|
TIDAK dinafikan, impak yang terhasil menerusi lagu Aku Tak Percaya Cinta nyanyian Liyana Jasmay memang cukup besar. Lagu dan lirik ciptaan sepenuhnya oleh Ajai itu dengan mudah menangkap telinga lantas menjadikan lagu tersebut antara lagu yang cukup popular lewat ini.
Namun, lagu berentak pop rock alternatif itu tidak terlepas daripada kritikan dan hentaman segelintir pihak yang mendakwa Liyana tidak layak untuk bergelar penyanyi.
Ada yang mendakwa, Liyana tidak memiliki vokal dalam erti kata sebenar untuk bergelar seorang penyanyi dan tidak seharusnya menceburkan diri dalam bidang nyanyian.
Lebih kejam lagi, mereka melabelkan Liyana sebagai perosak industri dan seharusnya menumpukan perhatiannya terhadap dunia lakonan sahaja.
Bertemu dengan Liyana seusai majlis pelancaran album pertamanya, Liyana Jasmay di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini, si genit itu menyifatkan, dakwaan sedemikian sangat kejam buat dirinya.
Dia sedar barangkali albumnya tidak mempunyai nilai muzik yang tinggi tetapi pada masa yang sama, Liyana percaya dan berpuas hati dengan penghasilan album pertamanya itu.
Malah, dia langsung tidak kesal dengan keputusannya untuk bergelar seorang penyanyi kerana dia benar-benar serius dengan dunia muziknya.
"Kalau mereka mengatakan saya merosakkan industri muzik tanah air, ini bermakna mereka juga mengatakan komposer, penulis lirik, pemuzik, penggubah lagu dan semua yang terlibat dalam album saya adalah perosak.
"Mereka yang terlibat dalam album saya ini semuanya merupakan yang terbaik dalam industri muzik tempatan dan saya memberikan kredit kepada mereka kerana percaya dengan apa yang saya mahukan.
"Biarlah apa orang nak cakap tentang saya kerana saya mempunyai misi dan visi saya sendiri dalam bidang nyanyian ini," kata gadis petah ini dalam nada yang cukup optimis.
Album Liyana Jasmay yang memuatkan lima buah lagu itu merupakan terbitan syarikat milik kakak Liyana, Adriana Jasmay iaitu Regal Way Marketing Sdn. Bhd. dengan kerjasama Metadome Sdn. Bhd. sebagai jentera promosi.
Menerusi album ini, Ajai yang juga bertindak sebagai penerbit telah menyumbangkan tiga buah lagu ciptaannya termasuk Aku Tak Percaya Cinta, Kejam dan Aku Jatuh Cinta yang merupakan single kedua untuk album ini.
Bukan itu sahaja, Liyana juga berduet dengan 'teman baiknya' Aizat menerusi lagu Penyelamat Cinta yang juga merupakan ciptaan jejaka itu.
Menyambung bicara, sebagai seorang artis baru dalam dunia nyanyian, Liyana mengakui banyak kekurangan dan kelemahan pada dirinya terutama dari aspek vokal.
Bersikap positif
Kerana itu juga, dia ada memasuki kelas nyanyian untuk mempelajari teknik vokal bersama guru vokal terkenal, Syafizawati Shariff atau lebih dikenali sebagai Cikgu Syafi.
Tambah anak bongsu kepada pasangan Jasmay Shah dan Habsah Simpon ini lagi, dia mahu melakukannya secara perlahan-lahan memandangkan usianya masih lagi muda.
Dia sedar ramai yang mempertikaikan nilai-nilai estetika dalam muziknya tetapi kata Liyana, semua itu akan berkembang sedikit demi sedikit seiring dengan usianya.
"Memang sedari awal sewaktu saya menyuarakan hasrat untuk bergelar seorang penyanyi, perasaan takut dan bimbang memang cukup tebal dalam diri saya.
"Bukan apa. Bimbang dengan penerimaan orang terhadap diri saya tetapi saya cepat sedar dan bersikap positif dengan mengambil risiko ini," ujarnya yang ternyata gembira dan teruja dengan penghasilan albumnya itu.
Bercerita tentang album sulungnya itu, Liyana cukup berpuas hati dengan penghasilannya dan menyifatkan Ajai sebagai seorang yang cukup bijak dalam mencorakkan serta mewarnakan albumnya itu.
Bukan seorang komposer dan penerbit yang jumud fikirannya, jelas Liyana lagi, Ajai di matanya seorang karyawan yang sentiasa bergerak mengikut peredaran muzik semasa.
"Lagu-lagunya sentiasa memiliki elemen muzik terkini tetapi dalam masa yang sama, dia masih mengekalkan sentuhan muziknya. Kerana itu saya selesa bekerja dengannya kerana dia tahu apa yang saya mahukan.
"Saya juga banyak berbincang dan berkomunikasi dengan Ajai dan selesai rakaman, maklum balas yang diterima cukup positif.
"Menerusi penghasilan album ini juga, saya banyak belajar dan bereksperimen untuk menimba pengalaman agar saya boleh lakukan yang lebih baik di masa depan," kata penyandang gelaran Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM 22) menerusi filem Papadom itu lagi.
Liyana turut menambah, dia menetapkan tempoh selama tiga tahun dalam mengekalkan konsep muzik yang dibawakannya itu sebelum tampil dengan konsep yang berbeza pula.
Dia juga cukup sedar, muziknya itu mungkin tidak relevan kepada golongan dewasa dan matang.
Tetapi muzik yang dibawakannya itu adalah untuk menarik perhatian kanak-kanak serta remaja seperti mana yang dilakukan oleh Miley Cyrus yang cukup dikagumi Liyana.
"Saya sungguh gembira dan terkejut dengan penerimaan mereka sewaktu saya membuat persembahan di daerah luar bandar.
Satu rahmat
"Ternyata, percaturan saya tidak silap dan apa yang saya lakukan setakat ini membuahkan hasil seperti mana yang saya harapkan," katanya yang kelihatan comel mengenakan gaun singkat putih rekaan Rizman Ruzaini pada majlis pelancaran itu.
Dalam masa yang sama, Liyana turut disoal tentang kemampuannya untuk merakamkan album adalah kerana latar belakang dan kedudukannya sebagai seorang anak hartawan.
Sambil tersenyum manja, Liyana menolak dakwaan tersebut dan enggan perkara itu dijadikan sebagai isu.
Sebaliknya, duta produk kosmetik Maybelline ini menjelaskan semuanya adalah satu rahmat dan rezeki yang sudah lama diidam-idamkan.
Dalam perkembangan lain, Liyana juga menyatakan kerinduan untuk kembali ke lokasi penggambaran drama mahupun filem.
Untuk itu, dia kini sedang meneliti beberapa buah skrip drama dan filem sebelum membuat keputusan.
Sebelum itu, Liyana akan muncul dengan filem Duhai Si Pari-Pari terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. yang akan ditayangkan pada penghujung bulan Disember ini selain Niyang Rapik pada Februari tahun depan.
Pada masa yang sama, Liyana turut meluahkan keinginannya untuk memiliki program televisyennya sendiri seperti Hannah Montana dan Lizzie McGuire.
"Memang seronok kalau ada rancangan seperti itu tetapi tengok dulu bagaimana. Insya-Allah, siapa tahu kalau ia menjadi satu kenyataan satu hari nanti," katanya dalam maksud yang mendalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan