Geng Aku

Rabu, 18 November 2009

Nizar V'8! Nik Aziz Bakal PM Malaysia Ke-7?



Jika Pakatan Rakyat diluluskan pendaftarannya oleh ROS (Pendaftar Pertubuhan), maka Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat akan menjadi Pengerusi Pakatan Rakyat yang pertama.

Jika Anwar Ibrahim terlepas dari sabitan kes liwat terbarunya, maka beliau akan dilantik sebagai Perdana Menteri Pakatan Rakyat. Jika Pakatan Rakyat berjaya dalam PRU ke 13 nanti, maka Anwar akan dilantik sebagai PM ke 7 Malaysia.


Jika Anwar Ibrahim disabitkan kesalahan meliwat dan Pakatan Rakyat menang dalam PRU ke 13, maka jawatan Perdana Menteri Malaysia ke 7 akan ditentukan semula oleh Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat.

Oleh kerana Tuan Guru Nik Aziz telah berjaya memerintah Kelantan untuk sekian lamanya, maka beliau adalah calon yang paling layak dari segi pengalaman dan kredibiliti untuk menjadi PM Malaysia ke 7.

Tentu sahaja perlantikan Tuan Guru Nik Aziz sebagai PM ke 7 kelak akan dipertikaikan sesetengah pihak. Namun jika dinilai dari segi kemampuannya mengekalkan Kerajaan PAS di Kelantan, ternyata beliau memiliki “Faktor X” untuk mengekalkan Kerajaan Pakatan Rakyat di peringkat pusat pula.



Bagaimanapun, perlantikan Tuan Guru Nik Aziz sebagai Pengerusi Pakatan Rakyat yang pertama juga boleh membunuh kredibilti PAS jika Pakatan Rakyat gagal dalam PRU ke 13. Tuan Guru Nik Aziz dan PAS mungkin akan dijadikan kambing hitam atas kekalahan itu.

Pakatan Rakyat sedang bertarung dengan idealogi “1Malaysia” Najib yang dilihat seiras perjuangan DAP dan PKR. Jika pengundi bukan Melayu tertarik dengan idealogi Najib, maka tidak mustahil undi bukan Melayu akan kembali memihak pada Barisan Nasional.




Jika keadaan itu berlaku, maka PKR dan DAP akan mengalami kekalahan besar pada PRU ke 13 dan PAS mungkin hanya akan berjaya membentuk kerajaan di Kelantan dan juga Kedah.




Jadi, kekuatan Pakatan Rakyat kini dan pada PRU ke 13 nanti bergantung pada kemampuan PAS. Oleh sebab itu, Barisan Nasional kini sedang berusaha untuk memusnahkan imej PAS di mata pengundi Melayu dan bukan Melayu. Maka tidak hairanlah jika sekarang ini kepimpinan PAS sering diserang oleh jentera BN. Mereka sedang berusaha untuk melemahkan PAS.

Jika kempen memburukkan kepimpinan PAS berjaya, maka BN akan mendapat kemenangan besar pada PRU ke 13 nanti kerana PKR dan DAP sudah tidak lagi bertaring seperti PRU ke 12 dahulu.




Halangan terbesar BN untuk melakar kejayaan pada PRU ke 13 nanti hanyalah berkaitan dengan isu kepimpinan MCA dan juga MIC. Jika mereka mahu menarik semula sokongan pengundi bukan Melayu, maka MCA dan MIC perlu diperkukuhkan dahulu.

Menyelesaikan kemelut dalaman MCA dan MIC bukanlah satu tugas mudah. UMNO terpaksa melakukannya secara halus kerana jika tersilap langkah, MCA dan MIC boleh menjadi ‘biawak hidup’ kepada Barisan Nasional.

Misalnya, Krisis PKFZ mampu menjadi domino kepada kejatuhan Barisan Nasional. Ianya akan menjadi seperti lagu “bangau oh bangau” kerana banyak pemimpin utama BN (terutamanya MCA) yang boleh disabitkan dengan penyelewengan itu.

MIC pula sudah bertukar menjadi syarikat “pemilikan tunggal”. Ianya kini berurusan dengan Pendaftar Syarikat dan bukannya dengan Pendaftar Pertubuhan. 1Malaysia dah tahu apa yang tidak kena dengan MIC.



Mujurlah Najib mempunyai Tun Mahathir yang sangat arif dengan jalanraya politik Malaysia. Semua lorong politik sudah diteroka Tun Mahathir termasuklah “JALAN BLOG”. Sepatah yang keluar dari mulut Tun Mahathir, beratus-ratus patah perkataan yang akan disebut oleh media perdana dan alternatif. Begitulah hebatnya penasihat Najib.

Bagaimanapun, sehebat manapun Tun Mahathir, beliau masih gagal menggugat kedudukan dan pengaruh Tuan Guru Nik Aziz di Kelantan. Tun mungkin berjaya memusnahkan nama besar seperti Musa Hitam, Allahyarham Ghafar Baba, Anwar Ibrahim dan Abdullah Badawi, tapi Tun tidak mampu memusnahkan Nik Aziz.

Jika BN mempunyai Tun Mahathir, Pakatan Rakyat pula mempunyai Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Persoalannya kini, sanggupkah pemimpin utama Pakatan Rakyat mendengar nasihat Nik Aziz?

Nizar V'8! Majoriti Rakyat Tidak Puashati Cara Kerajaan Tangani Rasuah

Kaji selidik yang dilakukan Merdeka Centre menunjukkan 74 peratus rakyat risau dan tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan dalam menangani isu rasuah dalam negara.


Kaji selidik yang dibuat menerusi panggilan telefon melibatkan responden berumur 21 tahun ke atas sejak awal tahun ini juga mendapati kes jenayah mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 81 peratus.



“74 peratus tidak puas hati dengan kerajaan menangani rasuah, jumlah 67 peratus juga tidak senang dengan cara kerajaan menangani masalah-masalah sosial. Di antara mereka yang disurvei, yang sangat tinggi 66 peratus juga tidak puas dengan bagaimana jenayah dan keselamatan awam sedang ditangani. Tidak mengejutkan, 81 peratus responden merasa rasuah adalah masalah serius,” kata kenyataan media berhubung kaji selidik yang disiarkan menerusi laman web itu di alamat www.merdeka.org.

Kaji selidik itu juga mendapati, rakyat negara ini risau dan berharap pemimpin dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani kes jenayah.
Sementara itu, krisis ekonomi berada di tangga kedua dengan peratusan sebanyak 31 peratus di belakang kes jenayah rasuah.



Ia diikuti masalah soasial dengan 12 peratus dan 10 peratus adalah kes jenayah dan keselamatan awam negara.

Dalam perangkaan tersebut, sebanyak 42 peratus adalah jenayah rasuah jenis berdaftar diikuti kes penipuan (37), rasuah dalam kalangan ahli politik (34), rasuah besar (30) dan rasuah pentadbiran, 24 peratus.

Sebanyak 58 peratus jenayah rasuah negara telah diperolehi dengan tersebarnya berita-berita di dalam akhbar.

Ia termasuklah kes yang melibatkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Selain itu, beberapa nama tokoh politik juga turut menghadapi tuduhan kes rasuah termasuk bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Ketidakstabilan politik dan rasuah berdaftar adalah antara faktor mengapa rakyat mendakwa negara ini sudah tidak ada hala tuju.

Nizar V'8! Jeffry Buat Drama La Pulak.


DSAI sudah menilai dan menghitung syarat-syarat yang dikenakan Dr. J dalam pelan damai yang ditawarkan Dr. J. Bagi DSAI, syarat-syarat Dr. J tiada tujuan lain melainkan “cari pasal”. Mana mungkin DSAI mengubah keputusan kolektif PKR Pusat yang melantik Ahmad Thamrin Haji Zaini dan Datuk Kong Hong Ming sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Sabah. Mana mungkin Dr. J seorang cuba sewenang-wenangnya “over rule” keputusan kolektif PKR Pusat itu.




Sejak awal PKR memasuki Sabah, DSAI tidak pernah memberi penekanan utama ke atas DEKLRASI TAMBUNAN. Dalam PRU12 pun DSAI membisu mengenai Deklarasi Tambunan. Tetapi Dr. J insist Deklarasi Tambunan ini untuk diterima PKR Pusat sebagai salah satu pra syarat bagi Dr. J mematuhi “plan damai ” dengan PKR bersabit krisis kepimpinan PKR Sabah yang terkini.

Isu lain, mengenai Royalti Minyak 20%, Autonomi PKR Sabah, Kebebasan membuat keputusan PKR Sabah untuk Sabah tanpa campur tangan PKR Pusat. Itulah antara keistemewaan yang Dr. J gariskan. Bagi kebanyakan, permintaan Dr. J memang sukar dan kelihatan sekadar “cari pasal” untuk menghancurkan PKR dari dalam sebelum meninggalkan PKR sepenuhnya. Jelas Dr. J tidak lagi mahu mematuhi displin dan ideologi PKR.

Berikutan dengan itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggelar ahli yang gagal mematuhi disiplin dan ideologi parti itu sebagai ‘pengacau’ di dalam PKR. Dengan ini Dr. J adalah tergolong dalam kategori “PENGACAU”.

“Saya dengan tegas memberi amaran kepada seluruh anasir-anasir ‘pengacau’ dalam parti yang gagal patuh kepada disiplin dan ideologi parti, mereka harus undur sebelum disingkirkan,” DSAI -di sini

Episod, di mana Dr. J mengenakan syarat-syarat yang sukar dipenuhi PKR pusat ini, malah di luar bidang kuasa PKR sendiri, dilihat sebagai episod terakhir dalam drama Dr.J dalam PKR. Sebagai “pengacau” Dr. J tiada pilihan melainkan BERUNDUR ATAU DISINGKIR. syarat-syarat Jeffrey kepada PKR…SABAHKITA

Nizar V'8! Bekas Setiausaha Anwar Buat Laporan Polis Berhubung Pembelian Saham

Bekas setiausaha Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anuar Shaari hari ini membuat laporan polis berhubung pemilikan saham oleh naib Presiden PKR Azmin Ali dan isterinya yang mencecah RM2 juta.

Anuar, 40, yang turut menyerahkan salinan dokumen asal berhubung perkara itu kepada polis membuat laporan pada pukul 11.45 pagi di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Bukit Aman, di sini.

Anuar, yang pernah bertugas dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selama dua tahun bermula 1996, telah diiringi beberapa anggota Permuafakatan Ummah (Pewaris) dan Badan Amal Tarbiah Sejagat (Batas).

"Saya pada pagi ini buat satu laporan polis dan menyerahkan salinan dokumen asal tentang pemilikan saham-saham yang heboh diperkatakan sekarang untuk mencari kebenaran kerana daripada dokumen yang diterima dan ada pada saya ianya nampak seperti asli, tetapi saya bukan pakar untuk membuktikan itu dan ini.

"Sehubungan itu, saya membuat laporan polis untuk mengesahkan kesahihan dokumen tersebut," katanya kepada pemberita di perkarangan JSJK di sini hari ini.

Anuar berkata siasatan yang telus dan adil perlu dijalankan kerana menerusi dokumen itu terdapat maklumat tentang pembelian saham yang dilakukan menggunakan nama dua individu terbabit (Azmin dan isterinya Shamsidar Taharin).

"Saya mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dokumen itu bertarikh 1992-1994 semasa Anwar menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri dan ketika itu juga Azmin Ali menjadi setiausaha Anwar," katanya.

Katanya laporan polis itu dibuat ekoran timbulnya keinsafan sebagai seorang warganegara bertanggungjawab tanpa didesak oleh mana-mana pihak dan berharap pihak berkenaan (Azmin dan Shamsidar) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan untuk menuduhnya berniat jahat.
Anuar berkata jika terbukti kesahihan terhadap dakwaannya (mengenai saham) polis harus menjalankan siasatan segera.

Sebelum ini beberapa akhbar melaporkan Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia S.A. Vickneswaran mendakwa memiliki dokumen-dokumen berkaitan urusan pembelian saham melibatkan Azmin dan isterinya, Shamsidar termasuk iparnya, Jamal Tahrin yang mencecah RM8.5 juta pada awal 1990-an.

Anuar yang pada 2004 pernah menjadi Ketua Bahagian PKR Permatang Pauh juga pernah bertugas sebagai Setiausaha kepada Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum mengumumkan keluar parti PKR pada bulan Mei 2007.

Sementara itu, Pengarah JSJK Datuk Koh Hong Sun ketika dihubungi Bernama mengesahkan Anuar hadir di jabatan itu untuk membuat laporan tetapi beliau enggan mengulas lanjut. BERNAMA

Nizar V'8! Saya Tak Pernah Terfikir Untuk Kembali Ke Kabinet - Soi Lek

Timbalan presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata tidak pernah terlintas di fikiran beliau untuk kembali menyertai Kabinet.

"Saya tak pernah memikirkan tentang sebarang jawatan dalam kerajaan. Saya juga tak pernah meminta sebarang jawatan, termasuk dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan), atau lain-lain. Kalaulah ada sesiapa yang terfikir bahawa saya melawan kerana ingin kembali menyertai Kabinet, saya rasa mereka silap besar.

"Kalau mereka berfikir bahawa saya melawan kerana ingin dilantik memegang jawatan dalam mana-mana badan berkanun seperti KTMB, anggapan mereka itu ternyata silap. Tanyalah sesiapa pun. Saya tak pernah meminta semua itu," katanya dalam temubual dengan Bernama.

Sebaliknya, kata Dr Chua beliau tidak faham kenapa sesetengah orang ingin mengaitkan pelan perpaduan lebih menyeluruh (GUP) dengan jawatan Kabinet, sedangkan beliau telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak meminta jawatan dalam kerajaan.

"Kenapa mesti kaitkan GUP dengan jawatan Kabinet? Saya gembira dengan apa yang saya ada dan siapa diri saya. Kalau orang nak cari kesilapan saya setiap masa, teruskanlah berbuat begitu. Saya hairan apabila ada orang yang ingin menyentuh hal peribadi saya semasa majlis taklimat Ahad lepas. Dia kemudiannya dihalau keluar," kata beliau.

Semasa berlangsungnya majlis taklimat tentang GUP di ibu pejabat parti itu, seorang pemimpin peringkat akar umbi dari MCA Bahagian Selayang membangkitkan isu pembabitan Dr Chua dalam skandal DVD seks, tetapi dia diminta meninggalkan majlis itu oleh anggota peringkat akar umbi.

kata Dr Chua semasa menganggotai Yayasan Pendidikan Johor, beliau tidak me
Malah,nggalakkan anak-anaknya memohon pinjaman pelajaran daripada yayasan itu.

Sebaliknya, mereka melanjutkan pelajaran dengan menggunakan biasiswa lain, katanya.

Mengenai perjumpaan antara pemimpin tertinggi MCA dan masyarakat Cina malam tadi, Dr Chua berkata pemimpin masyarakat itu menzahirkan kebimbangan mereka dan mahu agar kemelut yang melanda MCA diselesaikan segera.

"Mereka berpendapat tiada perkara yang tidak boleh dibincangkan dan diselesaikan dengan secepat mungkin," katanya.

Dr Chua berkata parti itu juga berbincang dengan pemimpin masyarakat Cina hal berkaitan ekonomi dan secara umumnya, mereka menyokong inisiatif ekonomi yang diperkenalkan perdana menteri.

"Kata mereka perdana menteri berada di landasan betul (dalam melaksanakan langkah itu) seperti melonggarkan peraturan kuota (mengenai syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi 27 subsektor perkhidmatan) dan pemansuhan garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC), tetapi mereka berpendapat lebih banyak perkara perlu dilakukan bagi menarik pelaburan langsung asing.

"Mereka juga bersetuju bahawa kita (Malaysia) terlalu bergantung pada pekerja asing, yang telah kami (MCA) bangkitkan sebelum ini," katanya.

Dr Chua berkata pada perjumpaan itu, pemimpin masyarakat Cina juga berkata mereka mahu kerajaan memberi bantuan kewangan secara bersistematik kepada sekolah Cina dan sekolah persendirian.

-- BERNAMA

Nizar V'8! Kes Kota Siputeh Iktibar Pada Wakil Rakyat BN

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) perlu mengambil iktibar daripada kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh berikutan kegagalan wakil rakyatnya menghadiri sidang Dewan tanpa kebenaran.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kecewa dengan sikap wakil rakyat terbabit, berkata setiap daripada mereka yang terpilih itu, perlu bertanggungjawab menunaikan tugas masing-masing untuk menghadiri sidang DUN.

"Saya kecewa... saya tidak mahu membuat apa-apa andaian kerana dalam situasi genting sekarang, kita perlukan wakil rakyat di peringkat nasional dan DUN, mengambil berat kehadiran dalam dewan.

"Itu sebahagian tanggungjawab utama kerana kalau tidak, semua masalah yang dihadapi pengundi tidak mungkin dapat dibawa ke sidang DUN," katanya kepada wartawan Malaysia sebelum menyampaikan pernyataan negara sempena Sidang Kemuncak Jaminan Bekalan Makanan Dunia di sini, Selasa.

Semalam, Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah kosong, menyatakan Datuk Abu Hassan Sarif bukan lagi wakil rakyat BN berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan dewan secara berturut-turut tanpa kebenaran speaker.

Hakim Alizatul Khair Osman Khairuddin turut memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil di kerusi DUN Kota Siputeh.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata sebagai wakil rakyat, mereka perlu melaksanakan tugas mereka sepenuh hati dan tidak boleh mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai wakil rakyat.

Menyatakan bahawa kehadiran mereka dalam sidang dewan bukan sahaja untuk memenuhi korum, beliau berkata: "Kalau kita malas dan tidak memberikan perhatian mengenai kehadiran, tidak bersuara dan tidak memberikan pandangan tentang isu masyarakat dan negara.

"Kita tidak dapat diberikan penghargaan oleh pengundi, kesannya esok kepada kita. Ini harus menjadi ikhtibar kepada semua wakil rakyat (BN)," katanya.

Beliau berkata Umno dan BN bersedia menghadapi pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh sekiranya rayuan terhadap kekosongan kerusi berkenaan ditolak oleh mahkamah.

"Apa strategi yang disusun adalah untuk memastikan kita berjaya dan mengambilkira semua perkara dan atas dasar itu, kita yakin bersedia sepanjang masa untuk menghadapi pilihan raya kecil itu," katanya.

-- BERNAMA

Nizar V'8! Salahuddin Cabar Debat Dengan Nazri Aziz.

Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammed Nazri Aziz berdebat mengenai isu Royalti Minyak Kelantan yang ditukar menjadi wang ehsan oleh kerajaan Barisan Nasional.

Salahuddin (gambar) ketika mencelah dalam ucapan penggulungan Nazri di Dewan Rakyat petang tadi, mengulangi cabarannya terhadap Nazri kerana berpendapat Nazri banyak menyelewengkan fakta berhubung royalti minyak termasuk dalam isu perjanjian yang pernah dimeterai Petronas dengan Kerajaan Negeri Kelantan suatu ketika lalu.

"Saya berdiri di sini mewakili rakyat Kelantan mencabar Yang Berhormat mewakili Perdana Menteri berani atau tidak ita berdebat di luar dewan, di Kota Bharu, atau di Kuala Lumpur untuk kita beritahu rakyat rakyat apa sebenarnya yang berlaku di sebalik pembohongan ini," katanya.




Membalas cabaran itu, Nazri berkata beliau bersedia untuk berdebat berhubung isu ini pada bila-bila masa dan di mana sahaja termasuk di markas PAS Taman Melewar.

"Saya tidak ada halangan sebenarnya malah kalau nak buat perbahasan di Markas PAS di Greenwood pun saya akan pergi tidak ada masalah,"katanya.

Sidang dewan menjadi kecoh apabila wakil rakyat Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dengan percanggahan fakta yang dinyatakan oleh Nazri.

Turut membahaskan isu tersebut ialah, Saifuddin Nasution (PKR-Machang),Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), YUsmadi Yusuf (PKR-Balik Pulau) dan Dzulkifly Amad (PAS Kuala Selangor).

Dr Dzulkefly dengan tegas menyifatkan Nazri menyelewengkan beberapa interpretasi perlembagaan mengikut pendapatnya sahaja, malah menafikan apa yang telah dipersetujui bersama oleh pemimpin Petronas dan negara sebelum ini.

"Mengapa kita membelakangkan Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Salleh Abbas yang sebelum ini memahami asas kepada perjanjian ini.Semangat undang-undang mesti adil, hari ini dalam kes royalti mengapa Sabah Sarawak diberikan hak, tetapi Kelantan dan Terengganu di mana keadilannya," katanya.

Nazri sebaliknya cuba mengalihkan perhatian wakil rakyat yang lain dengan menyentuh isu-isu dalaman PAS dan tidak menjawab isu sebenar yang dipersoalkan wakil Shah Alam, Ir Khalid Samad berhubung kedudukan Kelantan sebagai negeri yang sepatutnya berhak dalam royalti minyak.

Nizar V'8! Bajet Negeri Kedah Garis 4 Strategi Utama.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak hari ini membentangkan bajet 2010 bagi negeri Kedah. Bajet 2009 ini menggariskan empat  strategi sebagai instrumen untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi bagi meningkatkan pendapatan rakyat.


Empat strategi tersebut ialah Merangsang pertumbuhan ekonomi bagi meningkatkan pendapatan rakyat, membangunkan modal insan; Meningkatkan kesejahteraan Rakyat dan Memperkasa Jentera Pentadbiran Negeri.

Bajet yang dibentangkan ini berjumlah RM 1,279,614,642 merangkumi anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM512,186,574, anggaran pembangunan sebanyak RM 347,541,580 dan anggaran bekalan air sebanyak RM419,886,488.

Di bawah peruntukan mengurus, sebanyak 42 peratus adalah untuk bayaran emolumen; 34 peratus untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap; 20 peratus untuk perkhidmatan dan bekalan dan 1 peratus untuk perolehan aset.

Sementara itu bagi peruntukan pembangunan pula, bajet 2010 diagihkan sebanyak 65 peratus untuk program prasarana; 20 peratus untuk pentadbiran; 8 peratus untuk pertanian, 6 peratus untuk agama dan sosial; dan0.34 peratus untuk ICT.



Manakala kerajaan negeri menganggarkan hasil yang bakal dikutip sebanyak RM496,085,253. Ini merangkumi Hasil cukai sebanyak RM281,314,403; hasil bukan cukai RM60,951,470 dan Terimaan Bukan Hasil RM153,819,380.

Anggaran hasil kerajaan negeri untuk tahun 2010 meningkat sebanyak 1.7 peratus berbanding tahun lalu (RM487,478,010).

Defisit yang dianggarkan pada tahun hadapan ialah sebanyak RM16,101,321 iaitu sebanyak 3.16 peratus berkurangan berbanding tahun 2009 sebanyak RM17,529,747 (3.47 peratus).

Sidang Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah Kedua Belas bermula hari ini dengan dirasmikan oleh Tuanku Sultan Kedah pagi tadi.

Sidang Dewan akan bersambung semula esok.

Nizar V'8! PR Cabar Umno Biarkan DUN Kota Seputeh Kosong.

Pakatan Rakyat mencabar Umno agar tidak membuat rayuan di mahkamah bagi membolehkan pilihanraya kecil di Dun Kota Seputeh berjalan sebagaimana yang sepatutnya.


Demikian kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi, selepas selesai mesyuarat Pakatan Rakyat di Parlimen. Turut serta dalam sidang media bersama PR itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan beberapa pimpinan tertinggi parti masing-masing.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menjelaskan bahawa PKR dan DAP sebulat suara akan membantu PAS, jika pilihanraya kecil berlaku kelak.

Beliau juga turut menjelaskan beberapa isu kehakiman berbangkit, termasuk dalam isu keputusan "tergantung" pengesahan Menteri Besar di Perak.

Ujarnya lagi, sistem kehakiman negara seharusnya hanya tunduk pada perlembangaan.

Beliau juga mengkritik segelintir hakim yang dilihat tunduk pada kuasa eksekutif.



Ditanya tentang konvesyen PR Disember depan, Anwar menjelaskan bahawa mesyuarat tersebut turut  membincang isu-isu dasar yang disepakati bersama antara ketiga-tiga parti pembangkang tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, mahkamah akan memutuskan rayuan BN agar pilihanraya kecil Dun tersebut tidak berlaku.

Sekiranya mahkamah menolak rayuan BN sekali gus membangkitkan semula isu berkaitan yang lain, seperti di Dun Perak.



Ini kerana, Speaker Dun Perak V. Sivakumar sebelum ini pernah menghantar Surat Pengosongan Dun kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) ekoran beberapa Adun tidak menghadiri sidang Dun dan gagal dikenal pasti kedudukan mereka.

Namun, SPR mendahului kuasa mahkamah dengan memutuskan bahawa kepitusan tersebut adalah tidak sah.

Akhirnya, keputusan mahkamah Jumaat ini dilihat penting untuk memulihara semula institusi kehakiman itu sendiri

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails