Geng Aku

Jumaat, 8 Januari 2010

Raja Perlis Selar Imam Cari Populariti



Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menegur sikap segelintir imam yang lebih gemar mencari populariti di kalangan anak jemaah sehingga membelakangi arahan Majlis Agama Islam dan Adat Islam Perlis (MAIPs).


Baginda kecewa kerana sikap imam yang lebih mengutamakan pandangan anak-anak jemaah bagi mengekalkan populariti mereka akan menjejaskan sistem pengurusan agama Islam negeri ini.

"Imam adalah pemimpin agama bagi qariah mereka dan perlu ada pendirian tegas dalam amalan anak-anak jemaah mereka," titah baginda semasa merasmikan Masjid Ar-Rahim Titi Tok Bandar dekat sini malam semalam.

Turut berangkat ke majlis perasmian masjid berharga RM2.3 juta itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Raja Perlis bertitah dalam lawatan baginda ke masjid-masjid di seluruh Perlis, baginda dapati ada imam yang gagal mematuhi arahan MAIPs.

Baginda kecewa kerana imam-imam memaklumkan kepada baginda bahawa mereka terpaksa mengingkari MAIPs kerana mengikut kehendak anak jemaah.

"Setiap imam di negeri ini jangan suka mencari populariti untuk mendapat undian banyak daripada anak jemaah seperti dalam rancangan realiti Akademi Fantasia," titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin menasihati para imam yang meragui arahan MAIPs supaya mendapatkan penjelasan MAIPs dan bukan anak jemaah mereka.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dalam teks ucapannya yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Jafperi Othman berkata, lebih banyak kursus kepada para pegawai masjid akan diadakan bagi meningkatkan kualiti pentadbirannya.

Katanya, pengurusan masjid juga diarah mempelbagaikan aktiviti mereka supaya masjid bukan sahaja sebagai tempat beribadat, tetapi juga tempat penyatuan masyarakat.

Md Isa berkata, pada tahun ini banyak masjid akan dinaik taraf termasuk beberapa buah masjid akan mengadakan khutbah Jumaat multimedia supaya anakanak jemaah lebih khusyuk dan mudah memahami kandungan khutbahnya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails