Geng Aku

Ahad, 12 Julai 2009

Tuan Guru Restu Nasharuddin Berkempen..


Akhirnya, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa muncul juga di Manek Urai dan berkempen membantu calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah mulai hari ini.



Beliau tiba di Kelantan jam 9 pagi tadi dan turut serta dalam solat Dhuha bersama Mursyidul Am PAS dan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah.

Majlis sembahyang solat Dhuha itu diadakan di Sungai Peria, Manek Urai.

Nasharuddin dijadual menghadiri taklimat mengenai kempen pilihanraya di markas induk PAS Manek Urai pada jam 3 petang tadi.

Malam tadi, dalam ceramahnya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, timbalannya itu "uzur" dan tidak dapat datang membantu kempen calon parti itu di Manek Urai.

"Itu (disebabkan) uzur. Kalau dijemput pun (beliau) tidak boleh hadir, uzur," kata Abdul Hadi yang pertama kali turun berceramah di Manek Urai.

Presiden PAS itu diminta mengulas misteri "kehilangan" Nasharuddin setelah kempen pilihanraya masuk hari kelima.

Semalam, terdapat ura-ura Nasharuddin - yang ditegur Nik Aziz berhubung isu kerajaan perpaduan - telah tiba ke Kelantan.

Beliau dijadual menghadiri perhimpunan bantahan peraih dan pemborong ikan di Pasar Laloh (foto) bersama Nik Aziz petang semalam.

Bagaimanapun, sehingga program berakhir lewat petang semalam, timbalan presiden PAS itu tidak kelihatan.

Mengulas lanjut perkara itu, Abdul Hadi berkata, timbalannya akan turun padang mulai hari ini dan enggan berehat walaupun baru lepas menjalani pembedahan usus semalam.

"Beliau tidak mahu berehat, mahu turun ke padang," katanya.

Cabaran Umno

Sementara itu, ditanya soal cabaran Umno supaya PAS membuktikan parti Melayu itu tidak Islam, Abdul Hadi berkata: "kita tidak boleh menentukan akidah seseorang".

"Apa yang penting, sikap dan tindakan (mereka) mestilah bersifat Islam. Kita berhadap saudara-saudara kita daripada Umno kembali ke pangkal jalan.

"Kita adalah satu bangsa, satu agama ... Kita mestilah melaksanakan Islam sebagaimana (diperintahkan) dalam al-Quran dan Hadis.

Dalam ucapannya sebelum itu, Abdul Hadi yakin PAS akan sekali lagi menang di kerusi DUN Manek Urai - yang dipegangnya sejak tahun 1959 dan hanya kalah sekali kepada BN pada tahun 2004 sahaja.

"Semua pilihanraya kecil sebelum ini keputusannya memihak kepada kita. Cuma di Batang Ai sahaja kita kalah sebab mereka ini tidak reti undi, pakai cawat lagi. Saya bukan nak hina tetapi tempat yang pakai molek,undi PAS," katanya.

Hadir sama berceramah ialah ahli jawatankuasa PAS Pusat Mohamad Sabu di Chucoh Puteri.

Mohamad dalam ceramahnya sebelum itu yakin, sokongan padu terhadap calon PAS daripada pengundi yang menetap di luar akan memastikan PAS mendapat lebih daripada 2,000 majoriti kali ini.

100 hari Najib banyak Negatif...Mahathir


Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pentadbiran Datuk Seri Najib Razak "lebih banyak yang negatif daripada yang positif".

Tambahnya, ia berdasarkan penilaian peribadinya terhadap pentadbiran Najib yang genap 100 hari esok.



Bercakap kepada pemberita di PWTC hari ini, Dr Mahathir berkata, yang negatifnya termasuklah cadangan pembinaan jambatan ketiga antara Johor dan Singapura.

Bercakap selepas menyampaikan ucap utama program "Wacana Kedudukan Institusi Beraja dan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dari Perspektif 1Malaysia" yang diadakan secara tertutup, Dr Mahathir ditanya sama ada pentadbiran Najib telah membuat kajian mengenai cadangan pembinaan jambatan tersebut.

Menurutnya, pembinaan jambatan berkenaan tidak boleh menyelesaikan masalah kesesakan di Johor Bahru.

Satu perkara lagi yang dianggap negatif, menurut Dr Mahathir lagi, ialah pelantikan orang yang korup dalam pentadbiran Najib.

Ditanya mengenai perkara positif mengenai pentadbiran Najib, beliau berkata: "Yang positif ialah Najib berjumpa ramai orang dan dia tidak tidur malam."

Jawapannya disambut dengan gelak ketawa para hadirin.

Masa depan orang Melayu

Ketika ditanya mengenai nasib orang Melayu di negara ini, Dr Mahathir berkata, ianya bergantung kepada orang Melayu sendiri.

“Mereka harus bertindak untuk orang Melayu tetapi lima tahun pentadbiran (Perdana Menteri) Tun Abdullah Ahmad Badawi rosak semua - rakyat, ekonomi, kewangan dan parti-parti BN.

“Tetapi saya tidak dengar orang Melayu komplen terhadap Tun Abdullah,” katanya.

Mantan perdana menteri itu berkata, orang Melayu hari ini tidak puashati kerana dituduh menjadi penghalang perpaduan, pertumbuhan ekonomi dan sebagainya.

Katanya, mereka bimbang apa yang akan berlaku kepada mereka nanti dan mereka harus tahu apa yang akan berlaku dalam negara mereka sendiri.

Dr Mahathir juga berkata, parti pembangkang tetap diperlukan untuk menegur kerajaan jika membuat salah.

“Tidak pedulilah DAP atau PAS, kita perlukan pembangkang kerana orang kita tidak tegur walaupun kerajaan buat tidak semuanya benar,” tambahnya.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dr Mahathir berkata, sepanjang 38 tahun penggubalan dasar tersebut, ia menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang terbaik.

Sepatutnya, kata beliau, orang Melayu menggunakan DEB untuk kepentingan ekonomi mereka tetapi sebaliknya menyalahgunakannya.

Orang Melayu, katanya, menyalahgunakan lesen, kontrak dan permit import yang diluluskan (AP)

'DEB tidak salah tetapi yang salah (ialah) kerana orang yang menyalahkan lesen, kontrak dan AP itu,” katanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails