Geng Aku

Ahad, 29 November 2009

Nizar V'8! Soal Pemilihan Parti Yang Baru Jadi Agenda Dalam Krisis MCA

Apa akan jadi sekiranya majoriti anggota yang dipilih untuk berada badan pembuat keputusan paling berkuasa dalam parti MCA, Jawatankuasa Pusat (CC), enggan untuk meletak jawatan bagi memberi laluan kepada pemilihan parti yang baru?


Di bawah perlembagaan parti itu, pemilihan baru hanya boleh diadakan sekiranya dua pertiga daripada 30 anggota CC yang dipilih meletak jawatan untuk memberi laluan kepada pemilihan, yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Pilihan raya parti juga perlu diadakan apabila penggal anggota CC sudah tamat tempohnya untuk pemilihan semula, yang bermakna ia hanya akan diadakan pada pemilihan parti berikutnya pada tahun 2011 memandangkan parti itu baru sahaja mengadakan pemilihan pada 18 Oktober tahun lepas.

Kumpulan yang diterajui oleh Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan 13 anggota CC yang menyokongnya sudah berikrar untuk meletak jawatan masing-masing bagi memaksa satu pemilihan baru diadakan, di mana mereka sudah menandatangani surat perletakan jawatan dan sedang menunggu masa yang paling sesuai untuk menghantarnya kepada parti.

Bagaimanapun kumpulannya itu kini berhadapan dengan cabaran besar untuk meyakinkan tujuh lagi anggota CC untuk menyertai mereka bagi memaksa supaya diadakan satu lagi pemilihan parti, apabila majoriti anggota CC dikatakan menyokong presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat dan timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Tambah menyukarkan keadaan, kini sudah timbul spekulasi bahawa ada antara anggota CC itu mengatakan bahawa mereka tidak sanggup meletak jawatan dan memilih untuk terus menduduki jawatan mereka sehingga tamat penggal.

Beberapa anggota CC dikatakan tidak berpuas hati dengan keadaan semasa dan mula mempersoal mengapa mereka perlu meletak jawatan semata-mata untuk menyelesaikan krisis dalaman parti


"Mengapa pula apabila Ong, Dr Chua dan Liow bertelingkah, kami pula yang yang terpaksa memberi laluan kepada pemilihan parti. Mengapa tidak Ong, Dr Chua dan Liow yang berbuat demikian?" kata seorang anggota CC yang enggan mendedahkan namanya kepada Bernama.

Katanya mereka terpaksa bekerja keras untuk membolehkan dilantik ke kedudukan sekarang, namun dalam masa tidak sampai setahun mereka berhadapan dengan kemungkinan terpaksa mengosongkan tempat untuk menghadapi satu lagi pemilihan.

"Anda fikir begitu mudah untuk kami letak jawatan? Bagaimana dengan mereka yang ada jawatan menteri dan timbalan menteri, banyak yang mereka perlu pertaruhkan jika mereka berbuat demikian. Adakah mereka sanggup berbuat demikian (meletak jawatan)?" tambahnya.

Beberapa anggota parti juga berpendapat bahawa walaupun jika ada beberapa anggota CC yang sanggup meletak jawatan, ia memerlukan lebih daripada hanya menandatangani sepucuk surat semata-mata, kerana banyak yang perlu diperlakukan bagi memastikan setiap mereka bersetuju dan menandatangani surat perletakan jawatan dan sama-sama menghantarnya.

"Jika tidak, jika hanya sesetengah yang menandatangani dan yang lainnya enggan berbuat demikian, ia akan membawa kepada satu lagi masalah. Parti mungkin hanya terima perletakan jawatan selepas anda menghantarnya manakala yang lainnya tidak berbuat demikain dan terus mengekalkan kedudukan mereka. Mereka boleh mempermainkan anda dengan cara begini," katanya.

Beberapa pemerhati politik pula meragui sekiranya pemilihan baru parti dapat diadakan kerana walaupun tiga pihak yang bertelagah sudah mencapai kata sepakat untuk mengadakan pemilihan baru, namun mereka masih bertelingkah mengenai tarikh pemilihan perlu diadakan.

Bagaimanapun pihak yang menyokong Liow mendakwa bahawa kata sepakat sudah dicapai antara kumpulan mereka dengan penyokong Ong dan Dr Chua, bahawa pemilihan kepimpinan baru parti perlu diadakan, malah tarikh pemilihan juga sudah dipersetujui sebagai sebahagian daripada satu pelan perdamaian.

Bagaimanapun ciri-ciri terperinci pelan itu tidak didedahkan.


Biar apa pun keadaannya, apa yang pasti penyokong Liow pasti berhadapan dengan halangan mendadak, bagaimana menghadapi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 5 Disember ini, yang pada mulanya diharapakan oleh mereka akan ditangguhkan untuk memberi laluan kepada pemilihan baru.

Pada hari Jumaat ketua penerangan parti Heng Saei Kie menjelaskan bahawa AGM pada 4 dan 5 Disember ini tidak ditangguhkan, dan mereka yang mendakwa demikian sengaja berhasrat untuk mencetuskan kekeliruan.

Apa yang pasti menarik perhatian ialah kehadiran penyokong Liow pada AGM ini, dan sekiranya AGM pemuda dan wanita MCA akan diadakan kerana pemimpin kedua-dua sayap ini adalah penyokong Liow.

Sesetengah pemerhati politik berkata penyokong Liow mahukan supaya pemilihan parti diadakan segera semasa Ong sedang dihimpit pelbagai kekalutan, manakala Ong pula mahukan supaya pemilihan diadakan lewat untuk memberi peluang kepadanya memenangi hati 2,400 perwakilan.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails