Geng Aku

Isnin, 29 Mac 2010

Button Tawan Albert Park.




Pemandu McLaren, Jenson Button menguasai perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Australia bagi musim kedua berturut-turut.

Semalam, pemandu McLaren itu bijak menggunakan strategi yang tepat untuk muncul juara di Litar Albert Park dengan catatan masa 1 jam 33:36.531 saat, sekali gus mengetepikan pencabar terdekatnya daripada Renault, Robert Kubica (1:33:48.565s).

Sebelum itu, Button terlibat dengan kemalangan dengan pemandu Ferrari, Fernando Alonso di selekoh pertama seawal pusingan pertama.

Namun dia berjaya bangkit mendahului pada pusingan ke-26 apabila pemandu Red Bull, Sebastian Vettel yang bermula di petak pertama, mengalami masalah brek.

"Saya sangkakan saya telah membuat kesilapan apabila menukar tayar terlalu awal," kata Button yang juga pemandu pertama memasuki pit untuk menukar tayar licin walaupun dalam keadaan litar masih basah.

"Sukar untuk saya mengawal jentera dengan baik dengan menggunakan tayar licin di litar yang masih basah.

"Namun sebaik sahaja litar semakin kering, saya mula dapat memecut dengan baik. Saya gembira kerana ia merupakan satu strategi yang tepat."



Sementara itu, dua pemandu Ferrari, Felipe Massa dan Alonso masing-masing menamatkan saingan di tempat ketiga dan keempat.

Massa mencatat masa 1:33:51.019s manakala Alonso yang juga juara perlumbaan pembuka tirai GP Bahrain mencatat masa 1:33:52.835s.

Dalam pada itu, impian pemandu Mercedes GP, Michael Schumacher untuk meraih kemenangan kelima pada GP Australia tidak kesampaian.

Schumacher yang kembali beraksi musim ini selepas bersara pada penghujung 2006, terbabas selepas jenteranya berlanggar dengan Alonso.

Jentera Schumacher mengalami kerosakan teruk di bahagian sayap hadapan dan dia terpaksa ke pit untuk menggantikannya sebelum meneruskan perlumbaan.

"Saya berpeluang untuk beraksi dengan baik hari ini (semalam) tetapi malangnya saya terlibat dengan kemalangan seawal selekoh pertama," kata Schumacher yang sekadar menamatkan saingan di tempat ke-10 pada perlumbaan itu.

"Kemalangan itu menjejaskan semuanya. Namun perkara sebegini sering berlaku dalam perlumbaan.

"Saya terpaksa meneruskan perlumbaan dengan kedudukan paling belakang tetapi saya tetap gembira kerana saya masih mampu untuk bangkit memintas beberapa pemandu lain dan meraih satu mata." - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails