Geng Aku

Khamis, 3 Disember 2009

Mahkamah Persekutuan Akan Tetapkan Tarikh Putuskan Rayuan Anwar



Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini hari ini, akan menetapkan satu tarikh kemudian bagi memutuskan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan pemecatannya dari jawatan Kabinet pada 1998.


Perkara tersebut diputuskan selepas panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff mendengar hujahan kedua-dua pihak hari ini.



Barisan peguam Anwar diketuai oleh Karpal Singh dan pihak kerajaan diketuai Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said.

Anwar merujuk perkara itu ke mahkamah tertinggi tersebut selepas gagaldi Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September, 1998 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sah.

Mahkamah Persekutuan akan menentukan dua persoalan undang-undang iaitu sama ada pemecatan Anwar tidak mengikut Perlembagaan dan sama ada Dr Mahathir boleh memecat timbalannya tanpa terlebih dulu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong.



Dalam hujahan Karpal hari ini, beliau menegaskan Dr Mahathir telah bertindak tidak mengikut perlembagaan apabila memecat Anwar dari Kabinetnya.

Artikel 43(5) Perlembagaan Persekutuan secara khusus menghendaki Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa yang berhak untuk membatalkan pelantikan Anwar dalam Kabinet Malaysia berdasarkan prinsip bahawa hanya pihak yang berkuasa melantik mempunyai hak membatalkan pelantikan.

"Jelas sekali Yang di-Pertuan Agong yang melantik seseorang menteri, jadi apabila Agong yang mempunyai kuasa untuk melantik, maka Agong juga yang mempunyai kuasa untuk membatalkannya," katanya.

Karpal berkata terdapat penyalahguaan kuasa dalam undang-undang yang perlu diperbetulkan oleh Mahkamah Persekutuan.

"Perkara ini amat serius, Anwar hilang hak-haknya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, ia satu penyalahgunaan kuasa.

"Jika Perdana Menteri tidak memberikan nasihat terlebih dahulu kepada Agong, ini menunjukkan beliau telah bertindak tidak mengikut perlembagaan... kes ini cukup mudah.



"Hakim-hakim Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan yang salah kerana Perdana Menteri secara jelas telah melanggari kuasanya dengan membatalkan pelantikan Anwar dalam Kabinet dan kemudiannya memaklumkan kepada Agong," katanya.

Katanya lagi Agong sahaja yang mempunyai hak bagi membatalkan pelantikannya dalam menjalankan peruntukan-peruntukan dalam Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 43 (1) (b) atas nasihat Perdana Menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails