Ceriteranya bermula pada 19 Ogos lalu, apabila Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Dato’ Dr Abdul Isa Ismail memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa terdapat kekosongan di DUN Kota Siputeh.
Penyandangnya, Dato’ Abu Hasan Sarif didapati melanggari peraturan dewan mengikut Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan (UUTK) Kedah apabila gagal menghadiri persidangan dua kali berturut-turut.
Ia menjadi bertambah kalut apabila SPR pada 1 September secara tidak cermat memutuskan Abu Hassan kekal sebagai ADUN Kota Siputeh dengan alasan yang boleh dipertikaikan.
Dr Abdul Isa memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan SPR yang mengekalkan Abu Hasan sebagai Adun Kota Siputeh pada 1 Oktober lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Krisis berlarutan apabila mahkamah pula mengisytiharkan kekosongan kerusi tersebut pada 16 November lalu yang sekaligus menafikan keputusan tidak cermat SPR pada awalan krisis ini.
SPR dalam tempoh masa yang terhad masih tidak mahu mengalah apabila mengemukakan rayuan untuk mengenepikan keputusan mahkamah beberapa jam sebelum berakhirnya tempoh writ pilihan raya kecil perlu dikemukakan.
Walau apapun keputusan Mahkamah Rayuan nanti, Kota Siputeh tetap akan menjadi bualan ramai seperti mana keputusan mahkamah itu terhadap krisis perlembagaan di Perak, Mei lalu.
Kemungkinan berlakunya pilihan raya kecil (PRK) di Kota Siputeh adalah cukup besar jika aspek perundangan tidak diinjak-injak oleh mereka yang berkuasa.
Sejak awal lagi Pakatan Rakyat (PR) telah sepakat untuk meletakkan calon PAS menentang Barisan Nasional (BN) di kubu kuat Umno itu. PR juga telah mempersiapkan calon yang akan mewakilinya dari kalangan mereka yang diterima baik pengundi di Kota Siputeh.
Kota Siputeh adalah salah satu kawasan DUN di dalam Parlimen Jerlun. PAS tidak pernah memenangi kerusi Kota Siputeh walaupun pernah dua kali merampas kerusi Parlimen Jerlun pada pilihan raya umum (PRU) 1969 dan 1999.
Berdasarkan fakta itulah Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, mengkategorikan Kota Siputeh sebagai ‘kubu kuat Umno sejak bumi diciptakan’. Walaupun begitu, tidak dinafikan peluang PAS untuk merampasnya tetap ada jika dilihat dari beberapa sudut yang positif.
Kota Siputeh menjanjikan saingan yang cukup sengit, tidak seperti di Bagan Pinang yang menyaksikan pertandingan di atas padang yang senget. Di Kota Siputeh, BN tidak dilindungi insuran 35 peratus seperti mana di Bagan Pinang.
PRU 2008 lalu, PAS tewas tipis kepada BN dengan majoriti sekecil 495 undi. Calon PAS mendapat 7665 undi, manakala calon BN hanya berjaya meraih 8160 undi.
Enam daripada tujuh belas unit peti undi (UPU) dimenangi oleh calon PAS. Manakala di empat UPU lain, PAS tewas tipis hanya dengan majoriti kurang dari 45 undi sahaja.
Jika diambil kira statistik itu, kemungkinan PAS merampas kerusi itu nampak seperti cerah. Walau bagaimanapun, ianya memerlukan suatu formula yang bisa merubah keyakinan pengundi Kota Siputeh terhadap keupayaan sebenar PR dan PAS itu sendiri.
Kesudahan cerita ini bergantung kepada keputusan badan kehakiman negara yang sedang mengolah jalan ceritanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan