Geng Aku

Selasa, 10 November 2009

Dr. Asri ke pentas politik?


Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin di Pejabat Menteri Besar di Kota Darulnaim, Kota Bharu semalam. 


Tokoh agama kontroversi, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin tidak menolak kemungkinan menyertai parti politik jika terus dihalang daripada menyampaikan ajaran agama.
Bagaimanapun bekas Mufti Perlis itu berkata, masih belum ada keperluan untuk berbuat demikian kerana beliau masih bebas untuk berdakwah.

"Saya ingin menyampaikan pengajaran Islam, pemikiran Islam, memberitahu bahawa Islam agama untuk semua, jadi saya tidak fikir ada keperluan untuk menyertai politik.

"Tetapi, jika semua pintu ini dihalang sehingga saya tidak boleh bercakap melainkan di pentas politik, mungkin saya berbuat demikian, tapi saya harap ia tidak berlaku.

"Buat masa ini tidak perlu saya menyertai mana-mana parti politik dan saya mendapat sokongan kedua-dua ahli parti (Pas dan UMNO) kecuali hak saya untuk bersuara disekat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Pertemuan yang turut disertai beberapa penyokong Mohd. Asri itu bermula dari pukul 9 pagi dan berakhir kira-kira sejam kemudian.

Mohd. Asri berkata, sehingga kini, pihak berwajib masih memberi peluang kepadanya dari segi kebebasan bersuara dan ruang untuk menyampaikan pengajaran Islam.

"Setakat ini, saya rasa peluang masih diberikan, saya berterima kasih kepada semua pihak yang sudi menerima saya, ini tanda keterbukaan intelektual.

"Jika ada pihak yang betul-betul menghalang, saya terpaksa fikir jalan yang lebih terbuka," katanya yang tidak menyebut mana-mana parti politik yang berkemungkinan disertai olehnya.

Beliau juga mengalu-alukan perbincangan terbuka berbentuk forum, wacana mahupun debat dengan mana-mana pihak yang ingin mendapatkan pandangannya bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan.

"Saya tak tahu sama ada perlu dibuat debat atau tidak mengenai keadaan sekarang tetapi saya terbuka untuk buat perbincangan.

"Kita boleh buat satu forum atau wacana pemikiran, panggil orang yang benar-benar layak, janganlah panggil pegawai-pegawai kecil. Bukan saya nak letak diri saya tinggi.

"Kita mahu bincang betul-betul, dengan dialog yang baik, bagi rakyat dengar yang akhirnya memberi faedah kepada semua," katanya.




Mengulas pertemuannya dengan Nik Abdul Aziz, beliau berkata, ia sebagai tanda terima kasih atas sokongan pemimpin tersebut berhubung isu penahanannya oleh Jabatan Agama Islam Selangor baru-baru ini.

Beliau menolak dakwaan kunjungannya itu ada kaitan dengan politik.
Beliau berkata, Nik Abdul Aziz menasihatkannya supaya bersabar dan memintanya terus menulis dengan bersungguh-sungguh serta boleh memulakan kolum baru Di sini Saya Bermula.

"Beliau berkongsi dengan saya, zaman menuduh Kaum Muda atau Wahabi telah dilalui oleh beliau sendiri pada satu ketika dulu, sekarang ia berulang," tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails