Geng Aku

Sabtu, 6 Mac 2010

PAS Kesal DUN Melaka Tolak Usul Pakatan.



PAS kesal dengan tindakan dengan tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang awal-awal lagi menolak usul yang dibawa oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) negeri ini dalam persidangan yang akan berlangsung Isnin hingga Khamis ini.Ketua penerangan PAS Negeri Melaka, Sofi Wahab berkata, usul yang dikemukakan oleh ADUN PR itu telah dihantar kepada setiausaha DUN, mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Tetapi malangnya, tambah beliau, jawapan yang diterima amat mengecewakan apabila ia ditolak dengan tiada alasan yang kukuh.

"Antara usul yang dikemukakan ialah mendesak ketua menteri dan exco-exco kerajaan negeri mengisytiharkan harta masing-masing, dan menggesa kerajaan negeri memperincikan perancangan membina pulau buatan yang dinamakan Pulau Jalur Gemilang," katanya.

Sofi mendakwa, tindakan DUN Melaka menolak usul itu jelas membuktikan kerajaan negeri tidak demokratik dan membelakangkan kepentingan rakyat.

Katanya, ia kerana usul-usul yang dikemukakan oleh ADUN PR adalah berkaitan dengan kepentingan rakyat.

"Persoalannya, mengapa kerajaan negeri takut untuk menjelaskan isu yang dibangkitkan tersebut, jika mereka telus dan profesional. Berani kerana benar, takut kerana salah.

"Saya dan rakyat Melaka berhak mengetahui semua perancangan dan projek-projek yang dijalankan oleh kerajaan kerana ianya melibatkan duit rakyat sebagai pembayar cukai.

"Sebagai rakyat, kita tidak mahu kerajaan negeri membelanjakan duit rakyat dengan sewenang-wenangnya tanpa dipertanggungjawabkan," tambahnya.

Rakyat juga berhak mengetahui kekayaan ketua menteri dan exco-exco kerana jika didapati kekayaan mereka tidak munasabah dan sepadan dengan pendapatan mereka, maka sudah pasti rakyat akan berasa sangsi dengan integriti pemimpin mereka.

Sofi berkata, pemimpin yang diberikan amanah memimpin negeri mesti membebaskan diri mereka daripada tuduhan dan syak wasangka rakyat, dengan mengisytiharkan harta mereka secara jujur dan telus. 

Tindakan DUN Melaka menolak usul-usul yang melibatkan kepentingan rakyat khususnya berkaitan dengan kewangan dan juga integriti pemimpin, menyebabkan rakyat terus memandang serong kepada pemimpin.

"Ini perlu dibetulkan dengan pemimpin sendiri menjelaskannya secara terperinci di dalam DUN," tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails