Geng Aku

Ahad, 6 Disember 2009

Tidak Ada Rombakan Kabinet Akhir Tahun Ini, Kata Najib



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan bahawa beliau akan melakukan rombakan kabinet buat kali kedua pada akhir tahun ini.

Katanya, kabinet yang ada kini masih baru dan hanya berusia tujuh bulan sejak beliau dilantik menjadi Perdana Menteri.

"Kalau kita buat rombakan terlalu kerap ia akan menjejaskan kemampuan menteri-menteri untuk menjalankan kerja sebab pertukaran yang melibatkan tempoh masa yang pendek ini boleh mengganggu kelicinan pentadbiran kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pada Kejohanan Badminton sempena Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) di sini Sabtu.

Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) menjadi juara kejohanan itu, tempat kedua dimenangi Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Wakil Rakyat Sabah (Bakisa) manakala Badan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Perak (BAIDURI) menduduki tempat ketiga.

"Saya belum fikir lagi...rombakan kabinet boleh dilakukan pada bila-bila masa tetapi pada masa sekarang tidak perlu kerana kabinet sekarang ini baru sahaja dibentuk," katanya.



Beliau berkata demikian selepas ditanya pemberita mengenai khabar angin yang bertiup kencang di kalangan ahli politik bahawa Najib akan melakukan rombakan kabinet pada pertengahan Disember ini.

Najib bagaimanapun memberi gambaran bahawa akan berlaku sedikit perubahan di kalangan Timbalan-timbalan menteri dalam kabinetnya.

"Dalam pada itu ada juga beberapa perkara di peringkat timbalan menteri yang saya perlu lihat secara detail lagi," katanya.

Beliau tidak mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu tetapi Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib dilaporkan telah menyatakan hasrat beliau kepada Perdana Menteri untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

Najib berkata walaupun rombakan kabinet merupakan kuasa mutlak seorang Perdana Menteri tetapi ia bukan boleh dibuat sesuka hati.

Sebarang rombakan yang dibuat adalah untuk kebaikan dan penambahbaikan kepada pentadbiran sesebuah kerajaan, kata beliau.

Jika ada pun, adalah tidak elok untuk beliau memberi tempoh masa atau sebarang petanda mengenai sebarang rombakan tetapi ia tidak mungkin berlaku dalam tempoh terdekat ini.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails