Geng Aku

Selasa, 16 Mac 2010

Exco: Tiada Rombakan Di Kelantan.


Kerajaan Kelantan tidak akan mengadakan sebarang rombakan yang melibatkan barisan exco dan kepimpinan utamanya di bawah pentadbiran Datuk Nik Aziz Nik Mat, kata beberapa exco kerajaan negeri.

Menurut Mohd Fadhli Hassan (penerangan, pembangunan maklumat, sains dan teknologi) dan Abd Fattah Mahmood (pembangunan insan, belia, sukan dan NGO) khabar angin berhubung perkara itu tidak benar sama sekali.

“Tidak betul. Tidak betul. Sekarang ini orang serang kami (kerajaan negeri) daripada segenap penjuru,” kata Mohd Fadhli.

Sementara Abd Fattah pula menyifatkan pembawa khabar angin tersebut lebih tahu daripada kerajaan negeri sendiri berhubung hal ehwal pentadbiran.

“Nampaknya mereka lebih ke depan daripada kami. Tidak ada apa-apa (rombakan),” kata Abd Fattah Mahmood.

Kedua-dua mereka diminta mengulas dakwaan terbaru di laman-laman blog bahawa rombakan besar akan dibuat di negeri itu pada bulan depan. 


Dua tokoh besar Kelantan dilaporkan akan digugurkan, iaitu Nik Aziz sendiri - setelah lebih 20 tahun memimpin negeri itu - dan exco kanan Kelantan Datuk Husam Musa.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Fadhli berkata, beliau menasihatkan penulis blog lebih bertanggungjawab dan tidak terlibat menyebarkan perkara yang tidak betul.

Katanya, walaupun mereka tidak terikat dengan etika kewartawanan seperti yang menjadi amalan pihak media, kumpulan tersebut masih “terikat dengan undang-undang tuhan dan dosa-pahala”.

Sementara Abd Fattah pula berkata, penulis blog sepatutnya mengamalkan kebebasan menulisnya dengan penuh tanggungjawab, termasuk tidak melupakan kepentingan umum ketika menghasilkan sesuatu laporan.

“Saya tidak boleh hendak komen niat mereka. Tetapi biarlah ada prinsip, tulislah yang benar dan baik-baik. Tentang niat (mereka) itu hak masing-masing,” katanya.

Beberapa bulan sebelum ini, berlaku perdebatan hangat berhubung pelapis kepimpinan Nik Aziz apabila seorang lagi exconya Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah secara terbuka menyarankan Nik Aziz menamakan penggantinya.

Menteri besar bagaimanapun dilaporkan berkata berdasarkan hierarki dalam PAS dan kerajaan negeri, timbalan menteri besar Datuk Ahmad Yaakub merupakan pelapis nombor satunya, sekali gus menutup spekulasi berterusan pada masa itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails