Geng Aku

Khamis, 25 Mac 2010

Syed Husin Mahu Utusan Mohon Maaf Isu Pembubaran PRM.


Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed husin Ali menghantar notis kepada Utusan Malaysia menuntut akhbar milik Umno-Barisan Nasional itu membuat permohonan maaf kepada beliau dan membayar ganti rugi RM10juta.

Notis yang dihantar semalam, melalui Peguambela & Peguamcara Edwin Lim Suren & Soh, diberikan kepada Pengarang dan Pengarang Pengurus Utusan Melayu Bhd dan juga seorang individu bernama Zamil Ibrahim.


Syed Husin dalam satu kenyataan medianya berkata, notis itu berhubung sebuah berita fitnah yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 6hb Mac 2010 bertajuk “RM500,000 Syed Husin dicabar lapor polis”.

Katanya dalam berita tersebut beliau dituduh kononnya menerima RM500,000 daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bayaran untuk membubar Parti Rakyat Malaysia (PRM) bagi memudahkan percantuman dengan Parti Keadilan Nasional dan membentuk Parti Keadilan Rakyat.

Beliau berkata, Utusan diberi tempoh tujuh hari dari tarikh surat tuntutan untuk memberikan jawapan dan sekiranya gagal, tindakan undang-undang akan diambil terhadap akhbar berkenaan.

Bekas Tahanan ISA Hilang Ganti Rugi RM2.5 Juta.


Seorang bekas tahanan menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hilang ganti rugi RM2.5 juta setelah Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan tuntutan samannya.

Hakim Md Raus Shariff yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan bahawa penahanan Abdul Malek Hussein adalah sah dan menolak semua dakwaan yang dia diseksa semasa dalam tahanan.

Dua hakim lain yang itu ialah hakim mahkamah persekutuan - Sulong Matjeraie dan Ahmad Maarop.

malek hussin isa court case 181007 malik and sivarasaBerikutan keputusan itu, Abdul Malek (kiri) tidak layak mendapat sebarang pampasan kewangan tetapi sebaliknya diarahkan oleh Mahkamah Rayuan untuk membayar kos RM50,000.

Sementara itu, Abdul Malek berkata beliau akan membawa kesnya itu ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan hari ini.

Abdul Malek, ditangkap dan mendakwa dia diseksa oleh kerajaan pada tahun 1998. 

Beliau kemudiannya memfailkan saman pada Mac 1999, terhadap anggota cawangan khas, Borhan Daud; Ketua Polis ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor dan kerajaan Malaysia. 

Pada 2007, hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan penahanan Abdul Malek ketika demonstrasi reformasi itu dibuat dengan niat jahat berdasarkan Artikel 5, Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah juga menganugerahkan gantirugi RM2.5 juta kepadanya.

Gambar Zaris Nelydia Bersosial.

Penulis tidak pasti siapa Zaris ini kerana penulis jarang menonton televisyen. Tapi apa yang difahamkan, Zaris Nelydia merupakan salah seorang pelakon di dalam drama Spa-Q.





Mayat Ibu, Anak Ditemui Selepas Empat Hari Terlibat Kemalangan.


LOKASI mayat salah seorang mangsa ditemui selepas empat hari mereka terlibat dalam kemalangan di Hulu Selangor semalam.


Misteri kehilangan dua beranak selepas keluar dari rumah mereka di Cheras Sabtu lalu terjawab apabila kedua-duanya ditemui mati selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 417, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke selatan di sini semalam.

Mayat M. Margaret, 34, dan anaknya yang berusia setahun, J.R. Ezekiel Shammah ditemui di dalam gaung sedalam 30 meter.

Teman lelaki Margaret, T. Silvakumar, 23, yang memandu kereta jenis Myvi itu bagaimanapun terselamat dan dirawat di Hospital Ipoh, Perak.

Malangnya, ketika ditemui oleh peronda lebuh raya pada hari kejadian di atas jalan selepas dapat merangkak dari gaung itu, Silvakumar yang cedera parah di kepala tidak mengingati apa-apa menyebabkan mayat dua beranak itu gagal ditemui lebih awal.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Affandi Yahya berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.

Kasino Nelayan, Petani Diserbu.


MASZELY menyoal salah seorang daripada sebelas kaki judi yang ditahan dalam operasi di Sekinchan semalam.


Tindakan pasangan suami isteri yang menjadikan rumah banglo dua tingkat mereka sebagai 'kasino mini' sejak sebulan lalu untuk petani dan nelayan terbongkar apabila diserbu di Kampung Baru di sini kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 8 malam itu, seramai sembilan petani termasuk pasangan terbabit ditahan ketika sedang asyik berjudi.

Selain tangkapan, polis turut merampas wang pertaruhan berjumlah RM8,000.
Pemilik premis itu turut memasang dua buah kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

Pegawai Pencegahan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Supritendan Maszely Minhad berkata, ketika serbuan, kesemua suspek yang berusia di antara 38 hingga 63 tahun cuba melarikan diri.

"Pemeriksaan mendapati rumah tersebut dilengkapi dengan beberapa bilik khas yang disediakan untuk petani dan nelayan melepaskan lelah sambil berjudi selepas seharian bekerja.

"Siasatan awal mendapati rumah tersebut dijadikan tempat untuk berjudi sejak tiga minggu lalu," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan semalam.

Semua Pembangkang Ingin Menjatuhkan Kerajaan Pemerintah.

Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu) (gambar) bersetuju dengan pelan peralihan kuasa 16 September kerana mana-mana parti pembangkang akan berusaha menjatuhkan kerajaan.
 
Dalam satu sidang media di lobi Parlimen petang ini, beliau berkata, mana-mana parti semestinya mempunyai hasrat untuk menggulingkan kerajaan pemerintah.

"Rancangan 16 September ini pada saya satu rancangan yang tidak salah. Mana-mana parti pembangkang akan berusaha menjatuhkan kerajaan cuma caranya biar beretika, berakhlak," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan kenyataan beliau sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong pagi tadi.

Dalam ucapannya pagi tadi, beliau turut mendedahkan bahawa pernah ditawarkan habuan yang boleh menggugat iman bagi mendapatkan akuan bersumpah dari pihak ketiga mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.


Menjelas lanjut, beliau berkata, Allah telah menyelamatkan beliau daripada melakukan perkara tersebut.

Beliau bagaimanapun, enggan mendedahkan dalam sidang media itu individu yang dikatakan menawarkan ganjaran itu dan apakah bentuk ganjaran yang ditawarkan.


Dalam pada itu, menyentuh mengenai kes qazaf melibatkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohd Saiful Bukhari Azlan, beliau berkata, Anwar berhak memohon kes itu dibicarakan di Mahkamah Syariah kerana yang menuduh dan dituduh ialah orang Islam.

"Sebagai seorang Islam, Anwar berhak minta dibicarakan di bawah sistem perundangan Islam. Yang kena tuduh orang Islam, yang menuduh orang Islam. Saksi-saksi ramai orang Islam dan kita ada peruntukan syariah Seksyen 25 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan berkaitan liwat,” katanya.

Beliau sebelum ini merupakan salah seorang peguam yang mewakili Anwar dalam kes berkenaan.

Isu Royalti: Ku Li Dilantik Wakil Perunding Kelantan.


Kerajaan PAS Kelantan memutuskan untuk melantik bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai wakil kerajaan negeri dalam rundingan tuntutan royalti minyak dengan Kerajaan Pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini.
Beliau berkata mesyuarat itu juga memutuskan supaya Tengku Razaleigh, yang juga Anggota Parlimen Gua Musang, menyelesaikan isu tuntutan dalam tempoh empat bulan berkuatkuasa hari ini.

"Mesyuarat Exco hari ini mengambil keputusan bersetuju melantik Tengku Razaleigh sebagai wakil kerajaan ini untuk berunding menyelesaikan isu tuntutankerajaan negeri berhubung isu royalti minyak daripada Kerajaan Pusat.

"Surat rasmi pelantikan itu akan dihantar kepada Tengku Razaleigh dalam tempoh terdekat ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Kota Bharu hari ini.

Kerajaan negeri Kelantan yang diterajui PAS bertegas mahukan Kerajaan Pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Dua telaga minyak berkenaan terletak 150 batu nautika dari perairan Kelantan dan Kerajaan pusat bersetuju memberi RM20 juta wang ihsan kepada penduduk Kelantan, yang merupakan bayaran pertama sebanyak lima peratus daripada hasil dua telaga minyak pada 2008.

Perkara itu adalah seperti yang termaktub dalam perjanjian Akta Peroleum 1974, iaitu bayaran lima peratus daripada hasil keuntungan minyak dan gas kepada kerajaan negeri.

Husam berkata pelantikan Tengku Razaleigh oleh kerajaan negeri itu tidak melibatkan apa-apa bayaran dari kerajaan negeri terhadapnya.

Ditanya, sama ada pemimpin veteran Umno itu menerima atau tidak pelantikan itu, Husam yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan persetujuan Tengku Razaleigh untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan isu royalti minyak yang berlarutan antara kerajaan negeri dan Pusat.

Beliau berharap dengan pelantikan itu isu royalti minyak yang dihadapi kerajaan Kelantan akan dapat diselesaikan kerana wakil kerajaan negeri itu adalah merupakan orang yang layak kerana beliau sendiri bekas Pengerusi Petronas serta individu yang bertanggungjawab merangka perjanjian antara kerajaan negeri dan Petronas di bawah Akta Petronas 1974.

- Bernama

SPR: Pilihan Raya PBT Tak Boleh Diadakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang dan Selangor kerana seksyen mengenainya dalam Akta Pilihanraya Kerajaan Tempatan 1960 dimansuhkan selepas Akta Kerajaan Tempatan 1976 dikuatkuasakan.

Menurut SPR, kedua-dua negeri tertakluk kepada akta 171 yang menyatakan perlantikan ahli majlis hendaklah dibuat secara lantikan.
Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Yusoff berkata pemansuhan seksyen akta berkenaan memberi kesan kepada semua negeri kecuali Sabah dan Sarawak yang mempunyai ordinannya sendiri.

“Bukan SPR tidak benarkan buat, tetapi undang-undang tidak membenarkan. Perkara ini mesti difahami,” katanya dalam sidang media bagi menjelaskan perkara tersebut di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.

Turut hadir dalam sidang media itu, timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan penasihat undang-undang SPR Mohd Azhar Mohd Yusoff.

Abdul Aziz juga berkata, urusan pilihan raya tempatan tidak tertakluk bawah bidang kuasa SPR, tetapi sepenuhnya bawah kerajaan negeri.

Bagaimanapun, tambahanya, pindaan dan perubahan dasar bagi menjalankan semula pilihan raya tempatan hanya boleh dilakukan melalui Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT), satu badan di bawah Kementerian Perumahana dan Kerajaan Tempatan.

Pindaan mesti digunapakai semua negeri

Menurut Abdul Aziz, jika cadangan tersebut diterima MNKT, ia boleh dilaksanakan dengan cara berikut:

- Meminda beberapa perkara dalam Akta 171 dan apa-apa peruntukan sedia ada berkaitan pelantikan anggota majlis.

- Semua pindaan hendaklah diterima pakai semua negeri supaya wujud keseragaman dalam pemakaian undang-undang.

- Peraturan bagi menjalankan pilihan raya tersebut hendaklah diadakan.

Pulau Pinang dan Selangor sebelum ini mengumumkan mahu mengadakan pilihan raya PBT dan meminta SPR menguruskannya.

Abdul Aziz berkata, surat tersebut memaklumkan perkara tersebut telah dihantar kepada pihak terbabit semalam.

Menjawab surat itu, Abdul Aziz berkata, SPR juga menjelaskan tidak dapat menjalankan kajian bagi mana-mana kerajaan negeri kerana ia bertentangan dengan fungsi SPR di bawah perlembagaan persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958.

Muay Thai, Seni Mempertahankan Diri Paling Digeruni.


JIKA aksi pertarungan dirakam secara gerak perlahan, adalah mudah untuk melihat mengapa Muay Thai - Thai Kick Boxing - dianggap sebagai seni mempertahan diri yang mengancam dan yang paling digeruni di dunia.

Bersama pilihan untuk menggunakan lapan anggota, peninju Muay Thai menggunakan buku lima, siku, lutut dan kaki untuk melakukan serangan yang kemungkinan lebih mengancam berbanding pisau atau pistol.

Sementara seni mempertahan diri yang lain menggunakan dua titik sentuhan (sebagai contoh buku lali dalam tinju) dan empat titik (sebagai contoh kedua-dua tangan dan kaki dalam seni mempertahan diri berorientasi sukan seperti wusyu), Muay Thai mempunyai lapan titik sentuhan.

Seorang peninju Muay Thai terlatih menggunakan tumbukan, sepakan, serangan dengan siku dan lutut yang boleh membawa maut.

Asal usul Muay Thai, yang bermakna 'seni lapan anggota' boleh dikesani di medan perang Thailand pada abad ke-15.

Pahlawan-pahlawan Thai menggunakan lapan anggota menggantikan pedang dan kayu semasa bertarung tanpa senjata.

Gambar Hiasan Peninju Muay Thai - Foto THE STAR oleh VICTOR K.K.NG
 
Ia kini telah menjadi sukan kebangsaan Thailand dan mempunyai banyak persamaan dengan seni mempertahankan diri yang lain seperti Tomoi di Malaysia, Muay Lao di Laos dan Pradal serey di Kemboja.

Hari ini, teknik-teknik yang boleh mematahkan tulang dalam Muay Thai digunakan di seluruh dunia bermula dengan pihak tentera Thailand hinggalah CIA dan telah mencetuskan inspirasi bagi filem dan bilangan besar peminat seni ini di Malaysia.

DIPERSIAP UNTUK BERTAHAN

"1-2-3. Uppercut-block-kick", Mohd Aly Yakin memberi arahan kepada anak-anak buahnya.
Jurulatih Muay Thai ini yang berusia 32 tahun bergerak pantas mengeliling studio latihan.
Aly dengan saiz tubuh yang sederhana tetapi dengan susuk badan yang berotot kebal kelihatan macam atlet yang hebat.

Bersama pengalaman mengajar selama tujuh tahun, Aly yang dilahirkan di Singapura menjalani latihan Muay Thai di Chiang Mai, Thailand, dua tahun lepas dan adalah seorang jurulatih di sebuah pusat senaman di sini.

Sebelum ini, beliau berkecimpung dalam Taekwondo selama 19 tahun dari usia 9 tahun.

"Seni mempertahan diri seperti Taekwondo 80 peratus menggunakan kaki dan 20 peratus tangan. Tetapi dalam Muay Thai ia adalah 50/50. Selain itu adalah mudah untuk belajar Muay Thai, tidak memerlukan pakaian khas dan sesuai bagi semua kumpulan umur."

Beliau menambah kata bukan seperti seni mempertahan diri yang lain, mereka yang belajar Muay Thai tidak perlu berlatih untuk mendapat tali pinggang dalam menunjukkan peringkat kemahiran mereka.


Di sebaliknya, kemahiran mereka akan diuji di gelanggang dengan tali pinggang kejuaraan menjadi rebutan peninju.

Aly menjelaskan bahawa rejim latihan dan pelaziman bagi peninju-peninju juga amat mencabar.

"Di Thailand satu sesi latihan tipikal akan memerlukan latihan menumbuk serta menyepak buluh dan batang kelapa. Ia menyeksa dan menyakitkan. Hasilnya, tulang kering, kaki dan siku menjadi kuat. Tetapi, sudah tentu latihan kami di sini berbeza sedikit."

Mungkin Aly menyedari kerisauan penulis, yang matanya sibuk mencari buluh yang diperkatakan di studio itu. Tak kelihatan pun, nasib baik.

BERSEDIA MENGGUNAKAN LAPAN ANGGOTA

Dengan tulang kering dilazim untuk digunakan sebagai kayu pukul, penggunaan kedua-dua siku dan lutut dengan berkesan juga ditekankan.

Kelajuan, ketepatan dan kuasa teknik-teknik Muay Thai memang terkenal di kalangan pengamal seni mempertahankan diri, dan para peninjunya seringkali boleh menumpaskan lawan dengan sekali pukul sahaja.

Patah tulang sesuatu yang biasa di gelanggang, tetapi banyak juga peninju ini yang menemui ajal oleh kerana sepakan maut atau serangan berbahaya menggunakan siku.

Satu lagi elemen yang unik bagi Muay Thai ialah pusingan pinggul untuk melepaskan tumbukan serta sepakan yang kuat.

Aly menunjukkan pergerakan itu dengan menyepak dan menumbuk beg tumbukan dengan bunyi impak itu menakutkan penulis.

"Mempelajari teknik mempertahan dan menyerang sesuatu yang mesti kerana ini 100 sentuhan fizikal," jelas Aly.

"Peninju boleh mensasar mana-mana bahagian tubuh lawan dan hanya tidak boleh menggunakan kepala untuk memukul lawan."

Beliau menjelaskan bahawa buat masa ini beliau mempunyai 600 anak buah yang telah mendaftar untuk kelas awalan, pertengahan dan lanjutan dengan kelas latihan peninju diadakan tahun ini bersempena dengan pertandingan pada Jun ini.

LEBIH DARIPADA BERTARUNG

Tetapi bertanding untuk menunjukkan kehebatan bukan menjadi matlamat semua yang belajar Muay Thai.


Seni ini yang dipopularkan oleh filem-filem seperti 'Ong Bak' dan acara-acara pertandingan seni mempertahankan diri, kini menjadi pilihan semua lapisan masyarakat sebagai senaman fizikal dan untuk mempertahankan diri.

"Anak buah saya kebanyakannya adalah wanita dalam lingkungan usia 20-an, anak buah paling muda berusia 12 tahun, dan yang tertua berusia 63 tahun. Ia membina stamina, mencergaskan anda dan meningkatkan keyakinan anda."

Sementara itu, Lee Yoon Kong yang berusia 61 tahun turut bersetuju. Beliau mengikuti latihan Muay Thai hampir selama enam bulan dan sudahpun mula merasai kehebatannya.
"Sebab utama mengapa saya belajar Muay Thai ialah untuk mencergaskan diri dan lagipun jika kita tidak sihat kita yang menjadi beban kepada masyarakat! Saya kini bebas daripada ubatan-ubatan yang saya ambil selama ini untuk kawal paras kolestrol. Saya rasa lebih sihat sekarang berbanding sebelum menyertai kelas ini."

Yoon Kong menambah, ia juga merupakan sukan mempertahan diri dan pertarungan berkesan yang membawa bersama tumbukan terbaik tinju dan sepakan seni mempertahan diri.

"Muay Thai menggunakan setiap bahagian tubuh sebagai senjata. Lagipun, ia tidak mempunyai 'katas' untuk dipelajari. Kebolehan untuk menumbuk dan menyepak dengan betul menyingkatkan masa untuk menumpaskan lawan dalam senario mempertahankan diri."
Darshini yang berusia 28 tahun berkata, latihan lasak yang dilaluinya telah membantu membentuk tubuhnya.

"Apa yang saya suka dengan kelas-kelas ini ialah anda banyak berpeluh berbanding senaman lain seperti yoga. Anda juga dapat menguatkan badan. Sejak saya menyertai latihan tiga bulan yang lepas, saya berjaya mengurangkan berat badan."

MUAY THAI PUNCA SIKAP AGRESIF?

Tiada belas kasihan, berdarah dan boleh membawa maut, adalah sukar untuk tidak mengaitkan seni seperti Muay Thai dengan keganasan.

Itu tanggapan salah, jelas Aly dan menambahkata itulah tanggapan lazim yang tidak tepat.
"Muay Thai mengajar individu supaya berdisiplin, berendah hati dan mengawal tindak tanduk dan perasaan.

"Pada masa yang sama, jurulatih perlu fahami apa yang anak buah mereka mahu. Mereka tidak harus melatih sahaja. Mereka mesti mengambil usaha untuk mengetahui latarbelakang dan peribadi anak buah mereka.

"Di Thailand, terdapat muda-mudi yang melanggar undang-undang dengan menyertai kumpulan samseng atau terlibat dalam pergaduhan selepas belajar Muay Thai. Jurulatih perlu profesional untuk mengelakkan anak buah mereka daripada menyalahgunakan kemahiran mereka."

PILIHAN SENI MEMPERTAHAN DIRI DE FACTO

Sebagai sukan pertarungan, Muay Thai telah menerima pengiktirafan dunia kerana kejayaannya sebagai seni mempertahankan diri hebat yang menggabungkan elemen-elemen pelbagai seni mempertahankan diri yang lain.

Di Malaysia, Aly berkata para peminat Muay Thai berharap untuk membentuk sebuah persatuan rasmi menjelang Oktober ini.

"Buat masa ini Muay Thai tidak mempunyai pengiktirafan rasmi di negara ini. Persatuan-persatuan bagi Tomoi telah diwujudkan oleh penggemar seni itu di Kelantan tetapi belum lagi bagi Muay Thai. Kami berharap menerusi persatuan ini sukan ini dapat maju seiring dengan sukan mempertahankan diri yang lain di negara ini."

Dengan lagak gaya, penulis meletakkan buku dan pen dan mencuba beberapa aksi tumbukan dan sepakan. Aly meneruskan dengan sesi latihannya tetapi beliau tidak menyatakan sesuatu. Bagaimana mengagumkan seni Muay Thai ini. - BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails