Geng Aku

Sabtu, 24 April 2010

Zaid Perlu Dimenangkan Tolak Pembohongan BN.


Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa (gambar) berkata, calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim perlu diberikan kemenangan oleh para pengundi di dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor, Ahad ini.

Katanya, kemenangan itu amat penting bagi membuktikan rakyat di kawasan ini menolak propaganda dan pembohongan pemimpin Umno/BN yang ditaburkan sepanjang tempoh berkempen sejak Sabtu lalu.

“Kemenangan Datuk Zaid penting sebagai menandakan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat dan manifestasi terhadap pembohongan Umno/BN di sini,” ujarnya ketika ditemui selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Bukit Sentosa, malam tadi.


Menurutnya, rakyat di kawasan Parlimen Hulu Selangor menyedari bahawa pemimpin Umno/BN tidak banyak membela mereka dan menyelesaikan masalah yang dihadapi sejak dahulu lagi.

“Tiba-tiba kita lihat banyak janji yang ditaburkan oleh Umno/BN dalam pilihan raya kecil ini termasuk janji segera untuk memberikan bayaran RM50,000 kepada penduduk Sungai Buaya,” ujarnya yang juga Pengarah Pilihan raya PAS bagi PRK ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok menambah, pembayaran yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu merupakan penyalahgunaan kuasa untuk membantu calon BN memenangi PRK kali ini.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat terus menolak BN yang hanya tahu menabur janji segera dalam setiap kali pilihan raya kecil tetapi tidak ditunaikan selepas itu.

Beliau turut melahirkan rasa puas hati dengan gerak kerja yang dilaksanakan jentera parti itu bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Zaid.


“Saya puas hati dengan jentera PAS yang telah diturunkan sepenuh tenaga di semua peringkat dalam pilihan raya kecil ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, jentera PAS dan PR memberikan komitmen yang tinggi sepanjang tempoh berkempen sehingga hari ini.

“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh petugas PAS dan PR yang mencurahkan sepenuh tenaga untuk mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor ini,”ujarnya.

Beliau menjangkakan petugas PAS akan bertambah menjelang hari mengundi Ahad ini yang kebetulan berlangsung pada hujung minggu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails