Selepas tiga bulan disemadikan, mayat setiausaha politik Exco Selangor, mendiang Teoh Beng Hock yang ditemui mati di atas koridor di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai lalu, digali semula semalam.
Suasana pilu dirasai apabila abang mendiang, Teoh Beng Kee dan adiknya, Teoh Lee Lan dilihat menitiskan air mata sambil memegang gambar Beng Hock bagi mewakili ahli keluarga lain yang tidak hadir.
Malah dua beradik itu sempat bertafakur di atas kubur Beng Hock sebelum proses menggali dimulakan.
Keputusan menggali semula mayat Beng Hock, 30, yang disemadikan di Taman Peringatan Nirvana Semenyih di sini dibuat selepas Mahkamah Koroner Shah Alam pada 4 November lalu membenarkan permohonan keluarga mangsa supaya mayat itu dibedah siasat kali kedua.
Permohonan menggali semula mayat tersebut dibuat ekoran keterangan oleh pakar patologi Thailand, Dr. Porntip Rojanasunan pada inkues siasatan kematian Beng Hock yang menyatakan terdapat 80 peratus kemungkinan kematian itu kerana dibunuh berdasarkan kesan kecederaan.
Pihak berkuasa termasuk ahli politik dari kerajaan negeri Selangor mula berkumpul seawal pukul 7.30 pagi di kawasan tanah perkuburan tersebut walaupun proses menggali hanya bermula pada pukul 9 pagi.
Proses menggali semula mayat Beng Hock disertai oleh sepasukan pakar patologi daripada beberapa hospital yang diketuai oleh Unit Forensik dan Patologi Hospital Sungai Buloh (HSB).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan