PEMINAT saluran Astro Ceria (saluran 611, Astro) pasti mengenali watak Mat Kacau di dalam rancangan game show, Gerak Geri Gasing yang diterbitkan oleh saluran berkenaan.
Berbaju belang hitam dan putih, berseluar hijau dan bertopeng di mata, Mat Kacau ditugaskan untuk mengganggu peserta-peserta rancangan yang diacarakan oleh Zoey itu.
Telatahnya yang bersahaja dan menghiburkan membuatkan Mat Kacau diletakkan sebagai antara watak yang diminati dan ditunggu-tunggu di saluran yang diminati oleh peminat cilik itu.
Justeru itu, Astro Entertainment Sdn. Bhd. dengan usahasama syarikat multimedia kreatif tempatan, Inspidea Sdn. Bhd., menerbitkan siri animasi baru yang diadaptasikan daripada watak Mat Kacau itu.
Siri animasi Mat Kacau sebanyak 26 episod ini sudah mula menemui penonton setiap Jumaat bermula 20 November lalu pada pukul 2.25 petang menerusi saluran Ceria.
Manakala siaran ulangan pula adalah pada setiap hari Sabtu pukul 10.55 pagi dan pada hari Ahad pukul 10.25 pagi.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ceria, Evon Koh, animasi Mat Kacau yang 100 peratus dikendalikan oleh anak tempatan ini bertujuan untuk menambat hati kanak-kanak terutamanya pengikut rancangan Gerak Geri Gasing.
Katanya, kartun merupakan medium mendidik yang mampu menarik minat penonton untuk mendalami sesuatu perkara dan menjadikan mesej yang ingin disampaikan mudah difahami.
Sementara animasi pula disifatkannya, sebagai cara terbaik untuk menyampaikan mesej kepada kanak-kanak kerana sifatnya ringan, ceria dan menghiburkan.
Dalam animasi ini, jelas Evon, Mat Kacau berniat baik untuk menghiburkan kanak-kanak dan turut serta dalam aktiviti mereka namun sering disalah erti kerana tindakannya yang melebih-lebih.
"Setiap episod yang berdurasi selama dua minit ini akan menceritakan kisah-kisah yang berkait-rapat dengan kanak-kanak seperti rombongan sekolah, gotong-royong dan kelas lukisan.
"Mat Kacau menyelitkan mesej yang baik dan pengajaran berguna khususnya kepada kanak-kanak sambil menghiburkan penonton," ujarnya ketika ditemui di sidang media memperkenalkan siri animasi Mat Kacau baru-baru ini.
Selain Mat Kacau, animasi dua demensi (2D) ini akan turut diceriakan dengan kehadiran watak sampingan lain seperti Dinah, Boboy, Judy, Van, Amber, Miss Agnes, Auntie Lim, Omar dan Pak Kacau.
Terang Koh, kali terakhir pihak Astro memperuntukkan untuk melabur dalam siri animasi sekitar tahun 1995, Lat The Kampung Boy dan selepas 14 tahun, Astro sekali lagi melabur untuk pengisian berbentuk animasi.
Menurutnya, Mat Kacau menggunakan 100 peratus tenaga kerja tempatan berbeza dengan Lat The Kampung Boy yang melibatkan tenaga kerja dan kepakaran dari luar.
Mat Kacau dihasilkan oleh Inspidea, syarikat yang sama menghasilkan siri animasi Mustang Mama yang diedarkan ke pasaran luar negara.
Pihak Inspidea juga akan mendapat hak pengedaran eksklusif ke seluruh dunia (kecuali Asia Tenggara) untuk siri animasi Mat Kacau selama lima tahun.
Menurut Pengarah Urusan Inspidea, Andrew Ooi, antara cabaran yang mereka hadapi dalam menghasilkan siri Mat Kacau ialah menghasilkan sebuah cerita yang difahami dan menghiburkan untuk tempoh dua minit.
"Walaupun dua minit, namun kami perlu hadir dengan 26 jalan cerita yang berlainan dan berkait rapat dengan kanak-kanak.
"Selain itu, kami juga perlu menghasilkan karya yang lebih hebat berbanding Mustang Mama.
"Jika 26 episod ini mendapat sambutan penonton dan pihak Astro ingin memanjangkan siri ini, kami akan hadir dengan musim yang lain pula," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan