IMPIAN beregu sensasi negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong untuk merangkul kejuaraan ketiganya musim ini tidak kesampaian.
Semalam, beregu lelaki pilihan pertama itu tewas kepada musuh utama, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka China yang berakhir di Shanghai semalam.
Kien Keat-Boon Heong yang juga juara Terbuka Switzerland dan Denmark tahun ini, tetap memberi tentangan sengit sebelum tewas 21-13, 19-21, 21-18.
Selepas tewas di set pertama, Kien Keat-Boon Heong kembali bangkit untuk menang di set kedua dan meskipun ketinggalan 7-16 di set penentuan, Kien Keat-Boon Heong tetap berjuang untuk merapatkan kedudukan 18-20 sebelum tewas dalam masa keseluruhan 76 minit.
Terbuka China merupakan kejohanan terakhir Super Series tahun ini sebelum kejohanan Final Masters yang akan diadakan di Johor Bahru bulan depan.
Sementara itu, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Beijing tahun lepas, Lin Dan muncul juara perseorangan lelaki selepas menewaskan pemain Denmark, Jan Jorgensen pada perlawanan akhir.
Begitupun, Lin Dan terpaksa bekerja keras untuk menundukkan Jorgensen 6-21, 21-13,17-21.
Acara perseorangan dan beregu wanita juga turut menyaksikan penguasaan pemain China.
Pilihan keenam, Jiang Yanjiao menewaskan rakan senegara, Wang Xin 21-19, 22-20 pada perlawanan akhir perseorangan wanita manakala Tian Qing-Zhang Yawen membuat kejutan apabila turut menewaskan pilihan kedua dari China, Du Jing-Yu Yang 21-14, 21-14.
Begitupun, acara beregu campuran menyaksikan beregu Korea Selatan, Yong Dae-Lee Hyo Jung mengecewakan beregu tuan rumah, Zheng Bo-Ma Jin 21-18, 15-21, 21-15.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan