Geng Aku

Selasa, 9 Mac 2010

2 Tahun PR Memerintah, Umno Masih 'Gila Talak'



Biarpun dua tahun pakatan rakyat memerintah Pulau Pinang, Umno dan Barisan Nasional (BN) masih dilihat 'gila talak' dan sukar menerima hakikat mereka kini bergelar pembangkang di negeri itu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, sikap itu jelas dapat dilihat apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Umno dan BN masih enggan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menjayakan program untuk kebaikan rakyat negeri itu.

"Kerajaan Negeri boleh bekerjasama dengan mana-mana Adun pembangkang untuk mengadakan program kemasyarakatan tetapi jelas, mereka angkuh. 

"Untuk adakan juga kita terpaksa menyalurkan melalui agensi lain, " ujar Lim ketika berceramah di Pusat Pendidikan Islam Padang Menora, Tasek Gelugor sempena Ulangtahun Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Tegas Lim, mereka bukan sahaja enggan memberikan kerjasama, malah menyerang pula kerajaan negeri dengan isu perkauman dan agama seperti anti Melayu, diktator dan pelampau Cina.

Serangan sedemikian jelas Lim kerana kemarahan segelintir kepimpinan Umno dan BN ekoran syarikat kroni mereka terlepas peluang mendapatkan projek semenjak kerajaan negeri memperkenalkan sistem tender terbuka.

"Tengok kes gerai mereka sanggup mengheret Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bersama bersekongkol menyerang kita. 

"Sepatutnya kita sama-sama membina keutuhan kerana Kerajaan Negeri bukan anti Melayu-Islam, " tegasnya.

Dalam ceramah itu juga, Lim mengumumkan kerajaan negeri akan memberikan RM100 setahun kepada warga emas bagi menghargai mereka dan berusaha membasmi miskin tegar tidak kira bangsa, agama dan latar belakang politik.

Pemberian itu akan bermula penghujung Mac ini kepada warga emas berdaftar.

Turut berceramah malam tadi ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Dr Mansor Othman dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu. 

Najib Tolak P'Raya Peringkat PBT.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menolak tuntutan dua kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk mengadakan pilihan raya di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, pilihan raya PBT tidak perlu diadakan kerana ia hanya menyebabkan wujudnya politiking.

6 Mac lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata beliau telah mengutus surat kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf meminta mereka menguruskan perjalanan pilihan raya kerajaan tempatan.

Pilihan raya itu membabitkan dua majlis tempatan - Majlis Tempatan Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Tempatan Seberang Perai (MPSP)

Selang sehari kemudian, kerajaan Selangor pula mengikuti jejak langkah Pulau Pinang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim beliau juga akan mengutus surat kepada SPR bagi mengendalikan pilihan raya tempatan negeri itu. 

Pilihan raya kerajaan tempatan ditiadakan lebih 40 tahun lalu berikutan pengenalan Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memansuhkannya.

Ia digantung berikutan perisytiharan darurat pada 3 Sep 1964 dan sehingga hari ini belum dipulihkan.

Desakan agar pilihan raya PBT diadakan semula semakin mendapat sokongan sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana orang ramai tidak berpuas hati dengan dakwaan pentadbiran serta pengurusan kewangannya yang lemah.

Sementara itu, ahli dewan undangan negeri, Seri Setia,Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa Najib supaya tidak menjadikan piliha raya PBT itu satu isu besar.

Katanya,terlalu awal bagi Najib membuat komen sedemikian sedangkan SPR masih belum membuat keputusannya.

"Jelas, Umno terperangkap pada masa silam," katanya ketika dihubungi.

Sambil menekankan bahawa "ketelusan" dan karenah birokrasi yang minimum mampu membantu urus tadbir yang baik, tambahnya, pilihan raya PBT diamalkan di negara-negara di seluruh dunia yang demokrasinya matang.

Adun, Jawi, Tan Bee Huat juga bersependat dengan Nik Nazmi.

Menurutnya, ahli majlis yang dilantik oleh rakyat akan memastikan mereka melaksanakan tanggung jawab dengan baik.

Beliau juga menggesa Perdana Menteri supaya lebih berfikiran terbuka dan mengingatkan beliau bahawa mereka yang dilantik itu sepatutnya berkhidmat kepada rakyat dan bukannya ahli politik.

GERAK Cadang Ahli Parlimen Lompat Parti Hilang Kelayakan, Jawatan.


Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK) hari ini mencadangkan Ahli  Parlimen yang melompat parti, hilang kelayakan dan jawatan secara automatik sebagaimana amalan Parlimen India.

Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu juga menggesa  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan sama ada tindakan melompat parti itu didorong gejala rasuah atau suapan politik bernilai jutaan ringgit.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Ahli Lembaga Pengarah GERAK, mereka melihat gejala lompat parti sebagai mengkhianati dan menodai kepercayaan pengundi terhadap amalan demokrasi berparlimen di Malaysia.



GERAK juga menggesa SPRM memantau gejala lompat parti dan mengambil tindakan segera jika ada bukti, selain meminta mana-mana pihak yang memiliki maklumat mengenai amalan rasuah menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

GERAK juga menyeru supaya Ahli Parlimen di Malaysia supaya lebih berintegriti dan amanah terhadap tanggungjawab memperjuangkan nasib rakyat dan negara.


Kebelakangan ini, beberapa pemimpin bermasalah dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) belot dan melompat parti sama ada mengaku sebagai wakil rakyat bebas atau menyertai Umno.

Antara mereka ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Samsuri.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails