Geng Aku

Jumaat, 9 April 2010

'Kedah Mampu Julang Piala FA'


BARISAN pemain Kedah giat menjalani latihan menjelang aksi final Piala FA menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.


BEKAS jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah meramalkan skuad Kenari mampu menjulang Piala FA apabila menentang Negeri Sembilan pada final di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Azraai berkata, walaupun Kedah dibarisi ramai pemain muda, namun ia bukan penghalang buat mereka mencipta kejutan ke atas Negeri Sembilan.

"Pemain muda ini sebenarnya telah mempunyai pengalaman bermain di peringkat yang lebih tinggi berbanding lawan seperti Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) serta beberapa perlawanan akhir," kata Azraai semalam. 

Malah Azraai berkata, pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) juga perlu bijak memberi motivasi kepada barisan pemain muda untuk mencipta kejayaan di bawah jurulatih Ahmad Yusof.



Pandangan Azraai itu tampak berasas kerana Kedah telah menjuarai Piala FA pada tahun 2007 dan 2008 serta beraksi di pentas Piala AFC untuk dua musim pada 2008 dan 2009.

"Nasihat saya, pemain perlu memberi fokus sepenuhnya kepada 90 minit masa permainan. Selain itu pasukan yang kurang membuat kesilapan akan berjaya," kata Azraai yang kini membimbing skuad bawah 21 tahun kebangsaan atau Harimau Muda A.

Sebelum ini, Azraai pernah membawa Kedah ke puncak kegemilangan apabila membimbing skuad Kenari itu menjuarai tiga piala termasuk Piala FA untuk dua musim berturut-turut pada 2006/07 dan 2007/08.

Sekiranya berjaya menjulang Piala FA edisi ke-21 kali ini, Kedah akan menjadi pasukan kedua terbaik dengan empat kali muncul selaku juara di belakang Selangor (lima kali) sejak piala terbabit diperkenalkan pada 1990. 

Kini Kedah terikat dengan Kuala Lumpur yang turut menjulang Piala FA sebanyak tiga kali dan muncul naib juara sekali pada 1992.

Kedah mara ke final Piala FA tahun ini apabila menyingkirkan Terengganu dengan agregat 4-1 manakala Negeri Sembilan menumpaskan juara bertahan, Selangor dengan peraturan gol di tempat lawan setelah terikat dengan agregat 2-2.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails