Geng Aku

Ahad, 15 November 2009

Nizar V'8! Kejayaan Rangkul Piala Malaysia Contoh Terbaik - Mohamad



Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kemenangan skuad Rusa menjulang Piala Malaysia musim ini merupakan satu contoh terbaik bahawa dedikasi, disiplin tinggi dan bekerja sebagai satu pasukan akan membawa kejayaan yang cemerlang.

"Ini jelas ditunjukkan oleh pemain kita yang telah bersama sebagai satu pasukan. Kombinasi di antara pemain lama dan baru begitu mantap sehinggakan banyak pasukan gerun apabila bertemu Negeri Sembilan.

"Saya boleh kata satu rekod yang amat cemerlang yang telah ditunjukkan oleh pasukan kita iaitu semasa kempen Piala Malaysia di mana kita adalah satu-satunya pasukan yang tidak pernah kalah daripada awal hingga akhir.




"Ini adalah satu contoh semangat yang amat tinggi yang ditunjukkan oleh pemain kita dan saya berharap semangat berpasukan ini akan dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang," katanya pada majlis sambutan dan meraikan kejayaan Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia 2009 di padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini malam Sabtu.




Mohamad yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan berkata seluruh rakyat negeri ini melahirkan rasa gembira mereka dengan kejayaan pasukan Negeri Sembilan membawa pulang piala berprestij itu setelah penantian 61 tahun.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada kegigihan pemain skuad Rusa sehingga berjaya menjulang piala keagungan bola sepak negara ini," katanya.

Lebih 10,000 peminat bola sepak Negeri Sembilan membanjiri padang MPS bagi meraikan kemenangan skuad Rusa menjuarai Piala Malaysia itu.


Kapten Negeri Sembilan Rezal Zambry Yahya [gambar] menyerahkan Piala Malaysia kepada Menteri Besar, disusuli sesi memperkenalkan pegawai dan pemain skuad Rusa serta penyerahan jersi dan penayangan semula klip video perlawanan akhir itu di dua skin besar.

Majlis malam ini turut dimeriahkan dengan persembahan beberapa artis terkenal tanah air antaranya 'papa rock' Ramli Sarip, Hattan dan Elyana dan persembahan bunga api.

Esok Piala Malaysia akan diarak di daerah Rembau, diikuti Kuala Pilah pada 16 Nov, Tampin (17 Nov), Jelebu (18 Nov), Jempol (19 Nov) dan Port Dickson (20 Nov).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails