Geng Aku

Sabtu, 3 April 2010

Khalid Samad: PM 1Malaysia Tidak Wajar Sokong Perkasa.


Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata sokongan yang ditunjukkan Perdana Menteri Najib Abdul Razak kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) bercanggah dengan konsep 1Malaysia yang disuarakan.

Beliau menjelaskan pemerintah yang mewar-warkan kesatuan semua kaum dan agama tidak seharusnya merestui retorik perkauman melampau yang dibawa oleh Perkasa, atau mana-mana pihak sekalipun.

"Kerajaan kalau ingin menjaga hubungan yang baik dikalangan kaum mesti tidak membenarkan sikap-sikap keterlaluan yang sepertimana di bawa oleh Perkasa itu untuk terus diperjuangkan, kerana ianya merupakan satu corak hasutan kepada rakyat, terutamanya menghasut bangsa Melayu kita untuk membenci dan mencurigai kaum lain, walhal kita bicara soal 1Malaysia," tegas Khalid.


Khalid Samad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri semalam. Najib dalam temubualnya bersama agensi berita Al-Jazeera berkata Perkasa bukan pelampau ekstrem dan demikian itu kerajaan akan cuba memenuhi permintaan mereka.

Khalid berkata jelas sekali 1Malaysia yang dicanangkan hanyalah wayang kulit untuk melunakkan wajah perkauman Umno, sekaligus menutup imej yang telah sedia tercalar.

"Saya pun hairan mengapa datuk seri Najib berkata sebaliknya, lebih-lebih lagi kalau kita melihat tentang tuntutan yang dibawa oleh mereka jelas bercanggah dengan konsep 1Malaysia," katanya.

"Tindak-tanduk mereka mengapi-apikan semangat kebangsaan akan menimbulkan ketegangan," tambah beliau.

Dun Perak Kecoh Kerana Tidak Ikut Peraturan - Nik Aziz


Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak tidak akan menjadi kecoh sekiranya anggota dewan khususnya mematuhi perlembagaan negeri yang sedia ada, namun yang paling utama ialah mematuhi perlembagaan diselaraskan dengan Al-Quran.

Serentak dengan itu, beliau yang juga Menteri Besar mempertikaikan ahli Dewan Negeri yang ‘dibawa masuk’ (menjadi anggota Dewan) melalui mahkamah, namun beliau akur bahawa perjalanan Dewan Negeri termasuk di Perak perlu berdasarkan peraturan.

“Dalam dewan ada peraturan, dan menjadi peraturan dewan (bahawa) mereka yang menganggotai dewan itu mesti wakil rakyat.

“Dan kalau nak jadi wakil rakyat mesti melalui undi (malalui proses demokrasi), itulah peraturannya.  Tetapi sekiranya (ahli yang menjadi anggota Dewan itu) sebahagiannya melalui undi, dan sebahagiannya pula melalui tok hakim (mahkamah), mana boleh demikian,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ceramah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi semalam.


Beliau diminta mengulas mengenai persidangan Dewan Undangan Negeri Perak yang disifatkan sesetengah pihak sebagai dalam ‘zoo’ sedangkan padanya termasuk di negeri Perak, ada peraturannya.

Beliau mendakwa kekecohan yang berlaku  dalam dewan itu di mana golongan yang cerdik yang tidak boleh tunduk kepada perbuatan zalim, manakala mereka yang satu pihak lagi merasakan dizalimi, mereka melawan.

“Itu tanda mereka cerdik, tetapi kalau dikhianati namun mereka buat senyap saja itu tanda tak cerdik.  Bagaimana pun, perbalahan itu mesti ada punca, takkan sebelah A lawan B dengan tidak ada sebab, tidak begitu.  Mesti B buat masalah pada A dan A kena lawan atau pun A buat masalah pada B dan B kena lawan.

“Islam pun mengajar demikian.  Demokrasi pun ajar, jadi jangan nampak benda kekecohan dalam Dewan lalu diburukkan lagi keadaan.  Mesti ada sebab, kita kena tengok kepada sebab, kekecohan itu kerana apa termasuk dalam Dewan Undangan Negeri Perak,” katanya.

Beliau mendakwa, kekecohan itu disebabkan rakyat yang mengundi memilih calon A ke dalam dewan, namun orang lain pula membawa masuk orang lain melalui mahkamah.

“Mana boleh, sepatutnya memberi peluang kepada rakyat.  Ini kerana membawa masuk wakil dalam dewan pun rakyat, hendak membawa masuk calon lain pun terlebih dahulu mesti tanya rakyat.

“Itu yang kita sebut beri peluang kepada pilihanraya semula, ini bendanya.  Orang bawa masuk wakil rakyat melalui dewan, kita (pihak tertentu) mengubahnya,” katanya.

Mursyiyul Am menasihatkan bahawa semua perkara hendaklah bertindak dengan betul mengikut peraturan.

“Dari segi agama mestilah mengikut Islam.  Kalau tak mahu agama, ikutlah perlembagaan, tetapi perlembagaan itu setakat di dunia sahaja.  Apabila masuk kubur (mati) tidak berguna lagi.

“Oleh sebab itu kita di Kelantan mempastikan bahawa proses perlaksanaan perlembgaan selaras dengan Quran, dengan itu dalam kubur nanti (di akhirat)  kita selamat , dan atas dunia pun kita jadi selamat, insya Allah,” katanya.

Kit Siang Cabar 17 Menteri Isytihar Diri Rakyat Malaysia.


Ahli Parlimen Ipoh Timor, Lim Kit Siang mencabar 17 Menteri Kabinet mengisytiharkan diri adalah rakyat Malaysia terlebih dahulu sebelum disusuli membuat pengakuan mereka adalah dari kaum Melayu, Cina, India dan suku kaum lain.

Katanya, cabaran itu itu adalah seiring dengan idea gagasan 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan reaksi kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin yang mengisytiharkan diri sebagai Melayu dahulu, baru rakyat Malaysia. 


”Saya berasa sedih kepada Perdana Menteri kerana beliau yang mencetus idea 1Malaysia, dan beliau seharusnya berasa malu dengan kenyataan timbalannya (Muhyiddin) itu,” katanya di lobi Parlimen, semalam.

Di GEORGETOWN Muhyiddin yakin rakyat boleh menilai apa yang telah dilakukannya dalam kerajaan sama ada beliau seorang pemimpin bersifat perkauman atau sebaliknya. 


“Saya berpendapat, biar rakyat menilai sendiri apa yang telah saya kata dan lakukan dan saya yakin, rakyat boleh menilainya dengan baik dan saya tidak perlu seorang yang bernama Kit Siang untuk buat pertimbangan pilihannya sendiri,” katanya.

Tiket Jadi Mahal Kerana Harimau Malaya.


HARIMAU betina bernama 'Courtney' ini antara dua ekor Harimau Malaya yang diserahkan kepada Zoo Mini Kemaman semalam.


Pengunjung Taman Rekreasi dan Zoo Mini Kemaman, Bukit Takar di sini perlu membayar dua kali ganda harga tiket berbanding biasa untuk memasuki pusat pelancongan itu mulai pertengahan bulan ini.

Ini bermakna pengunjung zoo itu nanti perlu membayar tiket RM10 berbanding RM5 sebelum ini manakala kadar bagi kanak-kanak pula daripada RM3 kepada RM5.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, kenaikan harga tiket itu bagi menampung kos pengurusan selepas zoo itu menerima 'ahli' terbarunya iaitu dua ekor Harimau Malaya dari Zoo Melaka.

"Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pertambahan kos yang perlu ditanggung pihak pengurusan zoo termasuk kos menjaga dua ekor harimau ini,'' katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan dua ekor harimau tersebut di sini semalam.

Dua ekor Harimau Malaya itu masing-masing diberi nama 'Chiko' iaitu spesies jantan berusia dua tahun dan pasangannya yang lebih tua, 'Courtney' berumur tujuh tahun.

Peniaga Roti Canai Melecur Badan Cuba Padam Api.


NOORASHIKIN (kanan, berdiri) bersama lima anaknya memeriksa sisa-sisa kebakaran di tapak rumah mereka yang terbakar di Kampung Alor Senjaya, Alor Setar semalam.


Cubaan seorang peniaga roti canai untuk memadamkan kebakaran di rumahnya mengundang padah apabila dia nyaris maut selepas disambar api hingga menyebabkan belakang badan dan tangannya melecur di Kampung Alor Senjaya di sini kelmarin.

Ketika kejadian pukul 6.50 petang itu, Mohd. Yusuff Hashim, 47, dikatakan sedang memasak kuah makanan tersebut apabila api tiba-tiba menyambar bahagian dapur rumah mereka.
Kejadian itu menyebabkan rumah yang disewa mereka hangus dan kerugian dianggarkan bernilai RM50,000.

Menurut isteri mangsa, Noorashikin Abdul Rashid, 47, semasa kejadian, selain dia dan suami, anak sulung mereka, Yasmin Zafirah, 13, turut berada di dalam rumah manakala empat lagi anaknya keluar bermain.

Katanya, menjadi kelaziman mereka untuk menyiapkan kuah roti canai sehari awal bagi memudahkan mereka berniaga di gerainya di Hutan Kampung.

Berbagai Projek Di Hulu S'gor.


Meskipun Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lawatannya ke Hulu Selangor hari ini bukan untuk berkempen, namun kawasan parlimen itu dijanjikan empat buah sekolah baru.
Berucap kepada 500 guru dari Hulu selangor yang dihimpunkan di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, Muhyiddin mengumumkan sebuah sekolah menengah dan tiga sekolah rendah akan dibina.

Dalam ucapan 30 minitnya itu, Muhyiddin, yang juga menteri pelajaran berkata guru berperanan membawa tahap pendidikan negara ke tahap antarabangsa.

Beliau juga menggunakan sessi soal jawab selama 15 minit untuk mengulangi janji kerajaan mengkaji keperluan guru dan pelajar.

Bagaimanapun sebelum mengakhiri ucapannya, timbalan perdana menteri mengingatakan bahawa tarikh pilihan raya kecil Hulu Selangor telah diumumkan.

"Saya tidak akan berkempen hari ini tetapi saya akan datang kembali untuk berkempen pada masa yang lain.

"17 April adalah hari penamaan calon manakala 25 April pula adalah hari mengundi. Tandakan hari-hari dalam diari anda dan catatkan juga undilah Barisan Nasional," katanya sambil berseloroh.

Selesai majlis itu, Muhyiddin bergegas ke sebuah masjid di Kampung Sentosa di batang Kali.

Selepas menunaikan solat asar, beliau mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk mengatasi masalah banjir di kampung berkenaan.



Sehubungan itu, timbalan presiden Umno mengarahkan Jabatan Kerja Raya menyempurnakan projek berkenaan dengan kadar segera selaras dengan prinsip rakyat didahulukan.

Dalam pada itu, beliau turut meluluskan permohonan Masjid Al-Sajdin di Kampung Sentosa untuk mendapatkan van jenazah dan tempat wuduk jemaah perempuan yang menelan belanja RM100,000.

Beliau bagaimanapun enggan berjumpa dengan wartawan.

Esok, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dijangka memulakan lawatannya pula untuk bermesra dan berjumpa dengan rakyat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails