Geng Aku

Rabu, 31 Mac 2010

Anwar Kemuka Dokumen Kaitkan Apco-Israel-1M'sia.


Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menuntut supaya kerajaan segera membatalkan kontrak perkhidmatan Apco Worldwide Sdn Bhd dan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat skandal yang disifatkan sebagai mencalar maruah negara.
Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata beliau bimbang kerana kerajaan mengambil sikap membisu terhadap dakwaan penglibatan Apco, sedangkan maklumat strategik negara telah terjejas apabila kerajaan melantik syarikat perunding komunikasi itu. 


"Sehingga kini perdana menteri belum pun memberi sebarang maklum balas terhadap gesaan saya agar segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO, apa skop tugasannya, jumlah peruntukannya, setiap penasihat yang terbabit, peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan," katanya

Kerajaan sebelum ini mengesahkan melantik Syarikat Apco Worldwide Sdn Bhd dalam melaksanakan perkhidmatan berkaitan komunikasi secara "menyeluruh," selain melakukan program mempromosi dan mengurus imej negara di peringkat antarabangsa.

Apco juga mengeluarkan kenyataan berkaitan penglibatan mereka, dengan menyatakan bahawa mereka menyediakan sokongan komunikasi terhadap usaha-usaha reformasi kerajaan.

Penjelasan yang dibuat melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon dan ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat sebelum ini, juga dibacakan semula oleh Anwar.

"Penafian yang dibuat oleh Apco itu merupakan usaha mereka untuk mengelirukan kita akan tarikh sebenar firma tersebut terbabit dengan pentadbiran perdana menteri sekarang. 


"Penafian tersebut menggambarkan bahawa ianya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pentadbiran Dato' Sri Najib Razak, atau Dato' Sri Najib sendiri, pembantunya atau para penasihatnya," kata Anwar seterusnya ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini.

Turut didedahkannya ialah peranan Ethos Consulting, sebuah firma rundingan tempatan yang didakwa bertanggungjawab memperkenalkan Apco kepada perdana menteri.

Anwar dalam pada itu turut mendedahkan nama dan maklumat ringkas beberapa individu dalam Apco yang didakwa mempunyai hubungan secara langsung dengan kerajaan dan tokoh-tokoh Israel

"Bolehkah perdana menteri menerangkan adakah sebelum Ethos atau Omar Mustapha; yang dikatakan bertanggungjawab membawa gagasan 1Malaysia bagi pertimbangan Perdana Menteri; Omar Mustapha atau mana-mana eksekutif Ethos tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung dengan mana-mana individu yang ada kaitan dengan Apco?

"Perdana menteri perlu menerangkan adakah kerajaan atau Ethos atau mana-mana firma yang dilantik kerajaan; pernah melantik Mind Teams Sdn Bhd iaitu nama syarikat sebelum Apco secara rasmi bertapak di Kuala Lumpur.

"Paul Stadlen yang kini mengetuai Apco di Kuala Lumpur merupakan individu sama yang menandatangani perjanjian bagi pihak Mind Teams Sdn Bhd dengan Kerajaan Malaysia. Antara pengarahnya juga adalah Margery Kraus; CEO Apco dan invdividu penting yang terlibat dengan akaun di Israel," tambanya.

Anwar menamakan individu berkenaan dalam menjelaskan bentuk hubungan dan modus operandi Apco dalam membentuk pertalian dengan kerajaan yang melantik syarikat itu melalui firma bersekutu

"Apco dalam operasinya membentuk pertalian dengan kerajaan-kerajaan yang melantiknya menggunakan firma bersekutu (dengan izin "associates") di seluruh dunia. Selain Asero, firma bersekutu lainnya adalah Global Political Strategies.

"Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah Asero Worldwide yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral. Beliau juga adalah salah seorang penasihat antarabangsa kepada Apco

"Jadi kontrak-kontrak yang melantik Apco tidak semestinya di antara Apco dan kerajaan semata-mata. Kerajaan boleh sahaja melantik firma bersekutu Apco tetapi tenaga pakar dan jaringan penasihatnya serta jaringan sekutunya adalah dari Apco.

"Kalau di Israel, lantikan dibuat melalui Asero Worldwide. Contohnya, kontrak lantikan bertarikh 9hb Januari 1992 itu adalah di antara kerajaan Israel dan sebuah firma bersekutu bernama GCI International.

"Tetapi apabila kita meneliti kandungan perjanjian tersebut termasuk tenaga utama yang akan menjalankan tugas-tugas melobi, salah seorang pengurus kanannya adalah Margery Kraus yang kini merupakan CEO Apco," katanya.

Beliau turut mengemukakan dua perjanjian untuk menyokong dakwaannya - satu perjanjian antara Apco dan kerajaan Malaysia. Yang satu lagi ialah perjanjian antara kerajaan Israel dengan Apco ketika Ehud Barak mengetuai angkatan tentera Israel.

Katanya lagi, kontrak Malaysia dengan Apco ditandatangani pada 4 Ogos 2009 dengan tugas khusus untuk memperbaiki imej Malaysia di luar negara. 


"Ini aneh bagaimana kerajaan tandatangan dengan syarikat. (Proses menandatangani perjanjian) ini disaksikan setiausaha akhbarnya sendiri, Datuk (Tengku) Sharifuddin (Tengku) Ahmad. Biasanya (kontrak) ditandatangi oleh pegawai kerajaan," katanya.

Anwar membuat penjelasan hari ini bagi menjawab tuntutan yang dikemukakan ahli parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini yang mahu Anwar dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen kerana menyamakan slogan 1Malaysia dengan 1Israel.

Timbalan speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kemudiannya berkata, usaha untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa itu perlu dibuat secara usul untuk dijadikan sebagai salah satu daripada aturan mesyuarat.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Anwar berkata, wakil Rembau ingin mengalih tumpuan terhadap penglibatannya dan Omar Mustapha dalam Ethos Consulting.

"Isunya sekarang adalah wakil Rembau ingin lari daripada isu penglibatan dia dan Omar Mustapha dan Ethos (Consulting) dan tugas yang diberikan kepada Apco yang menjejaskan sekuriti negara kerana peranan perisikan," katanya lagi.


Anwar berkata demikian ketika mengulas mengenai penjelasan Khairy selepas beliau berucap di Dewan Rakyat mengenai kontrak Apco.

Anwar menjelaskan, peranan Apco telah wujud lebih lama sebelum itu melalui syarikat yang dikenali sebagai Mind Teams Sdn Bhd.

"Mind Teams ini adalah syarikat yang ditubuh sebelum Apco. Jadi Apco cuba lari daripada kenyataan seolah-oleh dia hanya berfungsi apabila Apco ditubuhkan.

"Saya ada maklumat bahawa sebelum Apco ditubuhkan, orang sama, pejabat sama, seorangnya CEO Apco Worldwide, seorang lagi Apco Kuala Lumpur. Jadi maknanya mereka terlibat lebih awal di Kuala Lumpur," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails