Geng Aku

Selasa, 8 Disember 2009

Skuad Negara Diberi Amaran Keras, Skuad Wanita Ditegah Beraksi Di Perlawanan Antarabangsa




Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan amaran keras kepada skuad bola sepak lelaki bawah 23 tahun negara supaya tidak mengulangi tindakan luar kawalan selepas mereka mencetuskan insiden kekecohan menyerang pengadil perlawanan selepas mengalami kekalahan 1-3 di tangan pasukan Vietnam pada temasya Sukan SEA Laos ke-25 semalam.

FAM turut mengeluarkan tegahan terhadap skuad bola sepak wanita negara, yang menjadi pasukan belasahan di temasya yang sama, daripada beraksi dalam mana-mana pertandingan antarabangsa mulai tahun depan.

Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Presiden FAM Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas mesyuarat FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, Isnin.




"Pihak FAM hari ini telah menerima laporan pengurus pasukan Malaysia di Vientiane yang melaporkan tahap pengadilan yang tidak memuaskan. Berikutan itu pengurus pasukan telah membuat aduan rasmi berhubung mutu pengadilan dengan pihak penganjur," katanya.

Selain itu, Khairy berkata pihak FAM, menerusi pengurus pasukan, telah memberi amaran keras kepada setiap pemain supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut dalam dua baki perlawanan Kumpulan A nanti.

"Walaupun, mutu pengadilan tidak baik atau tidak setuju dengan keputusan pengadil perlawanan, mana-mana pemain tidak boleh bertindak mengikut emosi masing-masing. Disiplin harus diutamakan kerana ia melambangkan sikap profesional," tambahnya.

Pada perlawanan kedua Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos Ahad, Malaysia tewas 1-3, sekaligus menyukarkan laluan negara ke separuh akhir.

Malaysia kini berada di tangga ketiga Kumpulan A selepas mengumpul tiga mata, hasil kemenangan membelasah Timor Leste 11-0 pada Rabu lepas.

Ditanya mengenai peluang skuad Malaysia untuk melayakkan diri ke pusingan separuh akhir, Khairy berkata skuad Malaysia mesti memenangi baki dua perlawanan kumpulan A iaitu menentang Kemboja dan juara bertahan Thailand untuk melayakkan diri ke pusingan suku akhir.

Mengenai persembahan pasukan bola sepak wanita yang tidak memuaskan, Khairy berkata pihak FAM memutuskan mulai tahun depan skuad bola sepak dan futsal wanita tidak dibenarkan beraksi di mana-mana perlawanan antarabangsa kecuali perlawanan persahabatan sahaja.

"Dengan dua kekalahan dibelasah (Thailand 14-0, Vietnam 8-0) yang agak memalukan ini, pihak FAM telah mengambil keputusan untuk tidak membenarkan pasukan bola sepak wanita beraksi di mana-mana pertandingan di peringkat antarabangsa. Yang paling utama sekarang adalah program pembangunan untuk memperkukuhkan, memperkemaskan pasukan bola sepak dan juga futsal," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails