Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Papar Awang Mumin Awang Marali dan Ketua Pemuda bahagian itu yang juga Setiausaha Pemuda PKR negeri Faizal Julaili hari ini mengisytiharkan keluar dari parti itu dan menyertai Umno.
Kedua-dua 'orang kuat' PKR Papar itu menyerahkan borang keanggotaan kepada Ketua Umno Bahagian Papar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail di dua majlis yang berbeza, dekat sini.
Pada majlis itu, Awang Mumin dan Faizal berikrar akan taat setia kepada Barisan Nasional (BN).
Sementara itu, Abdul Rahim berkata rakyat khususnya penyokong pembangkang kini mulai sedar dan menaruh keyakinan yang tinggi terhadap kerajaan BN dan Umno.
Katanya ini kerana mereka yakin hanya dengan BN sahaja akan dapat menjamin kestabilan pembangunan, ekonomi dan politik di Sabah.
Abdul Rahim berkata perubahan dan pendekatan yang dilakukan oleh Umno di bawah kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak juga membuktikan parti itu sentiasa mengutamakan rakyat di akar umbi.
"Penduduk Sabah kini meletakkan harapan tinggi kepada BN dan UMNO untuk mengembalikan kegemilangan ekonomi dan mengukuhkan kestabilan politik.
"Menyokong pembangkang bukanlah pilihan terbaik bagi rakyat Sabah kerana ini hanya membantut segala usaha dan pembangunan sosioekonomi yang telah, sedang dan akan dilaksanakan kerajaan BN," katanya.
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan