Geng Aku

Rabu, 25 November 2009

6ixth Sense Menyumpit Di Sarawak.


AHLI kumpulan 6ixth Sense (belakang) Wan, (barisan tengah dari kiri) Gjie, Adi dan Atan, (depan) Ayoy.



PASTI seronok dapat menyaksikan gelagat dan aksi anggota band 6ixth Sense yang sedang hangat menerusi single terbaru Khatimah Cinta meluangkan masa mengunjungi destinasi-destinasi menarik di Sarawak.

Menariknya semua keseronokan mereka di Bumi Kenyalang itu dirakamkan untuk program penggembaraan popular Radio Televisyen Malaysia (RTM), Xpresi Kembara.

Uniknya program terbitan Unit Ehwal Awam RTM itu memberi peluang kepada band-band indie untuk tampil dan mempromosikan lokasi-lokasi percutian menarik di seluruh negara.
Berlibur di sebuah negeri yang besar, Xpresi Kembara 6ixth Sense tampil bersiaran untuk dua episod. Episod pertama sudah pun disiarkan pada 21 November lalu, manakala episod kedua akan dapat disaksikan pada 5 Disember nanti.

Xpresi Kembara disiarkan menerusi TV1 pada pukul 10.30 pagi.

Dalam percutian ke Sarawak itu, 6ixth Sense yang dianggotai Adi Priyo selaku vokalis, Wan (dram), Gjie (gitar utama), Ayoy (bass) dan Atan (gitar kedua) bukan sahaja dapat menjamu mata dengan keindahan bumi hijau negeri terbesar di Malaysia itu bahkan berpeluang mendekati pelbagai tradisi unik pribumi di sana.


AHLI kumpulan 6ixth Sense teruja meneroka keindahan Sarawak.


Pada episod pertama minggu lalu, penonton dapat menyaksikan anggota 6ixth Sense dibawa berkunjung ke perkampungan orang Iban, Lemanak. Siapakah orang Iban, Lemanak dan bagaimanakah kehidupan mereka?

Semua itu terjawab apabila lima anak muda itu meluangkan tiga dua malam di sana.
Sama seperti masyarakat Iban di kebanyakan tempat di Sarawak, orang Iban di Lemanak juga menetap di rumah panjang.

Menariknya dalam kunjungan ala inap desa 6ixth Sense itu, mereka dibawa untuk merasai sendiri pengalaman berburu di hutan, mandi sungai di perkampungan orang Iban dan menaiki bot panjang menyusuri sungai Sarawak.

Paling menyeronokkan bagi 6ixth Sense tentunya apabila dapat mencuba sendiri bagaimana menyumpit salah satu cara yang digunakan orang Iban semasa berburu.


KAGUM melihat ketangkasan wanita Sarawak membuat kain pua kumbu.


Pengalaman penuh unik itu tambah mengujakan apabila 6ixth Sense turut mencuba memasak nasi menggunakan buluh yang sememangnya biasa diamalkan oleh masyarakat pribumi itu di dalam hutan.

Mengambil peluang mendekati masyarakat di sana, pelantun vokal 6ixth Sense, Adi yang berasal dari Jember, Indonesia menghiburkan etnik di sana dengan mempersembahankan lagu-lagu popular mereka secara akustik.

Tidak hanya berada di sekitar perkampungan orang Iban, 6ixth Sense juga dibawa singgah melawat Orang Utan dan mendekatkan hubungan dengan mereka di Pusat Hidupan Semula Jadi Semenggoh.

Mereka kemudian dibawa mengunjungi Gua Angin dan Gua Pari-Pari yang menyajikan pandangan luar biasa dan sememangnya sangat popular di kalangan pelancong yang gemarkan aktiviti mencabar.

Kesinambungan momen-momen indah berada di negeri yang terkenal dengan kampung budayanya itu diteruskan mereka dengan berkunjung ke Kampung Budaya Sarawak termasuklah melawat kesemua jenis rumah panjang kaum Iban, Bidayuh, Melanau dan banyak lagi untuk mengenali dengan lebih dekat lagi suku kaum mereka yang sememangnya unik dan mengagumkan.

Kelima-lima mereka juga seronok dihidangkan makanan tradisional suku kaum masyarakat di Sarawak seperti ikan tahai yang pastinya sukar didapati di Semenanjung Malaysia.


ADI sempat mengenakan pakaian tradisi masyarakat Iban.


Sudah nama pun pemuzik, 6ixth Sense mengambil kesempatan bertukar pandangan dan idea dengan pemuzik tradisional Sarawak dan mereka berkolaborasi menyanyikan lagu-lagu 6ixth Sense dengan diriingi alatan muzik tradisional Sarawak seperti jantung lutang, engkurong dan sape.

Aktiviti berkayak sepanjang sungai Sarawak diteruskan mereka sambil menikmati pemandangan alam semula jadi sambil menyaksikan sendiri monyet-monyet, batu-batu kapur dan juga aktiviti dilakukan masyarakat yang tinggal di hutan persisiran sungai Sarawak.


Malah, ahli kumpulan itu sempat sempat merakamkan klip video Khatimah Cinta yang sedang popular dan menduduki carta lagu di Malaysia masa kini di River Cruise di Sarawak Waterfront.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails