Geng Aku

Isnin, 16 November 2009

Nizar V'8! MIC Bentuk 'Pasukan Kejayaan'



MIC melancarkan langkah penilaian bagi mengukur prestasi pemimpinnya di semua peringkat dalam usaha membentuk sebuah "pasukan kejayaan" dan menyusun program yang merentasi sempadan kaum, sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu berkata parti itu berazam untuk "menyusun semula dan memperkasakan kembali" MIC agar ia terus relevan dan mampu menawan kembali enam kerusi Parlimen serta 12 kerusi Dewan Undangan Negeri yang terlepas daripada genggamannya pada pilihan raya umum lepas.

Katanya proses penilaian semula peringkat nasional itu akan dilaksanakan melalui Kad Pencapaian Seimbang (BSC) peringkat tinggi, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bintang Penarafan "yang akan mengemudi arah tuju parti berkenaan ke arah menjadi sebuah parti yang mengutamakan rakyat melalui langkah transformasi dan perubahan dalaman".



Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan bengkel bertemakan "Keperluan Mendesak" yang disertai 150 pemimpin bahagian MIC dari seluruh negara di sini, Samy Vellu berkata tiga inisiatif penilaian itu merupakan satu lagi kejayaan besar dalam usaha parti itu untuk kekal relevan dan menjadi sebuah parti politik yang progresif, prihatin serta inovatif.

"Selepas pilihan raya umum lepas, MIC melakukan pelbagai perubahan bagi memulihkan hubungannya dengan masyarakat, termasuk melaksanakan langkah penjenamaan semula, membawa masuk tenaga muda dan muka baru ke alam parti dan melakukan perubahan serta liberalisasi bagi menarik anggota baru," katanya pada Ahad.

Beliau berkata BSC mengandungi enam perspektif, yang merangkumi pelbagai bidang penting seperti kecekapan parti di peringkat dalaman, pembentukan sistem penyampaian yang kreatif, merapatkan diri dengan orang ramai melalui pemberian bantuan serta pelaksanaan program yang memenuhi keperluan mereka pada sesuatu masa, menawan semula hati anggota dan menarik anggota baru, mengukur tahap kepuasan hati orang ramai dan perspektif 1Malaysia.

Katanya perspektif berkaitan anggota parti itu pula akan memberi fokus terhadap usaha mengekalkan anggota sedia ada, menarik anggota baru, menarik semula sokongan anggota dan memastikan anggota parti itu berdaftar sebagai pengundi, manakala perspektif berkaitan orang ramai pula akan mengandungi program pendampingan diri, inisiatif ke arah kesejahteraan ekonomi dan pendidikan serta penglibatan mereka dalam bidang perniagaan.




Samy Vellu berkata seiring dengan gagasan 1Malaysia yang menjadi agenda nasional, MIC memasukkan konsep itu ke dalam BSC bagi melaksanakan program yang mampu meningkatkan perpaduan dan persefahaman dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Beliau berkata sebuah jawatankuasa telah dibentuk bagi melaksanakan tiga inisiatif berkenaan (BSC, KPI dan Bintang Penarafan) dan menilai prestasi pemimpin parti setiap tiga bulan.

"Pelaksanaan inisiatif ini membuktikan kesungguhan MIC dalam meningkatkan komitmennya untuk mendekatkan diri dengan setiap anggota masyarakat India di Malaysia melalui penggunaan sistem dan strukturnya yang telah terbukti berkesan.

"Langkah ini dijangka menjadikan MIC sebuah parti yang dinamik, prihatin dan mengutamakan rakyat apabila semua pemimpin di peringkat akar umbinya lebih bertanggungjawab kepada masyarakat dan parti," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails