Geng Aku

Isnin, 29 Mac 2010

Anggota Exco Bahagian Bukit Bendera Letak Jawatan.


Umno bahagian Bukit Bendera hari ini mengumumkan peletakan jawatan 36 anggota exconya bagi membolehkan pemilihan baru diadakan semula.
Peletakan jawatan beramai-ramai itu bagi membolehkan bekas ketua mereka, Datuk Ahmad Ismail untuk kembali menerajui bahagian berkenaan.

Semua 36 anggota exco itu menandatangani surat peletakkan jawatan yang akan dikemukakan pada mesyuarat jawatankuasa Umno Pulau Pinang yang akan diadakan pada minggu ketiga bulan April.

Menurut ketua bahagian Bukit Bendera, Abdul Jalil Ariffin semua mereka menuntut mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi membolehkan Ahmad memimpin semula bahagian itu.

Ia bagaimanapun tidak termasuk anggota pergerakan wanita dan pemuda bahagian berkenaan.

Majlis Tertinggi (MT) Umno pada September 2008 memutuskan Datuk Ahmad Ismail digantung dan dilucutkan hak-haknya dalam parti selama tiga tahun. 

Ia berikutan kontroversi yang dicetuskan oleh ketua Umno Bukit Bendera itu, yang didakwa membuat kenyataan yang berbaur perkauman terhadap masyarakat Cina.
Ahmad telah menimbulkan kemarahan masyarakat Cina apabila didakwa berkata bahawa kaum itu "menumpang" di negara dan meminta mereka supaya tidak menjadi seperti orang Yahudi di Amerika yang mahu menguasai ekonomi dan kuasa politik.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Ahmad membuat kenyataan menggesa Gerakan supaya keluar dari BN dan manakala seorang penyokongnya telah bertindak mengoyak gambar pemangku presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) kemudiannya memutuskan untuk menyerahkan kepada Umno untuk menentukan tindakan terhadap Ahmad. 

Bagaimanapun pada Disember tahun lalu, Majlis Tertinggi Umno mengambil keputusan untuk menarik semula penggantungan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails