Geng Aku

Sabtu, 6 Mac 2010

MAIS Haramkan Logo Halal Swasta.


Mohammed Khusrin menunjukkan sijil halal yang diharamkan (kiri) dan sijil halal yang diiktiraf oleh Majlis Agama Islam Selangor di Shah Alam semalam.


Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) semalam membuat keputusan mengharamkan penggunaan sijil halal keluaran enam buah syarikat swasta di negeri ini berkuat kuasa serta-merta.

Kesemua syarikat itu yang selama ini mengeluarkan sijil halal kepada kira-kira 100 pengusaha restoran dan makanan di negeri ini dilarang menerima permohonan baru untuk mendapatkan sijil tersebut.

Keenam-enam syarikat terbabit ialah Bahtera Lagenda Sdn. Bhd., Islamic Food and Research Council (IFRC), SAS-H Consultancy, Perak Religious Officer Association, Halal Food Council S.E.A dan IFANCA International.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, bagi pengusaha premis pula, mereka diarahkan supaya tidak lagi menggunakan logo halal terbabit sebaliknya perlu segera membuat permohonan semula dengan pihaknya atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, tindakan tegas itu diambil ekoran terdapat pelbagai logo halal keluaran syarikat swasta yang tidak diiktiraf telah dikesan berada di pasaran menyebabkan berlaku kekeliruan di kalangan masyarakat Islam.

Pilihan Raya Kerajaan Tempatan PP Diadakan Semula.



Dua hari sebelum Pakatan Rakyat meraikan ulang tahun kedua mereka merampas, Pulau Pinang, kerajaan negeri hari ini mengumumkan pilihan raya kerajaan tempatan akan diadakan semula.
Pilihan raya itu membabitkan dua majlis tempatan - Majlis Tempatan Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Tempatan Seberang Perai (MPSP)

Menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, surat telah dihantar kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf pada 4 Mac lalu meminta mereka menguruskan perjalanan pilihan raya berkenaan.

Perkara itu, kata Lim terkandung dalam Perkara 113 (4) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi "undang-undang persekutuan atau undang-undang negeri boleh memberi kuasa kepada SPR menjalankan apa-apa pilihan raya yang lain daripada yang dinyatakan dalam Fasal (1)."

Lim juga berkata pihaknya bersedia berbincang dengan SPR bagi menyelaraskan perjalanan pilihan raya kerajaan tempatan itu.

Pilihan raya kerajaan tempatan yang terakhir dihentikan sejak 40 tahun lalu oleh kerajaan Barisan Nasional.

Sebelum itu, pilihan raya itu didakwa mampu mengembalikan keberkesanan pihak berkuasa tempatan menjalankan tugas di kawasan masing-masing.

Lim juga pernah dilaporkan berkata, pelbagai masalah yang berlaku di peringkat tempatan sekarang adalah kerana kegagalan pihak berkuasa tempatan menjalankan tugas seperti yang diharapkan oleh rakyat. 

Ketika dihubungi, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata suray berkenaan belum dibawa untuk perhatian suruhajaya itu lagi.

“SPR akan meneliti kandungan surat itu dan membincangkannya sebelum memberikan jawapan (kepada kerajaan Pulau Pinang).

“Apapun keputusannya sama ada positif atau negatif, adalah terlalu awal untuk kita perkatakan. Ini membabitkan isu perundangan yang perlu diambil kira," kata Ahmad.

PAS Kesal DUN Melaka Tolak Usul Pakatan.



PAS kesal dengan tindakan dengan tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang awal-awal lagi menolak usul yang dibawa oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) negeri ini dalam persidangan yang akan berlangsung Isnin hingga Khamis ini.Ketua penerangan PAS Negeri Melaka, Sofi Wahab berkata, usul yang dikemukakan oleh ADUN PR itu telah dihantar kepada setiausaha DUN, mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Tetapi malangnya, tambah beliau, jawapan yang diterima amat mengecewakan apabila ia ditolak dengan tiada alasan yang kukuh.

"Antara usul yang dikemukakan ialah mendesak ketua menteri dan exco-exco kerajaan negeri mengisytiharkan harta masing-masing, dan menggesa kerajaan negeri memperincikan perancangan membina pulau buatan yang dinamakan Pulau Jalur Gemilang," katanya.

Sofi mendakwa, tindakan DUN Melaka menolak usul itu jelas membuktikan kerajaan negeri tidak demokratik dan membelakangkan kepentingan rakyat.

Katanya, ia kerana usul-usul yang dikemukakan oleh ADUN PR adalah berkaitan dengan kepentingan rakyat.

"Persoalannya, mengapa kerajaan negeri takut untuk menjelaskan isu yang dibangkitkan tersebut, jika mereka telus dan profesional. Berani kerana benar, takut kerana salah.

"Saya dan rakyat Melaka berhak mengetahui semua perancangan dan projek-projek yang dijalankan oleh kerajaan kerana ianya melibatkan duit rakyat sebagai pembayar cukai.

"Sebagai rakyat, kita tidak mahu kerajaan negeri membelanjakan duit rakyat dengan sewenang-wenangnya tanpa dipertanggungjawabkan," tambahnya.

Rakyat juga berhak mengetahui kekayaan ketua menteri dan exco-exco kerana jika didapati kekayaan mereka tidak munasabah dan sepadan dengan pendapatan mereka, maka sudah pasti rakyat akan berasa sangsi dengan integriti pemimpin mereka.

Sofi berkata, pemimpin yang diberikan amanah memimpin negeri mesti membebaskan diri mereka daripada tuduhan dan syak wasangka rakyat, dengan mengisytiharkan harta mereka secara jujur dan telus. 

Tindakan DUN Melaka menolak usul-usul yang melibatkan kepentingan rakyat khususnya berkaitan dengan kewangan dan juga integriti pemimpin, menyebabkan rakyat terus memandang serong kepada pemimpin.

"Ini perlu dibetulkan dengan pemimpin sendiri menjelaskannya secara terperinci di dalam DUN," tambahnya.

Sultan Perak Dipohon Tak Perkenan Sidang DUN.

Ketua DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham hari ini mendakwa jika Datuk R Ganesan diiktiraf sebagai speaker Perak yang sah, perkara itu akan menggugat sistem raja berpelembagaan di negara ini.

Ini kerana menurut beliau yang juga ADUN Sitiawan, Ganesan dipilih secara tidak sah.

Beliau mendakwa, Ganesan dilantik sebagai 'speaker' oleh ADUN BN dalam sidang DUN pada 7 Mei lalu ketika Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah belum merasmikan sidang.

Katanya, Ganesan dilantik ketika sesi pagi iaitu kira-kira jam 10.30 pagi sedangkan Raja Nazrin merasmikan sidang DUN kira-kira jam 3 petang.

"Jika Sultan Perak mengiktiraf Ganesan, kepercayaan rakyat terhadap institusi beraja akan merosot.

"BN juga sudah memulakan tradisi bahawa perasmian sidang DUN oleh Sultan atau Raja Muda tidak diperlukan kerana speaker boleh dilantik sebelum sesi bermula," katanya pada sidang akhbar di Ipoh hari ini.

Ngeh yang juga timbalan setiausaha agung DAP juga mempertikaikan sesi pagi yang dipengerusikan oleh adun Jelapang, Hee Yit Foong ketika proses pelantikan Ganesan.

Ini kerana Hee tidak dibenarkan memasuki sidang DUN kerana sudah meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Hee, bekas wakil rakyat DAP dan dua lagi adun bebas tidak dibenarkan memasuki sidang DUN ketika itu kerana speaker yang disingkirkan V Sivakumar mendakwa mereka sudah meletak jawatan berikutan tindakan ketiga-tiganya keluar parti masing-masing.

Dua lagi wakil rakyat bebas itu adalah adun Behrang, Jamaludin Mohd Radhi dan adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu.

Tindakan ketiga-tiga adun yang berpaling tadah itu membolehkan BN menubuhkan kerajaan Perak pada 6 Februari tahun lalu.

EPF Umum Dividen 5.65 Peratus Bagi 2009.


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 5.65 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009, dengan peningkatan sebanyak 115 mata asas berbanding kadar 4.50 peratus yang dibayar pada tahun 2008.

Kadar dividen itu diumumkan setelah KWSP memperoleh pendapatan bersih tertinggi pernah dicapai sebanyak RM19.63 bilion, yang merupakan peningkatan 34.82 peratus berbanding RM14.56 bilion pada 2008.

“2009 merupakan tahun yang penting bagi KWSP kerana berjaya keluar dari krisis kewangan global. Walau pun KWSP terus berdepan dengan persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan, pelaburan KWSP berupaya memberikan prestasi yang kukuh pada tahun itu,” kata Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman.
Pada tahun yang dikaji, sebanyak 72.53 peratus pelaburan dilaburkan dalam Instrumen Berpendapatan Tetap selaras dengan pendekatan pelaburan berhemah yang diamalkan KWSP, sementara 27.05 peratus dilaburkan dalam pelaburan ekuiti dan selebihnya dalam hartanah.

Setakat 31 Disember 2009, portfolio pelaburan KWSP meningkat 8.55 peratus atau RM29.25 bilion kepada RM371.26 bilion berbanding RM342.01 bilion pada 2008.

Mengenai prospek 2010, Samsudin berkata: “Prospek 2010 bergantung kepada prestasi ekonomi negara dan global."

Beliau berkata keadaan pasaran kewangan global masih tidak stabil dan boleh memberikan kesan kepada nilai pelaburan dan pendapatan masa depan KWSP.

"Kami akan terus memberikan tumpuan kepada matlamat utama KWSP melindungi simpanan ahli dan memberikan pulangan nyata yang munasabah,” kata Samsudin.

- Bernama

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails