|
Setahun lalu Pancaindera pernah meminta kebenaran untuk merakamkan gambar banglo indah milik Mawi yang terletak di Bangi Golf Resort.
Kata Mawi, dia belum bersedia merakamkan gambar rumahnya sehinggalah pada Syawal lalu, banglo Mawi menjadi lokasi penggambaran Rumah Baru, Bini Baru, Baru Raya terbitan MW Production, milik Mawi sendiri.
Pada malam 4 November lalu, Mawi,28, mengundang pihak media untuk merakamkan gambar rumahnya selain meraikan ulang tahun kelahiran isteri tercinta, Ekin yang ke-30.
|
|
Selain majlis tahlil dan doa selamat pada sebelah petang, pada malamnya diadakan majlis hari lahir yang dihadiri oleh rakan-rakan artis termasuklah Erra Fazira.
Menjenguk ke kediaman Mawi yang bernilai RM1.8 juta ini, seperti melalui sebuah perkampungan Inggeris di Hollywood.
Kedudukan rumah berlatarbelakangkan padang golf memang menawan sekali.
Kolam ikan di luar rumah dengan bunyi air mengalir tanpa gangguan enjin kenderaan ternyata mendamaikan.
Kata Mawi, dia membeli banglo itu kerana lokasinya menarik dan tenang.
|
|
Malah Mawi dan Ekin sendiri mengakui mereka sukakan suasana yang sunyi tanpa hiruk pikuk kenderaan.
Banglo dua tingkat ini sudah berusia 11 tahun apabila Mawi membeli daripada rakannya berbangsa Cina.
Harga rumah di kawasan berkenaan kata Mawi sebenarnya mencecah RM4 juta tetapi dia bertuah kerana mendapat rumah harga kurang daripada itu.
Rumah ini mempunyai enam bilik iaitu tiga pada tingkat atas sementara tiga lagi pada bahagian bawah.
Di tingkat bawah mempunyai dapur basah dan kering.
Sementara di ruang tamu, Mawi menempatkan sebuah meja snuker bernilai RM5,000. Meja ini tidak mengganggu tetamu kerana ada dua ruang lain untuk membolehkan tetamu berborak dan menonton televisyen.
Pada bahagian atas, selain ruang beranda yang luas, terdapat satu lagi ruang yang dijadikan Mawi sebagai tempat dia bermain permainan video.
|
|
Kamar Mawi dan Ekin dihias sederhana berlatar belakangkan warna krim dan menggunakan perabot yang diimport dari luar negara.
Konsep rumah ini kata Ekin ialah "konsep asal boleh". Maknanya mereka menghiasi mengikut cita rasa dan keinginan sendiri.
Rumah sebesar ini amat memenatkan untuk berkemas kerana pasangan ini tidak mempunyai pembantu rumah.
"Kalau nak kemas, sehari pun tak boleh habis. Kami kemas sikit-sikit itupun jika ada masa terluang," ujar Mawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan