Geng Aku

Ahad, 8 November 2009

Peruntukan Besar Untuk Sabah & Sarawak Dalam RMK-10

Rakyat luar bandar di Sabah dan Sarawak akan diberikan perhatian dan peruntukan besar dalam Rancangan Malaysia Ke-10, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu malam.

Najib Ingin Mepergulakan Rakyat Sabah & Sarawak Lagi.


Beliau berkata makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang berkaitan dengan pembangunan luar bandar sedang gigih mengenalpasti keperluan rakyat, terutama di Sabah dan Sarawak, bagi program transformasi kerajaan.

"Saya pilih menteri mesti datang dari Sabah atau Sarawak kerana ini (pembangunan luar bandar) adalah agenda untuk Sabah dan Sarawak. Apabila kita buat kerja, kita mesti tentukan setiap kampung apa keperluannya di Sabah dan ini telah dibuat oleh makmal NKRA yang bekerja tak kira waktu.

"NKRA untuk masyarakat luar bandar, sebahagian besar daripada peruntukannya akan diberikan kepada Sabah dan Sarawak," katanya pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) kali Ke-24 di sini.



Beliau juga berkata rakyat luar bandar di Sabah dan Sarawak juga semakin menyedari keperluan mereka dalam arus pembangunan negara.

Oleh itu, beliau meminta rakyat terus menyuarakan masalah dan keperluan mereka agar kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah untuk memberikan keselesaan kepada rakyat.

"Maklum balas daripada rakyat Sabah semakin hari, semakin baik. Kita nak perkara ini diteruskan. Jangan bimbang, kalau peruntukan tak cukup, kita tambah lagi, insyaAllah," katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata terdapat beberapa keperluan rakyat di Sabah yang boleh diatasi sekiranya mendapat kerelaan rakyat untuk dibantu.

Menurutnya masalah bekalan elektrik di kawasan Pantai Timur negeri ini sepatutnya dapat diselesaikan dengan cepat, tetapi mengambil masa yang lama berikutan rakyat tidak mahu berkorban untuk kebaikan dan kebajikan mereka.

"Rakyat nak elektrik, tetapi tak nak janakuasa. Kerajaan negeri cadangkan beberapa tempat, tetapi semuanya ditolak. Dua tahun terbuang untuk menyelesaikan masalah ini. Jadi, apabila saya menjadi Perdana Menteri, saya terpaksa membuat keputusan untuk memberikan tanah di kawasan Felda di Lahad Datu untuk pembinaan janakuasa.

"Rakyat mesti memahami keperluan mereka dan mesti membuat sedikit pengorbanan untuk negara. Kita mesti berkorban. Kita mesti bertolak ansur dalam hal ini. Dengan itu kita boleh mencapai pembangunan yang lebih tinggi untuk Sabah," katanya.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan komited dalam menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk majikan.

Sementara itu, Najib berkata Sabah mampu menjadi negeri maju sekiranya kekayaan sumber di negeri ini digunakan sebaiknya, terutamanya dalam bidang pelancongan.

"Sabah adalah wadah kepada Malaysia. Sabah menjadi destinasi kegemaran ramai pelancong dalam dan luar negera. Semuanya memuji keindahan Sabah dan cara hidup di Sabah," katanya.

Beliau juga berkata keunikan cara hidup masyarakat di Sabah merupakan antara tarikan pelancong ke negeri ini dan juga contoh terbaik dalam mempromosikan perpaduan melalui konsep 1Malaysia.

"Selalu berlaku, jurang antara penduduk di Sabah sangat kabur. Kita tak dapat agak orang itu Kadazan atau Cina atau Melayu atau Melayu dari Semenanjung. Tetapi kita tak boleh juga anggap orang itu bukan daripada keluarga kita. Inilah yang diperlihatkan di Sabah. Rakyat Sabah tidak mengira kaum atau etnik. Semuanya sama.






"Inilah yang sebabnya saya memperkenalkan Gagasan 1Malaysia. Ini bukan slogan dan bukan retorik politik. Inilah dia ramuan yang boleh jadi penawar semua kaum dan etnik. Sebagai satu keluarga, kita akan menjadi negara yang kuat dengan etnik lain, tetapi hati tetap taat dan setia kepada negara," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails