyuk dan mudah memahami kandungan khutbahnya. - BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails