Geng Aku

Ahad, 14 Februari 2010

Tender Tidak Lulus Punca Zahrain Keluar Parti



Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan tindakan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar daripada PKR sebagai menjaga kepentingan individu dan peribadi.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, keretakan antara beliau dan Anggota Parlimen Bayan Baru itu berpunca apabila Zahrain gagal mendapatkan kelulusan tender bernilai RM40 juta untuk mengurus projek Bukit Jambul Golf Resort.

Katanya, beliau tidak meluluskan tender tersebut kerana syarikat yang disokong kuat oleh Zahrain baru sahaja ditubuhkan dua bulan sebelum tender projek dikeluarkan iaitu pada akhir September 2008.

"Saya rasa punca utama beliau letak jawatan ialah gagal dapat projek itu. Adakah saya diktator jika saya tidak beri kelulusan tender berjuta-juta itu kepada syarikat 'dua ringgit' itu?," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa syarikat berkenaan baru sahaja ditubuhkan dan menyebabkan beliau tidak yakin dengan keupayaan syarikat untuk mengendalikan projek yang bernilai lebih RM40 juta itu.

"Saya rasa Zahrain masih lagi geram kerana saya tidak luluskan tender tersebut pada syarikat dua ringgit itu dan punca beliau keluar parti dengan mengatakan saya seorang diktator," katanya.

Selain itu, Lim juga mempersoalkan tindakan Zahrain meletak kesemua jawatannya dalam parti, tetapi tidak sebagai Pengerusi dan Anggota Lembaga Pengarah Island Golf Properties Sdn Bhd sedangkan jawatan itu dilantik oleh kepimpinan parti dalam pakatan pembangkang.

Semalam, Zahrain mengumumkan keluar daripada PKR kerana kecewa dengan perjuangan parti itu dan hilang kepercayaan terhadap penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, beliau yang mengisytiharkan dirinya sebagai Anggota Parlimen Bebas, berkata keputusan itu dibuat kerana tidak yakin dengan kerajaan pakatan pembangkang Pulau Pinang pimpinan Lim yang dianggapnya diktator dan berfikiran ala komunis. - BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails