Geng Aku

Ahad, 22 November 2009

Sidang DUN Kedah kecoh.



Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah kecoh hari ini apabila ADUN BN bangun beramai-ramai membantah jawapan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat berhubung pengurangan jumlah bantuan bencana dan tragedi pada 2008 dan 2009.

Semasa menggulung perbahasan bajet 2010, pengerusi jawatankuasa itu Siti Aishah Ghazali (PAS-Merbau Pulas) berkata bantuan itu dikurangkan kerana ramai daripada mangsa bencana bukan dari golongan miskin atau yang memerlukan bantuan.



"Sehingga Sept lepas kerajaan negeri mengeluarkan bantuan berjumlah lebih RM289,000. Itu tidak termasuk bantuan am," katanya menyebabkan beberapa ADUN BN bangun meminta laluan untuk bertanya soalan.

Kedegilan Pengerusi Jawatankuasa itu tidak memberi laluan menyebabkan Speaker Datuk Dr Isa Ismail mencelah:

"YB Merbau Pulas, kalau depa minta, kita bagi depa tanya. Bagilah peluang depa tanya." Celahan Dr Isa mendapat tepukan Dewan menyebabkan Siti Aishah terpaksa memberi laluan untuk menjawab soalan.

Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (BN-Bakar Bata) bertanya mengenai senarai penerima bantuan e-Sinar (senarai kerajaan negeri) sahaja atau termasuk senarai e-Kasih (senarai BN); manakala Tajuddin Abdullah (BN-Belantik) meminta kerajaan negeri mengkaji semula bantuan bulanan RM80 yang kini tidak relevan.
Sementara Dr Mohd Hamdan Khalib (PAS-Tanjung Dawai) ketika menggulung perbahasan berkaitan portfolionya, Belia, Sukan, Kesenian dan Kebudayaan serta Warisan berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong semua program kerajaan pusat untuk faedah rakyat Kedah.



Beliau menjelaskan kegagalan pasukan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mempertahankan kejuaraan 'double treble' yang disandang pada 2007 dan 2008 sebagai bukan kekalahan tetapi kerana tidak dapat menjaringkan gol.

Dr Mohd Hamdan turut menuduh kepimpinan KFA yang lepas 'penuh dengan noda dan dosa' kerana meninggalkan hutang lebih RM4.79 juta.

Jawapan beliau membangkitkan kemarahan Ahmad Bashah yang berkata kegagalan itu berpunca dari kelemahan kepimpinan KFA kerana tidak cekap dan tidak bijak. - Bernama

Bila SPRM Akan Panggil Raymond Tan?




BILAKAH Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah untuk memberi keterangan berhubung pemilikan aset hartanah yang melebihi kemampuannya sebagai seorang menteri Kabinet Sabah?

Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zainuddin Hassan ketika menghubungi Sabahkini.net daripada Sandakan menegaskan bahawa beliau dimaklumkan melalui sumber rapat dengan menteri kabinet berkenaan bahawa Raymond Tan memiliki lebih sepuluh buah rumah bernilai RM20 juta.

“Kita mengesan Raymond juga memiliki dua buah bungalow mewah bernilai RM3.3 juta seunit di D’Banyan Sutera Harbour selain rumah mewah di Taman Tyng Sandakan dan Liang Court Kota Kinabalu,” dakwa Zainuddin yang memaklumkan akan membuat pendedahan jika SPRM berminat untuk menyiasat pemilikan harta luar biasa yang tidak diisytiharkan kerana kebanyakannya dibuat atas nama proksi.

Kata Zainuddin, hanya 14 Unit Villa Petrusa tiga tingkat di D’Banyan Sutera Harbour bernilai antara RM3.115 juta sehingga RM3.983 juta setiap unit seluas 626 meter persegi atau 6,743 kaki persegi adalah villa mewah yang mempunyai kelengkapan serba canggih.

Perkara ini bukan lagi rahsia, kata Zainuddin, namun SPRM tidak mempunyai mekanisme untuk mengesan kepentingan Raymond dan pemilikan harta yang dibuat daripada sumber yang diragui.

“SPRM hanya dilatih untuk memburu pemimpin pembangkang namun menjadi kucing siam peliharaan pemimpin BN. Mereka hanya menghabiskan wang rakyat, apatah lagi tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat sebelum atau selepas waktu pejabat,” ujar Zainuddin lagi yang menekankan betapa mewahnya Raymond walaupun hanya menjadi Menteri Kabinet atau bertaraf Exco sahaja.

Bedah Siasat Beng Hock Selesai


Bedah siasat kali kedua yang dijalankan ke atas mayat mantan Setiusaha Politik Exco Kerajaan, Teoh Beng di Hospital Sungai Buluh yang bermula jam 1 petang tadi selesai dua jam kemudian. 


Bagaimanapun tiada sebarang keputusan dikeluarkan berhubung bedah siasat berkenaan. 

Adik mendiang, Teoh Lee Lan berkata, pihaknya juga tidak mendapat apa-apa maklumat berhubung keputusan bedah siasat pada kali ini dan hanya menunggu sehingga inkues pada 9 disember ini. 

“Bila laporan dijangka keluar kita pun tidak tahu, boleh tunggu dalam inkues pada 9 Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas bedah siasat tamat jam 3.15 petang tadi.

Lee Lan mewakili keluarga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pakar patologi dari Thailand yang dilantik kerajaan negeri, Dr Ponrtip Rojanasunan kerana bertindak sebagai pemerhati dalam bedah siasat kali ini.


“Kita sangat berterima kasih kepada Dr Porntip kerana datang bantu menyelia bedah siasat dan kita akan sabar menunggu keputusan laporan yang akan dikeluarkan,”katanya.

Menurutnya mendiang Beng Hock akan ditanam semula 24 November ini di Taman Peringatan Nirvana, Semenyih.

Sementara itu peguam mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo dan Dr Porntip terlebih dahulu meninggalkan hospital berkenaan tanpa bertemu media.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai lalu selepas disoalsiasat selama 10 jam tanpa henti oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.


Pihak berkuasa mendakwa mangsa telah membunuh diri, namun pakar patologi antarabangsa dari Kementerian Keadilan Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand menemui kesan cekik pada leher dan retakan pada tengkorak mendiang yang konsisten dengan kesan pukulan.

Lebih menyayat hati apabila mangsa yang bakal menjadi ayah kepada seorang anak ini ditemui mempunyai kesan cedera pada dubur, dipercayai ditusuk dengan suatu objek.

Hassan Karim keluar PRM untuk sokong Pakatan Rakyat


Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hassan Abdul Karim meletakkan jawatannya berikutan usul beliau agar PRM memohon menyertai Pakatan Rakyat ditolak.




Keputusan meletkkan jawatan itu dibuat Hassan dalam satu surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agong PRM, Koh Swe Yong baru-baru ini.

Kongres Nasional PRM kali ke-41 pada 15 November dii Kuala Lumpur baru-baru ini menolak cadangan Hassan agar PRM memohon menyertai Pakatan Rakyat.

Cadangan itu dibuat oleh Hassan melalui Ucapan Dasar Presiden. Hassan telah menjadi Presiden PRM selama 5 tahun dan lebih 31 tahun sebagai ahli PRM.



PRM dihidupkan semula oleh Hassan dan para penyokongnya selepas pimpinan PRM sebelum itu, Dr Syed Husin Ali dan rakan-rakannya memutuskan untuk bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (PKN).

Pergabungan antara PRM dan PKN telah membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Baru-baru ini, Dr Syed Husin telah dilantik sebagai senator oleh Dewan Negeri Selangor.

"Saya tiada pilihan lain sebagai seorang pemimpin yang bermaruah melainkan satu pilihan sahaja iaitu meletak jawatan sebagai Presiden PRM, ahli Jawatankuasa Pusat dan semua jawatan saya di dalam parti berkuatkuasa serta merta," kata Hassan dalam suratnya itu.

Hassan juga mengambil keputusan untuk meninggalkan PRM ekoran peristiwa tersebut.

"Memandangkan saya ingin memberi kerjasama dan sokongan yang kuat kepada Pakatan Rakyat dan tidak mahu tindakan-tindakan saya itu nanti akan menjejaskan kedudukan dan pendirian pimpinan PRM maka saya dengan hati yang amat berat mengambil keputusan meninggalkan Parti Rakyat Malaysia yang saya sayangi ini dengan berkuatkuasa serta merta juga," tulis Hassan dalam surat yang dihantar kepada media itu.

Ibu Khairy sertai Wacana Wanita Intelektual Selangor

Program Wacana Wanita Intelektual di  Perpustakaan Awam Selangor hari ini mendapat tamu istimewa iaitu Datuk Hajah Rahmah Abdul Hamid ibu kepada Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin Abu Bakar.


Rahmah, Pengerusi II, Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) turut menjadi peserta di majlis anjuran kerajaan negeri Selangor di bawah Exco pendidikan itu.

Rahmah merupakan antara 10 pengasas Pertiwi sejak 16 November 1967. Kehadiran beliau dan semua peserta lain turut diumumkan oleh Penasihat wacana yang juga Exco Kerajaan Selangor, Puan Dr Hajah Halimah Ali.

 Turut menjadi pembentang kertas dalam wacana itu adalah Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

Ia berlangsung dalam keadaan positif dengan pembentangan menarik dan ulasan membina dari bijak pandai wanita dengan kehadiran sangat memberangsangkan.

Majlis wacana itu turut diserikan dengan kehadiran dan ucapan perasmian oleh Pengerusi Pekawanis, Puan Seri Salbiah Tunut yang juga isteri Datuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Senarai Lagu Yang Layak Ke Anugerah Juara Lagu (AJL) 24 TV3


juara-lagu


Acara pertandingan akhir akan berlangsung pada 10 Januari 2010. Berikut adalah senarai lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu (AJL) 24:
  • Aku Skandal – Hujan (komposer/penulis lirik: Noh)
  • Tak Mungkin Kerna Sayang – Alyah (komposer: Ajai, penulis lirik: Habsah Hassan)
  • Aurora – Estranged (komposer/penulis lirik: Estranged)
  • Bengang – Akim (komposer: Amir, penulis lirik: Sheikh Qalam)
  • Aku Rindu Sayang Kamu – Black (komposer/penulis lirik: Yuzai)
  • Dan Sebenarnya – Yuna (komposer/penulis lirik: Yuna, Paan, Efry, Adil)
  • Rindu Terhenti – Tomok (komposer: Aubrey Suwito, penulis lirik: Tinta)
  • Pakai Buang – Stacy (komposer/penulis lirik: Edry)
  • Kau Aku – Aizat (komposer/penulis lirik: Aizat)
  • Pergi – Aizat (komposer/penulis lirik: Pete Teo)
  • Situasi – Bunkface (komposer/penulis lirik: Sam)
  • Bencinta – Faizal Tahir (komposer: Audi Mok, penulis lirik: Faizal Tahir)
  • Cinta Adam Dan Hawa – Misha Omar (komposer: Azmeer, penulis lirik: Allahyarham Loloq)
  • Masih Jelas – Hafiz (komposer: Aidit Alfian, penulis lirik: Ad Samad)

Exco P.Pinang Nafi Letak Jawatan

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar Dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang Phee Boon Poh pada Ahad menafikan khabar angin yang beliau meletak jawatan sebagai Exco dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN).


Phee, yang juga ADUN Sungai Puyu, berkata sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) yang disebarkan sejak beberapa hari lepas menyatakan beliau telah meletak jawatan termasuk dalam parti DAP.

"Saya tidak pernah melepaskan apa-apa jawatan dipegang terutama sebagai ADUN dan Exco kerajaan negeri dan penyebaran SMS berkenaan berniat jahat serta cuba menjatuhkan saya," katanya pada sidang akhbar di sini Ahad.

Menyifatkan penyebaran itu cuba melemahkan parti pakatan yang memerintah beberapa negeri termasuk di Pulau Pinang, beliau berkata: "Ini semua spekulasi dan saya tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh musuh politik yang mahu memecahbelahkan jalinan persefahaman dalam pakatan."



Ketua Menteri Lim Guan Eng yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata tidak timbul isu peletakan jawatan Phee, yang sebelum ini dikatakan berselisih faham dengan beliau.

"Isu perselisihan faham antara saya dan Phee telah lama selesai. Tidak timbul lagi masalah itu sekarang. Ini semua permainan pihak yang cemburu dengan kesepakatan kami," katanya tanpa menyatakan perselisihan faham yang timbul sebelum ini.

FIFA gantung keahlian IFA




Juara Asia, Iraq telah digantung daripada sebarang perlawanan antarabangsa berikutan campur tangan politik dalam Persatuan Bola Sepak Iraq (IFA).

"Jawatankuasa Kecemasan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah membuat keputusan untuk menggantung IFA atas kesalahan campur tangan pihak kerajaan negara itu," kata FIFA dalam satu kenyataan semalam.



Tindakan FIFA itu sekali gus menyebabkan Iraq tidak dibenarkan untuk beraksi dalam mana-mana perlawanan sama ada persahabatan mahu pun kompetitif.

Kelab-kelab dari negara itu juga digantung daripada beraksi.

Awal minggu ini, FIFA dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Olimpik Iraq telah membatalkan penggantungan IFA sehingga menyebabkan badan induk bola sepak dunia itu menggantung keahlian IFA.

Azza masih belum tersungkur




BEKAS anggota kumpulan Elite yang sentiasa sensasi, siapa lagi kalau bukan Azzarima Zawarii atau Azza,30, yang dilihat seperti sudah tidak popular sejak kebelakangan ini.

Sebelum ini Azza dikatakan menghadapi masalah kesihatan sehingga menyebabkan keadaan badannya menjadi kurus kering selain kehidupannya tidak terurus.

Penderitaan Azza bertambah parah apabila perkahwinannya dengan Mohd. Ehsan Tun Ahmad Zaidi Adruce pada 14 Februari 2001 hanya mampu bertahan setakat tiga tahun sahaja.

Tetapi hari ini Azza bangun semula dengan semangat baru apabila dia bertemu dengan seorang insan yang menjadi pembakar semangat dalam hidupnya.

Percintaan Azza dengan Firhan Yusof, 29, sejak setahun lalu memberi keceriaan dalam hidup wanita ini selepas sekian lama dia merana.

Tapi sayang, walaupun Azza berjaya mengubat kelukaan hati yang parah itu, dia masih tidak mampu bangkit seperti Azza yang dahulu.
Bakat Azza seperti tidak dihargai apabila tiada pengarah atau pihak produksi yang mahu menawarkan apa-apa peluang berlakon untuknya.

Menolak anggapan tersebut, wanita ini berkata dia masih belum jatuh sebaliknya terlalu ramai bakat-bakat baru yang muncul menyebabkan orang diluar sana seolah-olah melupakan siapa itu Azza?



Bukan untuk meninggalkan dunia seni ini tetapi jelas Azza dia sebenarnya menantikan apa juga tawaran yang hendak diberikan.

“Saya tak pernah berkata untuk pencen atau kecewa dalam dunia lakonan tetapi peluang untuk saya masih terhad. Itu yang sedih,” jelasnya.

Ditanya apakah punca perkara itu terjadi, menurut Azza dia kehilangan telefon bimbit membuatkan orang ramai sukar menghubunginya selama ini bagi membolehkan dia merebut apa juga peluang yang ditawarkan.



Kerana perkara itu pengarah sukar mengesan Azza sehingga membuatkan dia bagaikan “hilang pekerjaan.”

Tidak memilih apa juga peluang, hari ini Azza mahu membuktikan bahawa dia bukan sudah tersungkur.

Malah Azza mahu berjaya seperti bintang-bintang lain dan berharap akan ada pelung untuknya pada waktu terdekat.

“Azza boleh berlakon dan mampu menjadi pengacara. Kalau ada peluang itu, berikanlah kepada Azza,” pintanya.

Mengakui kesengsaraan Azza dulu mungkin menjadi penyebab mengapa orang ramai bimbang untuk mengambilnya berlakon tetapi janji wanita ini dia sebenarnya sudah berubah.

Dalam erti kata lain Azza hari ini adalah seorang Azza yang baru.

Bercerita mengenai aktiviti selama menghilang jelas Azza sebelum ini dia terlibat dengan bisnes penjagaan kesihatan milik keluarganya.

Bagaimanapun Azza hanya terlibat sebagai duta bagi mempromosikan sahaja barang berkenaan tetapi tidak lagi meneruskan perniagaan itu kerana minatnya masih menebal dalam bidang seni.

Ditanya sejauhmanakah hubungannya Azza dengan Firhan, sehingga hari ini dia bahagia dengan hubungan itu.

Soal perkahwinan pula masih terlalu awal untuk diperkatakan kerana mereka masing-masing sedang mencari keserasian sebelum menamatkan hubungan itu di jenjang pelamin.

Tidak dapat dinafikan kadang-kala ada juga pergolakan tetapi itu semua adalah asam garam orang yang bercinta.

Harapan Azza hanyalah satu, dia mahu hubungannya itu kekal bahagia buat selama-lamanya kerana selama ini dia sudah puas berendam air mata.



“Azza bahagia dengan Firhan dan kami masih lagi kekal sebagai pasangan kekasih,” katanya.

Tidak menetapkan tempoh menamatkan zaman solo masing-masing, Azza sebenarnya masih perlu bekerja mengumpul wang sebelum membuat keputusan untuk berumahtangga.


Mengakui setiap insan mahukan kehidupan yang lebih baik, atas dasar itulah dia tidak boleh terlalu cepat untuk membuat keputusan berumahtangga.

“Siapa yang tak nak kahwin? Semua orang mahu kearah itu tetapi buat masa ini biarlah Azza berkawan dulu dengan dia kerana kedudukan kewangan pun masih belum stabil untuk berkahwin,” katanya.

Mengisi masa lapang dengan bermain bersama anak angkatnya Marissa yang kini berusia empat tahun, azam wanita ini dia mahu membuktikan suatu hari nanti dia mampu menjadi artis yang berjaya.

Dan harapan Azza ialah kehidupannya selepas ini akan lebih cerah dan menjadi bertambah gemilang.

Kungfu Panda Bahasa Melayu di HBO



JANGAN lupa tonton Kungfu Panda pada 29 November ini.

BUAT kali pertama di HBO, penonton-penonton akan dapat menikmati filem animasi Kungfu Panda dalam pilihan Bahasa Melayu atau Inggeris.
 
Kungfu Panda menceritakan mengenai, Po (seekor panda berbadan besar) adalah peminat setia seni pertahanan diri kungfu. Tetapi minat ini sememangnya tidak dapat diguna semasa dia bekerja setiap hari di kedai mee keluarganya.

Bila Po tanpa diduga dipilih untuk memenuhi satu ramalan purba, impian-impian Po mula menjadi kenyataan dan dia menyertai dunia kungfu untuk mengkaji seni tersebut di samping wira-wira kungfu yang dikagumi.

Mereka adalah Furious Five yang legenda- Tigress (pemenang Academy Award Angelina Jolie); Crane (pemenang Emmy David Cross); Mantis pencalon Emmy Seth Rogen); Viper (pencalon Emmy/SAG Lucy Liu); dan Monkey (bintang terkenal antarabangsa Jackie Chan) yang berada di bawah kepimpinan guru mereka, Master Shifu (pemenang dua kali Oscar Dustin Hoffman).

Tanpa disedari, harimau bintang salji yang sangat jahat memberikan ancaman kepada mereka. Tai Lung (pemenang Emmy/Golden Globe Ian McShane) sedang menuju dan memberikan ancaman kepada mereka. Adakah Po untuk mempertahankan semua daripada ancaman bahaya yang semakin menghampiri?

Bolehkah dia menukar impiannya untuk menjadi ketua kungfu satu realiti? Po meletakkan keseluruhan dirinya dalam tugas yang menunggu dan wira yang agak tidak pasti ini mendapati kelemahan-kelemahan terbesarnya berubah menjadi kekuatan-kekuatan terbesarnya.

Jangan ketinggalan filem animasi ini yang amat menyeronokkan dan menggunakan suara asal pelakon-pelakon Hollywood dan juga versi alih bahasa kepada bahasa Melayu.

Kung Fu Panda akan ke udara buat pertama kali pada Ahad 29 November pada pukul 9 malam di HBO (Astro saluran 411). Siaran ulangan adalah pada hari Isnin 30 November 1 tengah hari, Khamis 3 Disember 11.30 malam, Sabtu 5 Disember 11 pagi dan 7.30 malam, dan Ahad 6 Disember 2.30 petang.

Umno Kelantan Masih Ada Peluang Dapatkan Sokongan Rakyat



Umno Kelantan masih mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan sokongan rakyat memandangkan banyak kelemahan pada pihak PAS yang masih belum dieksploitasi sepenuhnya.



Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata bagi tujuan itu Umno perlulah meningkatkan jentera penerangannya dan harus merebut peluang akan kemelut yang melanda PAS.


"Umno di Kelantan kini underdog (tidak mendapat sokongan) tetapi jangan lupa Manik Urai... keputusan pilihan raya di kawasan itu baru-baru ini jelas menunjukkan rakyat Kelantan mahu berubah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata perlu bagi Umno untuk terus bekerja keras bagi memperkasakan parti itu agar terus mendapat sokongan rakyat.

"Saya mengarahkan Bahagian Penerangan untuk bermuzakarah mengenai isu-isu semasa kepada ahli sebulan sekali, supaya mereka faham isu-isu semasa di samping dapat merapatkan hubungan sesama ahli," katanya.

Nik Aziz Nafi Husam Mahu Letak Jawatan


Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menafikan Exco kanan Kerajaan Negeri Datuk Husam Musa akan melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan negeri itu.


Mursyidul Am PAS itu juga menolak dakwaan perkembangan terbaru itu sebagai berlaku episod terbaru perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.

Beliau menyifatkan tindakan sebuah akhbar harian yang menyiarkan laporan itu hari ini sebagai usaha untuk memecahbelahkan PAS dan melariskan jualan akhbar berkenaan.

"Saya baru baca sebuah akhbar rasa terlalu amat terkejut dengan siaran tajuk Husam letak jawatan, walaupun ada tanda soal," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Laporan itu memetik beberapa sumber sebagai berkata hasrat Husam itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Nik Abdul Aziz yang sekali gus memberikan Husam cuti lima hari bermula hari ini untuk berehat dan menenangkan fikirannya.



Nik Aziz berkata laporan akhbar berkenaan sama sekali tidak benar dengan memetik sumber termasuk daripada blog tertentu yang kononnya mempunyai maklumat Husam akan melepaskan jawatan berikutan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Nik Abdul Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata jika benar sekali pun Husam mahu meletakkan jawatan, beliau sama sekali tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.

Beliau berkata kerajaan negeri sangat memerlukan khidmat dan buah fikiran Husam kerana sepanjang perkhidmatannya, Husam banyak membuat rundingan dengan kerajaan Pusat termasuk mengenai tanah dengan Felda, Felcra dan terbaru tuntutan royalti petroleum.

"Mengapa orang kita tidak tahu menilai orang yang berguna (seperti Husam)," katanya.

Ketika ditanya sama ada benar Husam pernah menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatan baik dalam parti mahu pun kerajaan, Nik Abdul Aziz berkata: "Tak ada... sayapun tak terfikir dia nak berhenti. (Ini pandai-pandai akhbar) nak bawa berita panas supaya orang beli akhbar".

Nik Abdul Aziz berkata Husam sememangnya ada menemuinya di pejabat dua hari lepas dan hanya memaklumkan bahawa beliau dinasihati oleh doktor agar mendapat rawatan di hospital kerana mengalami masalah sakit tulang belakang.

"Masalah nak berundur tak berundur, langsung tidak timbul baik dalam kepala dia atau saya," katanya.

Beliau berkata tindakan akhbar menyiarkan laporan itu sebenarnya mengguriskan hati orang yang dalam keadaan sakit.

Sidang DUN N.Sembilan kecoh.



Hari pertama Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-12, di sini semalam ‘panas’ seketika apabila berlaku dua babak pertikaman lidah antara wakil rakyat pembangkang dan Barisan Nasional (BN).

Kedua-dua insiden berlaku berikutan rasa tidak puas hati pakatan pembangkang kerana tidak dibenarkan mewakilkan soalan pada sesi soal jawab dan usul untuk membahaskan kejadian banjir yang berlaku di Temiang, baru-baru ini ditolak.



Kekecohan bermula apabila Ketua Pembangkang, Loke Siew Fook (DAP – Lobak) bangun dan meminta supaya soalan membabitkan penilaian prestasi anggota Exco Kerajaan Negeri yang sepatutnya dikemukakan Rashid Latiff (PKR – Ampangan) diwakilkan kepada beliau kerana Rashid tidak dapat hadir dengan makluman.

Katanya, walaupun Rashid tidak hadir, beliau berhak bertanyakan soalan bagi pihak ADUN Ampangan berdasarkan penggiliran soalan seperti tertera dalam buku soal jawab.



Permintaan Siew Fook itu bagaimanapun ditolak Speaker DUN, Datuk Razak Mansor dengan alasan, soalan tersebut boleh dibangkitkan pada hari lain, seterusnya memberi laluan kepada Aminuddin Harun (PKR – Sikamat) untuk mengemukakan soalan lain.

Datuk Aziz Shamsudin (BN – Palong) kemudian mencelah dengan menyifatkan permintaan Siew Fook itu membuang masa dan meminta undian dilakukan.

Siew Fook yang masih tidak berpuas hati menyifatkan keputusan Speaker itu sebagai tidak adil sambil merujuk buku peraturan persidangan dewan yang membolehkan soalan diwakilkan kepada ADUN lain.

Razak bagaimanapun menjelaskan, mengikut peraturan, beliau mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana ADUN mengemukakan soalan dan bukan berdasarkan kepada buku soal jawab seperti yang didakwa Siew Fook.



 Sementara itu, selang beberapa minit selepas itu, sekali lagi kekecohan berlaku sebaik saja sesi soal jawab selesai apabila Ng Chin Tsai (DAP – Temiang) bangun dan memohon supaya kejadian banjir di kawasannya sebelum ini dibahaskan dalam dewan.


Anwar: Dwi-Parti Hanya Akan Berjaya Jika PR Tonjol Pentadbiran Cemerlang




Sistem politik dwi-parti akan hanya punyai kredibiliti jika Pakatan Rakyat berjaya menjadikan negeri-negeri yang ditadbirnya sebagai pemangkin urus tadbir yang cemerlang, dan pembela golongan miskin.

Sehubungan itu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa gagasan itu supaya bertungkus-lumus memastikan Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan menjadi contoh model pentadbiran mapan untuk diteladani Barisan Nasional.

"Kerajaan negeri perlu menunjukkan teladan melalui dasar-dasar yang dirumuskan. Dasar yang memberi penekanan kepada urustadbir yang baik, kepedulian kepada yang lemah, dan memelihara sumber alam dan bumi," kata Anwar.Mantan Timbalan Perdana Menteri ini berkata demikian dalam ucaptama di simposium 'Pakatan Rakyat dan Pembikinan Sistem Dua Parti' di Kuala Lumpur hari ini.



Anwar Ibrahim menegaskan keputusan PRU-12 lalu menunjukkan rakyat mahu sistem kerajaan dipulihkan, dan bukannya salinan pendua kerajaan Umno-BN.

"Kini sudah ada ruang untuk Pakatan Rakyat melalui kerajaan-kerajan negeri dibawah pentadbiranya untuk mengetengahkan agenda reformasi, dan memastikan kesilapan lalu dibawah pentadbiran leaps tidak berulang lagi," kata Anwar.



Simposium anjuran Institut Kajian Dasar ini membincangkan persoalan sistem dwi-parti yang menjadi buah-bicara masyarakat hari ini. Membincangkan kewajaran sistem dwi-parti di laksanakan di Malaysia, wacana ini turut disertai oleh pakar Perlembagaan Profesor Dr. Abdul Aziz Bari, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Sivarasa Rasiah dan Exco Kelantan Husam Musa.


Membicarakan soal sistem dwi-parti, Anwar berkata idea ini bukanlah sesuatu yang baru di negara kita. Bahkan, sistem dwi-parti yang kita kenal hari ini adalah olahan dari konsep kerajaan berteraskan parti pemerintah dan parti pembangkang.

Dalam ucapannya beliau menambah, pembentukan sistem dwi-parti gagal dizahirkan kerana dihalang oleh institusi kerajaan yang parah dalam rasuah, dan perilaku pemerintah yang sewenang-wenang mencabul sistem demokrasi negara.

"Idea sistem dua parti ini hangat perkatakan sejak tahun lepas. Bahkan sambutan yang diterima idea dwi-parti ini begitu besar seraya mencadangkan kewujudan gagasan parti kedua mampu memulihkan demokrasi negara," kata Anwar.

Namun rakyat terus berharap, sehubungan itu Anwar menyeru Pakatan Rakyat untuk tidak menghampakan aspirasi rakyat dan komited kepada piawaian urustadbir kerajaan yang tinggi.




"Di negeri-negeri Pakatan Rakyat, kita perlu tunjukkan keadilan, dan dasar keterbukaan yang menghormati hak asasi rakyat seluruhnya dan hak individu setiap warganegara," kata Anwar.

Anwar dalam ucapannya menambah keutamaan hari ini bukanlah untuk memaksakan pembentukan sistem dwi-parti keatas rakyat Malaysia, sebaliknya penekanan harus diberi kepada menjamin kebajikan rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat dalam iklim pengurusan ekonomi cermat dan berhemah.

Anwar menyorot perhatian hadirin kepada siri-siri pencabulan tidak bertanggungjawab oleh sekumpulan elit manusia yang mahu kekal sebagai kuasa politik dominan di Malaysia.

Pemimpin reformasi ini mengingatkan Pakatan Rakyat bahawa masih banyak perkara yang perlu dilakukan sekiranya Pakatan Rakyat mahu menjayakan sistem dwi-parti ini, terutama sekali apabila berhadapan dengan jentera gergasi kerajaan Pusat.

Kemelut MCA: EGM Batal, Pemilihan Semula Dalam Tempoh 6 Bulan?



Mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua MCA mungkin tidak akan diadakan dan komponen parti Barisan Nasional (BN) kedua terbesar itu mungkin mengadakan pemilihan semula dalam tempoh enam bulan, menurut sumber parti itu.


Menurut sumber itu, kedua-dua pihak kini berusaha ke arah tersebut kecuali persoalannya sekarang bilakah pemilihan semula itu akan diadakan memandangkan kedua-dua pihak yang berbalah tidak bersetuju dengan tarikh yang dicadangkan untuk pemilihan semula itu diadakan.



Kumpulan yang diketuai Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dan timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bersetuju mengadakan pemilihan semula selepas sistem undian terus dikemas kini — iaitu antara enam ke lapan bulan tetapi kumpulan yang diketuai Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai mahukan pemilihan semula itu diadakan secepat mungkin selepas EGM yang sepatutnya diadakan pada 28 Nov ini, dibatalkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari Jumaat berkata beliau telah mencadangkan rancangan untuk menyelesaikan kemelut itu selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama parti yang bertelagah semalam.



Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan formula tersebut tetapi berkata pemimpin yang terbabit sedang mengkaji cadangan itu yang beliau percaya akan diterima oleh semua pihak yang terbabit.

“EGM kedua yang dirancang pada 28 Nov berkemungkinan besar akan dibatalkan sekiranya mereka bersetuju untuk mengadakan pemilihan semula. Bagaimanapun, sehingga sekarang kedua-dua pihak masih lagi berbincang kerana terdapat cadangan ia sepatutnya diadakan dalam tempoh enam bulan,” menurut sumber parti itu kepada Bernama.

Ong telah menyerahkan tugas rundingan itu kepada Dr Chua kerana beliau telah berlepas ke London pagi tadi untuk menghadiri perjumpaan tahunan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO). Beliau dijadualkan pulang Rabu depan.

“Beberapa hari akan datang akan menjadi penting. Mereka harus mencapai persetujuan bilakah pemilihan semula boleh diadakan,” katanya.

Apabila dihubungi, Dr Chua enggan mengulas mengenai rancangan itu kecuali berkata sekiranya pemilihan semula itu diadakan, paling awal ia akan diadakan Mac tahun depan dan pemilihan itu akan menggunakan sistem undian terkini dan bukannya sistem undian terus seperti yang dicadangkan.

“Pendirian kami tidak pernah berubah. Kami bersetuju untuk mengadakan pemilihan semula tetapi bukan mengadakan EGM pada 28 Nov ini,” katanya.

Justeru adalah menarik untuk melihat bilakah dua kumpulan yang bertelagah akan berkompromi apabila Perdana Menteri telah meluahkan harapannya untuk melihat krisis dalaman MCA diselesaikan secepat mungkin.



Najib telahpun mengarahkan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan perbincangan bersama pemimpin MCA berdasarkan formula yang dicadangkan.

Perdana Menteri telah berlepas ke Amerika Syarikat untuk lawatan dan akan ke Trinidad and Tobago untuk menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).

Kien Keat- Boon Heong Mara Ke Pusingan Akhir



Kegundahan skuad Malaysia sedikit terubat apabila pasangan beregu lelaki nombor satu dunia Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mara ke pusingan akhir badminton Siri Super Master China setelah menewaskan pasangan dari Taiwan.

Mereka mengalahkan Chen Hong Ling-Lin Yu Lang 21-15, 21-13 dalam masa 26 minit pada kejohanan itu yang berlangsung di Shanghai, China.

Perlawanan akhir Ahad, merupakan yang ketiga dalam tempoh kurang sebulan buat pasangan juara Kejohanan Terbuka Seluruh England 2007 itu, selepas Siri Super Terbuka Denmark dan Siri Super Terbuka Perancis pada hujung bulan lepas.



Kejayaan Kien Keat/Boon Heong bagaimanapun gagal dituruti pasangan beregu wanita, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty, yang tewas kepada beregu tuan rumah, Tian Qing-Zhang Yawen dengan keputusan 17-21 dan 8-12.

Kekalahan beregu wanita nombor empat dunia ini menambah duka kem Malaysia, yang sebelum ini menyaksikan tersingkirnya pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, dan ratu badminton negara, Wong Mew Choo.

Mayat dibedah siasat kali kedua


KERANDA berisi mayat Beng Hock dibawa keluar selepas digali semula di Taman Peringatan Nirvana Semenyih, Kajang semalam.



Selepas tiga bulan disemadikan, mayat setiausaha politik Exco Selangor, mendiang Teoh Beng Hock yang ditemui mati di atas koridor di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai lalu, digali semula semalam.

Suasana pilu dirasai apabila abang mendiang, Teoh Beng Kee dan adiknya, Teoh Lee Lan dilihat menitiskan air mata sambil memegang gambar Beng Hock bagi mewakili ahli keluarga lain yang tidak hadir.

Malah dua beradik itu sempat bertafakur di atas kubur Beng Hock sebelum proses menggali dimulakan.

Keputusan menggali semula mayat Beng Hock, 30, yang disemadikan di Taman Peringatan Nirvana Semenyih di sini dibuat selepas Mahkamah Koroner Shah Alam pada 4 November lalu membenarkan permohonan keluarga mangsa supaya mayat itu dibedah siasat kali kedua.

Permohonan menggali semula mayat tersebut dibuat ekoran keterangan oleh pakar patologi Thailand, Dr. Porntip Rojanasunan pada inkues siasatan kematian Beng Hock yang menyatakan terdapat 80 peratus kemungkinan kematian itu kerana dibunuh berdasarkan kesan kecederaan.

Pihak berkuasa termasuk ahli politik dari kerajaan negeri Selangor mula berkumpul seawal pukul 7.30 pagi di kawasan tanah perkuburan tersebut walaupun proses menggali hanya bermula pada pukul 9 pagi.

Proses menggali semula mayat Beng Hock disertai oleh sepasukan pakar patologi daripada beberapa hospital yang diketuai oleh Unit Forensik dan Patologi Hospital Sungai Buloh (HSB).

PAS Kelantan Tidak Mahu Campur Isu Berkaitan Nik Aziz

PAS Kelantan tidak mahu mencampuri isu berkaitan yang dihadapi Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menyifatkan ia tidak ada kena mengenai soal politik.



Setiausaha Badan Perhubungannya Mohd Zaki Ibrahim berkata parti itu yakin Nik Aziz mampu menyelesaikan sendiri isu berkaitan menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan tajaan menunaikan haji ke Tanah Suci.

"PAS Kelantan tidak pernah membincangkan soal ini kerana ia bukan perkara politik sebaliknya ia masalah pentadbiran yang boleh diselesaikan sendiri Tok Guru (Nik Aziz) selaku Menteri Besar," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat badan perhubungan parti itu di kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10 di sini hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Nik Aziz selaku Pesuruhjaya PAS Kelantan tetapi enggan menemui pemberita atas alasan kesihatan.



Mengenai khabar angin Abdul Ariffahmi meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PMBK dan juga peletakan jawatan seorang Exco kanan kerajaan negeri seperti yang dilaporkan dalam blog tertentu, beliau berkata: "Ia khabar angin sahaja dan jika benar sudah tentu dalam mesyuarat hari ini ada dibincangkan (perkara ini)."

Pada mesyuarat itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Husam Musa tidak hadir dan dilaporkan sedang menerima rawatan di hospital atas sebab kesihatan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails