Geng Aku

Rabu, 7 April 2010

JPJ Guna Alat Lebih Moden Kesan Kesalahan Pengguna Jalan Raya.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini menggunakan peralatan "Auto Light Plus" bagi mengukur tahap ketelusan cahaya bagi peraturan cermin gelap yang boleh berfungsi pada waktu siang dan malam.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata sebanyak 150 unit alat berkenaan telah diedarkan kepada JPJ seluruh negara bagi penguatkuasaan terhadap kenderaan cermin gelap.

"Alat ini boleh berfungsi siang dan malam dengan sumber cahaya dalaman dan mempunyai kejituan ukuran," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pengurusan JPJ Malaysia di Akademi JPJ di Tiang Dua di sini, pada Rabu.

Berdasarkan peraturan sekarang, sesebuah kenderaan dibenarkan memasang cermin gelap dengan ketelusan cahaya tidak kurang daripada 70 peratus bagi cermin hadapan dan 50 peratus bagi cermin sisi dan belakang.

Solah berkata alat "Auto Light Plus" itu adalah antara beberapa peralatan penguatkuasaan moden yang sedang digunakan JPJ bagi mengesan pengguna yang gagal mematuhi peraturan jalan raya, dalam tempoh singkat.

Beliau berkata bagi penguatkuasaan kesalahan lebih muatan, JPJ memperkenalkan alat timbang mudah alih yang mudah dibawa dan digunakan di lokasi kesalahan dikesan walaupun di kawasan terpencil.

"Pada masa ini, kita mempunyai 47 buah alat timbang mudah alih ini bagi melengkapi 50 buah alat timbang kekal yang dipasang di stesen penguatkuasa di seluruh negara," katanya.

Katanya anggota penguatkuasa JPJ juga dibekalkan 510 unit peralatan "Mobile Card Acceptance Device" (MCAD) bagi membolehkan mereka menyemak maklumat mengenai identiti pemandu dan kenderaan, jenis kesalahan dan senarai hitam.

"Semua 2,600 anggota penguatkuasa JPJ di seluruh negara turut dibekalkan dengan Key Ring Reader bagi membolehkan mereka membuat semakan maklumat dalam MyKad pengguna jalan raya," katanya.

Beliau berkata setiap JPJ negeri juga dibekalkan sebuah lori penguatkuasa jenis "tailgate" antara kegunaannya bagi mengangkut motosikal yang disita semasa operasi.

Solah berkata bagi terus memperkasakan tindakan penguatkuasaan, JPJ telah memohon peruntukan kira-kira RM63.34 juta bagi perolehan peralatan penguatkuasaan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Peralatan berkenaan seperti 30 unit alat timbang mudah alih, 300 buah kenderaan baru, 300 unit MCAD, 12 unit trak tunda dan senjata api, tambah beliau.

-- BERNAMA

Konvensyen BN, Wakil MCA Bertindak Keluar Dewan

Usaha Barisan Nasional untuk merampas Selangor dari Pakatan Rakyat dengan agenda konvensyennya di Shah Alam, hari ini menerima tamparan apabila 15 perwakilan MCA Kapar bertindak meninggalkan majlis itu.

Ketua MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai yang dihubungi melalui telefon berkata antara punca tidak puas hati mereka ialah kerana MCA dianak-tirikan pada konvensyen berkenaan.

Antaranya, hany
a lagu BN dan Umno dinyanyikan sedangkan lagu parti komponen lain tidak diendahkan.

“Konvesyen itu dianjurkan oleh BN, jadi menyanyikan laguUmno tidak mencerminkan semangat BN dan juga 1Malaysia,” kata Song lagi.

Selain itu, katanya, hanya tetamu dan pemimpin utama dari Umno yang dijemput duduk di pentas utama. Mereka termasuk Datuk Mohd Zin, Datuk Seri Noh Omar, Shafei Abdullah dan seorang lagi.

Tiada tetamu ataupun pemimpin parti komponen lain yang dijemput ke pentas utama.

Menurut Song apa yang menghangatkan lagi suasana ialah ketika ucapannya, Noh Omar yang juga timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor berkata orang Melayu telah banyak berkorban demi rakan-rakan bukan Melayu.
Menurut Noh, rakyat bukan Melayu sepatutnya berterima-kasih kerana diberikan kerakyatan.

Noh Omar jug
a memetik ucapan daripada presiden keempat MCA, Tun Tan Siew Sin dan presiden kelima MIC, Tun VT Sambathan pada zaman era tahun 1960an yang memuji Umno kerana memberikan kerakyatan kepada bukan Melayu.

Song berkata bahagiannya menganggap ucapan Noh itu satu penghinaan kepada masyarakat Cina dan India di negara ini.

Di sebalik memulaukan sebahagian besar aktiviti konvensyen itu, Song dan ahli-ahlinya akan kembali petang ini untuk menghadiri pelancaran kempen 'BN Mampu Berubah, Sayangi Selangor Yakini BN dan Selangor Take Over Plan (STOP) PRU 13.

Sementara itu, setiausaha agung MIC, S Murugesan juga melahirkan rasa kurang senang kerana tiada pemimpinnya diletakkan di pentas utama.

"Nampaknya mereka seperti tidak menghormati kami,” katanya.

Bagaimanapun katanya, aduan sudah disampaikan kepada pengerusi penganjur, Mohd Zin yang berjanji memperbetulkan keadaan.

"Mereka telah meletakkan kerusi tambahan di pentas dan berjanji kepada saya bahawa lagu Umno tidak akan dinyanyikan pada sessi petang apabila Perdana Menteri, Najib Razak tiba.

"Jadi buat masa ini, saya tiada masalah,” katanya.

KWSP Lupus 350,000 Saham Dalam Astro.


ASTRO ALL ASIA NETWORKS PLC hari Selasa berkata pemegang saham utamanya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), melupuskan 350,000 saham ASTRO menerusi AmanahRaya Investment Asset Management Sdn Bhd pada harga RM4.27 sesaham, semalam.

Ini susulan tawaran pengambialihan sukarela bersyarat oleh ASTRO Holdings Sdn Bhd untuk membeli semua saham terbitan dan saham biasa berbayar sedia ada.

Proses itu menyaksikan syarikat tersebut dijadikan syarikat persendirian pada harga tunai RM4.30 sesaham atau berjumlah RM8.5 bilion.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata semasa tempoh tawaran tersebut yang bermula 17 Mac, pemegang saham utama ASTRO mempunyai obligasi untuk mendedahkan urus niaga kepada Bursa Malaysia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails