Geng Aku

Ahad, 21 Mac 2010

Kerajaan Harus Ambil Iktibar Dari Bantahan Dunia.



Kerajaan diminta mengambil iktibar dari bantahan Ahli-Ahli Parlimen United Kingdom mendesak Umno-BN menghentikan penderaan politik terhadap pembangkang.

Pelbagai pihak berpandangan bahawa maruah negara dan rakyat Malaysia telah diperjudikan di mata dunia oleh pemimpin-pemimpin politik yang menghalalkan apa sahaja cara demi kepentingan politik sempit.


Badan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia mengulangi gesaan masyarakat antarabangsa mendesak Umno-BN untuk tidak memperkudakan aparatus kerajaan untuk menghancurkan seteru politik mereka.

Penyelaras Suaram, E Nalini berkata pihaknya telah melihat dan menerima pelbagai aduan berhubung salahguna kuasa pemerintah yang menghalang pembangkang dari merapati masyarakat.


"Ceramah-ceramah yang dianjurkan pembangkang, misalnya yang dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, selalu dihentikan oleh polis. Polis adalah di bawah institusi kerajaan. 

Mereka menerima arahan daripada IGP dan ini menunjukkan memang ada diskriminasi kepada pembangkang," jelas beliau.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Tian Chua dan Nurul Izzah dipanggil ke Balai Polis Petaling untuk diambil keterangan berhubung ceramah mereka di Taman Seri Sentosa. Mereka dipanggil atas alasan melanggar syarat permit dan menyentuh isu perkauman.


Pada malam 8 Mac lepas, program memperingati Kemenangan Dua Tahun Pakatan Rakyat terhalang selepas Unit Simpanan Persekutuan merempuh masuk premis Kelab Sultan Sulaiman dan menyerbu pentas yang menempatkan pimpinan Pakatan Rakyat.

Modus operandi seperti ini tidak terhenti di lapangan, bahkan terlanjur sehingga ke Dewan Rakyat.

" Di Parlimen juga kita boleh nampak sebarang resolusi yang dibawa oleh pembangkang selalunya akan ditolak. Walaupun resolusi yang dibawa bermanfaat kepada rakyat tetapi akan ditolak atas alasan tidak ada masa," kata Nalini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails