Akibat dikecam pelbagai pihak, DAP Perak hari ini memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang tersinggung dengan perbuatan beberapa pemimpin parti itu memijak poster wajah tiga anggota Bebas Dewan Undangan Negeri Perak pada Ahad lepas.
Sambil mengakui perbuatan itu satu kesalahan, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming berharap isu berkenaan akan dapat diselesaikan secepat mungkin.
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Nga yang juga Anggota Parlimen Taiping, berkata parti itu bagaimanapun tidak akan mengambil tindakan terhadap tiga anggotanya yang meletakkan poster itu di pintu masuk ke konvensyen parti itu.
Pada konvensyen DAP Perak Ahad lepas, poster yang memaparkan wajah Hee Yit Fong (Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) diletakkan di pintu masuk bertujuan agar perwakilan yang menghadiri konvensyen itu memijak gambar mereka.
Hee sebelum ini adalah daripada DAP manakala Jamaluddin dan Mohd Osman adalah daripada Parti Keadilan Rakyat.
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan