Geng Aku

Rabu, 25 November 2009

Santokh Singh Semakin Pulih

Bekas pemain bolasepak kebangsaan, Santokh Singh yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 10 hari lepas kini semakin pulih dan dijangka dipindahkan ke wad biasa dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim yang melawat pemain tersebut hari ini berkata beliau dimaklumkan oleh doktor yang bertugas bahawa Santokh semakin pulih daripada jangkitan kuman di bahagian otaknya dan mula mengenali rakan-rakan yang melawatnya.

"Saya diberitahu oleh doktor bertugas bahawa Santokh sebenarnya bukannya koma seperti yang dilaporkan sebelum ini. Cuma ubat-ubatan yang diberikan bagi melawan jangkitan kuman tersebut membuat pemain tersebut seperti tidak sedarkan diri," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Turut bersama Razali melawat Santokh ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong dan Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abd Aziz.

http://www.nst.com.my/articles/38zols/pix_topright

Santokh, 57, pemain yang mendominasi posisi pertahanan pada zaman kegemilangannya pada era 70-an dan awal 80-an, dimasukkan ke ICU pada Isnin dua minggu lepas selepas pengsan di rumahnya di Setapak, dekat sini.

Isterinya, Taljit Kaur berkata suaminya kelihatan amat sihat dan sempat mengendalikan program kejurulatihan sehari sebelum kejadian itu.

Razali berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi bantuan sewajarnya kepada pemain tersebut menerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

KBS atau MSN katanya tidak mempunyai skim bantuan tersendiri untuk membantu pemain yang telah bersara tetapi boleh melakukannya menerusi Yakeb.

"Saya sendiri akan cuba memberi pertolongan kepada pemain lagenda ini. Jika bukan dari KBS, dari segi peribadi," katanya.

Sementara itu Dr Ramlan berkata berdasarkan pengalamannya sebagai doktor perubatan, jangkitan kuman di bahagian otak boleh menyebabkan renjatan saraf, sepertimana yang dialami Santokh.

"Santokh cuma perlu banyak berehat selepas keluar dari HKL untuk kembali pulih," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails