PONTIAN: Lebih 1,000 tetamu menghadiri majlis perkahwinan vokalis kumpulan Spider, Rustam Mustafah atau Tam dan isterinya, Aida Mustafa yang berlangsung di Dewan Komuniti di Pekan Nanas, di sini, hari ini.
Berkonsepkan tradisional dan moden, majlis bersejarah penyanyi itu dihadiri oleh ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan kedua-dua belah pihak termasuklah anggota-anggota kumpulan Spider dan komposer serta penyanyi terkenal, M.Nasir.
Anak lelaki Tam, Aliff, 15, yang merupakan hasil perkongsian hidup dengan bekas isterinya, Norleen Isa, turut hadir pada majlis tersebut. Ini merupakan perkahwinan kedua Tam setelah 11 tahun menduda.
Sebelum itu, Tam dan Aida selamat dinikahkan di sebelah paginya di Masjid Jamek Pekan Nanas.
Tam yang ditemui sejurus berakhirnya majlis tersebut melahirkan rasa bersyukur dengan perkahwinan tersebut.
"Saya akan menjalani hidup dengan isteri tercinta dan tetap akan meneruskan bidang nyanyian saya atas sokongan isteri," kata vokalis kumpulan yang popular dengan lagu Relaku Pujuk.
Sementara itu, Aida turut berharap peminat-peminat Tam mampu mendoakan yang terbaik untuk rumahtangga mereka.
"Saya harap peminat-peminat Tam dapat menerima saya sebagai isterinya. Insya-allah, saya akan terus memberikan sokongan terhadap karier seninya di samping menjaga rumahtangga kami," kata Aida yang bertugas sebagai pengarah urusan sebuah syarikat pengurusan acara.
Ibu pengantin perempuan, Heliana Zulianti juga mengharapkan perkahwinan anaknya itu kekal hingga ke akhir hayat.
"Saya gembira kerana dia akhirnya bertemu dengan lelaki impiannya," ujarnya.
Anak lelaki Tam, Aliff juga turut berkongsi perasaan gembira dengan perkahwinan bapanya itu.
"Saya tiada masalah apabila ayah membuat keputusan untuk berkahwin lagi kerana dia berhak untuk gembira. Malah, hubungan kami bertiga memang baik," katanya.
M.Nasir yang banyak menghasilkan lagu untuk kumpulan Spider juga mengucapkan tahniah buat pasangan tersebut.
"Perkahwinan adalah perkara yang terindah dalam hidup dan saya gembira untuk Tam. Hari ini adalah hari bersejarah untuknya," katanya.
Tam dan Aida mula berkenalan hampir lima tahun lalu, tetapi hubungan mereka hanya benar-benar serius sejak setahun lalu.
Pasangan ini telah bertunang pada 15 Ogos lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan