Geng Aku

Khamis, 25 Mac 2010

Muay Thai, Seni Mempertahankan Diri Paling Digeruni.


JIKA aksi pertarungan dirakam secara gerak perlahan, adalah mudah untuk melihat mengapa Muay Thai - Thai Kick Boxing - dianggap sebagai seni mempertahan diri yang mengancam dan yang paling digeruni di dunia.

Bersama pilihan untuk menggunakan lapan anggota, peninju Muay Thai menggunakan buku lima, siku, lutut dan kaki untuk melakukan serangan yang kemungkinan lebih mengancam berbanding pisau atau pistol.

Sementara seni mempertahan diri yang lain menggunakan dua titik sentuhan (sebagai contoh buku lali dalam tinju) dan empat titik (sebagai contoh kedua-dua tangan dan kaki dalam seni mempertahan diri berorientasi sukan seperti wusyu), Muay Thai mempunyai lapan titik sentuhan.

Seorang peninju Muay Thai terlatih menggunakan tumbukan, sepakan, serangan dengan siku dan lutut yang boleh membawa maut.

Asal usul Muay Thai, yang bermakna 'seni lapan anggota' boleh dikesani di medan perang Thailand pada abad ke-15.

Pahlawan-pahlawan Thai menggunakan lapan anggota menggantikan pedang dan kayu semasa bertarung tanpa senjata.

Gambar Hiasan Peninju Muay Thai - Foto THE STAR oleh VICTOR K.K.NG
 
Ia kini telah menjadi sukan kebangsaan Thailand dan mempunyai banyak persamaan dengan seni mempertahankan diri yang lain seperti Tomoi di Malaysia, Muay Lao di Laos dan Pradal serey di Kemboja.

Hari ini, teknik-teknik yang boleh mematahkan tulang dalam Muay Thai digunakan di seluruh dunia bermula dengan pihak tentera Thailand hinggalah CIA dan telah mencetuskan inspirasi bagi filem dan bilangan besar peminat seni ini di Malaysia.

DIPERSIAP UNTUK BERTAHAN

"1-2-3. Uppercut-block-kick", Mohd Aly Yakin memberi arahan kepada anak-anak buahnya.
Jurulatih Muay Thai ini yang berusia 32 tahun bergerak pantas mengeliling studio latihan.
Aly dengan saiz tubuh yang sederhana tetapi dengan susuk badan yang berotot kebal kelihatan macam atlet yang hebat.

Bersama pengalaman mengajar selama tujuh tahun, Aly yang dilahirkan di Singapura menjalani latihan Muay Thai di Chiang Mai, Thailand, dua tahun lepas dan adalah seorang jurulatih di sebuah pusat senaman di sini.

Sebelum ini, beliau berkecimpung dalam Taekwondo selama 19 tahun dari usia 9 tahun.

"Seni mempertahan diri seperti Taekwondo 80 peratus menggunakan kaki dan 20 peratus tangan. Tetapi dalam Muay Thai ia adalah 50/50. Selain itu adalah mudah untuk belajar Muay Thai, tidak memerlukan pakaian khas dan sesuai bagi semua kumpulan umur."

Beliau menambah kata bukan seperti seni mempertahan diri yang lain, mereka yang belajar Muay Thai tidak perlu berlatih untuk mendapat tali pinggang dalam menunjukkan peringkat kemahiran mereka.


Di sebaliknya, kemahiran mereka akan diuji di gelanggang dengan tali pinggang kejuaraan menjadi rebutan peninju.

Aly menjelaskan bahawa rejim latihan dan pelaziman bagi peninju-peninju juga amat mencabar.

"Di Thailand satu sesi latihan tipikal akan memerlukan latihan menumbuk serta menyepak buluh dan batang kelapa. Ia menyeksa dan menyakitkan. Hasilnya, tulang kering, kaki dan siku menjadi kuat. Tetapi, sudah tentu latihan kami di sini berbeza sedikit."

Mungkin Aly menyedari kerisauan penulis, yang matanya sibuk mencari buluh yang diperkatakan di studio itu. Tak kelihatan pun, nasib baik.

BERSEDIA MENGGUNAKAN LAPAN ANGGOTA

Dengan tulang kering dilazim untuk digunakan sebagai kayu pukul, penggunaan kedua-dua siku dan lutut dengan berkesan juga ditekankan.

Kelajuan, ketepatan dan kuasa teknik-teknik Muay Thai memang terkenal di kalangan pengamal seni mempertahankan diri, dan para peninjunya seringkali boleh menumpaskan lawan dengan sekali pukul sahaja.

Patah tulang sesuatu yang biasa di gelanggang, tetapi banyak juga peninju ini yang menemui ajal oleh kerana sepakan maut atau serangan berbahaya menggunakan siku.

Satu lagi elemen yang unik bagi Muay Thai ialah pusingan pinggul untuk melepaskan tumbukan serta sepakan yang kuat.

Aly menunjukkan pergerakan itu dengan menyepak dan menumbuk beg tumbukan dengan bunyi impak itu menakutkan penulis.

"Mempelajari teknik mempertahan dan menyerang sesuatu yang mesti kerana ini 100 sentuhan fizikal," jelas Aly.

"Peninju boleh mensasar mana-mana bahagian tubuh lawan dan hanya tidak boleh menggunakan kepala untuk memukul lawan."

Beliau menjelaskan bahawa buat masa ini beliau mempunyai 600 anak buah yang telah mendaftar untuk kelas awalan, pertengahan dan lanjutan dengan kelas latihan peninju diadakan tahun ini bersempena dengan pertandingan pada Jun ini.

LEBIH DARIPADA BERTARUNG

Tetapi bertanding untuk menunjukkan kehebatan bukan menjadi matlamat semua yang belajar Muay Thai.


Seni ini yang dipopularkan oleh filem-filem seperti 'Ong Bak' dan acara-acara pertandingan seni mempertahankan diri, kini menjadi pilihan semua lapisan masyarakat sebagai senaman fizikal dan untuk mempertahankan diri.

"Anak buah saya kebanyakannya adalah wanita dalam lingkungan usia 20-an, anak buah paling muda berusia 12 tahun, dan yang tertua berusia 63 tahun. Ia membina stamina, mencergaskan anda dan meningkatkan keyakinan anda."

Sementara itu, Lee Yoon Kong yang berusia 61 tahun turut bersetuju. Beliau mengikuti latihan Muay Thai hampir selama enam bulan dan sudahpun mula merasai kehebatannya.
"Sebab utama mengapa saya belajar Muay Thai ialah untuk mencergaskan diri dan lagipun jika kita tidak sihat kita yang menjadi beban kepada masyarakat! Saya kini bebas daripada ubatan-ubatan yang saya ambil selama ini untuk kawal paras kolestrol. Saya rasa lebih sihat sekarang berbanding sebelum menyertai kelas ini."

Yoon Kong menambah, ia juga merupakan sukan mempertahan diri dan pertarungan berkesan yang membawa bersama tumbukan terbaik tinju dan sepakan seni mempertahan diri.

"Muay Thai menggunakan setiap bahagian tubuh sebagai senjata. Lagipun, ia tidak mempunyai 'katas' untuk dipelajari. Kebolehan untuk menumbuk dan menyepak dengan betul menyingkatkan masa untuk menumpaskan lawan dalam senario mempertahankan diri."
Darshini yang berusia 28 tahun berkata, latihan lasak yang dilaluinya telah membantu membentuk tubuhnya.

"Apa yang saya suka dengan kelas-kelas ini ialah anda banyak berpeluh berbanding senaman lain seperti yoga. Anda juga dapat menguatkan badan. Sejak saya menyertai latihan tiga bulan yang lepas, saya berjaya mengurangkan berat badan."

MUAY THAI PUNCA SIKAP AGRESIF?

Tiada belas kasihan, berdarah dan boleh membawa maut, adalah sukar untuk tidak mengaitkan seni seperti Muay Thai dengan keganasan.

Itu tanggapan salah, jelas Aly dan menambahkata itulah tanggapan lazim yang tidak tepat.
"Muay Thai mengajar individu supaya berdisiplin, berendah hati dan mengawal tindak tanduk dan perasaan.

"Pada masa yang sama, jurulatih perlu fahami apa yang anak buah mereka mahu. Mereka tidak harus melatih sahaja. Mereka mesti mengambil usaha untuk mengetahui latarbelakang dan peribadi anak buah mereka.

"Di Thailand, terdapat muda-mudi yang melanggar undang-undang dengan menyertai kumpulan samseng atau terlibat dalam pergaduhan selepas belajar Muay Thai. Jurulatih perlu profesional untuk mengelakkan anak buah mereka daripada menyalahgunakan kemahiran mereka."

PILIHAN SENI MEMPERTAHAN DIRI DE FACTO

Sebagai sukan pertarungan, Muay Thai telah menerima pengiktirafan dunia kerana kejayaannya sebagai seni mempertahankan diri hebat yang menggabungkan elemen-elemen pelbagai seni mempertahankan diri yang lain.

Di Malaysia, Aly berkata para peminat Muay Thai berharap untuk membentuk sebuah persatuan rasmi menjelang Oktober ini.

"Buat masa ini Muay Thai tidak mempunyai pengiktirafan rasmi di negara ini. Persatuan-persatuan bagi Tomoi telah diwujudkan oleh penggemar seni itu di Kelantan tetapi belum lagi bagi Muay Thai. Kami berharap menerusi persatuan ini sukan ini dapat maju seiring dengan sukan mempertahankan diri yang lain di negara ini."

Dengan lagak gaya, penulis meletakkan buku dan pen dan mencuba beberapa aksi tumbukan dan sepakan. Aly meneruskan dengan sesi latihannya tetapi beliau tidak menyatakan sesuatu. Bagaimana mengagumkan seni Muay Thai ini. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails